Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,078
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 2

JAM menunjukkan 8.45 pagi. Tren ETS menuju ke Kuala Lumpur sudah tiba di Stesen Ipoh. Ia akan bertolak pada jam 9.00 nanti. Kini, ramai yang memilih perkhidmatan ETS kerana lebih mudah dan menepati jadual perjalanan berbanding menaiki bas.

Kelihatan para penumpang berpusu-pusu menuju ke koc masing-masing. Ada yang bergegas bagai kereta api sudah mahu bergerak. Ada juga yang relaks dan berlenggang kangkung sahaja.

Rus Ashiya pula terpaksa melangkah perlahan menuju ke koc B. Penat juga dia mengangkat beg pakaiannya. Ada roda, tetapi rosak pula. Beberapa kali dia terpaksa berehat dan menarik nafas panjang. Hendak kata membawa batu, pakaian sahaja pun. Namun beratnya bukan main lagi, boleh patah pinggangnya!

Setelah bersusah payah meletakkan begnya di rak bagasi di bahagian atas, dia terus duduk di tempatnya. Tiket pula dia selitkan pada meja lipat pada kerusi di hadapannya. Dia sememangnya memilih tempat duduk di sebelah tingkap agar mudah melihat pemandangan di sepanjang perjalanan. Nanti tidaklah bosan sangat.

Rus turut memerhati beberapa penumpang yang masuk ke koc B. Dia amat berharap semoga penumpang di sebelahnya nanti adalah kaum hawa. Sekiranya dia terlelap dalam perjalanan, tidak risau terlentok ke bahu orang sebelah. Andai sebaliknya, terpaksalah dia bersopan santun dan jadi perempuan Melayu terakhir!

Ketika dia membelek Facebook di telefonnya, seseorang telah duduk di sebelahnya. Sekilas pandang, dia sudah tahu jantinanya. ‘Alamak, lelakilah pulak…’ keluhnya dalam hati. Memang dia tidak akan lena andai spesies jejaka yang duduk di sebelahnya.

Dalam tidak suka, Rus curi pandang juga lelaki itu. Berkemeja biru laut dan berseluar hitam, namun dia berasa segan hendak memandang wajahnya.

Tiba-tiba Rus berasa hairan apabila lelaki itu sibuk memasang tali pinggang keselamatan dengan melilitnya pada kerusi. Beberapa kali juga dia melaraskan talinya agar lebih selesa ketika dipasang di pinggang.

‘Aduhai… macam ni punya orang pun ada? Tren ETS tidaklah bergerak 200 km/jam sampai kena pakai tali pinggang bagai. Silap-silap perut kau tu yang terjerut!’ Rus mengomel dalam hati.

Meskipun turut berasa pelik, dalam diam dia gelakkan lelaki itu walau masih tidak tahu siapa gerangannya. Apa yang Rus pasti, lelaki itu sah bukan Melayu totok! Memang tak macho kalau begitu gayanya. Andai budak kecil, masuk akal jugalah apa yang lelaki itu lakukan. Padahal sudah besar gajah kut, takkanlah diri boleh terhumban ke hadapan andai kereta api bergerak laju sekalipun?

Kini lelaki itu sibuk meletakkan fail di atas meja lipat yang dikhaskan agar penumpang dapat menjamah makanan dengan lebih selesa. Kelihatan seperti kertas cadangan projek sahaja. Tekun sekali dia meneliti dokumen itu, tetapi pada masa yang sama seakan tidak mahu Rus mahupun orang lain dapat melihat isi kandungannya.

Rus tersenyum sendiri. ‘Sudah tahu kertas cadangan tu sulit, buat apa nak baca dalam kereta api? Alahai encik abang, aku skodeng dokumen tu baru tau!’ bisik hatinya. Dalam kepala, Rus sedang mencari akal hendak mempermainkan lelaki di sebelahnya.

Tiba-tiba telefonnya berdering. Dia baru sahaja dapat idea, sudah ada yang dengki.

“Assalamualaikum…” Rus terus menjawab panggilan yang masuk.

“Kau dah sampai mana?” Amy, rakan serumahnya terus sahaja bertanya. Salam yang diberi cuma dijawab dalam hati.

“ETS baru aje gerak. Stesen Batu Gajah pun tak sampai lagi,” beritahu Rus sambil pandang orang sebelah.

“Oh mak engkau!” Spontan kata-kata itu terucap sebaik terpandang wajah lelaki yang duduk di sebelahnya. Handsome gila kut! Nasib telefonnya tidak terlepas dari genggaman.

“Wei, apasal?” tanya Amy yang terdengar Rus bagai melatah pula.

“Putera raja jatuh dari kayangan!” balas Rus sambil menahan ketawa. Pandangan segera dihalakan ke luar tingkap dan berlagak tenang.

“Putera raja? Raja mana?” Amy turut mahu bercanda.

“Hish kau ni… yang kau telefon aku seawal ni, kenapa?” rungut Rus. Memang kacau daun betul sahabat dia yang seorang ini.

“Saja la. Hmm… siapa sebenarnya yang duduk kat sebelah kau tu?” tanya Amy. Mahu tahu juga walau tidak mungkin dapat melihat wajahnya.

“Buat apa nak tahu?”

“Alah, cerita ajelah!” rayu Amy keanak-anakan, bukan selalu dapat peluang begini.

“Yang benarnya ada cowok ganteng duduk kat sebelah aku…” Akhirnya Rus beritahu juga. Tidak seronok pula andai tidak berkongsi cerita.

“Cowok ganteng? Siapa? Siapa?” Amy semakin teruja hendak tahu.

“Kau ni…”

“Cakaplah!” desak Amy.

“Ada mat salih segak duduk kat sebelah aku,” bisik Rus sambil jeling orang sebelah. Nampaknya lelaki itu buat hal sendiri sahaja.

“Perh! Boleh buat calon tak?”

“Kau ni… tak fikir lain!”

“Minta la nombor telefon dia,” suruh Amy.

“Mula-mula tu aku nak mintak jugak, tapi lepas tu tak jadi,” jawab Rus.

“Apasal pulak?”

“Ni mat salih pelik,” komen Rus.

“Pelik?”

“Harap muka aje macam Mike, doktor terhangat tu, tapi penakut rupanya.” Rus tertawa tetapi perlahan sahaja. Nanti mat salih itu perasan pula dia mengutuk dirinya.

“Tak kiralah, janji handsome,” balas Amy.

“Aku dah naik ETS ni berpuluh kali. Tak pernah pun kereta api ni laju sampai boleh buat kita tercampak ke depan. Peliknya mat salih ni siap bawak tali pinggang keledar sendiri. Nasib tak pakai topi keledar sekali!” Tidak habis-habis Rus mengutuk lelaki itu.

“Ha ha ha… biar betul?” Amy juga turut tertawa mendengarnya.

“Tu yang buat aku tak jadi mengurat dia.” Seketika Rus memandang ke arah mat salih sebelahnya. Dia terpaksa melemparkan senyuman sebaik menyedari lelaki itu turut memandangnya.

Tanpa Rus duga, sebuah senyuman terukir buat dirinya. Tiba-tiba dia berasa segan pula. ‘Aduhai… apasal senyuman dia manis berbenor?’

“Rus?” panggil Amy apabila sahabatnya itu tiba-tiba sahaja menyepi.

“Hah, aku dengar ni…”

“Sampai KL Sentral nanti, kau call aku. Rasanya dalam pukul sebelas lebih aku dah sampai kat sana. Kita lepak dulu, baru balik rumah,” beritahu Amy yang mahu window shopping.

“Aku okey aje. Jumpa nanti, bye...” ucap Rus lantas memutus talian.

Seketika dia melemparkan pandangan ke luar tingkap. Perjalanan masih jauh. Hendak membaca buku, takut pening pula. Dia memang tak boleh membaca dalam kenderaan yang sedang bergerak. Dahulu sewaktu kecil, naik bas pun boleh muntah sampai terpaksa bawa plastik. Padahal perjalanan tidak sampai sejam.

Hendak tak hendak, akhirnya Rus mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Mahu mengajak orang sebelah berbual, buang karan sahaja. Karang mat salih tu cakap lain, dia faham lain. Aniaya dia!

Baru sahaja Rus hendak terlena, pramugari ETS datang hendak periksa tiket pula. Menggagau Rus mencari tiketnya, namun masih tidak jumpa-jumpa juga. Habis dia selongkar beg tangannya.

Tiba-tiba, mat salih yang perasan terus tunjukkan tiket yang Rus selitkan pada meja lipat di hadapannya.

“Oh! Terima kasih. Er… thank you,” ucap Rus malu-malu. Dia segera mencapai tiket itu lalu menyerahkannya kepada pramugari.

“Terima kasih saja tak cukup!” ucap mat salih sebaik pramugari berlalu.

Wajah Rus berubah sebaik mendengarnya. ‘Mati aku! Sah-sah mat salih ini faham yang tadi aku mengutuk dia. Nak sorok muka kat mana ni?’



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.