Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,588
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 16

MASA begitu pantas berlalu. Sebulan Rus rasakan bagai ada dua minggu sahaja. Dia semakin risau dan tertekan.Bertunang dengan Huzaif bukanlah kehendak hati dan pastinya tiada cinta.

Tarikh perkahwinan mereka semakin hampir. Hendak membantah memang sudah terlambat dan tidak wajar. Gelaran anak derhaka pasti sahaja menjadi miliknya. Malangnya sampai ke hari ini, lelaki itu masih senyap dan dia tidak tahu khabar beritanya. Persiapan di pihak Rus, keluarganya sedang uruskan. Melihat situasi sekarang, seperti tiada perubahan dari perancangan asal.

“Rus okey ke? Beberapa hari ni macam serabut aje,” tegur Kak Ina yang singgah di kubikelnya.

Sejak minggu lepas lagi dia tengok gadis itu kurang ceria. Kerap sugul dan lebih suka menyendiri. Ketika bersama Nurul dan Amy sahaja baru dia ceria sedikit.

“Rus?” panggil Kak Ina apabila gadis itu tidak menjawab pertanyaannya.

Sorry, Kak Ina. Kepala saya memang tengah serabut,” akuinya.

“Ada masalah pasal projek ke?” Kak Ina menarik kerusi di meja sebelah lalu duduk.

“Tak jugak.”

“Habis tu, kenapa teruk sangat Kak Ina tengok?” tanya Kak Ina lagi.

Apabila melihat riak pada wajah Rus, Kak Ina sudah dapat rasakan sesuatu. Tetapi, tentu sahaja dia mahu gadis itu sendiri yang memulakan cerita. Tidaklah nampak sangat dia hendak menyibuk walau sebenarnya memang hendak jaga tepi kain orang juga!

“Nampak sangat ke?” tanya Rus.

“Hah la. Macam kucing kehilangan anak!” gurau Kak Ina sekadar menceriakan suasana.

Rus tertawa juga dengan usikan itu.

“Oh ya, sebelum terlupa, saya nak hantar awal borang cuti kahwin saya,” beritahu Rus sambil serahkan borang tersebut kepada Kak Ina.

“Oh, tahniah!” ucap Kak Ina.

“Boleh tak rahsiakan dulu dari rakan sepejabat?” ujar Rus, minta pengertian.

“Tak ada hal, Kak Ina faham. Dah dapat kad jemputan, barulah boleh diwar-warkan.”

“Terima kasih, kak.”

“Berbalik pasal tadi, apa yang mengganggu fikiran Rus?” Kak Ina masih hendak tahu.

“Entahlah kak. Bila dah bertunang dan semakin hampir hari pernikahan, ada aje dugaan yang datang melanda,” luah Rus sedikit sedih.

“Masa bertunang memang waktu yang paling kritikal dalam sesebuah perhubungan. Waktu nilah Rus akan rasa was-was dan jumpa ramai yang jauh lebih baik dari tunang sendiri,” ujar Kak Ina, berkongsi pengalaman.

“Tulah!” Rus mengeyakan.

“Inilah dugaan kebanyakan orang yang nak bina masjid. Selangkah Rus menuju ke jalan yang halal, syaitan memang tak suka,” jelas Kak Ina.

“Banyak dugaannya, kak. Dugaan mata, hati dan perasaan jugak,” akui Rus lagi.

“Rus perlu kuat semangat. Hati kita ni memang mudah berbolak-balik. Elok-elok dah nak kahwin, tiba-tiba boleh tak jadi pulak.”

“Itu yang buat saya rasa risau sangat. Kadang-kadang sampai tak boleh tidur,” adu Rus.

“Kalau kita turutkan rasa risau tu, memang bahaya. Baik Rus fokus dan siapkan diri untuk jadi isteri yang baik. Tutup pandangan mata dan hati dari melihat lelaki lain,” nasihat Kak Ina.

“Itu jugak yang saya cuba buat, tapi entahlah…”

“Cara Rus bercakap, macam tak gembiranya aje dengan perkahwinan yang bakal berlangsung ni.”

“Jujurnya, itulah yang saya rasa kak.” Rus beterus terang sahaja. Dia perlu meluahkan perasaan hati kepada orang yang lebih berpengalaman. Andai masih disimpan, pasti dirinya tidak tenteram.

“Rus ni kena kahwin paksa ke?” tanya Kak Ina walau dia sudah dapat mengagaknya.

“Lebih kurang macam tulah!” jawab Rus tetapi masih mampu tersenyum.

“Payah kalau macam tu.” Jatuh kasihan pula Kak Ina pada Rus. Walaupun cuma rakan sepejabat, dia rapat juga dengan gadis itu.

“Memang payah saya nak tempuh, kak,” adunya lagi.

“Niat kita kena betul, Rus. Ia akan memberi kesan pada perkahwinan kita nanti. Berkahwin bukan sebab kita tengok orang lain sweet aje bila dah nikah,” ujar Kak Ina.

“Tahu…”

“Perkahwinan ni satu komitmen. Kita kena betul-betul bersedia dan sanggup berkorban macam-macam. Masa bujang dan ketika suami ada kat sebelah memang tak sama,” tekan Kak Ina.

“Itu yang saya tak pasti dengan diri sendiri. Rasa macam tak sanggup lalui semua tu,” luah Rus.

“Dah nak kahwin ni, Rus janganlah fikir macam tu pulak. Macam akak cakap tadi, berkahwin ni bukan pasal nak bahagia dan seronok aje. Ia lebih daripada itu,” nasihat Kak Ina lagi.

“Nasib Kak Ina ada, saya tak tahu nak cerita kat siapa,” ujar Rus sedikit lega.

Selalunya dia memang berkongsi dengan Amy dan Nurul. Memandangkan mereka belum lagi melalui fasa yang dia lalui sekarang, terpaksa luahkan pada Kak Ina.

“Kalau boleh akak pun nak kongsi banyak perkara dengan Rus. Tapi tulah, kita kan kat pejabat.”

Sorry Kak Ina, boleh terlupa pulak saya,” ucap Rus sebaik tersedar telah mencuri waktu kerja.

“Akak sebenarnya datang kat tempat Rus ni sebab ada hal, tapi boleh tak ingat pulak. Rus sambunglah buat kerja,” ujar Kak Ina dan terus beredar.

Rus mengeluh. Putera kayangan sudah lama terbang entah ke mana. Ketika dia mahu berjumpa dengannya, lelaki itu tidak muncul-muncul pula. Bila dia dah terlupakan dirinya, alih-alih boleh terserempak pula.

Mendengar cerita Amy, hatinya mula goyah. Huzaif memang tidak pernah masuk senarai, putera kayangan pula asyik muncul dalam igauan. Antara mereka bertiga, nampaknya hati dia turut terusik dengan jejaka idaman Amy.

Apabila setiap hari disogokkan dengan kehebatan lelaki itu, lama-lama dia terjatuh hati tanpa sengaja. Tapi masih terkawal sebab dia sedar diri. Memang tak baik dan berdosa kalau main kayu tiga.

Mengingatkan bicara dan kata nasihat abahnya, Rus naik risau juga. Tidak lama lagi akan jadi isteri orang, berdosa kalau dalam hati masih mengingati lelaki lain.

Fasal putera kayangan, nak tak nak Rus perlu padam semua kenangan dan terpaksa melupakannya. Masalahnya adalah harta karun lelaki itu yang masih ada padanya. Sapu tangan perlu dikembalikan. Begitu juga dengan sweater walau lelaki itu sudah hadiahkan.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.