Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
2,256
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 13

"BILA?" soalku tidak sabar.

"Masa Qilah masih bayi. Baru seminggu dilahirkan. Qilah demam panas. Kena tahan wad. Pada masa yang sama, anak umi - Ahmad Amsyar juga ditahan wad. Demam juga. Katil kalian bersebelahan. Hampir sebulan juga umi jaga Qilah walaupun masa tu demam abang Am dah nak kebah. Sebab serasi dengan umi, ayah Qilah minta kami tolong.

Suami umi, babah abang Am - rasa tak sampai hati sangat nak tolak. Babah pun sayang Qilah, tau. Selalu dia dodoikan Qilah dengan selawat. Dia izinkan umi jaga Qilah. Sampaikan waktu mama Qilah nak ambil Qilah ... umi dan babah rasa tak sanggup nak lepaskan. Umi dan babah dah jatuh sayang pada Qilah. Lagipun, kami tak ada anak perempuan."

"Kenapa umi yang jaga Qilah? Mana mama dan ayah Qilah?" Aku bertanya. Tidak pernah kutahu tentang wanita bernama Ameena sebelum ini. Ayah dan mama langsung tidak pernah bercerita. Dan sangat tidak disangka yang Ameena pernah mencurah kasih pada aku. Menjadi umi aku tanpa aku sedar kewujudannya.

"Mama Qilah sakit semasa dalam pantang. Jadi, ayah Qilah terpaksa jaga mama Qilah."

"Sakit? Mama sakit apa? Qilah tak pernah tahu pun?" Wajah aku mula berkerut cuba mengingat jika pernah ternampak mama ambil sebarang ubat. Tetapi langsung tiada memori tentang itu. Mama sentiasa sihat.

"Psikosis postpartum."

Sekali lagi dahiku berkerut. Istilah perubatan yang tidak biasa kudengar.

"Mama Aqilah mungkin tertekan. Selepas melahirkan Qilah, dia rasa gelisah dan sukar untuk tidur. Doktor takut jika membawa kepada keadaan tidak siuman. Oleh sebab mama Qilah tiada ahli keluarga di sini, hanya ayah Qilah sahaja yang ada, ayah Qilah terpaksa jaga mama Qilah. Dia terpaksa memilih salah seorang sebab tak mampu menjaga keduanya. Di antara Qilah dan mama Qilah. Wad kalian jauh. Tak mungkin dia boleh berada di dua tempat pada masa yang sama. Dan ... dia memilih untuk jaga mama Qilah. Mama Qilah sangat-sangat memerlukan sokongan moral daripada ahli keluarga. Qilah pula terpaksa dijauhkan daripada mama Qilah buat sementara waktu.

"Kenapa?" Terkejut aku dengan kenyataan itu. Mengapa mama perlu dijauhkan dari aku? Aku kan masih bayi? Aku perlukan mama. Tetapi ... ah, banyak sungguh rahsia tentang mama yang jauh dari pengetahuanku. Aku resah menanti jawapan daripada umi.

"Semuanya demi keselamatan Qilah."

Aku menghela nafas. Sedikit demi sedikit aku mulai faham. Wajahku menunduk memandang corak pada hamparan sejadah.

"Qilah ..." Umi menggenggam tanganku. "Bila seorang wanita baru melepasi tempoh bahaya melahirkan seorang manusia, emosinya mungkin tidak berapa stabil. Kesakitan melahirkan itu bukan setakat memutuskan urat saraf, tetapi juga memberi satu pengalaman yang mengejutkan. Kesakitan yang sukar digambarkan."

"Susu?" Aku bertanya. Adakah umi juga yang menyumbangkan susu badannya padaku?

"Qilah hanya minum susu formula sahaja." Umi menyambung. Aku memanggung kepala memandang pada dia. Jadi, aku dan Amsyar bukanlah saudara susuan. Memang kami ada batas aurat dan sentuhan.

"Umi yang suapkan pada Qilah. Hendak beri susu umi, umi takut di masa hadapan kita terputus hubungan dan andai kalian bertemu dan berkahwin, akan jadi sumbang mahram. Lagipun, arwah babah tidak mengizinkan. Susah katanya. Niat yang baik jika tidak dijaga dengan betul akan menerbitkan huru-hara di kemudian hari. Jadi, arwah babah hanya izinkan umi untuk jaga Qilah dan sayang Qilah sementara mama Qilah benar-benar sembuh."

"Babah dah tak ada?" Entah kenapa sayu pula bila aku tidak sempat bersua muka dengan ayah Amsyar. Lelaki yang juga pernah menyayangi aku. Mengizinkan isterinya menjaga aku, sedangkan aku bukan siapa-siapa pada mereka.

"Ya. Babah meninggal lima tahun yang lalu."

"Baru juga. Kenapa tak datang cari Qilah sebelum itu? Tidak sempat Qilah nak jumpa babah." Kesal. Itu yang aku rasa.

"Ada jumpa sekali masa Qilah berumur lima tahun. Dan, babah ada juga tangkap gambar dengan Qilah. Nanti umi tunjukkan."

Kenapa aku tidak ingat langsung? Aku memandang umi dengan wajah kehairanan. Umi hanya tersenyum. "Qilah kecil lagi. Lima tahun ... apalah yang seorang anak sekecil Qilah ingat, kan?"

Kalau aku berusia lima tahun, Amsyar tentu lebih besar daripada aku. Dia sudah bersekolah. Tentu dia ingat aku. Ya Allah, macam mana aku boleh melayani keluarga mereka dengan teruk? Malunya aku pada Amsyar. Patutlah masa pertama kali bertemu dia di tengah tangga, Amsyar tidak kekok langsung menyebut namaku. Dia ingat aku. Dan tentu umi dan babahnya ada bercerita tentang aku. Dan tentu mereka ada tunjukkan gambar aku pada dia. Aku menghela nafas.

"Mama Qilah gila?" Tiba-tiba kulontarkan soalan itu pada umi. Tercengang wajahnya. Tentu tidak dijangka yang aku akan bertanya soalan begitu.

"Tak sayang. Mama Qilah tak gila. Hanya mengalami keletihan, hilang banyak darah dan terkejut dengan kesakitan yang amat sangat. Dan itu membuatkan dia jadi tidak tentu. Banyak simptom-simptom bahaya, yang boleh dialami oleh seorang wanita selepas proses bersalin. Terutamanya selepas tiga hari atau seminggu selepas kelahiran. Orang bersalin ni macam-macam yang ditanggungnya, Qilah. Sebab itu banyak pantang larangnya." Rambutku yang mengurai dielus lembut.

Aku tertunduk. Tidak pernah kusangka begitu teruk keadaan mama selepas melahirkan aku. Patutlah mama tidak pernah mengandung lagi selepas itu. Dan aku tidak punya adik-beradik. Mungkin mama trauma dan takut untuk melalui semua itu sekali lagi. Kasihan mama. Mama ... rindu menerjah. Mata aku mula kabur dengan lapisan air jernih yang menunggu masa untuk menitis.

"Qilah jangan menangis sayang. Setiap satu yang Allah aturkan ada rahsia yang tersembunyi." Cuak muka ibu tiriku ini. Mungkin takut jika aku pengsan lagi buat kesekian kali. Aku hanya tersenyum. Aku rindukan mama ...

"Terima kasih, umi. Maafkan Qilah ..."

"Tak apa sayang. Umi tak pernah anggap Qilah macam anak tiri. Dari awal kenal Qilah, umi dah mula sayang Qilah macam anak sendiri. Sehingga pernah terfikir untuk 'mengikat' Qilah menjadi menantu umi."

Dup!

Jadi menantu umi? Maknanya ...

Aku memandang wajah umi. Umi tersenyum. Kahwin dengan Amsyar? Ahmad Amsyar, abang tiriku itu? Tiba-tiba kurasakan masa seakan-akan terhenti. Baru sahaja aku belajar mengenali dia sebagai seorang abang, tiba-tiba soal kahwin pula umi timbulkan. Tahukah Amsyar tentang perancangan umi?

"Dulu sayang. Semua itu rancangan yang dulu. Sewaktu babah masih hidup. Sekarang tidak perlu lagi. Qilah sudah pun jadi anak umi. Adik abang Am. Lupakan cerita lama. Umi tidak mahu mengehadkan pilihan hati anak-anak umi. Biar Allah yang tentukan semua itu. Yang paling penting kita semua sudah bersatu, jadi sebuah keluarga."

Lega rasa hati. Takut aku untuk memikirkan rancangan umi. Lepas satu demi satu kejutan yang aku terima. Mahu sakit jantung juga jawabnya. Cukup-cukuplah dengan kejutan. Lelah rasanya.

Azan Subuh berkumandang. Dan aku memandang umi. "Umi nak solat di sini ke? Kalau ya, gunalah bilik air Qilah. Qilah boleh tunggu." Aku membuka laluan buat umi. Dia ibuku. Ibu yang harus aku santuni, hormati.

"Terima kasih, sayang. Umi nak solat di bilik umi. Lagipun umi nak kejut ayah. Ajak ayah ke surau." Ameena bangun sambil tangan membawa telekung. Aku juga turut bangun untuk mandi membersihkan diri dan memperbaharui wudhu'.

"Umi ..." panggilku bila dia baru hendak mencapai tombol pintu. Dia menoleh. "Terima kasih. Qilah sayang umi."

Terkaku dia dipintu dengan pengakuanku. Aku juga tidak sangka yang aku mampu melafazkan sayang pada seorang ibu tiri. Air matanya mencurah turun. Aku menapak menghampiri dia lantas air mata itu kuhapuskan dengan jari-jariku. Tubuhnya kupeluk erat. Kubisikkan di telinganya. "Qilah sayang umi dunia akhirat."

Bertambah kuat esaknya. Dan, bertambah erat pelukan aku pada dia.

***

SUBUH itu aku rasa bertambah sihat. Tingkap bilik kubuka seluas-luasnya. Aku dengan dunia baruku. Kicauan burung jelas kedengaran. "Selamat pagi si comel," lambaiku pada sekawan burung pipit yang terbang keluar dari sarang. Tentu itu ibu dan ayah burung-burung comel yang keluar mencari makan untuk anak di sarang. Aku terus memandang sambil tersenyum.

Aku tiba-tiba teringatkan ayah. Setiap hari ayah tiada di sisi aku kerana ayah mencari rezeki. Tetapi aku yang tidak pernah menghargai. Inshaallah, aku akan berubah. Aku akan jadi seorang yang bersyukur. Menghargai setiap apa yang aku ada walaupun saudara tiri. Aku akan sayang semua orang. Aku tidak mahu lagi ada kesal dan rindu bila orang itu hilang. Sedangkan semasa keberadaannya aku langsung tidak menghargai.

Tudung berwarna merah muda kusarungkan ke kepala. Pelembap bibir kuoles lembut ke bibir agar aku nampak lebih segar. Tidak pucat lagi. Mata melirik ke arah jam di dinding di hadapan katil. Jam enam setengah pagi. Sebentar lagi tentu abang Am akan ke kuliah. Aku hanya akan pulang ke kolej esok. Itu yang surat sakit aku nyatakan.

"Assalammualaikum, abang Am," tegurku ceria ketika kami berpapasan di tangga. Terkejut dia dan hampir terjatuh buku di genggaman. Aku ketawa.

"Waalaikumsalam. Dah sihat?" tanyanya sebaris ayat. Mungkin untuk menutup rasa malu.

"Alhamdulillah. Inshaallah, esok Qilah akan pulang ke kolej."

"Ya. Abang tahu. Esok abang tak ada kelas. Abang akan hantar Qilah. Ayah mungkin tak sempat."

"Eh, tak payah susah-susah. Qilah dah biasa ambil Grab atau Uber."

"Ayah tak izinkan. Ayah dah serah amanah ini pada abang. Ok, Qilah. Abang pergi dulu. Tolong beritahu pada umi dan ayah, ya. Abang tak sempat tunggu umi dan ayah balik dari surau. Kelas abang mula jam lapan. Takut tak sempat. Dah lewat ni." Amsyar terus menuju ke pintu, menyarung kasutnya yang sudah tersedia.

Aku hanya termangu. Dia yang akan hantar aku?

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin