Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
2,505
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 3

ENTAH kenapa sejak aku buka hati untuk menerima Ashikin, hati aku jadi semakin tenang. Tiada lagi gelombang. Tiada lagi rasa mengkal. Aku selesa dengan perasaan sekarang.

Pagi ini aku ke perpustakaan. Pagi yang agak lengang dan menyenangkan. Ramai yang ada kelas pagi agaknya. Aku tiada kelas pagi ini. Kelas aku hanya bermula selepas Zohor. Dan, ada satu kelas malam selepas Maghrib.

Mata aku masih tak lepas memandang rak yang penuh dengan buku-buku agama. Aku buntu. Banyaknya tajuk!

Kak Shikin kata mula dengan solat. Solat itu tiang agama. Jika tiangnya tak tertegak dengan elok, macam mana rumah nak kukuh. Hmm ... memang pun. Aku punya solat, ya Allah, bacaannya tunggang-langgang. Asal ada bunyi.

Rukun? Entahlah ... betul agaknya.

Mata masih lagi merayap ke setiap tajuk buku yang memenuhi rak. Dari atas ke bawah aku mencari. Dan akhirnya mata terhenti pada satu buku berkulit tebal yang bertajuk 'Solat'. Aku tersenyum. Lega. Pencarianku berakhir.

Dan baru aku berkira-kira nak mencapai, tiba-tiba satu tangan lain sudah menarik buku bertajuk 'Solat' itu dari rak. Terkulat-kulat aku melihat. Liur kuteguk kesat. Memandang pada sesusuk tubuh tanpa adab yang 'mencuri' buku 'Solat' aku.

Ish! Geram betullah. Selamba dia je. Dia tak nampak ke aku yang berdiri depan rak ni? Mata aku mengekori langkah 'si pencuri'. Sudah hampir sepuluh langkah dia pergi, aku membontoti. Dia duduk di satu sudut di perpustakaan yang agak jauh daripada orang lain. Mungkin inginkan privasi. Tangannya sudah mula menyelak buku bertajuk 'Solat'.

"Assalammualaikum saudara. Buku tu ..." dan kata-kata aku mati di situ sebaik wajahnya diangkat memandang pada aku. Allahuakbar! Mamat sepet di dataran semalam!

Aku dah cuak. Segan pun ada. Mana taknya, baru semalam aku kenakan dia. Tiba-tiba hari ini berjumpa. Berebutkan buku yang sama. Tajuk 'Solat' pula tu. Kau fikir? Silap haribulan, mamat ni gelak guling-guling.

Semalam beria aku kenakan dia. Hari ni berjumpa, berebutkan buku agama. Habislah aku ...

"Waalaikumsalam," balasnya tak lepas memandang dengan senyuman semanis kueh talam. Sah. Dia ingat aku.

Aku? Terkulat, terkujat dan rasa nak jadi halimunan serta-merta.

"Maaf, tak ada apa," Aku terus bergerak meninggalkan tapak 'jenayah berat' yang aku rasa akulah mangsa yang sedang disiat kulit muka yang tebal tak tahu nak sorok di mana.

"Sekejap!" Dia bangun menghalang laluan.

Tersenyum.

Senyuman yang saat ini aku rasa bagaikan racun. Memang sah, dia kenal aku. Budak perempuan yang kenakan dia semalam. Dan aku pasti senyuman itu hanyalah satu sindiran.

"Awak nak buku ini ke? Nah, ambillah. Saya boleh cari buku lain," dia menghulur buku 'Solat' itu ke tangan aku. Aku terpempan. Wajahnya ku pandang. Semudah itu? Baiknya dia. Dan, dia masih tersenyum. Dah macam model iklan ubat gigi pulak aku tengok mamat sepet ni.

"Terima kasih," cepat aku capai buku yang dihulurnya dan kaki sudah mula ingin melangkah pergi tetapi terhalang oleh tubuh dia yang tinggi. Eh, tak nak ke tepi ke? Takkan nak suruh aku rempuh tubuh dia? Akal mana?

"Terima kasih je? Nama apa?"

Hah? Bulat mata aku memandang dia. Nak kena bayar dengan 'nama' pulak ke? Ah! Sudah. Biar betul mamat sepet ni.

"Nama saya Zafril. Muhamad Zafril Aqil," dan dia tersenyum lagi. Senyuman perkenalan.

"Oh, ok. Terima kasih, Zafril. Saya minta diri dulu."

Aku terus menyelinap di celah ruang yang tinggal di antara meja dan tubuh Zafril, si mata sepet! Hampir nak bergesel, tapi dia cepat berganjak. Huh! Tahu takut ... dan, cepat aku melangkah. Takut jika dihalang lagi. Tak kuasalah nak berkenalan dengan mamat sepet yang asyik tersenyum je ni. Tak pasal aku terjerat dengan ulah aku sendiri.

Aku kembali ke tempat duduk di mana beg dan buku-buku aku tinggalkan. Tak jauh pun. Kalau mamat mata sepet tu nak datang dan kenakan aku boleh sangat. Tapi aku tengok dia hanya memandang dari jauh. Dan senyumnya sudah hilang. Mungkin termalu sebab aku tak layan salam perkenalan dia. Ah! Aku peduli apa.

Bismillah ... buku solat aku buka. Moga Allah tolong aku untuk mengubah diri.

***

MUKA aku sudah hilang darah! Cuak, menggelabah. Tolonglah, jangan hilang. Mana ni? Semua isi beg sandang UK Karrimors aku keluarkan. Terlambak atas meja. Tak puas menyeluk dan meraba beg yang sudah kosong itu, aku jengahkan pula kepala ke dalamnya.

"Woi, kau kenapa nak masuk dalam beg?"

Kurang asam punya kawan. Agak-agaklah kalau nak bertanya pun. Tak payahlah dekatkan mulut tu betul-betul rapat ke telinga aku. Suara kalau selembut semilir tak apa ... ini dah macam mak naga ... huh, rosak gegendang telinga aku.

"Muka macam tenuk tertelan biji durian ni kenapa?" Airin duduk depan aku. Aku dah rasa macam tak boleh nak bernafas, apatah lagi nak bercakap. Tapi budak depan aku ni sibuk dengan seribu satu soalan.

Mana ni ... tolonglah jangan hilang. Otak aku masih tidak mampu untuk melayan Airin di depan mata. Kubiarkan sahaja dia. Sesekali anak mata masuk semula ke dalam beg yang terbuka. Mengharapkan suatu keajaiban.

"Kau cari apa?" sekali lagi Airin bertanya. Kali ini lebih lembut. Tidak mendesak seperti tadi. Mukanya beriak simpati.

"Diari aku ..." suara yang keluar sudah bercampur sendu.

"Diari kau?" Airin bertanya sambil matanya melihat ke dalam beg kosong atas meja. Aku hanya mengangguk, cemas. Pantas tangan Airin menyusun satu persatu buku dan barang-barang yang aku teraburkan atas meja.

Dibeleknya buku-buku itu sambil memasukkan semula ke dalam beg sandang aku.

"Bila kali terakhir kau nampak diari tu?"

Aku diam. Bibir bawah kugigit. Kening sudah bercantum dengan kerutan di dahi. Bila ya? Semalam ...

"Kat perpustakaan."

"Dah cari kat sana?"

Aku menggeleng. Hati dipalu runsing. Habislah kalau ada orang yang jumpa. Sahih orang tu akan baca. Harap taklah ...

"Habis kelas, aku teman kau pergi cari kat sana. Mana tahu ada orang tolong simpankan," Airin cuba memujuk. Tangan aku digenggamnya. Aku hanya mengangguk. Lemah dah rasa hati ini bila diari yang merupakan sebahagian dari nyawa aku hilang.

***

"AQILAH, ada orang nak jumpa!" jeritan dari tingkat bawah kolej buat aku terkocoh-kocoh menjengah.

"Ok! Terima kasih," aku menjerit balas pada rakan sekolej di tingkat bawah.

Muka aku sudah mula melukis garis-garis kerutan. Siapa pula yang nak jumpa ni? Baru nak sambung tidur pagi Sabtu dah ada gangguan. Kacau betullah. Dahlah semalaman aku tak boleh lelap. Asyik teringatkan diari yang hilang lesap.

Hampir satu perpustakaan aku jelajah. Sampai rak buku yang beratus itu aku telek satu persatu. Mana tahu ada orang yang terlebih rajin mengemas sampai diari aku pun dia ingat buku perpustakaan, tapi ternyata hanya penat yang aku dapat.

"Qilah ..."

Aku sepatutnya sudah boleh mengagak. Tangan ayah aku capai, lalu kusalam dan kucium. Aku masih punya adab walau aku kata aku benci. Dia tetap ayahku.

"Kenapa ayah datang?"

"Ayah nak jemput Qilah balik."

"Qilah sibuk. Banyak tugasan," Aku beralasan.

"Minggu ni sahaja."

"Penting ke?"

Dia mula mengambil tempat di sebelah aku. Tangannya yang sudah melingkar di bahuku, kutolak.

"Qilah ..."

Aku diam. Masam. Dia menghela nafas. Mata aku sejak tadi langsung tidak memandang pada dia. Aku lebih rela memandang tupai yang melompat-lompat di atas pokok dan rama-rama yang berterbangan hinggap di bunga lalang berbanding memandang pada dia, ayah yang selalu buat aku kesunyian!

"Ayah dah beritahu resident staff yang ayah akan bawa Qilah pulang minggu ini. Dia tak ada masalah."

Aku menoleh kasar memandang dia. "Ayah memang suka, kan? Buat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan Qilah? Qilah suka ke, tak suka ke ... tak penting. Betul tak? Ok, baik. Qilah akan ikut ayah balik. Tapi jangan salahkan Qilah kalau ada yang makan hati."

Aku terus bangun berlari naik ke bilik, tanpa menanti apa yang ingin dia balas. Kalau dia tak pernah peduli tentang perasaan aku, hormat pendapat aku ... kenapa perlu aku peduli apa yang dia rasa bila aku melawan cakap dia?

Beg sandang yang biasaku bawa ke dewan kuliah, aku hempas di atas katil. Segala barang yang biasa kubawa aku campak, aku baling ke dalamnya. Aku capai jaket kulit lalu kusarungkan ke tubuh.

Rambut kusikat ala kadar dan kuikat satu seperti biasa. Telefon bimbit aku sumbat dalam poket seluar jeans. Baru aku nak melangkah keluar dari pintu, hati tiba-tiba teringat sesuatu. Aku berpatah semula ke meja. Mencapai pen dan secebis kertas. Kucoretkan sepatah dua kata memberitahu kepulangan aku ke rumah pada Ashikin.

Akutak mahu dia risau. Dia baik pada aku. Aku dah mula sayang dia lebihdaripada ayah aku sendiri.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin