Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,554
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 8

"LAGU apa yang akak dengar tu?" Aku tidak mampu menahan rasa ingin tahu yang sedari tadi menyesakkan minda. Berkerut keningku bila pulang dari kuliah pagi halwa telinga disaji dengan suara dan ayat-ayat yang menusuk hati.

Pantas tangan Ashikin memadam suara radio. Dia nampak terkejut dengan kemunculan aku yang tiba-tiba. Oh! Aku lupa nak beri salam. Dan memanglah dia tidak jangkakan yang aku akan pulang ke bilik pada waktu-waktu begini sebab selalunya aku akan menghabiskan masa di perpustakaan.

"Lagu nasyid kumpulan UNIC. Dah lama ke Qilah balik? Maaf akak tak perasan," balasnya seolah-olah menjadi satu kesalahan pula untuk memasang lagu nasyid di bilik kami. Aku tidak kisah pun sebenarnya. Cuma lirik lagu itu ...

Aku meletakkan beg di kaki katil, lalu duduk menghadap Ashikin.

"Lagu tu tentang apa kak?"

"Hah?"

Aku tersenyum. Kenapalah Ashikin ini perlu terkejut bila aku bertanya tentang lagu nasyid? Aku menggeleng. Aku bukan seorang yang skeptical pada perkara berunsur agama. Orang je yang selalu berprasangka dan pandang hina pada orang macam aku.

"Tentang seorang gadis bernama Zinnirah."

"Oh, Zinnirah itu nama seorang gadis. Cantik namanya. Kenapa dengan dia?" tanyaku. Hebat sangatkah gadis ini sehingga namanya dipuja sehingga begitu sekali. Otak aku mula memainkan kembali lirik lagu Zinnirah yang sempat aku dengar.

Kau jadi impianFirdausi.

Sebaris lirik ini sudah cukup buat aku cemburu kepada gadis bernama Zinnirah yang namanya dilagukan. Masyarakat syurga menginginkan dia. Ah! Bagaimana dengan aku? Cemburu aku semakin memenuhi ruang dada. Entah kenapa perasaan sebegini perlu ada.

"Dia gadis berketurunan Rom dari keluarga yang miskin. Terpisah dengan keluarga sewaktu perang besar berlaku dan dijadikan tawanan perang. Dijual sebagai hamba abdi dan dilayan dengan kasar.

Dia mengenali Islam daripada salah seorang hamba abdi yang lain, lalu mula melafaz syahadah dan mempelajari Islam dalam diam."

"Kenapa dalam diam?" Hati aku tiba-tiba bergetar. Entah kenapa aku rasa aku sedang berada di dalam diri Zinnirah. Ketakutan menjalar. Kesejukan menyentuh urat sarafku. Bilik yang sepatutnya rasa panas berkuap yang anginnya hanya dari putaran kipas lama membuat aku rasa sebaliknya. Sungguh dalaman aku diserang hawa sejuk.

"Sebab ... tuan Zinnirah memusuhi Islam," terang Ashikin lembut.

"Kalau tuan dia tahu?"

Riak wajah Ashikin bertukar mendung. "Memang maut menunggu ..."

Aku telan liur. Susahnya hijrah orang zaman dahulu. Dada aku rasa dipalu. "Kak, ceritalah lagi." Aku mendesak. Cuba menguraikan debaran di hati. Aku ingin tahu kisah Zinnirah.

"Dia kemudiannya dijual lagi. Kali ini nasibnya lebih malang bila tuannya yang baru lebih hebat permusuhannya dengan Islam. Tuan barunya ini adalah seorang bangsawan Quraisy yang sangat berpengaruh. Namanya ... Umar Al-Khattab."

Besar anak mataku. Sakit rasa dada ini. Bukankah Umar itu antara sahabat Nabi? Berombak deras dada yang terus dipalu. Aku memang tidak tahu tentang kisah Zinnirah. Kisah para sahabat juga tidak banyak yang aku tahu sejarah.

"Ya, Qilah. Umar Al-Khattab yang membeli Zinnirah adalah Umar Al-Khattab yang sama, yang menjadi sahabat Nabi. Dan, Umar ini jugalah yang telah mengarahkan orang suruhannya yang lain untuk mengorek mata Zinnirah ..." suara Ashikin semakin basah.

"Kenapa?" tanyaku, geram.

"Pada waktu itu, Umar belum lagi memeluk Islam. Umar membenci Rasulullah SAW dan agama Islam. Bila mendapat tahu Zinnirah itu sudah Islam, dan mendengar pula Zinnirah membaca Al-Quran, Umar jadi lebih marah. Zinnirah dihukum dengan seberat-berat hukuman. Diikat Zinnirah di tengah padang pasir yang terik. Namun Zinnirah masih tidak berganjak pendiriannya. Dia terlalu sayangkan Islam. Kepatuhannya masih pada Allah yang Esa walaupun matanya buta dikorek hidup-hidup."

"Kejam!" terlepas kata-kata itu dari mulutku. Emosi menguasai. Aku menyimpan dendam pada kekejaman masa silam. Ada air yang mula terbit dalam kolam di mata aku yang merenung Ashikin di hadapan.

"Zinnirah dibeli oleh Abu Bakar As-Siddiq dengan harga yang tinggi. Sejak itu dia bebas beribadat. Qilah, mata dia ... bercahaya semula," Ashikin teresak dengan bibirnya membentuk senyuman bahagia.

"Be ... betul begitu?" tanya aku teruja. Aku memang tidak pernah tahu tentang serikandi Islam zaman silam.

Ashikin mengangguk laju.

"Allahuakbar!" Emosi aku bergoncang. Tersentuh dengan keajaiban yang Allah tunjukkan.

"Peristiwa ajaib ini menjadi asbab ramai orang Quraisy memeluk Islam. Dan dengan taufiq hidayah Allah, Umar juga akhirnya memeluk Islam."

Aku pandang Ashikin lama sebelum terhenjut-henjut bahu menahan tolakan hebat dalam dada. Hati aku jadi serapuh kaca. Terusik dengan kisah Zinnirah. Patutlah syurga Firdaus menginginkan dia. Air mata membasuh wajah aku. Aku tunduk dan menangis semakin laju. Aku ingin jadi seperti dia. Cabaran dia dalam berhijrah, dalam mencari Allah sangat hebat tetapi hatinya kuat. Aku?

Islam depan mata. Ilmu bersepah di mana-mana. Masa untuk bersolat dan membaca Al-Quran terhidang tanpa apa-apa kekangan. Jika ada pun hanyalah alasan ciptaan. Jangan hanya berbicara dan menyimpul impian untuk jadi seperti dia, Aqilah. Mana usaha, mana bukti yang kau ingin berubah?

Mati itu bila-bila menjengah.

Aku mula teringat perbalahan hati ketika ditegur mamat mata sepet semalam di tangga masjid. Aku kata pada diri yang aku perlukan masa. Ego menolak tepi teguran seorang pemuda. Hati mencipta prasangka mengukur tahap keikhlasan si dia.

Masa? Masa apa yang aku ada? Zinnirah berani merebut masa walaupun dia tahu ibadatnya dalam sembunyi dalam gelita taruhannya adalah nyawa. Aku? Apa lagi alasanku untuk berubah? Masa yang mana yang aku tunggu? Sesempurna mana ilmu yang aku perlu?

"Kak ... kenapa dengan Qilah ni? Kenapa kisah Zinnirah buat Qilah rapuh?" Aku menggogoi di pangkuan Ashikin bila aku rasa bahuku disentuh. Entah bila Ashikin menghampiri dan duduk di sebelah aku.

"Alhamdulillah jika itu yang Qilah rasa. Tidak semua orang Allah kurniakan rasa 'rapuh' itu tika mendengar kisah serikandi Islam zaman silam. Hati yang hitam, beku jika tidak mendapat hidayah Tuhan hanya menganggap ianya satu sejarah. Tidak lebih dari sebuah kisah seorang wanita tawanan perang.

Qilah ... tahniah dik. Allah pilih Qilah untuk punya rasa itu. Allah sayangkan Qilah."

Aku dapat rasa rambutku yang terurai dibelai Ashikin dan sekali-sekala terasa bibir Ashikin hinggap di pelipis kepala dengan titisan air mata.

Aku terus menghambur air mata sehinggakan aku rasa penat dan tertidur.

***

"QILAH dah sedar?" suara seorang lelaki.

Perlahan-lahan aku buka mata. Kepala masih rasa berat. Aku tutup semula. Aku dengar dia melepaskan helaan.

"Tadi dia ada celik sekejap," Aku dengar lagi suara yang sama. Bukan suara ayah. Aku rasa aku macam pernah mendengarnya.

"Tak apalah. Kalau dia sedar lagi, tolong panggil saya," suara wanita. Mungkin doktor atau jururawat. Aku dapat mengagak di mana aku kini. Setiap kali menangis banyak, di sinilah aku akan tersekat. Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba membuatkan kepalaku ringan.

"Qilah ..."

Aku buka mata. Wajah di hadapanku kabur.

"Qilah ..."

Aku cuba lagi. Semakin jelas. Dia ...

Ahmad Amsyar?

Terus tegak tubuh aku. Kepalaku raba. Mata aku memandang sekeliling. Mencari sesuatu yang penting pada aku.

"Qilah cari apa?" tanyanya sambil mata dia juga melilau ke sini dan sana. Seolah-olah turut membantu mencari sama.

"Tudung ... tudung saya mana?"

Berkerut dahi Amsyar. Dia memandang aku dengan pelik. Dan ... aku sendiri tiba-tiba tersedar, sebelum aku menyembunyikan diri di dalam selimut.

"Qilah ..." panggilnya. Dari nada suara aku boleh rasa yang dia sedang tersenyum.

"Pergilah Amsyar!" Aku bersuara dalam selimut. Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa yang selama ini aku memang tidak bertudung. Dan, macam mana pula aku boleh terlupa yang aku tidak pernah menghormati dia sebagai abang tiriku? Tidak pernah aku membahasakan diri 'saya' pada dia. Hanya ber'aku-kau' sahaja sejak aku pulang ke rumah tempoh hari. Apa kena dengan aku ini?

"Aqilah ..." suara lain pula menyapa. Suara seorang perempuan. Aku menolak selimut. Perlahan-lahan kepalaku keluarkan. Aku memandang sekeliling. Tiada Ahmad Amsyar.

Doktor Emelia.

Itu yang tertera pada tanda namanya. Dia tersenyum melihat tingkahku.

"Abang Aqilah balik sekejap. Petang nanti dia datang semula. Macam mana? Masih pening lagi?"

"Err ... dah berkurang," balasku malu.

"Saya nak ambil tekanan darah Qilah, ya?"

Aku hanya mengangguk tanpa bicara. Perasaan malu aku menggunung secara tiba-tiba. Seolah-olah aku ini bukan Nur Aqilah Najwa. Aku ... seperti orang yang mati dan dihidupkan semula dalam tubuh yang berbeza.

Mengapa?

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin