Home Novel Cinta SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
Sayhazs Zailie
19/8/2017 17:44:25
103,711
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

*TQ Portal Ilham for created this lovely cover...


NATASYA berjalan masuk ke pejabat ketuanya. Tangan kiri dan kanan turut memegang ipad dan sebiji mug. Sejak lelaki itu kembali bertugas, sediakan minuman sudah tersenarai dalam diskripsi tugasnya sekarang. Dan dia dengan rela hati melakukan apa yang telah diamanahkan.

"Tengku."

"Yes."

"As usual. Your hot milo."

"Thanks, Tasya."

Mug bewarna hitam tersebut Tengku Harrys capai. Diteguk dan dihirup isinya perlahan-lahan. Tapi macam biasa. Hanya sedikit diminum sebelum ia kembali diletakkan.

"Kenapa, Tengku? Tak sedap ke air milo yang saya buat tu?" soal Natasya. Sudah beberapa minggu dia buatkan air yang sama. Selama itu jugalah tak luak pun isi di dalamnya.

"Bukan tak sedap. Cuma...,"

"Cuma apa?"

"Cuma...,"

Natasya berkerut dahi. Tertunggu-tunggu jawapan ingin diberi. Namun seketika kemudian, gadis itu petik jari.

"Oh, okey. Faham! Saya tahu kenapa."

Tengku Harrys pandang wajah setiausahanya.

"Tak sama dengan yang Cik Irish buat, kan?"

Lambat-lambat bibir Tengku Harrys menguntum senyuman. Serba-salah. Dia tak nak gadis di depan terluka perasaan.

"Kenapa Tengku tak cakap awal-awal? Kalau tak, tak adalah berapa minggu ni saya dera Tengku telan air buatan saya ni, tau!"

"It's okay. Dah ada orang buat pun, untung dah."

"Tapi tetap tak sama dengan Cik Irish punya, kan? Tak apa. Sekarang jugak saya suruh Cik Irish buatkan."

"No need, Tasya."

"Tak apa, Tengku. Tak payah risau. Saya jamin Cik Irish takkan bantah. Lagipun dulu memang Cik Irish yang kena buat air untuk Tengku tiap-tiap hari, kan!" usik gadis tersebut tersenyum-senyum penuh makna. "Nampak gayanya saya kena past baliklah tugas buat air ni kat Cik Irish. Nak pastikan hari-hari bos saya yang seorang ni penuh semangat dan ceria!"

Segera Natasya mengambil mug atas meja sebelum mengorak langkahnya.

"Saya keluar dulu, Tengku. Sekejap lagi saya bawakan 'semangat' Tengku, ya!"

Tengku Harrys menghantar kepergian setiausahanya dengan sebuah pandangan. Nak saja mulutnya melarang. Tapi hati bagai ternanti-nanti semangat yang gadis itu war-warkan.


"CIK IRISHHH!"

Bergema suara Natasya satu pantri. Tangan Irish yang tengah menadah air dari water dispenser, terus terhenti.

"Kat sini Cik Irish rupanya! Patut cari kat bilik tak ada!" Natasya menapak masuk ke dalam pantri. Sosok Irish langsung didekati. "Aduhhh... nasib baik jumpa Cik Irish!"

"Kenapa ni, Tasya? Hmm? Dengan termengah-mengah macam ni."

"Tengkuuu..."

"Tengku? Kenapa dengan Tengku?"

"Tengku dia..."

"Kenapa? Tengku sakit ke?"

"Ha'ah! Sakit."

"Sakit apa? Tadi elok aje."

"Bukan sakit badan. Tapi sakit rindu. Sakit cinta, sakit angau, sakit... isk, semualah!"

Dahi Irish berkerut seribu. "Awak cakap apa ni, Tasya? Saya tak fahamlah."

"Tengku tulah, Cik Irish. Saya rasa dia dah gila bayang dengan Cik Irish agaknyalah!"

"Huh?"

"Dia tak boleh nak telan air milo yang saya buat. Sebab tak sama dengan Cik Irish punya katanya."

"Macam tu pulak?"

"Betul! Patutlah selama masuk ofis balik ni saya bancuh air untuk dia, tak luak pun!"

Irish merenung hairan gadis di sebelahnya. "Awak buat air milo pakai susu ke gula?"

"Mestilah gula. Kan Cik Irish kata Tengku suka milo 'O'. Saya dah ikut dah bulat-bulat sukatan macam yang Cik Irish ajar. Letak milo, air, gula. Sebijik! Sama! Tapi tak jalan juga!"

Wajah Irish mencorak senyum. Tercuit dengan cerita Natasya sampaikan. Seraya minda menerawang pada gerangan yang tengah disebut-sebutkan.

'Adalah tu yang tak kena.' Bisik hati Irish.

"Tak apalah, Tasya. Nanti saya buatkan."

"Yes! Memang Cik Irish kena buat pun! Sebab Cik Irish sorang aje yang boleh buat. Tak boleh orang lain! Tolong ya, Cik Irish. Please!"

"Ya, ya. Saya buat sekarang. Siap nanti saya hantar terus kat Tengku."

"Ya ALLAH! Terima kasih, Cik Irish! Terima kasih sangat-sangat! You are my saviour!" Natasya peluk Irish erat-erat. Lima saat, pelukan kembali dileraikan. "Kalau macam ni gayanya, terpaksalah Cik Irish ambil balik job bancuh air untuk Tengku tu. Saya tak rasa Tengku nak minum air yang orang lain buat selain air tangan Cik Irish."

"Kalau macam tu, elaun awak buat air untuk Tengku pun kena bagi kat sayalah nampaknya, kan."

"Tak kisahlah, Cik Irish. Janji Tengku bersemangat dan happy masuk ofis setiap pagi."

"Saya gurau jelah, Tasya."

"Eh, tak, betul! Sumpah saya tak kisah pun. Demi Tengku dengan Cik Irish!"

Irish geleng kepala. Niat nak bersenda, tapi gadis di sebelah ambil serius pula. Setakat buat air apalah sangat. Lagipun bukan untuk siapa-siapa. Suami sendiri juga.

"Okey, siap." Sejurus itu Irish mengemas semula pantri seperti keadaan asal. "Nak saya hantar ke awak nak bagi sendiri?"

"Eh, Cik Irishlah hantar. Tadi kan Cik Irish kata nak hantar terus kat Tengku."

"Manalah tahu awak nak pujuk bos awak tu."

"Hermm... lupakan ajelah! Daripada saya yang pujuk, lebih baik serah kat Cik Irish. Dah sah-sah Cik Irish yang lagi terror handle Tengku tu. Kalau tak, takkan bos saya yang hati beku tu boleh tangkap cintan dengan Cik Irish. Dengan perempuan lain, payah bukan main!"

"Tukar topik pulak?"

"Betullah! Semua orang pun tahulah, Cik Irish. Lagipun saya dah cakap kat Tengku saya akan bawa 'semangat' dia kejap lagi."

"Semangat?"

"Yelah!"

"Semangat apa?"

"Cik Irishlah! Siapa lagi? Lagi-lagi nampak Cik Irish datang dengan air milo ni, haa... mencanak-canak naiklah semangat dia lepas ni! Saya pergi dulu ya, Cik Irish. Nak kena hantar fail kat HR departmentGood luck!"

Serentak Natasya angkat kaki, meninggalkan Irish terkebil-kebil tak bereaksi.


TOMBOL dipulas penuh berhati. Tak mahu mengganggu tuan empunya bilik di dalam yang sedang sibuk barangkali. Sibuklah agaknya. Sampai berkali ketuk dan bagi salam, senyap sunyi

tak bersahut apa-apa.

Namun tekaan meleset sama sekali. Sebaik masuk saja, kelibat Tengku Harrys tiada di kerusi. Patutlah tak bersahut. Memang tak ada orang pun.

"Hmm... letak ajelah."

Hayunan langkah menghala terus ke meja. Mug di tangan diletak di sisi komputer. Moga-moga bila lelaki itu masuk nanti, nampak air ini, rasa... dia tahu siapa yang membuatnya. Sekaligus dapatlah 'semangat' macam yang Natasya kata.

"Dapat apa yang dicari?"

Berpusing 180 darjah Irish ke belakang. Pucat lesi habis mukanya terkejut dek sergahan suara berkenaan.

"Ha... Harrys!"

"Yes, my dear."

"Da... dari ma... mana?"

"Dari hati Irish."

Irish mencerun bening. Ditambah riak kalut dengan kejutan sebentar tadi.

"Jangan buat muka macam tu, boleh?"

"Ke... kenapa?"

"Sebab Harrys tak mampu nak tengok."

Kali ini Irish terkedu. Cuak rautnya bila pandangan Tengku Harrys pula yang mencerun.

"Tapi kalau nak keep showing it, silakan. Cuma...," Tengku Harrys maju selangkah ke depan. Memaksa Irish undur tapak ke belakang. "... Harrys tak jamin something's not gonna happen later on. So... can you please stop seducing me?"

"Si... siapa yang go... goda?"

"You."

"Ma... ma... mana ada."

"Then, what are you doing in my office right nowAt this hour? Hmm?"

"Err... I... Irish...,"

"Rindu?"

"No."

"Then what?"

"Err...,"

"Tell me the answer."

"Ermm... err...,"

"10 second."

Irish tak tentu arah.

"5 second."

Wanita itu makin gelabah.

"Time's up!"

Dan-dan itu tangan Tengku Harrys menongkat ke birai meja.

Pergerakan Irish terpasung. Susuknya sudah tersekat antara meja dan Tengku Harrys. Cepat-cepat tangannya menahan dada lelaki itu.

"I... Irish cuma nak hantar air tu. Ta.. tasya yang minta buatkan."

Tengku Harrys melirik mug atas meja. Kemudian kembali ke wajah depan matanya. "Betul ke nak bagi air?"

"Betullah."

"Tak ada niat tersembunyi?"

"Tak."

Tengku Harrys merenung anak mata di depan dalam-dalam. Nak saja bibirnya tergelak. Tapi ditahan semahunya agar tak dikesan.

"Okey."

Tubuh Tengku Harrys tegak semula. Duduk langsung berlabuh di birai meja. Mug berisi minuman kegemarannya dihirup perlahan.

"Irish buat?"

"Ya."

"For me?"

"Hmm."

Sekali lagi air milo itu diminum. Dan kali ini diteguk sampai habis. Hingga terkelu Irish melihat tingkah lelaki tersebut.

"Boleh habis pun minum."

"Why shouldn't I?"

"Kenapa Tasya buat tak nak habiskan?"

"Tak sama." Selamba lelaki itu menjawab. Mug yang sudah kosong diletak atas meja semula dengan penuh kelegaan. Terasa cravingnya seolah-olah dah berbalas dendam.

"Tak sama? Ke saja? Dulu first time Irish buat, boleh aje Harrys telan."

"Because it was made by you. Even first time, rasa dia terus melekat ke kalbu."

Tawa halus Irish spontan terurai. Hajat hati nak marah. Tapi jawapan Tengku Harrys malapkan terus apa yang diniatkan.

"Tak baik dera Tasya macam tu. Penat dia buatkan."

"Tapi Harrys minum jugak."

"Tak luak, kan?"

"Bukan salah Harrys. Dah tekak tak boleh telan. Dia nak jugak yang orang tu buatkan."

Sekali lagi ketawa Irish berderai. Kali ini lebih panjang. Hingga buat yang memandang tak keruan.

"Stop laughing, Irish."

"Kenapa?"

"Just stop."

"Salah ke?"

"Tak. Tapi ketawa tu dah buat jantung Harrys di paras yang tak normal sekarang. So, better you stop. Sebelum Harrys pulak yang jadi tak normal."

Tepat Irish memanah wajah lelaki tersebut. Tawanya perlahan-lahan surut.

"I'm serious."

Impuls jantung Irish pula kini yang terasa tak betul. Tarik nafas, tersekat. Hembus nafas, tersangkut-sangkut.

"I... I... better... go out."

Serentak wanita itu berpaling. Langkah terus diayun laju keluar dari bilik.

Tengku Harrys kalau dah bagi pandangan begitu, beredar adalah jalan terbaik. Sebab dia tahu lelaki itu tak main-main. Apa yang dah diucap, takkan sekali-kali ditarik balik!


"KOPI, bang." Cawan seramik disuakan usai air dituang. Duduknya kemudian mendarat di sebelah suami yang sedang khusyuk menonton drama di televisyen.

"Ha..." Seraya cawan atas meja digapai Encik Izzuddin. Dihirup hangat-hangat air tersebut tanpa hirau asap yang berwap-wap. "Arghhh... nikmatnyaaa!"

"Amboi. Sampai macam tu sekali gayanya? Kopi aje pun."

"Sebab kopilah jadi macam gitu. Hai... abang kalau sehari tak pekena kopi Ina ni, boleh pengsan tahu!"

"Hmm... yelah tu. Tapi kalau minum kat luar pun kopi jugak yang abang pesan."

"Eh! Tak sama! Kopi kat luar tu takat boleh hilangkan dahaga. Tapi kopi Ina ni buat hari-hari abang jadi sempurna. Selagi tak hadap, tak boleh tidur lena. Silap-silap mengigau abang dibuatnya!"

"Isk, abang ni kan...," laju saja tangan Puan Qarina hinggap ke peha lelaki di sebelahnya. "Dah buang tebiat agaknya!"

"Eeh! Marah pulak? Kita dok puji-puji dia. Tak suka ke kena puji dengan abang?"

"Bukan tak suka. Malu, tahu? Malu! Umur dah senja-senja macam ni. Dengar dek anak-anak, mana nak letak muka?"

"Alah. Budak-budak tu sporting. Lagi dia orang suka dengar kita bergurau senda macam ni, adalah!"

"Amboiii... pandai aje cakap abang tu, kan."

"Betullah. Patut Ina bangga tau kena puji dengan abang. Tambah pulak dapat pahala sebab menyenangkan hati suami!" Encik Izzuddin masih tak nak kalah.

"Yelah, abang sayang. Terima kasihlah puji Ina. Terima kasih jugak sebab hargai apa yang Ina buat untuk abang."

"Ha... macam tulah! Abang puji, Ina hargai. Benda-benda nilah yang orang kata apa... mengeratkan lagi hubungan suami isteri!" ujar Encik Izzuddin bersama tawanya.

Puan Qarina mati kata. Raut gembira lelaki di sisi ditatap untuk seketika.

Tak dinafikan suaminya memang ringan mulut. Suka puji. Pandai ambil hati. Walau perkara yang dia buat tak sehebat mana, pasti ada saja kata-kata manis akan mengiringi. Zahir saja lelaki itu nampak garang. Tapi dalam jiwanya, penuh dengan kasih sayang.

"Ni... senyap aje rumah. Irhan dengan Irfan mana?"

"Budak berdua tu keluar dah, bang."

"Bila?"

"Lepas isyak tadi."

"Keluar ke mana?"

"Tak tahulah saya. Si Irfan tu ha... sibuk mengajak abangnya keluar. Yelah, dia pun baru balik cuti semester semalam, kan. Nak pulak esok Sabtu. Irhan cuti. Hmm apalagi... panjang langkahlah!"

Hujung bibir Encik Izzuddin tersungging. "Biasalah, Ina. Orang muda. Waktu-waktu macam nilah dia orang nak berhibur. Esok-esok dah tua, duduk rumah macam kita ni ajelah."

"Masa kita dah berlalu dah, bang. Sekarang masa untuk anak-anak."

"Yelah. Biarlah dia orang belajar kenal dunia luar tu. Abang takkan halang. Asalkan dia orang tahu jaga diri, jaga nama keluarga, cukup."

Puan Qarina hela nafas. "Sunyi pulak rasa anak-anak tak ada ni, bang."

"Hai... ingat abang seorang aje rasa. Ina pun sama juga? Macam berjanji pulak, ya!"

"Mestilah, bang. Nak pulak Ina yang mengandungkan dia orang sembilan bulan. Bila berjauh macam ni, terasa sangat-sangat."

Kali ini keluhan Encik Izzuddin pula kedengaran. Hati bagai meronta-ronta ingin luahkan apa yang berkelana dalam perasaan.

"Apa yang Ina rasa, macam tu jugak abang, Na. Kadang-kadang rasa macam cepat sangat masa tu berlalu. Rasa macam baru semalam abang hantar budak-budak tu pergi sekolah,

mengaji. Tapi hari ni, masing-masing dah besar panjang dah. Dah ada kehidupan sendiri."

"Tulah. Sorang-sorang dah pergi tinggalkan kita. Mula-mula along. Lepas tu angah. Kemudian alang. Sekarang Irish. Tak lama lagi budak berdua tu pulak, bang."

"Lumrah hidup, Ina. Tak selamanya kita boleh pegang anak-anak. Masa kecik kita ikat mereka. Sampai masa, tali tu satu-satu kita kena lepaskan. Cuma abang harap tali tu tak terlepas teruslah. Masih kekal berpaut agar silaturahim keluarga ni tetap tersimpul.

Kita sebagai ibu bapa hanya boleh menasihat. Selebihnya, terpulang pada anak-anak. Masing-masing kena main peranan. Baik anak mahupun menantu. Walaupun dah kahwin, jangan pernah lupa tangungjawab pada orang tua dan keluarga. Kena adil dan sama rata antara kedua belah pihak."

Penuh tekun Puan Qarina mendengar bicara lelaki di sebelah. Segala pesan sedaya dihadam dan disemat dalam kepala.

"Irish ada telefon Ina?" soal itu meluncur keluar dari bibir Encik Izzuddin tiba-tiba.

"Ada, bang. Siang tadi baru dia telefon. Dapatlah borak sekejap."

"Sihat dia?"

"Sihat, alhamdulillah."

"Tengku sekeluarga?"

"Semuanya sihat, bang."

"Irish macam mana tinggal kat sana? Selesa?"

"Dia kata semuanya okey. Keluarga Tengku jaga dan layan dia dengan baik. Alhamdulillah... lega saya dengar, bang. Risau juga kalau-kalau Irish tak dapat biasakan diri."

"Insya-ALLAH... Irish baik-baik aje kat sana, Ina. Abang percaya Tengku sekeluarga jaga anak kita tu macam anak sendiri. Walaupun kita kenal mereka tu tak lama mana, tapi hati

budi mereka suci dan murni. Tak perlu dipertikaikan lagi.

Tengok saja apa yang jadi selama ni. Itu dah cukup untuk buktikan betapa mulia tahap keperibadian mereka. Langsung tak pandang status kita dengan mereka yang macam langit dengan bumi. Sampai sekarang pun abang masih segan lagi dengan keluarga Tengku. Rasa macam tak layak kita nak berbesan dengan mereka."

"Iyalah, bang. Ina pun rasa yang sama juga. Tengok ajelah macam mana dia orang layan tiap kali kita ke vila. Macam layan tetamu dari bangsawan pulak. Naik segan jadinya!"

"Dah macam kerabat raja juga kita, ya? Dapat layanan first class. Macam kat dalam istana gayanya!" seloroh Encik Izzuddin tertawa.

"Betul, bang! Ya ALLAH... kadang-kadang bila Ina fikir balik, macam tak percaya rasa. Macam mimpi pun ada. Keciknya diri kita ni nak dibanding mereka!"

"Semua tu rezeki, Ina. Rezeki kita dapat jumpa insan sebaik, semulia dan setulus Tengku sekeluarga. Rezeki kita dan mereka dapat jadi satu keluarga. Rezeki Irish juga dipertemukan jodoh dengan Harrys."

"Abang rasa Irish bahagia dengan Harrys?"

"Setakat yang abang tengok, alhamdulillah. Irish nampak gembira dengan Harrys. Dari riak mukanya, senyum dia, Ina pun boleh tengok sendiri kan. Cuma yang akan datang tak tahulah macam mana. Panjang lagi ranjau perjalanan rumahtangga mereka, Ina. Kita doakanlah yang terbaik buat mereka.

Tapi... jauh dalam sudut hati abang... abang percaya abang tak salah pilih orang untuk serahkan Irish. Harrys kurniaan terbaik yang ALLAH hantar untuk anak kita. Macam mana hati budi orang tuanya yang kita kenal, macam tu jugalah yang abang nampak dalam diri dia. Jujur, ikhlas, hormat keluarga kita."

"Ya, bang. Harrys memang budak yang baik. Walaupun darjat dia tinggi, tapi dia selalu letakkan kedudukan kita lebih tinggi dari dia. Moga-moga dia akan jadi penjaga dan pelindung Irish sampai akhir hayat mereka."

"Insya-ALLAH, Ina. Perancangan ALLAH adalah yangt terbaik."

"Rindu pulak saya pada Irish, bang. Tak ada teman berbual, teman memasak, teman buat kerja macam dulu."

Encik Izzuddin melirik isterinya sekilas. Senyum di bibir seraya melewati wajah.

"Ada masa nanti baliklah dia, Ina. Bukan takat dia aje. Anak, menantu, cucu semua pun akan balik juga kumpul sama-sama. Ha... masa tu, lepaskanlah rindu tu puas-puas!"




Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.