Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
2,254
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 7

"ANAK-ANAK, solat itu adalah satu talian langsung di antara hamba dengan Penciptanya. Beratnya Solat mengatasi ibadah yang lain," lembut suara Ustaz Hadi menyapa halwa telinga. Sejuk rasa hati aku.

"Takrif solat dari segi bahasa Arab bermaksud 'Doa'. Dan, dari segi syarak pula ialah perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbiratulihram dan diakhiri dengan salam, dengan syarat-syarat yang khusus," sambungnya lagi.

Entah mengapa, pengisian Ustaz Hadi pada malam ini yang dibuat di ruang solat, masjid Al-Fayd - masjid dalam kampus, buat aku terpana. Membaca sahaja memang tidak cukup. Ianya membuatkan aku mencipta fahaman sendiri. Belajar daripada seorang guru rupanya membuat kita lebih mudah faham dan hadam. Lebih-lebih lagi untuk orang seperti aku yang jahil dan baru nak kenal agama.

"Akujanji solat yang biasa kita lafazkan ada disebut dalam Surah Al-An'amayat 162 yang bermaksud,

Katakanlah, sesungguhnyasolatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhansemesta alam."

Oh, itu maksudnya. Aku tahu baca sahaja tetapi maksudnya aku tidak pernah hendak ambil tahu. Orang solat, aku solat. Kalau tidak solat, nanti orang akan samakan aku dengan orang kafir pula. Tapi solat aku sekarang mengikut rukun tanpa mendalami maksud setiap lafaz. Sebab tu agaknya perangai aku masih macam ini. Ikut kepala batu dan dendam yang tidak berkesudahan.

"Kenapa agama suruh kita bersolat?"

Soalan Ustaz Hadi menerjah minda. Aku cuba menjawabnya tetapi soalan kedua pula tiba.

"Dan, kenapa kita bersolat?"

Soalan kedua daripada Ustaz Hadi buat aku pening. Berbalik-balik soalannya. Bunyi macam sama sahaja. Aku mengerling pada Airin di sebelah. Huh! Celik pejam, celik pejam budak seorang ni. Kalau aku sergah nanti, melatah panjang pula. Tak pasal semua orang pandang. Ah! Lantaklah kau Airin. Kau dah pandai pasal solat. Aku sahaja yang kurang ilmu.

"Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Solat itu membezakan di antara orang Islam dan bukan Islam. Solat juga menguji kepatuhan seorang hamba terhadap suruhan Tuhan. Adakah itu sebabnya kita bersolat? Ya. Untuk soalan pertama saya, tetapi bagaimana dengan soalan kedua? Tanya diri kita kenapa kita bersolat."

Aku terus hanyut dalam memikirkan soalan dan jawapan daripada Ustaz Hadi.

"Pernahkah kita rasa sesuatu yang lain dalam hati kita, dalam diri kita bila kita meninggalkan solat?" Ustaz Hadi melontarkan soalan ketiga pula.

Aku menghela nafas. Tertunduk dan tanpa sedar turut mengangguk. Air jernih memenuhi tubir mata. Soalan Ustaz Hadi buat hati aku yang sedia rapuh, tersentuh.

Ya. Ada. Memang ada. Aku dapat rasa sesuatu yang lain sepanjang aku meninggalkan solat. Rasa kehilangan. Rasa kekosongan. Dan rasa ... tak punya apa.

Kenapa aku bersolat? Sebab agama suruh? Ya. Dulu. Tetapi sekarang kenapa aku bersolat? Sebab aku mencari DIA. Sebab aku perlukan pertolongan DIA. Sebab aku ... aku rasa kosong. Setitis lagi mutiara berharga dalam takungan mata gugur.

Aku tak tahu nak buat apa sebenarnya. Jiwa aku tiada apa. Jadi aku solat. Aku ikut apa yang kak Shikin cakap. Dan, aku berharap agar dengan solat ini hati aku terpupuk. Biar lebih lembut dan mengikut. Ya. Itu sebabnya aku bersolat. Hmm ... aku mula faham dengan soalan kedua Ustaz Hadi, tadi.

Ada dua alasan yang membuatkan seseorang Muslim itu bersolat. Satu, sebab ianya tuntutan agama. Dua, sebab muslim itu ada niat dan hajat yang ingin dicapainya. Hmm .. mungkin itu juga sebab ada banyak jenis solat, fikirku. Orang biasa akan amalkan solat lima waktu yang wajib. Orang luar biasa akan buat solat-solat lain demi satu niat dan hajat.

Niat dan hajat yang pelbagai. Untuk dunia dan yang pasti untuk akhirat juga.

Aku?

Masih bertatih untuk belajar solat dengan sempurna. Jadi aku hanya bermula dengan solat fardhu. Tetapi ianya dengan niat yang satu. Demi kasih sayang DIA. Keperluan solat aku lebih daripada sekadar kepatuhan seorang hamba kepada Tuhannya. Aku ingin jiwa kosong ini diisi dengan kasih sayang DIA yang selama ini sentiasa ada tetapi tidak aku rasa.

"Hoi, Airin! Bangunlah," Aku cucuk bahu Airin yang matanya terpejam, mulutnya sedikit terbuka. Huh! Duduk bersila pun boleh lena. Elok je pulak tu tegaknya. Tak tumbang! Aku tersenyum. Terbayang Airin yang dah macam patung di tokong-tokong orang Siam yang banyak dalam dokumentari di tv.

"Hah, apa dia? Dah siang ke?"

Pap!

"Aduh!" terus terbuka mata Airin. Dia memandang sekeliling sambil tangannya menggosok-gosok pehanya yang menjadi tempat hinggap tanganku. Harap tak lebamlah peha budak seorang ini kutampar.

"Kuliah dah habis. Manusia-manusia dalam masjid pun dah semakin menyusut, balik ke kolej masing-masing. Kau nak bermalam kat sini ke?" Aku bertanya dengan nada mendatar.

Terpinga-pinga seketika Airin. Dia memandang sekeliling. Beberapa lampu di atas kepala kami sudah pun terpadam. Di bahagian muslimah hanya tinggal dalam lima ke enam orang sahaja termasuk aku dan Airin.

"Kenapa tak kejut awal-awal?"

"Aku ingat nak biar sahaja kau bertapa kat sini," balasku mula bangun dengan beg sudah kusandang di bahu. Membiarkan Airin yang masih dalam kedudukan bersila menghadap ruang solat yang mulai kosong. Bibirku sudah menyimpul senyum bila melihat wajah Airin yang ... hmm ... sememeh! Nampak sangat tidak senonoh kawanku yang seorang ini.

"Eh, tudung aku ok tak Qilah?" Airin sudah mula bangun sambil menjadikan tangan aku tempat berpaut.

"Beratlah kau ni!" rungutku bila terasa urat tangan menegang di tarik si Airin sengal. "Pada aku ok je tudung kau tu. Tak payahlah nak kisah sangat. Orang kalau dah cantik, pakai macam mana pun tetap cantik. Lagipun, dah pukul sepuluh malam ni. Dah gelap kat luar tu. Kau nak tayang muka pada siapa?"

"Hah? Dah lewat. Jom-jom. Nanti makin tak ada orang. Masjid ni orang kata salah satu tempat yang menyeramkan juga," Airin tarik tangan aku diseretnya keluar ke pintu besar. Memang hanya dua tiga kerat sahaja manusia yang tinggal.

Aku hanya menurut.

"Airin, apa maksud kau masjid tu salah satu tempat yang menyeramkan? Bukankah masjid itu rumah ibadah? Tempat orang solat dan baca Al-Quran? Tempat orang melaungkan azan? Dan bukankah hantu syaitan takutkan azan dan alunan ayat-ayat Al-Quran?" tanyaku pada Airin yang sudah mula menyarung sandal.

Aku duduk sebentar di tangga masjid. Masih memeluk beg berisi telekung dan buku catatan.

"Kau tak tahu?"

Aku menggeleng.

"Benda-benda ghaib ni pun makhluk Allah. Memanglah hantu syaitan tu takut dengan ayat Quran dan laungan azan. Tetapi aku selalu dengar kat masjid dan surau-surau pun ada makhluk-makhluk ini menumpang. Syaitan itu lagilah. Kat mana-mana mesti ada dia. Kalau tidak, masakan ada yang tertidur waktu kuliah agama, waktu khutbah Jumaat dibaca ..."

Tiba-tiba Airin terdiam. Aku tersenyum. Dia baru tersedar yang dia juga tadinya hanyut dalam lena didodoi bisikan syaitan di dalam masjid sehingga tertinggal pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Hadi.

"Jom!" Airin menarik tanganku.

"Sekejap, aku nak simpan tudung dalam beg," balasku sambil mencabut tudung di kepala. Terurai rambut hitam keperangan yang tidak kuikat. Terdengar keluhan kecil dari bibir Airin. Tetapi bila aku memandang pada dia, dia memaksa senyum.

Tudung bawal berwarna kelabu kosong itu kulipat elok dan kusimpan dalam beg. Airin sabar memerhati.

"Kenapa tak tunggu sampai ke kolej baru dicabut tudung tu?" tiba-tiba satu suara serak menyapa. Pantas aku menoleh.

"Allahuakbar!" Airin melekapkan tangan di dada. Dia memejamkan matanya dua saat sebelum dilibasnya beg ke muka orang yang menyapa tetapi nyaris tidak kena. Kalau tidak tentu lebam juga. "Boleh bagi salam tak? Sudahlah bunyi tapak kaki pun tak kedengaran, tahu-tahu muncul je kat depan ni."

Aku ketawa. Padan muka mamat mata sepet ni!

Tetapi dia langsung tidak menghiraukan kata-kata dan libasan beg Airin. Dia hanya memandang Airin sekilas sebelum kembali memandang aku yang masih duduk di tangga dengan rambut yang kuselit di celah telinga.

"Awak tak jawab lagi soalan saya."

"Saya memang tak pakai tudung. Awak pun tahu, kan?" balasku sambil mula bangun dan menjauhi mamat mata sepet. Tangan kananku sudah melilit pada tangan kiri Airin. Bersedia untuk melangkah pergi. Aku hanya memandangnya dengan jelingan sebelum kaki melangkah. Airin juga.

"Aqilah ..." Dia berjalan sama. Beriringan dengan aku dan Airin.

Aku buat tidak faham. Aku biarkan sahaja dia mengikut rentak langkah kami.

"Awak lebih cantik bila bertudung."

Terhenti langkah kakiku. Aku menoleh memandang dia. Ayat klise seorang lelaki yang nak tunjuk alim, yang kononnya mampu mencairkan hati seorang perempuan dengan teguran yang acah ambil berat akan khilaf. Tetapi, maaf. Aku bukan perempuan itu.

"Awak ingat, kalau awak puji saya, saya akan sarung semula tudung ini di kepala? Awak ingat saya akan cair dengan pujian klise yang awak bagi itu? Saya tidak perlukan ayat awak untuk pakai tudung. Ayat awak tak cukup kuat untuk tarik perhatian saya," kataku, sinis.

Ya, aku akan pakai tudung. Tutup aurat dengan sempurna. Tetapi bukan sekarang. Dan mungkin niatku itu akan jadi lebih lambat bila ada yang menegur. Ego aku tercalar dengan teguran sedemikian. Aku bukan kekasih dia. Aku bukan ibu atau adik dia. Tidak perlu dia nak tegur aku.

Aku sedang menggali ilmu agama. Aku sedang cuba mendekati DIA. Jangan sentuh hak privasi aku buat masa ini. Aku tidak ingin rasa 'terpaksa'. Aku ingin kesedaran itu lahir dari dalam diri aku sendiri. Bukan sebab sesiapa. Dan, aku tidak nampak keikhlasan dia dalam menegur aku.

Dia tersenyum. Eh, tak rasa apa-apa ke? Tak malu? Tak sentap ke dengan sindiran aku?

Tiba-tiba dia bacakan satu ayat Al-Quran padaku sehingga aku terpinga-pinga. Aku langsung tidak faham apa maknanya. Entah ayat dari surah mana. Dan dia perasan tentang kekalutan aku.

"Surah Al-Ahzab. Ayat 59. Makna? Cari sendiri! Assalammualaikum," Dia berlalu pergi.

"Itu bukan mamat kat dataran tempoh hari ke?" Airin mencuit tangan aku.

Aku diam membantu. Tanpa sedar aku menggigit bibir bawah aku sehingga berdarah. Dia mempermainkan aku. Huh! Balik nanti aku kena buka tafsir cari surah dan ayat yang diberi si mamat mata sepet ni. Kalau tidak tentu hati aku tidak akan tenang. Entah apa maksud ayat itu. Kurang asam! Niat nak kenakan dia tapi, aku pula yang terkena.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin