Bab 4
Hari isnin adalah satu hari yang malas dalam semua hari dalam seminggu. Bak kata orang Monday Blues gitu. Nur Farissha mematikan jam locengnya. Dia menggeliat malas. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 6.30 pagi. 

Hari ini Pak Mat berhajat untuk menziarah saudaranya yang sakit di hujung kampung. Jadi, kerjanya hari menjual nasi jualan sahaja. Usai mandi dah menunaikan solat subuh dua menuju ke dapur untuk menyiapkan sarapan.

 Dengkuran kuat yang jelas kedengaran dari dalam bilik emak tirinya itu tidak dihiraukan. 

Nur Farissha terpandangkan pisang di atas meja makan. “Ada pisang... aku buat cekodok pisang jelah.” Dia terus menyelongkar kabinet dapur mengambil tepung gandum. 

Sementara menunggu cekodok pisang masak di dalam kuali Nur Farissha tersengguk-sengguk di meja makan. Bunyi daripada pemanas air menyedarkan dia kembali. Air dah masak telahnya.

 Dia membancuh air kopi sambil melihat cekodok pisang di dalam kuali.

 Senyuman puas terukir di wajah Nur Farissha melihat sarapan pagi yang siap dihidangkan. “Tinggal nak basuh baju, kemas rumah dan cakar sampah dekat luar.” Dia bernyanyi kecil sambil mengambil baju di dalam bilik air. Diasingkan baju untuk dibasuh tangan dan untuk dimasukkan di dalam mesin basuh. Penyapu diambil di belakang pintu dapur. Barang yang berselerak disusun rapi. Pandai buat sepah pandailah kemas balik... rungut hatinya. Pintu bilik kakak dan adik tirinya dipandang sekilas.

 Cakar sampah yang terletak di atas atap rumah diambil.

 Dia berehat sebentar di atas pangkin kecil yang dibuat oleh ayahnya setelah halaman rumahnya bersih. Nafas ditarik menikmati udara pagi yang nyaman. 

Rambutnya yang terjuntai di dahi dibetulkan. Peluh yang menitik di lap perlahan. “Dah pukul berapa ni? Nanti Ida nak ajak aku keluar pula.” Dia bergegas masuk ke dalam rumah untuk melihat kain basuhannya.

 Sewaktu dia ingin menyidai pakaian, Mak Ani sudah pun bangun. Rambutnya yang kusut masai itu mengingatkan Nur Farissha kepada cerita Hantu Mak Limah yang ditontonnya bulan lepas. Sengihannya ditahan. Dia berjalan menuju ke dapur sebelum Mak Ani perasan yang dia sedang mengutuk dirinya walaupun dia hanya berbicara di dalam hati. Kalau ye pun ikatlah rambut tu dulu Mak Ani. Kata hatinya lagi. 

“Mak Ani... hari ni Farissha nak mintak izin keluar kejap. Ida minta tolong teman dia beli baju baby.” Berhati-hati dia menyusun ayat untuk Mak Ani yang sedang menghirup air kopi itu.

 “Pukul berapa balik?” mendatar sahaja suara Mak Ani bertanya. Cekodok pisang disuakan ke mulutnya.

 “Sebelum asar baliklah,” bersemangat Nur Farissha menjawab apabila merasakan tanda-tanda lampu hijau dari emak tirinya itu. 

Mak Ani mengangguk. Lagi cekodok pisang dikunyahnya.

 Nur Farissha mengucapkan terima kasih dan berlalu ke biliknya. Ringkas sahaja penampilannya. Seluar jeans dan baju t-shirt putih. Rambutnya yang panjang mengurai seperti biasa diikat tocang. Jam tangan yang berharga RM15 yang dibeli di pasar malam dipakai. Itu pun setelah hampir 10 minit tawar menawar. 

Nur Farissha memang cantik. Pinggangnya yang ramping. Mata coklat yang diwarisi dari ayahnya... kulit putih kemerah-merahan tanpa secalit mekap serta ditambah dengan ketinggian ala model itu cukup membuatkan adik beradik tirinya itu iri hati. Ditambah pula dia mempunyai lesung pipit di pipi kanannya. 

Beg silang pemberian Ida Farhana yang tersangkut di kepala katil diambil. Dia berjalan menuju ke pangkin kecil di luar rumah. Ingin menelefon Ida, dia pula tidak mempunyai telefon bimbit. Nur Farissha menguap beberapa kali. Ditambah dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa membuatkannya matanya semakin kuyu. “Manalah minah ni. Mahu tertidur juga aku ni.” Tersengguk-sengguk dia di atas pangkin kecil itu. 

HONNNNNNN!!! 

“Oh mak kau tercampak.” Latah Nur Farissha. Dadanya diurut sambil memusingkan kepalanya. Sungguh dia sangat terkejut. Sempat dia melirik ke arah sahabatnya yang sedang ketawa terbahak-bahak di dalam kereta itu.

 Ida Farhana menurunkan cermin tingkap lalu berteriak, “tuan puteri terkejut ke?” sisa ketawanya masih berbaki. Sengaja dikuatkan untuk menyakitkan hati Nur Farissha. Suaminya yang berada di sebelahnya hanya memandang kelakuan isterinya. 

“Kau ni nasib aku tak ada sakit jantung. Kalau tak dah lama ‘jalan’ tau tak.” Tempelak Nur Farissha. Badannya masih mengigil kerana terkejut. 

Ida Farhana sekadar menjuihkan bibirnya dengan muka tak bersalah sambil melihat Nur Farissha membuka pintu belakang untuk masuk ke dalam perut kereta.

 Perodua Myvi itu meluncur keluar dari perkarangan rumah Nur Farissha. 




 Tengku Mikhail sampai di perkarangan Megah Holding Sdn. Bhd tepat pukul 2.00 petang. Audi R8nya diletakkan di tempat letak kereta yang dikhaskan dan dengan penuh bergaya menuju ke pejabatnya yang terletak di tingkat 7.

 “Tengku, Cik Syakilla ada menunggu di dalam bilik.” Setiausahnya memberitahu sebelum ketuanya itu membuka pintu pejabatnya. 

Tengku Mikhail mengangkat keningnya sambil memandang setiausahanya itu. Tidak pernah ada perempuan datang ke pejabatnya atas amaran kerasnya. Sudah menjadi prinsipnya. Dia amat mementingkan kualiti dalam pekerjaan serta imejnya sebolehnya dijaga sewaktu berada di pejabat. Nak kena ni. Hatinya sudah panas.

 Setiausaha Tengku Mikhail yang lebih dikenali sebagai Kak Ya itu menundukkan kepalanya apabila melihat ketuanya raut wajah ketuanya itu sudah keruh semacam. Dengan perlahan dia bersuara, “maaf Tengku, saya dah cuba halang tetapi dia tetap berkeras.” Ada getaran ketakutan di dalam nada suaranya itu. 

Tengku Mikhail menghembus nafas perlahan. “Tak apa lah Kak Ya. Kak Ya boleh sambung kerja.” Dia terus membuka pintu pejabatnya. 

Syakilla yang sedang membelek majalan hiburan itu mengangkat kepalanya sambil tersenyum menggoda memandang buah hatinya. Terus majalah itu dicampak dan dengan pantas dia memeluk kekasihnya itu. 

Tengku Mikhail tidak sempat mengelak kerana tidak menjangkakan itu. Mukanya semakin keruh tanda tidak suka dengan tetamu yang tidak diundang itu. 

“Sayang! You pergi mana? Lama tau I tunggu,” ujarnya sambil mengelus lembut dagu Tengku Mikhail. Badannya sengaja digeletiskan sama persis seperti sotong kurita. 

Tengku Mikhail melemparkan senyuman paksa sambil meleraikan pelukan itu. Rimas! Dia terus berjalan ke arah mejanya. Komputer dan komputer ribanya dibuka sekaligus. Tidak sedikit pun dia rasa berminat untuk melayan karenah Syakilla itu.

 Berubah muka Syakilla apabila diperlakukan sebegitu oleh Tengku Mikhail. Terasa maruahnya dirinya sebagai model terkenal di Asia dipijak-pijak oleh jejaka dihadapannya. 

“You ni kenapa? Tak suka I datang sini ke?” rengusnya kasar. Dia berpeluk tubuh sambil memandang Tengku Mikhail. Wajahnya dilihat tegang. Sudahlah telefon tidak diangkatnya. Kedatangannya pula seperti tidak diundang. Jika dengan kekasih-kekasih lamanya pasti dia sangat dialu-alukan. 

“You tahu kan yang I tak suka kalau orang datang menganggu I dekat tempat kerja.” Mendatar suara Tengku Mikhail. Matanya ditalakan ke arah Syakilla. Dalam tenungannya itu.

 Syakilla mula berada gerun. Segera wajahnya dimaniskan dan dengan anggun dia berjalan mendekati Tengku Mikhail. Tangan kekasihnya itu dipegang manja. 

“Ala sayang, you tau kan yang I rindu kan you. Sebab tulah I sanggup datang ke sini. Appreciate lah I sikit.” Lembut suaranya memujuk. Mestilah kena pujuk. ‘Bank bergerak’ kot. Jika tidak, tak merasalah dia naik kereta mewah, bercuti ke luar negara dan barangan jenama untuk ditunjukkan kepada kawan seangkatannya. Tengku Mikhail ibarat lubuk emas untuknya. Senyuman dilebarkan. 

Mata Tengku Mikhail hanya tertancap pada skrin komputernya tanpa menghiraukan pujukan Syakilla. Belum sempat dia menjawab,pintu biliknya diketuk.

 “Masuk.” Sepatah dia memberi keizinan.

 Kak Ya masuk dengan senyuman manis. Tak akan nak jumpa bos dengan muka kelat kot? Nanti tak pepasal dapat surah layang untuk selama-lamanya. Mampus! Baik jangan menempah bala. Sudahlah susah mencari pekerjaan di zaman sekarang. 

“Tengku... meeting.” 

Tengku Mikhail mengangguk dan memberi isyarat supaya Kak Ya keluar dulu.

 Kak Ya hanya mengangguk. Seperti lipas kudung dia keluar dari pejabat ketuanya. Walaupun tidak dapat dilihat secara kasar tetapi dia merasa seram sejuk sewaktu berada di situ. Pasti ketuanya sedang menahan kemarahan.

 Tengku Mikhail merentap tangannya. Serius mukanya memandang Syakilla. “I rasa... cukuplah hubungan kita sampai di sini saja.” Ujar Tengku Mikhail sambil terus menuju ke arah pintu. Sebelum dia menutup pintu itu sempat dia berkata, “I rasa you tahu sendiri pintu keluar kan? Jadi...” Dia melemparkan senyuman paksa dan terus menuju ke arah lif. 

Syakilla masih terpana di situ. Terasa jiwanya melayang di situ mendengarnya. Otaknya masih belum dapat proses sepenuhnya dengan apa yang dia dengar sebentar tadi. Perlahan-lahan hatinya mula menyimpan dendam. “ Aku tak akan lepaskan kau Tengku Mikhail! Apa nak jadi... jadilah!” Tekadnya di dalam hati.

 Dengan rasa yang memberontak dia mengambil beg tangan berjenamanya di atas sofa dan keluar dari situ dengan hempasan pintu yang kuat menyebabkan beberapa orang pekerja memandang ke arahnya. Dia langsung tidak menghiraukannya. Hatinya sangat pedih!

Adakah keputusannya untuk pergi ke pejabat kekasihnya itu tindakan yang salah?

 Sementara wajah Tengku Mikhail tegang sewaktu kakinya melangkah keluar dari lif yang berhenti di tingkat 10 di mana mensyuarat akan diadakan. Jika bukan kerana Syed Daniel... rambutnya dikusutkan. Stress!!!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh