Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
15,076
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 29

     Petang itu, aku pulang agak lewat. Selesai sahaja waktu persekolahan jam 6.40 petang, aku berkunjung ke Kompleks Pusat Bandar untuk membeli barang-barang dapur yang hampir kehabisan. Aku singgah ke masjid Annur yang terletak di kompleks itu untuk menunaikan solat Maghrib. Suasana di dalam masjid itu tenang sahaja. Aku melipat telekung solat dan mengembalikannya ke rak yang telah disediakan. Pengunjung lengang sahaja di bahagian saf perempuan. Di bahagian saf lelaki pula kedengaran suara seorang ustaz mengajar tajwid kepada para jemaah yang ada di situ. Bagus juga organisasi masjid ini. Walaupun kecil dan sederhana bentuknya, tetapi masjid ini sentiasa diimarahkan oleh para penduduk. Hampir setiap malam apabila aku berkunjung ke sini untuk menunaikan solat, ada sahaja aktiviti yang dilakukan bagi mengisi ruang waktu antara dua waktu Maghrib dan Isyak ini.

     Setelah membentulkan selendangku, aku menapak keluar dari masjid menuju ke ruang membeli belah. Aku terus ke bahagian pakaian wanita. Di situlah tempat kegemaranku. Banyak blaus dan baju-baju kegemaranku. Aku mengacukannya ke cermin yang ada berhadapan denganku. Seperti ada kelibat seseorang di belakangku yang turut berkelakuan sama denganku. Aku jadi tidak enak pula apabila terpaksa berkongsi cermin pada waktu yang sama begini. Aku terus bergerak ke tempat lain. Tempat penjualan seluar jeans berjenama Lady Like yang menjadi kegemaranku kerana memiliki potongan yang besar. Saiz seluar telah dapat aku teka tanpa perlu mencubanya dahulu kerana aku sudah terbiasa membeli seluar jeans dari jenama ini.

     Sedang asyik memilih seluar jeans yang datang dari pelbagi warna itu, bahuku bersentuhan dengan seseorang. Spontan ucapan 'sorry' terkeluar dariku serta juga dari suara seorang wanita. Kami berpaling antara satu sama lain. Datin Anita! Isy.. macam mana wanita ini boleh berada di sini pula? Buat apa dia ke sini? Oh, baru aku teringat, malam tadi memang Kak Erra ada mengatakan bahawa keluarganya ingin datang ke Pasir Gudang. Katanya ingin ke Lego Land. Oh, patutlah Minah Ketak pun ada tadi. Agaknya mereka sekeluarga bercuti meraikan pertunangan kedua-dua insan tersebut. Aku mula berasa tidak selesa. Aku lihat wanita itu masih memandang ke arahku yang masih lengkap berpakaian baju kurung itu. Name tag ku masih terlekat di situ. Selepas solat tadi, aku lupa untuk menanggalkannya. Cepat-cepat aku menyembunyikan name tag ku, walaupun sudah agak terlambat. Nak senyum ke tidak ya? Kalau senyum, nanti dia tak membalas senyumanku, buat malu pula. Ataupun aku berlalu saja dari sini, seolah-olah tidak mengenalinya.

     Jarakku tidak berapa jauh dari wanita itu. Wanita itu pun hanya memandang ke arahku tanpa kata. Aku hanya membisu. Sudahlah, buat macam tidak kenal saja. Lagipun, wanita ini bukan suka sangat kepada aku. Aku tidak jadi memilih seluar jeans di situ. Mungkin hari yang lain aku datang lagi. Selera memilih seluar jeans kesukaanku itu mati di situ apabila terpandangkan wajah wanita itu. Kelihatan wanita itu bercakap dengan telefonnya pula. Aku mengambil kesempatan untuk beredar dari situ.

     Aku menapak keluar dari ruang pakaian itu tanpa menoleh ke belakang. Kedengaran seseorang berlari-lari dari belakang memanggil seseorang dalam termengah-mengah.

     "Mama...mama..mama.." kedengaran suara seorang lelaki memanggil ibunya. Aku tidak menghiraukannya seraya meneruskan perjalananku. Saat aku cuba melintasi pemisah antara ruang pakaian dengan ruangan kasut langkahanku bagai dihalang oleh seseorang.

     "Ida.." suara lelaki menyapa. Encik Kacak berbaju biru lengan panjang dan berseluar jeans biru berdiri di sebelahku sambil tersenyum manis. Silap betul aku menapak ke ruangan ini. Tak pasal-pasal terjumpa makhluk menjengkelkan ini. Aku memandang sekeliling. Awas, pasti ada Minah Ketak di sini. Nanti tak pasal-pasal aku dimalukan lagi dalam ruangan ini.

     "Ida, baru balik kerja ke? Kebetulan pula jumpa kat sini. Ida sihat?" lelaki itu bertanya lagi seraya tersenyum. Wajahnya kelihatan sudah bermaya tidak seperti pada malam ketika aku menaiki bas di Terimal Bas Seremban dulu. Agaknya sudah pulih dari demamnya. Jarakku dengannya yang agak dekat menyebabkan terserlah ketampanan lelaki yang tak dapat disangkalkan itu. Kenapa terlebih ramah pula dia di sini? Ibunya masih ada di sinikah? Mungkin dia yang berteriak memanggil nama mamanya tadi. Kenapa pula datang menegurku pula. Aku mengangguk seraya mengiyakan dan tersenyum kecil seraya meminta diri untuk beredar.

     "Ermmm...tunggu dulu. Ida dah makan? Kat depan ada KFC kan? Jom, abang belanja. Dah lama tak borak, kebetulan jumpa kat sini. Jom..," lelaki itu masih tersenyum dan masih mengajak aku berbual-bual dengannya. Lagaknya bersungguh-sungguh seperti seseorang yang sudah lama ingin menemui seseorang. Memang aku pernah berborak ke dengannya sebelum ini? Rasa menyampah aku padanya masih menebal. Aku menoleh ke belakang. Wanita sombong itu masih berdiri sambil mengacukan baju-baju yang ada di situ. Tak mungkinlah aku menuruti kehendak lelaki ini. Dengan perempuan di belakang itu lagi. Apa alasan terbaik untuk aku berlalu dari sini.

     "Sebenarnya dah lewat ni. Saya nak baliklah. Kebetulan saja singgah sini tadi. Saya dah kenyang," balasku menolak ajakannya. Aku lihat ada garis kekecewaan di wajahnya. Wajahnya yang beria-ria tadi sedikit berubah. Namun kelihatan memaksa bibirnya untuk tersenyum sambil memandang di sekeliling seraya mengusap rambutnya yang terjuntai di dahi.

    "Oh, yeke. Ida nak balik rumah dah. Abang duduk 4 hari kat sini. Nanti, kalau free kita boleh keluar lagi.. borak-borak..." ujarnya lagi apabila aku bertegas untuk pulang. Nasib baik Kak Erra tidak kelihatan di situ. Kalu tidak langkahku pasti ditegah olehnya. Aku menapak keluar tanpa menoleh.

     "Ida.. take care. Jumpa lagi nanti," kedengaran suara lelaki itu lagi. Aku mengangguk tanpa menoleh. Sungguh aku malas memandang wajah itu. Dia lagi, dia lagi. Baru saja nak melupakan peristiwa di Berhulu Camp dulu, bersilih ganti pula wajah-wajah ini muncul. Tapi, Datin Anita tadi tidak pula berteriak ke arahku. Agaknya, duit yang diinginkan olehnya telah berjaya aku lunaskan menyebabkan wanita itu hanya berdiam diri sahaja.

    Di dalam kereta aku mengucap panjang. Apalah nasibku, sudah sampai ke Pasir Gudang pun masih perlu mengadap wajah-wajah ini. Sungguh menyebalkan. Dah tak ada tempat lainkah untuk mereka bercuti selain ke sini? Pergilah tempat-tempat lain asalkan jangan ke tempat aku mencari rezeki ini.

     Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Isyak, almari ku kuak untuk mencari baju yang akan kupakai keesokan harinya. Jaket Adidas milik Encik Kacak tergantung di situ. Mungkin ini masanya untuk aku pulangkan kembali jaket miliknya. Tapi, bagaimana? Malasnya untuk memandang wajah itu lagi.Tapi, takkanlah aku selamanya mahu menyimpan jaket milik orang. Lagipun, ada kotak cincin dan sampul surat kecil milik Encik Kacak di situ. Mungkin itu adalah barang berharga miliknya. Aku memasukkan kembali kedua-dua barang tersebut ke dalam poket jaket tersebut dan melipatnya serta memasukkannya ke dalam plastik. Mungkin aku perlu juga untuk memulangkannya nanti.

     Aku merebahkan badan ke atas tilam. Ke mana Lang Merah malam ni ya? Tiada pula mesej yang masuk dari Lang Merah. Bukankah aku sudah rasmi berpacaran dengannya malam tadi?..Hehehehe.. Aku pula yang terlebih rindu ni. Ini bahaya. Aku menghantar pesanan kepada lelaki itu.

     'Salam, buat apa tu? J. Orang tak ingat kat kita,' aku memulakan mesej pertama malam itu. Lama juga aku menunggu. 5 minit kemudiannya, mesejku baru berbalas.

     'Wassalam. Sorry, lambat reply. Abang order makanan tadi. Tak perasan Ida text. Ingat, abang selalu ingat kat Ida. Ida saja yang tak rindu kat abang,' ujar lelaki itu lagi. Aku tersenyum membacakan mesej darinya. Yeke rindu.. Asyik aku saja yang memulakan perbualan setiap malam.

     'Yalah tu. Makan tak ajak. Abang order makan apa? Mesti makan kat luar ni kan? Sebab ada order-order ni kan,' sambungku lagi.

     'Ida sombong. Tak nak keluar makan dengan orang muka buruk macam abangkan. Abang makan kat KFC saja ni,' ujarnya lagi. Muka buruk dia? Muka buruk aku, dia belum tengok lagi. Lucu juga lelaki ni.

     'Sedapnya. Ida belum makan lagi juga. Tadi, balik sekolah ingat singgah nak beli makanan. Tapi, jadi tak selera pula. Sudahnya balik rumah kelaparan. Makan roti je lah malam ni,' balasku lagi. Ya, makin hari makin aku mudah untuk meluahkan rasa yang terbuku dalam hatiku pada Lang Merah. Entahlah, aku rasa dia lelaki yang cool dan boleh menjadi pendengar setiaku.

     'Belum makan? Ida, kenapa tak selera? Demamke? Tak sihat?' tanya lelaki itu lagi.

     'Ermm.. sebenarnya, tadi Ida jumpa seseorang dekat tempat beli belah tu. Orang tu dah spoilkan mood makan Ida. Sedapnya abang makan KFC. Ida pun nak singgah KFC juga tadi, tapi orang tu pula nak ke sana juga,' balasku jujur menceritakan tentang Encik Kacak tadi kepada Lang Merah. Pasti Lang Merah akan tertanya-tanya siapakah orang yang aku maksudkan.

     Mesejku lama tidak berjawab. Mungkin dia sedang menjamu selera. Biarkanlah. Terbayang di ruang mataku nasi ayam goreng KFC. Sedapnya.

     'Ida.. Siapa orang tu? Apa orang tu dah buat? Kenapa Ida sampai rasa macamtu..' setelah 15 minit berlalu, mesej dari Lang Merah ku terima. Aku menaip sesuatu untuk menjawab pertanyaannya. Kedengaran suara Mimi riuh dari bawah memanggil aku untuk turun. Katanya ada KFC delivery. Aik? Bila masa aku pesan ni? Tadi pun, aku sudah menolak ajakan Encik Kacak untuk makan di situ. Aku menyambut huluran makanan KFC yang berbungkus itu seraya menyuruh lelaki penghantar makanan itu menunggu seketika untuk aku membuat pembayaran.

      "Kak, dah ada yang bayar tadi. Saya gerak dulu ya," ujar pemuda itu berlalu untuk menghantar pesanan makanan yang lain pula. Aku membukanya, menu di dalamnya Zinger Burger dan Nasi Ayam. Macam tahu-tahu aja kegemaranku. Aku mula merasa hairan. Already paid? Takkan Encik Kacak. Bagaimana pula dia tahu akan alamat rumah sewaku. Tak logik. Lang Merah? Macam mana Lang Merah tahu akan alamatku.

     'Abang, ada pesanan KFC sampai kat rumah. Pelik ni,' aku menghantar pesanan kepadanya.

     'Hehe..makanlah. Abang suruh Cik Uprah orderkan. Dia tahu alamat rumah Ida. Dia pernah hantar Ida balik rumah dulukan? Kebetulan abang tanya dia tadi, dia pun ada kat KFC Pasir Gudang tu, dia orderkan tapi minta tolong pekerja hantar sebab dia bergegas nak balik rumah,' balas lelaki itu. Waaaaa...yeke.. Sweet sangat Lang Merah ni.

     'Oh ya ke? Kebetulan Cik Uprah pun ada kat sana lah tadi. Thanks abang. Terharu pula rasa atas keprihatinan ini.. J' balasku lagi sambil mengunyah ayam goreng KFC yang tersedia di dalam bungkusan yang ku terima tadi. Hatiku makin terusik dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh lelaki ini. Tak dapat beli KFC di kompleks pusat bandar tadi terubat dengan penghantaran ayam goreng rangup ini hasil pesanan dari Lang Merah.

     'Sama-sama.. J. Abang tak sampai hati tengok Ida kelaparan macamtu. Ida, ceritalah kat abang tentang orang tadi. Apa yang dah berlaku antara Ida dengan dia?' Lang Merah pula bertanya. Bagaimana aku mahu memulakan cerita pada Lang Merah ya? Tentang lelaki yang menjengkelkan itu.

     'Tak tahu nak mula dari mana. Tapi, orang tu, Ida bukan kenal sangat pun dia. Entahlah kenapa, nasib Ida jadi malang betul bila orang tu ada. Macam-macam masalah timbul,' aku menjawab soalan Lang Merah kemudiannya. Jujur, aku tidak tahu mahu mula dari mana cerita tentang Encik Kacak.

     'Hmm..jadi nasib malang? Macam mengerikan ja bunyinya. Tell me.. Abang nak dengar,' ujar lelaki itu lagi. Waaa... coolnya lelaki ini. Cerita remeh dan bodoh tentang aku ini pun dia sudi nak dengar. Apa salahnya. Dia kan kekasih maya aku. Hahahaha...

     'Macam ni, sebelum ni, Ida terpaksa menghadiri sebuah kursus di Negeri Sembilan. Di situlah Ida kenal dengan orang tu. Mula-mula dia macam baik ja. Selalu juga bantu Ida dan kawan-kawan lain. Tapi, satu hari ada seorang perempuan marah-marah pada Ida. Alasannya, dia tak bagi Ida dekat-dekat dengan orang tu. Orang tu lelaki bang. Perempuan tu cakap, lelaki tu bakal tunang dia. Tapi, masalahnya lelaki tu macam... selalu juga tak menghiraukan perempuan tu. Tak tahu nak explain macam mana la..' aku membalas panjang. Sampai dua tiga mesej ku karang. Nasib kau lah Lang Merah. Tadi, dia yang teringin sangat nak jadi pendengarkan.

     Tidak sampai seminit, mesejku terus berbalas. Laju juga dia membacakan tulisan aku.

     'Lelaki tu buat apa? Kenapa perempuan tu marah Ida pulak? Cuba ceritakan satu-satu.. Abang tak faham..' Lang Merah masih mengorek cerita. Sebenarnya, aku pun tak faham kenapa Minah Ketak memberi amaran sebegitu.

     'Entahlah bang. Padahal, lelaki tu tak ada apa-apa pun hubungannya dengan Ida. Cuma, lelaki tu sering juga bantu Ida. Mungkin juga sebab lelaki tu fasilitator kumpulan Ida, jadi mungkin dia kasihan dan cuba menolong. Tapi, dia pun satu hal juga. Masa perempuan tu ajak dia makan sekali dengan dia, dia tolak malah dia pula ajak Ida makan bersamanya di depan kekasih dia tu. Mestilah kekasih dia tu mengamukkan... Sejak hari tulah, perempuan tu jadi benci sangat pada Ida. Ida pun jadi tak tenang berkursus kat situ. Bayangkanlah terpaksa berdepan dengan seseorang yang membenci kita,' ujarku lagi meluahkan apa yang terbuku di dalam hatiku.

     'Oh, macam tu ke. Ida pasti ke lelaki tu ada hubungan dengan perempuan tu?' tanya Lang Merah pulak. Hmm...mana lah aku tahu. Tapi, mungkinlah mereka ada hubungan istimewa. Kalau tidak, takkanlah Minah Ketak berapi memarahi aku.

     'Hmm... adalah kot. Pernah terdengar mereka berbincang tentang hari pertunangan mereka. Kebetulan masa tu, kami makan sama-sama dalam satu meja kat restoran. Rasanya memang betullah ada hubungan. Cuma lelaki tu macam sengaja berkelakuan macam tu kot. Sebelum pulang kursus tu,kita ada buat persembahan. Macam lakonkan balik watak dalam drama. Konon nak real dia pakaikan kalung pada Ida. Bila perempuan tu tahu, marahlah dia. Rasa macam stress sangat masa itu. Memang geram dan benci betul dengan lelaki tu. Ida tak tahu apa-apa, Ida pula yang menjadi mangsa,' balasku lagi. Pasti Lang Merah berpihak pada aku kan. Memang jelas sekali lelaki itu telah menyusahkan hidupku.

     'Tak boleh juga macam tu Ida. Benda yang terdengar ni belum pasti kalau tak bertanya langsung padanya. Mungkin salah faham abang rasa,' Aik? Lang Merah ni kelihatannya lebih berpihak kepada Encik Kacak pula.

     'Alah, abang ni. Macam mana nak cakap ya, tapi memang dia orang ada hubungan dan dah bertunang dah pun,' ujarku lagi mempertahankan kebenaran di pihakku.

     'Dah bertunang? Tadi cakap terdengar dia orang berbincang. Abang tak faham..' tanya Lang Merah lagi. Aduhai.. susah juga nak terangkan dekat lelaki ini.

     'Rasanya dia bertunang semalam kot. Lepastu, hari ni, tadi perempuan tu datang sekolah Ida. Rupanya dia tu kakak kepada student Ida. Tadi pula terserempak dengan lelaki tu pula. Mungkin mereka berdua datang ke sinilah kot,' aku cuba menjelaskan keadaan sebenar kepada Lang Merah.

     'Hmm... salah faham kot tu. Abang tak rasa mereka tu ada hubunganlah. Takyahlah stress okay. Tak baik benci orang tau,' lelaki tu masih memihak kepada Encik Kacak. Geram pula aku rasakan. Apakah kerana dia adalah seorang lelaki mesti berpihak kepada lelaki.

     'Terpulanglah kat abang. Kalau ceritakan pun, abang bukan nak percaya. Ida tak boleh tengok lelaki tu. Menyampah. Benci tengok dia. Kalau dia senyum lagi tambah benci. Mak dia tu lah yang minta RM1800 dengan Ida dulu. Sebab tu Ida terpaksa pinjam duit abang dulu,' ujarku lagi meraih kepercayaannya supaya berpihak di sebelahku.

     'Okay, tak baik benci orang macamtu. Cuba bersemuka, then tanya betul-betul dia. Kadang-kadang benda yang kita rasa, tak sama dengan apa yang berlaku. Bukan abang tak percaya kat Ida, tapi abang tak suka berniat buruk pada orang lain. Kan lebih baik kalau kita bersangka baik dan tak stress benci orang. Ya tak?' Lang Merah kelihatannya terlalu positif pula.

     'Hehe.. bersemuka? Tak payahlah. Tak jumpa dah lelaki tu lepas ni. Tak nak dah ada kaitan dengan mana-mana ahli keluarga dia,' balasku lagi. Tetap teguh dengan pendirianku.

     'Orang kata, benci sangat boleh berubah jadi sayang sangat tau. Hehe... Lepastu, baru nak minta maaf balik dengan dia nanti. Ya tak?' lelaki itu mengusikku lagi. Apa hal pula? Dia tak sensitifke... Bukan ke aku dan dia sudah rasmi berkasihan malam tadi. Macam tiada perasaan pula mamat ni. Tak jadi ujian cinta aku pada dia ni. Nampaknya aku pula yang terlebih sensitif ni.

     'Laaa... kenapa nak sayang dia pulak? Abang tak ada sensitivity langsung. Ingatkan abang serius malam tadi. Rupanya, abang main-main ja. Tak apalah, lupa pulak. Bukan kita kenal pun kan, Ida pula yang buat lawak nak serius-serius...huhu' ujarku. Hatiku mula merasa tawar. Bukan main aku ingat dia serius. Yalah, walaupun aku tahu mungkin lamaran dia malam tadi hanya sebagai pasangan kekasih di dalam alam maya ini. Tapi, sekurang-kurangnya tak perlulah dia nak pasang-pasangkan aku dengan lelaki lain pula. Aku kan dah rasmi menjadi kekasihnya malam tadi. Patutlah, asyik aku saja yang perlu memulakan perbualan. Bodoh juga aku ni. Nak uji orang lain, akhirnya diri aku pula teruji.

     'Tak..bukan macamtu. Abang serius malam tadi. Memang abang bermaksud nak serius dengan Ida. Cuma, bila Ida ceritakan macamtu, abang bagi pendapat abang. Tak mahu Ida terus-menerus benci orang. Tu ja. Jangan salah faham dengan abang pula.. L' lelaki itu membalas lagi. Kali ini disertai denagn ikon sedih. Aku hanya membiarkan pesanan ringkas lelaki itu tanpa balasan. Entahlah,kenapa hatiku jadi sakit dan geram dengan pendapatnya. Benci boleh jadi sayang? Apa maknanya? Jadi, hubungan aku dengan dia? Aku mendengus geram sambil menarik selimut.

     Deringan telefon menandakan pesanan masuk lagi. Lang Merah lagi!

     'Ida, kenapa tak balas mesej abang? Sorry..okay. Abang minta maaf. Abang tak nak Ida salah faham dengan abang... please... Jangan diam macam ni.. Abang serius malam tadi.. Sekarang pun.. ' aku membaca bait-bait ayat yang ditulis oleh lelaki itu. Seakan dia sedang memujukku. Eleh.. serius ke nak pujuk aku. Entah-entah, dia bersama-sama kawan-kawannya duduk bercerita tentang perempuan bodoh macam aku. Aku masih berdiam diri. Tak payahlah balas mesej lelaki ini lagi.

     'Ya Allah... Ida.. Abang minta maaf okay. Abang mengaku abang salah. Ida boleh maafkan abangkan.. Say something please..' aku tersenyum membacakan mesej yang baru masuk itu. Macam seronok pula memainkan perasaan lelaki ini. Benarkah dia serius memujuk aku? Hehe.. Kalau biarkan mungkin lebih seronok.

     Telefonku kemudian berdering menandakan ada panggilan masuk. Dia call! Aduhai..nak jawab ke tidak ya? Kalau jawab, boleh dengar cara dia memujuk. Sweet tak agaknya ya? Tapi, aku nak cakap apa? Ataupun, aku angkat kemudian, diam... Dengarja suara dia...

     "Hello.. Ida. Maafkan abang okay. Jangan diam macam ni. Abang serius nak kenal rapat dengan Ida. Okay, lepas ni abang tak nak cakap lagi pasal lelaki tu. Since Ida benci dia, abang pun akan benci dia jugak. Okay kan?" aku tidak dapat menahan gelak tawaku dengan cara pujukan lelaki itu.

     "Kenapa gelak? Abang serius ni...." lelaki itu bersuara lagi.

     "Lucu... Hehe.. Okay, set. Abang dah jadi geng dengan Ida," balasku akhirnya. Kelihatan terdengar suara ketawa kecil dari hujung sana. Lang Merah mungkin tertawa dengan kata-kataku yang agak kebudak-budakan itu.

     "Yalah.. Nanti merajuk, susah nak pujuk. Hehe.. Risau dah tadi. Kalau diam terus macam tu, boleh tak keruan abang dibuatnya,"ujar lelaki itu lagi.

     "Hehe.. tulah.. Tahu risaukan. Okaylah bang. Mengantuk dah ni. Jumpa lagi ya. Assalamualaikum," balasku seraya menamatkan perbualan.

     "Waalaikumussalam. Insya Allah kita jumpa lagi," lelaki itu bersuara kemudiaannya. Perbualan dimatikan. Aku terus tertidur.


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz