Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
2,254
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 1

AKU melihat wajah Airin dengan tudung bawal bercorak love, warna jingga, dari sisi. Leka sungguh dia dengan novel 'Written in Bone,' oleh Simon Beckett. Tidak perasan yang aku sedang memandang dia. Telinganya sudah disumbat dengan earphone.

Aku melihat pula pada muka jam di pergelangan tangan kiri. Ah, ada lagi setengah jam untuk kuliah seterusnya! Kenapa perlu ada masa senggang? Kenapa tidak diteruskan sahaja jadual selepas subjek sebelumnya? Buang masa betul. Tetapi kalau aku cakapkan perkara ini pada Airin, lain pula pendapatnya.

"Eh, mestilah kena ada gap. Gila kau! Bengong otak aku kalau disumbat berterusan dengan bebelan pensyarah. Sekurang-kurangnya lima belas minit atau lebih cun kalau satu jam, untuk aku mengadap novel atau makan, atau cuci mata kat dataran."

Aku cuba mencerna apa yang Airin kata.

Baca novel? Untuk jangka waktu singkat? Aku tak minat. Aku jenis yang tak sabar untuk tahu kesudahan cerita. Bila aku sudah mula membaca, aku susah untuk berhenti. Kalau aku nak membaca, aku akan baca pada waktu tengah malam hingga ke pagi. Habis satu novel. Baru puas hati.

Makan? Pagi-pagi dah makan, kenapa nak kena makan lagi waktu ni? Terdera usus aku ...

Cuci mata? Cuci dengan apa? Aku melihat sekeliling. Liar memainkan anak mata. Kiri, kanan, bawah, atas ... eh, cantiknya awan pada waktu-waktu begini. Macam-macam bentuk ada. Comel macam teletubbies pun ada ... kuda terbang, naga ... aku terbuai.

"Qilah ... hujung minggu ni Qilahbalik ya. Ayah nak kenalkanQilah dengan umi dan abang."

Zap!

Kata-kata itu memotong kecantikan awan di biasan mata. Membunuh teletubbies aku yang comel, yang sedang melompat-lompat di dada langit. Meninggalkan hanya luka. Aku benci ayah! Benci! Benci!

"Wei, apa ni Qilah!" Airin tampar tangan aku.

"Kau tak layan aku. Aku bosan," sempat aku mencubit pipi Airin yang bermuka masam bila earphone dalam tudungnya aku tarik. Aku cuba larikan fikiran dari mengingati ayah dan kata-katanya. Aku benci!

"Kau apahal tak dengar lagu pulak hari ni? Selalunya telinga tu tersumbat sepanjang masa?" Airin sudah menyumbat semula earphone yang terjuntai ditarik oleh aku. Tanpa menunggu jawapan, dia kembali ralit membaca.

Jam di tangan, aku belek. Mati ke jarum jam ni? Macam tak berganjak je?

"Qilah mesti suka umi. Dan Qilah mesti suka abang. Dia boleh jadi kawanQilah. Qilahbalik ya, minggu ni?"

Aku tak suka betul bila dalam keadaan aku yang tak buat apa, tak fokus pada satu-satu kerja, suara ayah pasti menyibuk masuk dalam minda. Aku pejam mata sambil tubuh sudah kusandarkan ke batang pohon Cempaka. Sebelah lutut sudah kunaikkan.

Aku peduli apa kalau orang nampak tak sopan pun. Asalkan aku selesa. Rambut yang terbang ditiup angin aku cekak sebelum aku ikat satu. Ikatan ponytail. Mata tiba-tiba tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang berjalan menuju ke arah aku dan Airin. Eh, ya ke? Betul ke dia tu berjalan ke arah aku? Ah! Tak kisahlah.

Hmm ...

Aku tersenyum. Lutut yang ternaik tadi sudah kuturunkan. Aku sekarang dalam keadaan sopan. Sangat sopan. Kain baju kurung juga sudah kutarik dan kubetulkan. Semakin lebar senyuman aku lemparkan pada jejaka yang sedang berjalan semakin hampir dengan tempat duduk aku.

Aku menganggarkan ketinggiannya melebihi enam kaki. Seluar jeans yang dipakainya berwarna biru lusuh. T-shirt berkolar warna biru jernih yang sama warna langit, tersarung elok ditubuhnya. Kemas dan segak walau bukan dari jenama popular.

Sesekali beg sandang yang tergantung di bahu kanan, dibetulkan. Dia juga tersenyum pada aku. Dan, tak berkelip mata aku memandang dia. Dia semakin hampir. Aku tambah lagi gula dan madu dalam senyuman. Biar cukup manisnya. Menyengat, memikat!

Nampaknya dia juga tidak mahu mengalah. Tersenyum juga. Entah berapa camca gula dia tambahkan dalam senyumnya. Hmm ... melawan ya? Semakin hampir dan ... semerta aku kalihkan bola mata memandang pada awan di dada langit. Senyuman di wajah sudah aku padam. Tiada gula, madu dan senyuman. Dia kini sudah berdiri di hadapan muka.

"Assalammualaikum," suara serak seorang lelaki menyapa gegendang telinga. Sedap juga suara budak ni!

"Err ... waalaikumsalam," balasku sambil mata merayap ke setiap inci wajah yang pertama kali aku lihat. Airin di sebelah sudah terkulat-kulat. Emm ... budak seorang ni pantang tengok mamat hensem. Mula jadi ulat.

"Kita pernah kenal ke?" soalnya masih tersenyum.

Siku aku sudah ditolak-tolak Airin. Aku buat tak tahu. "Tak, kottt..." panjang 'kot' aku.

"Tapi tadi ...." Senyuman di wajahnya sudah beransur pergi. Mata sepetnya nampak bertambah sepet bila dahinya berkerut.

"Ya? Tadi apa?" Aku hadiahkan dia dengan riak wajah berkerut juga, tanda aku tak faham maksud.

"Bukan ke tadi ... awak pandang dan senyum pada saya?" tanyanya dalam kalut.

"Eh, ada ke? Awak pasti ke yang saya pandang awak dan senyum pada awak?" Dan aku dapat rasakan tangan Airina sibuk menyinggung-nyinggung tubuhku. Minta penjelasan. Ish, sabarlah cik Airin oii ... aku mulai bengang.

"Err ..." dia teragak-agak.

Aku dengan muka berkerut mula mengangkat kening, konon-konon menanti penjelasan terhadap kenyataannya.

"Err ... tak apalah cik. Saya minta maaf. Saya silap," Dia tersenyum malu sebelum berlalu menuju ke bangunan perpustakaan di belakang aku dan Airin.

Aku menoleh ke belakang, lalu tersenyum nakal.

"Kau kenal dia ke?" Airin mula bertanya. Memang sejak tadi dia menunggu masa untuk bertanya. Cuma aku sahaja yang tak layan. Padan muka! Tadi tak nak layan aku sangat. Sibuk layan lagu dengan novel dia tu. Hah! Ambik kau. Sekarang giliran aku pulak.

"Wei, aku tanya ni. Kau kenal dengan budak tu ke?" Airin mendesak. Aku hanya tersenyum sinis.

Buk!

"Sakitlah, Airin. Kau ni sibuk tanya aku kenal ke tidak kenapa? Baca je lah novel kau tu. Tak payah tahu," sengaja aku bagi Airin panas. Sambil tangan menggosok bahu yang dipukul oleh Airin dengan buku novelnya. Aku menyorok senyum.

"Boleh tahan mamat tu," Airin menoleh ke belakang.

"Tak payah nak cari. Dia dah masuk ke dalam perpustakaan," balas aku sambil melihat jam di tangan.

"Eh, jomlah. Dah nak mula kuliah ni," Aku capai beg sandang dan mula berdiri membetulkan pinggang yang lenguh dan baju yang dah mula berkedut.

Airin juga capai beg dan mula berdiri di sebelah aku.

"Kau main-mainkan dia ke?" Airin bertanya sambil kami berjalan beriringan ke dewan kuliah.

"Hmm ... oklah tu, kau dah dapat jawapan. Tak perlu aku jelaskan," balasku tanpa perasaan.

"Kau kenapa? Asyik kacau orang je? Kau ... ada masalah ke?"

"Tak. Tak ada masalah. Saja je ..." Aku tersenyum pada Airin di sebelah sambil kaki sudah melangkah masuk ke dalam dewan. Muka bahagia aku pamerkan. Senyuman manis aku lontarkan.

Terhenti langkah Airin. Berkerut mukanya dan dia menggeleng sebelum mengikut langkahku.

***

BENCI! Benci! Tak payahlah nak paksa aku. Kalau aku tak nak balik, suka hati akulah. Kau dah ada bini baru, anak baru ... tak payahlah nak kisah dengan aku lagi. Tak faham betullah.

Aku baling Iphone6 yang baru padam itu ke atas tilam.

"Qilah balik ya, sayang. Umi dan abang nak jumpa Qilah."

Masalahnya aku tak nak jumpa diaorang! Tak nak! Tak faham ke? Yang sibuk sangat telefon aku banyak kali ni, kenapa? Selama ni tak ada masa pun nak telefon aku tanya khabar? Sekarang ni kenapa banyak masa? Semata-mata nak aku balik rumah? Nak jumpakan aku dengan bini baru dia? Anak baru dia?

Aku capai bantal dan aku baling ke dinding. Beg sandang yang penuh dengan buku dan alat tulis aku tarik dan campak pula atas lantai. Berterabur semuanya bila beg sandang yang tidak berzip itu terhempas, lalu memuntahkan isinya. Terpelanting separuh di bawah kaki aku dan separuh lagi di bawah kaki katil milik Ashikin, rakan sebilik yang belum pulang dari kuliah.

Kenapa nak aku balik? Kenapa sibuk nak kenalkan aku dengan keluarga baru kau? Kau dan mama sama sahaja! Tak pernah anggap yang aku ni wujud. Kalau ada pun hanya seperti anak patung, yang tak ada perasaan. Tak ada jiwa. Tak perlu tahu apa yang berlaku. Tak perlu tanya pendapat aku. Apa yang aku fikir, rasa ... tak penting! Semua buat keputusan sendiri. Kau dan mama tak pernah nak peduli. Aku benci kau!

Dadaku berombak kencang.

Tercungap-cungap menghambur marah. Turun naik nafas begitu cepat. Mata aku yang terbelalak, memandang pada lantai yang bersepah. Bercakap dalam hati. Menyumpah, melepas amarah. Rambut yang berserabai dah macam pontianak kesiangan aku biarkan. Nafas masih lagi turun naik. Laju. Tangan, aku tekankan pada tilam. Menahan gigil yang tidak tertahan.

Dum!

Kerusi di depan meja tulis pula kusepak. Terpelanting kerusi yang tidak bersalah itu menghentak ke daun pintu. Puas! Dan, nafas aku bertambah mengah. Penat merampus dengan orang yang tiada depan mata. Cadar kugenggam. Geram! Dan, kutarik sekuat tenaga sehingga tercabut sebelum aku berdiri dan menghempas gulungan cadar itu ke lantai.

Argh! Aku benci dengan hidup aku.

Kenapa aku tak boleh ada mama dan ayah yang normal macam orang lain? Kenapa mama dan ayah perlu bercerai? Kenapa mama pergi dan tak pernah balik ke Malaysia lagi? Aku ni tak wujud ke?

Yang ayah pulak kenapa tak sampai setahun bercerai dah cari lain? Tak boleh tahan nafsu ke, apa? Pentingkan diri sendiri. Huh! Benci! Benci! Benci! Aku menghempas diri ke atas tilam. Menekup muka dalam keadaan meniarap. Bantal pengalas kepala aku tumbuk dan tumbuk. Aku menangis, muka tersembam di dada bantal.

Dan, tiba-tiba aku rasa sesak, mencungap. Aku kembali duduk. Aku lemas. Dada berombak ganas. Lelah ya amat. Dan, aku cuba mengatur kembali nafas. Kutarik dan lepas ... perlahan-lahan. Sehingga aku rasa ... tenang. Dan air mata menitis ...

Mama ...

Ayah ...

Kenapa lahirkan Qilah kalau nak buat Qilah macam ni? Emosi marah aku mula mengendur. Aku dah penat. Dada rasa sangat padat. Kepala mula berat. Aku pejamkan mata dalam keadaan duduk di atas katil, bersandar di dinding. Dua kakiku lipat ke dada, kupeluk. Aku menyorokkan wajah ke lutut. Terasa bumi di sekelilingku berpusing laju.

Aku cuba celik tapi tak mampu. Rasa seolah-olah kepala menanggung batuan berat. Pelipis kupicit dan perlahan-lahan aku bangkit. Melawan rasa sakit. Merangkak turun dari katil. Menggagau mencapai beg sandang yang isinya sudah bertaburan. Kupejam-celikkan mata cuba melihat barang-barang yang berterabur.

Ah! Saat macam inilah dia nak hilang pula. Aku terus meraba. Jumpa! Aku genggam botol putih di tangan dan sebelum kubuka penutupnya, aku teringat ... Air? Mana pulak aku letak air? Aku bangun dengan payah menuju ke meja tulis. Rasa berpinar mata aku, pusing kepala aku. Tak jejak rasanya tapak kaki ini. Melayang macam orang mabuk todi.

Berbalam kupandang botol mineral di atas meja tulis. Botol putih yang berisi paracetamol kubuka. Kucurah semuanya di tapak tangan. Aku tak tahu berapa biji. Hanya segenggam dan aku campak dalam mulut. Kepalaku berdenyut hebat. Air mineral kuteguk rakus.

Dan, aku menghenyakkan diri, baring di atas tilam. Aku bukan sengaja ingin menangis... tapi aku geram. Dan tangisan yang berpanjangan buat kepalaku berat. Melayang. Dan, sekarang aku hanya ingin melelapkan mata. Aku ingin berehat... aku benci dunia. 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin