Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,501
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 17

RUS mengeluh berat. Dia baru sahaja selesai mesyuarat ketika menerima panggilan telefon daripada Che Jamaliah. Rupanya hari ini tunangnya balik Malaysia dan akan tiba di KLIA pada sebelah petang. Sepatutnya Che Jamaliah sendiri yang akan menjemput anaknya, tetapi pemandunya ada hal kecemasan pula.

Tidak berapa lama kemudian, panggilan daripada abahnya pula menyusul.

“Che Jamaliah ada telefon Rus?” Abahnya terus bertanya.

“Ada, kejap lagi Rus nak ke airport,” beritahunya.

“Kerja Rus macam mana?” tanya Haji Rosman.

“Tadi Rus dah mintak dengan bos nak balik awal, bos okey aje.”

“Alhamdulillah. Hati-hati memandu, jangan bawak laju-laju,” pesan Haji Rosman.

“Okey abah. Nanti kirim salam dengan mak,” pesan Rus pula.

“Yalah.”

Dalam tidak mahu, Rus terpaksa juga pergi ke lapangan terbang menjemput tunangnya. Kemudian dia perlu menghantarnya ke rumah bapa saudaranya di Bandar Utama. Mujur juga dia dapat perlepasan balik awal daripada bosnya. Tadi, serba salah juga dia hendak beritahu Tuan Malik. Tidak sangka pula bosnya memberi kebenaran.


RUS tiba di KLIA pada jam 5.30 petang. Menurut Che Jamaliah, penerbangan dari Moscow tiba pada pukul 5.00 petang. Rus memang sudah terlewat, tapi tak dapat dielakkan kerana dia lambat diberitahu tentangnya.

Tiba di balai ketibaan, melilau juga Rus mencari kelibat Huzaif. Melalui skrin yang dipaparkan, penerbangan dari Moscow telah selamat mendarat mengikut jadual. Ketika ini, pasti sahaja lelaki itu telah mengambil bagasi dan berada di sekitar Rus berada sekarang.

Seketika mata Rus tertancap pada seseorang. Tiba-tiba jantungnya terasa berdetak laju saat terpandang wajah Huzaif. Lelaki itu dapat dicam kerana sama seperti dalam gambar yang pernah dia tengok.

Baru sahaja dia mahu menghampiri, seorang wanita bertudung telah berada di sisinya. Langkah Rus terhenti. Matanya jatuh pada bayi yang kini berpindah ke tangan Huzaif. Wajah bayi itu dicium berkali-kali.

Rus masih memerhati. Tidak berkelip matanya memandang adegan yang terhidang di hadapan mata. Sungguh, dia tidak sanggup menghampiri mereka. Andai dia menyapa, apakah reaksi wanita itu dan juga Huzaif? Bagaimana dengan perasaan sendiri? Persoalan-persoalan itu menerpa benaknya.

Lama Rus terkaku dan berperang dengan perasaan sendiri. Bukankah perkara ini yang dia mahu? Justeru, perlu apa lagi dia muncul di hadapan lelaki itu? Semua ini memudahkan lagi dirinya untuk memutuskan ikatan antara dia dan Huzaif. Apa yang penting pertunangan putus bukan berpunca daripada pihaknya.

Akhirnya Rus mengambil keputusan untuk balik sahaja tanpa berjumpa dengan tunangnya. Pandailah lelaki itu balik sendiri ke rumah orang tuanya. Perlu apa lagi dia bersusah payah menjemput dan menghantarnya?

Tiba-tiba, badan Rus berpusing 180 darjah apabila seorang lelaki yang dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar dirinya yang mahu berpaling. Beg tangannya turut terlepas dari bahu. Mujur isi dalamnya tidak jatuh berterabur di atas lantai.

Lelaki itu segera mengutip beg tangan Rus. Dia terus memohon maaf sambil mengembalikannya kepada Rus.

“Tak apa,” jawab Rus perlahan. Dia mengukir senyuman dan menyambut beg tangannya, tetapi langsung tidak memandang ke wajah lelaki tersebut.

“Rus?”

Suara lelaki itu buat Rus tersentak, lantas dia mendongak memandangnya. Rus tergamam saat menyedari gerangan yang menyeru namanya.

“Kali ini, senyuman awak yang manis dan bukannya air Nescafe…” ujar lelaki itu yang turut tersenyum.

Rus tidak terkata mendengarnya. Dia melarikan pandangan lalu tunduk. Janganlah ada air mata yang jatuh di hadapan lelaki ini. Doanya dalam hati. Dia memang tidak mahu bersedih dengan apa yang terjadi, tapi dia dapat rasakan yang matanya panas!

“Saya ingin sekali berbual dengan awak, malangnya saya dah terlambat. Semoga kita dapat berjumpa lagi,” ucap lelaki itu dan tergesa-gesa meninggalkan Rus termangu sendiri.


MALAMNYA, Haji Rosman menelefon Rus lagi.

“Dapat berjumpa Huzaif?” Abahnya terus bertanya sebaik Rus menjawab panggilan.

“Tak abah. Rus terlambat sampai KLIA. Tiba kat sana, cari dia jugak. Tapi tulah, tak nampak dia kat mana-mana.” Rus terpaksa mereka cerita. Biarlah dia berbohong, dia tidak sanggup beritahu abahnya perkara sebenar.

“Tak apalah, tak ada rezeki nak berjumpa. Rus balik Ipoh hujung minggu ni, kan?” Haji Rosman bertanya untuk kepastian.

“Haah. Abah dan mak sihat?” tanya Rus bagi melindungi resah di hati.

“Alhamdulillah… mak dan abah okey. Rus pulak macam mana?”

“Rus pun okey jugak.”

“Abah nak tanya pasal tu aje. Apa-apa hal, nanti abah telefon Rus. Jaga diri baik-baik,” pesan Haji Rosman.

“Insya-ALLAH…” ucap Rus.

Perlahan-lahan dia letak telefonnya di atas meja, kemudian meraup wajahnya beberapa kali.

“Kau dah kenapa? Apasal muka kau pucat?” tegur Nurul yang datang ke ruang tamu. Dia baru sahaja selesai solat isyak.

“Petang tadi aku pergi airport,” beritahu Rus, lemah.

“Buat apa kau ke sana?”

“Huzaif balik hari ni. Mak dia minta tolong aku jemput dia,” beritahu Rus lagi.

So, dapat jumpa dia?”

Rus mengeluh berat. “Aku nampak dia, tapi tak berani nak tunjuk muka.”

“Eh, kenapa pulak?” Terkejut Nurul dengan apa yang Rus sampaikan.

“Aku pun tak pasti sekarang ni aku nak gembira atau nak nangis,” ujar Rus.

“Kau jangan nak buat aku keliru. Sebenarnya apa yang dah terjadi?” tanya Nurul, sedikit cemas.

“Huzaif balik dengan seorang perempuan. Bukan tu aje, dengan bayi sekali!”

What, biar betul?” Mata Nurul sudah membulat.

“Aku tak tipu!”

“Kau salah tengok kut?” Nurul cuba menyedapkan hati sahabatnya dan diri sendiri.

“Aku masih ingat gambar dia masa abah aku tunjuk kat aku. Masakan aku tersalah orang?”

“Kesiannya kau. Tapi, itu jugak yang kau mahu, kan?” Walaupun Rus tidak pernah meluahkan kepada Nurul secara jelas, dia tahu sendiri apabila Amy pernah bercerita tentang perasaan Rus terhadap tunangnya.

“Memang itu yang aku nak, tapi bukan pada saat perkahwinan kami semakin hampir!” Rus dah nak menangis ketika menuturkannya.

Mengingatkan kad jemputan kahwin yang sudah siap, lagi buat dia bersedih. Mujur kad tersebut belum lagi dia edarkan kepada rakan-rakan di pejabat. Berkenaan cuti kahwinnya, hanya bos dan Kak Ina sahaja yang tahu. Dia yakin wanita itu tidak akan menghebahkannya kerana dia masih belum menerima kad jemputan daripadanya.

“Jadi, apa kau nak buat sekarang ni?” tanya Nurul. Dia turut bersimpati dengan sahabatnya itu.

“Aku tak tahu…” Saat ini air matanya sudah merembes.

“Kau bawak bertenang dulu.” Nurul bangun dan duduk rapat di sebelah Rus. Belakangnya dia usap.

“Kau kena banyak bersabar. Insya-ALLAH aku ada dan akan bantu kau bila kau perlukan aku,” pujuk Nurul.

“Aku rasa sedih sangat bila teringatkan mak dan abah aku. Kalau dia orang tahu, macam mana?” Kini, air matanya laju menitis membasahi pipi.

“Lambat laun dia orang akan tahu jugak. Takkan Huzaif nak teruskan perkahwinan kau dengan dia, betul tak?”

“Paling aku tak sangka, dia dah ada anak!” ujar Rus dengan rasa amat kecewa.

“Entah-entah dia berkahwin tidak lama selepas kita orang bertunang,” sambung Rus lagi. Rasa diri telah diperbodohkan lelaki itu. Walaupun Rus tidak cintakannya, dia tetap berasa bengang.

“Lelaki zaman sekarang, memang tak boleh dipercayai!” ujar Nurul yang turut berasa geram.

Rus kembali termenung mengenang nasib diri. Segalanya sudah terlambat untuk dia kesalkan. Sekejap dia berasa okey, sekejap hatinya rasa mahu menangis dan menjerit.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.