Bab 10

“Perlahanlah sikit jalannya Hainy. Kamu nak bawak Kak pergi mana ni?” soal Nur Farissha tidak putus-putus sedari tadi.

“Alaaa Kak ni banyak banyak tanyalah. Ikut jelah Hainy.” Mereka berjalan merentasi padang lapang yang menuju ke pantai. Padang lapang itu memang sentiasa digunakan oleh penduduk kampung untuk beriadah. Tambahan pula, padang itu terletak betul-betul berhadapan dengan pantai menjadikan itu kawasan yang strategik.

Anak-anak muda di kampung itu sangat gemar bermain bola sepak setiap petang tanpa memakai baju. Pemandangan itu sudah sering dilihat setiap petang.

Dari kejauhan Nur Farissha melihat Ida Farhana melambai-lambaikan tangannya. Dia yang sedang bermain di gigi air mendapatkan Nur Farissha.

“Dah sampai pun. Kenapa lambat sangat?” tanya Ida Farhana sambil memegang pinggangnya kerana mengah berlari-lari anak. Perutnya diusap-usap perlahan.

Nur Farissha hanya sekadar menguap. “Aku tertidur tadi.” Jawab Nur Farissha.“Adik kau ni datang rumah aku memekak tau tak! Nasiblah keluarga aku keluar hari ni. Kalau tak mahu dia kena maki dengan Mak Ani.” Tambahnya membuatkan Ida Muhainy tersenyum nakal. Kebiasaannya memang hampir setiap hari Mak Ani akan tidur petang setelah menyiapkan nasi jualan.

“Habis tu kenapa kau tak ikut?” tanya Ida Farhana sambil mengedipkan matanya.

“Mereka pergi rumah sepupu Mak Ani. Kau rasa mereka nak ajak aku ke? Dah kau rasa aku nak ikut ke?” soal Nur Farissha bertubi-tubi memandang sahabatnya. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket baju sejuknya. Sejuk! Anak rambutnya yang ditiup angin dibetulkan.

“Angah... Angah kan tengah pregnant. Cubalah behave sikit perangai. Tak kesian ke dekat anak saudara Hainy dalam tu?” Ida Muhainy mula membebel sambil memuncungkan bibirnya. Akan tetapi, melihatkan suaminya sedang menghampiri mereka segera muka dimaniskan. Maklumlah pengantin baru. Jarang boleh berenggang.

“Kau pulak ikut aku.” Ida Farhana menarik tangan Nur Farissha membuatkan dia sedikit bengang. Mereka ingat aku ni bola ke main pass... pass

Mak Nah sedang menghidangkan minum petang di atas tikar mengkuang sewaktu Nur Farissha dan Ida Farhana berjalan mendekatinya.

“Kamu dah sampai Farissha.” Mak Nah menegur. Ligat tangannya menyusun kuih muih di dalam pinggan kertas untuk dihidangkan. Lebih senang menghidangkannya di atas pinggan itu kerana boleh terus membuangnya.

Puan Sri Hidayah terlebih dahulu berpaling ke belakang yang kemudiannya diikuti oleh Tan Sri Tengku Mustaphar dan Pak Ramli. Tengku Mikhail, Syed Daniel dan Syed Hakimi yang sedang bermandi-manda ketika itu menarik perhatian anak dara di kampung itu. Masing-masing memandang mereka tanpa berkelip. Badan mereka yang sasa itu menambahkan tarikan yang sedia ada pada mereka.

“Aku takut nanti masa kau balik KL tu... terbawa menantu sekali.” Usik Pak Ramli kepada Puan Sri Hidayah yang dijawab gelak besar daripada Tan Sri Tengku Mustaphar. Hilang sudah bahasa hormat sebagai majikan kepada kawannya itu setelah didesak oleh Puan Sri Hidayah berkali-kali.

Puan Sri Hidayah hanya menjeling kepada Pak Ramli sambil mempersilakan Nur Farissha duduk disebelahnya. Nur Farissha cuba mengelak tetapi Puan Sri Hidayah tetap berkeras membuatkan dia mengalah jua. Manakala Ida Farhana mengambil tempat duduk di sebelah ayahnya dengan perlahan mengusap perutnya. Tidak sabar rasanya untuk melihat bakal pengerat kasih bersama suaminya.

Tan Sri Tengku Mustaphar menjadi rambang mata melihat kuih muih yang terhidang. “Banyaknya Nah kuih. Ni macam nak bagi satu kampung makan.” Ujarnya sambil mencapai kuih lapis di hadapannya.

Mak Nah hanya tersenyum.

“Kelmarin dah jamu satu kampung.” Gurau Pak Ramli membuatkan Tan Sri Tengku Mustaphar tergelak kecil. Dia rindukan suasana seperti itu di mana dia merasa bebas seketikan dengan segala beban kerja di pejabat. Tidak perlu memikirkan mesyuarat yang dipengerusikan... tidak perlu menghadap kertas kerja bertimbun yang memerlukan persetujuannya. Ada kalanya dia terfikir untuk bersara dan berhijrah ke luar bandar tetapi hatinya masih belum kuat untuk memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Tengku Mikhail walaupun keuntungan syarikat meningkat 3 kali ganda sejak anaknya itu mengambil alih. Baginya, masih banyak perkara yang anaknya itu perlu belajar supaya tidak tersilap langkah seperti dirinya di masa lalu. Jauh dia mengelamun sambil menghirup air kopi panas yang dihulurkan oleh isterinya.

“Hulurkan aku kuih lapis tu Farissha. Tak laratlah nak gerak.” Pinta IdaFarhana.

Nur Farissha dengan senang hati menghulurkannya. Hilang sedikit janggalnyadaripada Puan Sri Hidayah yang asyik memandangnya tanpa berkelip sedari tadi,

“Farissha umur berapa?” Sengaja Puan Sri Hidayah bertanya walhal dia sudah tahu akan umur anak sahabatnya itu.

“28 tahun Puan Sri.” Dengan hormat Nur Farissha membalasnya sambil mengigit sedikit kuih lapis yang dicapainya.

Puan Sri Hidayah tersenyum manis. “Tak payahlah Puan Sri bagai. Panggil auntie e. Nak lagi sedap... boleh panggil mama.” Perlahan dia mencucuk jarum.

Tersedak Nur Farissha yang sedang menghirup teh o panas mendengarnya.

Cepat-cepat Puan Sri Hidayah menghulurkan tisu. Senyuman tidak lekang dibibirnya itu.

“Kau kenapa Farissha?” Ida Farhana memandang. Begitu juga Mak Nah, Pak Ramli dan Tan Sri Tengku Mustaphar.

“Tak ada. Aku lupa nak tiup dulu air ni.” Nur Farissha berdalih sambil mengipas-ngipas lidahnya menggunakan tangan. Matanya sedikit berair. Dia melemparkan senyuman yang dibuat-buat sambil memandang ke arah lain.

Terlihat Tengku Mikhail, Syed Daniel dan Syed Hakimi datang menyertai mereka setelah puas bermandi-manda. Syed Hakimi yang perasan akan kehadiran Nur Farissha di situ berubah malu-malu kucing. Tetapi entah kenapa Nur Farissha meluat melihatnya. Dia cuba berlagak bersahaja. Nur Farissha bukan meluat apa, nampak sangat yang malu Syed Hakimi itu dibuat-buat.

Mereka bertiga menyarungkan baju t-shirt setelah mengeringkan air di badan.

Sempat Nur Farissha mengerling ke arah parut di belakang bahu kiri Syed Daniel sewaktu lelaki itu menyarungkan t-shirt hitam di badannya. Parut itu agak pudar jadi harus diteliti dengan betul. Dia tertawa kecil di dalam hati. Satu lagi perbezaan yang dijumpai untuk membezakan mereka berdua selain dari gaya rambut dan pemilihan warna baju. Jika tidak, sumpah dia sendiri tidak dapat membezakan kembar itu.

Tengku Mikhail yang selesai menyarungkan baju berjalan ke sebelah papanya dan tanpa disedari kakinya tersadung pada hujung tikar mengkuang yang dibentangkan menyebabkan dia tidak dapat mengimbangi badannya lalu terjatuh diatas Nur Farissha. Hampir sahaja bibir mereka bersentuhan dan mata mereka berdua bertemu.

Mereka yang berada di situ hanya mampu memandang adegan itu kerana ianya berlaku dengan sangat pantas. Terutama Ida Farhana. Dengan penuh perasaan secara slow motion mulutnya ternganga melihat drama sebabak itu.

Tengku Mikhail khayal seketikan dalam pandangan mata Nur Farissha. Seakan-akan Nur Farissha membawanya pergi jauh ke sebuah tempat yang indah. Betapa cantiknya sepasang mata coklat yang sedang merenung ke dalam anak matanya itu. Selang beberapa ketika Tengku Mikhail bangun setelah mendengar batuk kecil daripada mamanya dan meminta maaf di atas kelakuannya. Dia betul-betul tidak sengaja. Macam mana dia boleh tidak perasan hujung tikar itu terangkat sedikit? Dia memarahi dirinya.

Muka Nur Farissha menjadi kemerahan. Dia menyapu pasir di badannya sambil mengangguk sedikit kepalanya. Tidak berani dia ingin bertentang mata denganTengku Mikhail kerana jantungnya mula berdegup dengan laju.

Syed Hakimi diam seribu bahasa. Sedikit demi sedikit perasaan cemburu mula bertapak di dalam hatinya. Tetapi cepat-cepat diusir untuk menjaga hubungan persahabatan mereka berdua. Kuih lapis yang berada di tangannya dikunyah tetapi entah kenapa rasanya sangat kelat. Tidak cukup gula mungkin? Telah hatinya.

Tan Sri Tengku Mustaphar menepuk-nepuk bahu anaknya.

Tengku Mikhail hanya tersenyum tawar sambil meminta maaf untuk kesekian kalinya kepada Nur Farissha.

Nur Farissha juga melemparkan senyuman tawar. Hatinya geram apabila melihat Ida Farhana menekup mulutnya dengan mata membulat seolah-olah masih terkeju dengan perkara yang berlaku. Drama lebih minah ni. Ni mesti tengok drama Korea banyak sangat!

Selebihnya mereka berbual-bual kosong sambil memerhatikan matahari terbenam. Tengku Mikhail sempat mencuri pandang ke arah Nur Farissha. Cahaya matahari yang terbenam menyapa pada wajah itu membuatkan jantung Tengku Mikhail mula berdetap laju kembali. Cantik sungguh ciptaan Allah S.W.T yang satu ini. Terpesona matanya melihat. Dia mengambil peluang ini untuk menghayatinya bersama matahari senja yang sedang melabuhkan tirainya...

 

 

 

Usai menunaikan solat isyak berjemaah dan makan malam bersama, Nur Farissha meminta diri untuk pulang ke rumahnya kerana hari sudah lewat. Ida Farhana pula, maghrib tadi suaminya sudah menjemput. Dia yang ingin pulang bersama ditegah oleh Puan Sri Hidayah. Manakal suami Ida Muhainy pula terpaksa masuk kerja syif malam hari ini bagi menggantikan rakan sekerjanya yang mengalami kemalangan pagitadi.

Jam menunjukkan hampir pukul 10.00 malam. Nur Farissha berdoa yang keluarganya masih belum pulang. Mahu cair telinganya nanti mendengar bebelan dan fitnah yang bakal dilontarkan oleh Mak Ani terhadap dirinya.

Tengku Mikhail dan Syed Hakimi masuk ke dalam bilik untuk mengambil bagasi. Manakala Syed Daniel meminta diri ke bilik air.

Tan Sri Tengku Mustaphar dan Pak Ramli sedang asyik berbual tentang isu semasa dari kenaikan harga barang sehinggalah kepada keadaan ekonomi yang sedikit merosot. Rancak perbualan mereka berdua.

“Hainy, hantarkan Kak Farissha kamu balik.” Arah Mak Ani apabila sudah tiba masanya untuk Puan Sri Hidayah sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur.

Ida Muhainy mengangguk dan menuju ke dalam biliknya untuk mengambil kunci motorsikal.

Nur Farissha mengambil kesempatan ini untuk bersalaman dengan Puan Sri Hidayah. Sayu hati Puan Sri Hidayah untuk meninggalkan Nur Farissha. Tubuh Nu rFarissha dipeluk erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Tanpa disedari airmata turut berlinangan sambil meleraikan pelukan itu lalu dia kembali merenung seraut wajah itu lagi. Cantik! Nur Farissha betul-betul mewarisi kecantikan ibunya sewaktu muda dulu sehinggakan Nur Najwa diangkat menjadi primadona di dalam kampung itu pada ketika itu.

“Jaga diri kamu elok-elok ye Farissha. Nanti ada masa ajak Mak Nah dengan Pak Ramli datang rumah auntie. Pintu rumah auntie sentiasa terbuka untuk kamu.” Beriya-iya Puan Sri Hidayah mengajak. Erat tangan Nur Farissha dipegang seolah-olah tidak ingin dilepaskan. Sekali lagi tubuh itu dipeluknya. Erat.

Nur Farissha mengangguk dalam dakapan Puan Sri Hidayah. “InsyaAllah auntie.Panjang umur sampailah Farissha dekat sana.” Balasnya sambil meleraikan pelukan itu. Dia melemparkan senyuman manis. Turut dirasakan kasih sayang Puan Sri Hidayah ke atas dirinya. Hujung matanya sempat melirik ke arah Syed Hakimi yang berjalan beriringan dengan Tengku Mikhail ke arah pintu bersama beg jinjit putihnya. ‘Suci’ betul mamat ni. Hatinya berkata. Tidak lama kemudian diikuti oleh Syed Daniel bersama beg jinjit hitam kepunyaannya. Nur Farissha tertawa kecil. Lucu pula dia melihatnya.

Manakan tidak, Syed Hakimi memakai baju t-shirt, sweat pants dan baju sejuk berwarna putih. Manakala Syed Daniel memakai baju-shirt, sweatpants dan baju sejuk hitam. Dah macam bendera Pahang pula. Hitam putih tak akan padam!

“Barang semua dah ambil?” soal Tan Sri Tengku Mustaphar.

Tengku Mikhail dan Syed Hakimi mengangguk serentak sambil Syed Daniel memanaskan enjin kereta. Tengku Mikail dan Syed Hakimi memasukkan beg jinjit dan bagasi ke dalam bonet kereta.

Puan Sri Hidayah dan Mak Nah saling berbalas pelukan. Terasa sebak apabila melihatnya. Setelah sekian lama tidak bersua atas beberapa keadaan yang mendesak... terasa sayu seketika suasana di perkarangan rumah itu.

“Nanti panjang umur kita jumpa lagi. Kau pun tahu Ramli tak sihat mana. Nak memandu jauh-jauh ni aku risau.” Mak Nah meluahkan rasa hatinya setelah berkali-kali sahabatnya itu mempelawa dia dan keluarganya ke Kuala Lumpur.

Puan Sri Hidayah mengangguk tanda memahami. “Nanti bila aku dengan Phar ada masa, sampailah lagi ke sini. Kan Abang?” Sayu dia memandang ke arah suaminya. Hatinya sangat sedih untuk berpisah.

Tan Sri Tengku Mustaphar melemparkan senyuman. “InsyaAllah. Panjang umur kita berkumpul lagi. Kita ni bukannya makin muda. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Tak gitu Ramli.”

“Betul sangat tu. Dah tua-tua ni cepat sangat kena penyakit. Tenaga pun tak sekuat dulu.” Pak Ramli menepuk-nepuk bahu Tan Sri Tengku Mustaphar.

Kak... jom. Nanti kalau malam sangat Hainy tak berani nak lalu ikut jalan kampung.” Dia yang baru selesai menyarung tudung muncul di muka pintu berjalan terus ke garaj untuk mengeluarkan motorsikal.

Nur Farissha menyarung selipar dan mengucapkan selimat tinggal kepada semua dan mula membuka langkah menuju ke arah pintu garaj tetapi Syed Hakimi menahannya di pertengahan jalan. Nur Farissha memandang hairan. Dah kenapa mamat ni?

Syed Hakimi merenung ke dalam anak mata Nur Farissah sebelum bersuara seolah-olah sedang mengumpulkan semangat untuk berkata-kata. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang dilakukan. Tapi... orang selalu cakap, yang penting keyakinan kena tinggi. Perlahan dia menghembuskan nafas, “Farissha, saya Syed Hakimi dengan ini melamar awak untuk menjadi kekasih hati saya.” Sekali lafaz dia berkata dengan keyakinan di hati. Walaupun baru beberapa hari dia berada disitu, hatinya sudah terpikat dengan wanita itu.

Tersembur air mineral yang sedang diteguk oleh Syed Daniel. Bulat matanya memandang abang kembarnya itu. Tiada angin tiada ribut... ni mesti pengaruh drama televisyen ni. Kutuknya di dalam hati. Terpampan dia di situ.

Tengku Mikhail hanya mampu terpaku di sebelah Syed Daniel dengan mata yang membulat. Dia tidak menjangkakan itu. Tindakan Syed Hakimi itu benar-benar diluar jangkaannya.

Dipendekkan cerita, semua yang berada di situ turut tergamam mendengar pengakuan daripada mulut Syed Hakimi. Semua mata kini tertumpu kepada mereka berdua... tetapi mata mereka lebih menyoroti kepada Nur Farissha untuk mendengar jawapan darinya.

Langsung tidak berkutik Nur Farissha di situ. Dia hanya mampu memandang kearah Syed Hakimi dengan mata terkebil-kebil dan tanpa teragak-agak dia menarik nafas sedalam yang boleh lalu dihembuskan jua dengan sekali nafas. “Syed Hakimi, saya Nur Farissha dengan ini menolak lamaran untuk menjadi kekasih hati awak.” Sempat dia melemparkan senyuman manis sambil bercekak pinggang untuk menanti maklum balas dari Syed Hakimi.

Di saat itu suasana bertukar menjadi sangat sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyian cengkerik di malam hari. Krik... krik... krik.. krik.. dan kekrikkan itu terus bersambung diikuti dengan bunyi gelak tawa dari Syed Daniel.

Itu juga plot twist untuk mereka yang berada di situ. Agaknya jika Ida Farhana turut berada di situ mahu mulutnya ternganga versi super slow motion. Tengku Mikhail sekadar berdehem kecil sampai memalingkan wajahnya ke arah lain kerana dia juga sedang menahan gelak. Nak gelakkan tidak sampai hati pula.

Tetapi yang paling ketara menerima plot twist itu ialah Syed Hakimi. Diamengedipkan matanya berkali-kali untuk memastikan apa yang dia dengar sebentar tadi. Nur Farissha menolak cintanya... wanita di hadapannya ini ialah orang pertama yang menolaknya. Dia? Salah seorang daripada pewaris syarikat gergasi di Malaysia ditolak? Ditolak! Otaknya seakan-akan terhenti berfungsi untuk menafikan apa yang didengar sebentar tadi masih tidak dapat dihadam oleh ayat yang diucapkan oleh Nur Farissha.

Nur Farissha hanya membuat muka tidak bersalah di situ. Otaknya ligat berfikir. Si Hainy tu pergi ambil motorsikal atau pergi tukar sport rim baru?

“Kejap, saya tak salah dengar kan? A... a... wak tolak?Jadi saya kena re... reject lah kan?” Tergagap-gagap Syed Hakimi menutur. Telinganya bertukar kemerahan menahan malu di dalam diri.

Kesian. Baru kena reject dah biul mamat ni. Nur Farissha bersimpati. “Ye.” Selamber badak berendam di tengah lumpur diamenjawab. Dia terus meninggalkan Syed Hakimi yang masih terpinga-pinga apabila ternampak motorsikal keluar daripada garaj. Tangannya dilambai mengucapkan selamat tinggal sebelum motorsikal yang dibawa oleh Ida Muhainy ditelan dalam kegelapan malam.

Syed Hakimi masih membatu di situ. Dia sendiri tidak tahu kenapa lidahnya terus kelu. Semangatnya seolah-olah dibawa terbang begitu sahaja.

Tan Sri Tengku Mustaphar berjalan menghampiri Syed Hakimi lalu mengusap-usap lembut bahu itu untuk menenangkannya. Setelah itu barulah mereka yang lain menghampirinya kecuali Tengku Mikhail dan Syed Daniel yang masih setia tergelak di situ tanpa henti.

Mata Syed Hakimi tertumpu kepada adik kembarnya. Dia berjalan laju menuju ke arah Syed Daniel yang masih lagi tergelak seperti dirasuk. Dia memandang adik kembarnya... Lama! Menyebabkan Syed Daniel berasa serba salah. “Err... err... kita kan kembar, kau tak ambil hatikan?” Terasa janggal dia di situ. Tambahan pula, Syed Hakimi masih tidak mengedipkan matanya langsung. Maka bermulalah sesi gara menggaru di kepalanya. Habis satu kepala dia menggaru. Mamat ni touching ke dengan aku? Aku gurau je. Huhuhu... ayat itu tidak terkeluar lantaran abang kembarnya itu masih tidak berkelip berdiri di hadapannya. Sejurus itu Syed Hakimi memandang ke arah Tengku Mikhail...

“Kau drive malam ni.” Selepas itu hanya kedengaran pintu kereta ditutup. Syed Hakimi juga menyelimutkan mukanya menggunakan baju sejuk yang diikat di pinggang.

MALU!!!

Itulah kau Kimi... yakin sangat!!!

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh