Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,549
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 9

BEG kertas warna merah hati yang dihulur oleh jururawat tadi kubiarkan sahaja di atas meja. Sudahku tahu apa isinya.

"Dalam beg ini ada tudung yang cik Aqilah minta. Abang cik yang hantar. Dia kata, kalau ada barang lain yang kurang, boleh telefon dia. Nombor dia ada dalam telefon cik Aqilah, kan?"

Aku hanya diam. Tidak mengiya mahupun menafikan. Entah bila masa aku ada menyimpan nombor telefon Amsyar. Aku capai telefon bimbit di sebelah beg kertas warna merah hati. Aku tatal sekali lalu nombor yang ada. Tidak berjumpa. Aku taip nama Amsyar. Pun, tidak ada. Aku taip 'abang'. Dan ...

Nama 'Abang Am' tertera di skrin telefon. Aku menarik nafas, dalam. Diakah yang memasukkannya? Iyalah agaknya. Skrin telefon aku tidak pernah kuletakkan kata kunci. Agar mudah bagi aku untuk menatal dengan cepat. Dan ternyata, mudah juga bagi orang lain untuk menatal sama.

Hmm ... entah apa yang Amsyar nampak dalam telefon aku ini. Privasi aku sudah dicerobohi! Sekejap. Balasankah ini? Balasankah kerana aku juga pernah mencerobohi privasi Amsyar? Menceroboh masuk ke dalam biliknya dalam keadaan dia yang ... Ah, abaikan! Sudah berlaku pun.

Aku meletakkan semula telefon bimbit di atas meja. Tiada apa keperluan untuk aku menelefon dia.

'Abang Am'.

Satu nama yang selama ini aku tidak pernah jangka akan muncul dalam hidup aku. Menjadi ahli keluarga aku. Menjadi 'abang' aku. Tidak pernah terlintas dalam benak ini untuk mempunyai abang. Dan, tidak pernah terfikir untuk aku memanggil Ahmad Amsyar sebagai 'abang'.

Mata aku berkalih memandang ke arah beg kertas warna merah hati. Tangan mencapai. Beg kertas sudah berada di atas riba. Aku menjengah ke dalamnya. Tangan menggagau mencapai sehelai tudung berwarna jingga muda. Lembut kainnya.

Aku sentuh atas kepalaku, lalu jari-jemari mula melurut helaian rambut yang lepas bebas mencecah jatuh ke bahu. Dalam wad ini hanya aku seorang. Ada dua katil tetapi katil sebelah lagi tiada pesakit.

Aku memandang ke sekeliling. Bola mata terhenti pada laci meja. Kutarik. Cermin bulat berdiameter enam sentimeter kuambil. Aku tatap wajah aku dengan rambut yang terurai. Tiba-tiba rasa malu yang teramat menyerbu ke wajah.

Leher dan atas dadaku yang putih terdedah. Degupan jantung mula berlari kencang. Allahuakbar! Selama ini ... Tapak tangan kiriku yang tidak memegang apa, kubawa lekap di dada. Menutup sesuatu yang selama ini sudah terdedah lama. Sudah menjadi santapan mata pelajar lelaki tanpa aku menyedari ianya aib yang perlu disembunyikan.

Aib yang di dalamnya terkandung maruah dan harga diri seorang perempuan. Kenapa aku tidak pernah perasan? Kenapa selama ini aku biarkan? Kenapa selama ini aku anggap itu semua hanya satu kebiasaan? Dan ...

Kenapa rasa malu itu baru kini bertandang?

Aku menghela nafas. Lelah rasanya dengan keadaan diri masa silam. Layakkah aku jika dibandingkan dengan Zinnirah? Gadis tawanan perang yang hidupnya dalam ketakutan tetapi kuat pula hatinya demi cinta yang agung kepada Islam. Aku menggeleng. Terlalu jauh perbandingan itu.

Aku juga gadis tawanan. Tawanan kepada kejahilan. Kini aku rasa bebas. Tiada lagi belenggu itu. Aku ingin menjadi Zinnirah. Tudung di tangan aku kembangkan.

Aku terlopong. Besar mataku memandang tudung di tangan. Sebesar bukaan tudung.

Amsyar! Dia ini memang nak kenakan aku ke, apa? Aku masukkan lagi tangan ke dalam beg kertas. Menarik lagi dua tiga helai tudung dari jenis kain yang sama. Aku kembangkan satu persatu. Mencari yang lain. Kalau-kalau ada saiz yang lebih kecil.

Tak ada?

Ya Allah. Kenapalah kau bawa tudung labuh ini untuk aku, Amsyar? Aku ... aku ... baru nak belajar pakai tudung. Aku baru nak belajar solat yang betul. Aku baru nak belajar mengaji Al-Quran. Mengenal huruf dan bacaan. Kalau aku terus-terus pakai tudung labuh ... tidakkah nanti ...

"Terima kasih ya, tolong serahkan barang pada adik saya."

Alamak! Amsyar dah sampai. Macam mana ni? Aku jadi kalut. Takkan aku nak menyusup masuk bawah selimut lagi. Aku pegang hujung rambut. Aku pandang tudung dua tiga helai di atas riba. Tudung yang labuh ya amat. Dan tanganku bawa melekap di dada.

Aku perlu buat sesuatu. Aku akan malu bila membiarkan Amsyar masuk dan melihat aku yang dulu. Yang menguraikan rambut dan mendedahkan pangkal leher begitu sahaja. Aku malu!

Pintu ditolak dari luar.

Aku panik!

"Nanti! Jangan masuk!" Entah kenapa tiba-tiba aku melontarkan larangan. Terhenti bukaan pintu dari luar. Aku lihat Amsyar menarik semula daun pintu. Walau tidak rapat tetapi cukup untuk mengelakkan dia dari melihat aku.

Bismillahirrahmanirrahim. Ya Allah, permudahkanlah urusanku. Dan tudung labuh berwarna jingga muda itu selamat kusarungkan. Menutupi kepala, batang leher dan dada sepenuhnya.

Hati rasa berdebar. Satu perasaan yang tidak pernah kurasa.

"Aqilah?"

"Ya, masuklah."

Perlahan-lahan daun pintu ditolak kembali dari luar. Amsyar melangkah masuk. Aku menunduk. Tidak mampu untuk menentang wajah Amsyar. Aku hanya melihat ke lantai. Aku nampak langkah kakinya terhenti hanya di depan pintu yang terbuka.

Dia hanya kaku berdiri.

Bila aku mendongak, aku lihat dia pegun. Berkerut mukaku. Tidak senang dengan cara dia memandang pada aku.

"Kenapa?" tanyaku mematikan renungannya.

Dia tersedar. Merah mukanya. Aku nampak halkumnya bergerak. Menelan liur dengan paksa. Dia menghampiri katil. Kerusi ditarik lalu dia duduk.

"Dah makan?" tanyanya sepatah. Memecahkan suasana janggal yang tiba-tiba muncul.

"Dah."

Aku lihat dia serba tidak kena.

"Ayah mana?"

"Ayah ada kes kecemasan. Ayah minta abang tolong tengokkan Qilah. Tapi, kalau Qilah rasa tidak selesa ... abang tunggu di luar sana. Sekejap lagi umi sampai baru abang balik."

Aku tak tahu nak balas apa. Aku rasa janggal sangat nak berdepan dengan abang tiriku ini. Kalau dulu, sewaktu aku masih tidak punya rasa malu tentu bukan masalah bagiku untuk berdepan dengannya. Dan mungkin dia juga tidak rasa janggal untuk berbicara.

Kedua-dua kami diam.

Seminit.

Dua minit.

Tiga minit berlalu begitu sahaja. Aku hanya memandang ke luar tingkap, sedang dia pula menatap telefon bimbitnya. Menatal entah apa.

"Qilah."

"Hmm ..." Aku berpaling memandang Amsyar.

"Maaf ..."

Berkerut dahiku.

"Buka telefon bimbit Qilah tanpa izin. Dan masukkan nombor abang ke dalamnya. Kalau Qilah nak padam pun, dah boleh. Tak ada apa yang perlu dengan nombor tu. Doktor kata esok Qilah dah boleh balik rumah."

"Oh, tak apa. Biarlah. Tak jejas apa pun," Aku memaksa senyum. Dalam hati ingin sekali melenting dan marah sebab privasi aku sudah dicerobohi. Tetapi entah kenapa hati aku begitu lembut dan tidak sampai hati.

"Ok tak, Qilah pakai tudung umi?"

Aku terdiam. Dalam hati sudah berbunyi, 'Kau rasa?' Tapi yang keluar di bibir pula nyata berbeza. "Err ... ok. Cuma besar sangat. Saya ... aku ...Qi ..." Allahuakbar! Apa yang aku cakapkan ini? Apa yang aku nak bahasakan diriku sebenarnya? Kenapa macam susah je nak berubah?

Dia tersenyum.

Aku capai bantal di belakang tubuh lalu kusembunyikan wajah di sebaliknya. Aku malu! Ya Allah Aqilah. Apa sebenarnya yang dah jadi pada kau? Sangat bukan kau! Aku tahu ini bukan aku. Aku seolah-olah terperangkap dalam tubuh orang lain. Nur Aqilah Najwa yang dulu bukan begini.

Nur Aqilah Najwa yang dulu tidak punya rasa malu untuk perkara sekecil ini. Selamba dan bersahaja. Tetapi sekarang? Apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa rasa malu itu hadir sehingga membalut ke seluruh hati, jiwa dan akal?

"Abang Am tunggu kat luar, ya? Kalau perlu apa-apa panggil," Amsyar menolak kerusi yang didudukinya ke belakang, lalu berdiri dan mula ingin melangkah pergi.

Aku turunkan bantal sedikit demi sedikit melihat belakang tubuhnya. Tiba-tiba dia menoleh. Dan aku pantas menekup kembali muka. Aku dengar dia ketawa.

Sebaik pintu ditutup, bantal kuturunkan sepenuhnya. Kutumbuk-tumbuk bantal yang tidak tahu apa. Ya Allah, kenapa dengan aku ini? Aku rasa aku terlebih dos suntikan. Lain macam sahaja perangai aku ini. Rasa malu berlebihan. Memang seronoklah Amsyar membahan aku bila aku sudah kembali seperti sediakala.

Bunyi dentingan dari telefon bimbit membuatkan aku berpaling. Cepat tangan mencapai telefon di atas meja sebelah katil. Lebih dari satu notifikasi yang masuk dalam kotak WhatsApp aku. Daripada siapa?

Amsyar!

Mata aku beralih ke pintu. Dia masih ada di luar sanakah? Kenapa perlu menghantar mesej? Aku tekan pada nama 'Abang Am' dalam senarai WhatsApp.

+Dik. Kenapa berubah?

+Jangan malu.

+Jangan kembali ke masa lalu.

+Itu hadiah Allah untuk Aqilah.

+Abang Am, abang Qilah.

+Sebut nama 'Qilah.'

+Lebih indah.

+Teruskan dengan tudung yang sekarang.

+Tak perlu rasa susah.

+Tak perlu fikir lagi.

WhatsApp daripada Amsyar buat aku terpana. Dia tahu apa yang aku rasa. Dia tahu kekangan aku untuk berbicara dengannya. Dan, mungkin juga kekangan dia untuk membicarakannya. Menghantar mesej lebih baik untuk kami berdua. Sekurang-kurangnya buat masa ini.

Masa di mana aku menjadi seorang Aqilah yang baru. Amsyar seolah tahu apa rasanya berada dalam dunia yang baru. Dunia hijrah buat seorang jahiliah seperti aku.

Aku tersenyum. Air di kolam mata menitis.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin