Home Novel Cinta REEV
Bab 8

Usai mengambil makanan dan air kosong yang disediakan, aku berjalan menuju ke arah meja yang sering menjadi port aku makan. Shakira sudah berada disitu. Sambil tersengih, dia melambaikan tangan menggamit aku kearahnya. Aku bersikap selamba seperti biasa. Masuk hari ini sudah tiga hari Shakira duduk semeja denganku. Gadis itu benar-benar mengotakan janji seperti diucapkannya kelmarin. Tanpa sepatah bicara mahupun senyuman aku duduk bertentangan dengannya. 

"Aku suka tengok kau pakai tudung warna ni. Sesuai dengan warna kulit kau." Aku mengangkat wajah tatkala mulut sedang mengunyah makanan. Raut yang sentiasa cantik itu tersenyum kepadaku. Aku menunduk sebentar memerhati tudung bawal berona pic lembut yang disimpul hujungnya merupai bentuk ekor ikan bawal yang dipadankan dengan sehelai kemeja berlengan panjang bercorak polka dot. Setiap kali aku bersiap ke pejabat tak pernah terdetik difikiranku untuk mendapat sebarang pujian diatas penampilanku. Cukuplah aku berasa selesa dan mudah untuk bergerak di dalam persalinan yang aku kenakan. 

"Itu pujian. Ada orang selalu salah faham. Selalu fikirkan ianya tentang warna kulit." ulas Shakira lagi seakan membela diri. Walhal, kata-katanya sebentar tadi bulat-bulat aku terima sebagai pujian. Tidak sempat untukku hadamkan dengan erti yang berlawanan. Mindaku ketika ini sesak memikirkan permintaan pengurus kilang di awal waktu berkerja pagi tadi. Aku diminta bertukar sementara ke Kota Tinggi. Di sana, sebuah cawangan baharu akan mula beroperasi dalam masa tidak sampai dua bulan. Memandangkan aku di antara orang lama di kilang ini, mereka berhasrat menggunakan pengalaman yang aku miliki bagi memudahkan kelancaran di awal operasi. Hmm.. Bukan aku tidak mahu. Ianya merupakan peluang besar bagiku. Peluang menambah pengalaman dan juga kenaikan gaji. Siapa yang tidak mahu melepaskan peluang yang jarang sekali muncul itu. Namun, memikirkan Tok Wan dan Azran yang bakal ditinggalkan untuk beberapa bulan, separuh jiwaku mula membuat perhitungan. Berasa berat untuk berpergian. 

"Ejekan dan pujian. Dua-dua aku terima. Aku dah biasa." tuturku seraya membuatkan Shakira melopong seketika. Namun, cepat-cepat dikawal reaksinya itu dengan menyedut minuman dihadapannya.  

"Tapi aku memang puji tadi. Takde niat nak ejek atau sindir atau apa-apalah." bela Shakira lagi. Aku menjungkitkan bahu. Enggan mengulas pendiriannya itu. Hal kecil. Buat apa diperbesarkan. 

"Kau ke Kota Tinggi, kan?" Aku tergamam sejenak. Macam mana dia tahu? Padahal, menurut Encik Faiz iaitu pengurus kilang, perkara ini merupakan hal yang sulit. Aku memandang sekilas ke arah Shakira. Selamba sahaja wajahnya ketika ini. Menyuap makanan menggunakan sudu sambil sesekali menyedut minuman. Tetapi, aku tak mampu melawan firasat yang mula menaruh rasa curiga terhadap gadis itu. Salam perkenalannya aku boleh terima. Niat untuk bersahabat juga masih aku terima. Namun, apabila hal ehwal sulit begini dapat diketahui oleh gadis itu, sudah tentu aku harus membuat sempadan. Takkan pisang berbuah dua kali. Aku serik! Kealpaan lalu buatkan aku sering beringat. 

"Tak elok makan sambil bersulam minum air. Nanti buncit perut tu." ujarku. Sengaja menukar topik perbualan demi mengelakkan dari memberi jawapan kepada pertanyaannya sebentar tadi. Lagipun, jawapan yang pasti belum berada di dalam genggaman. 

"Oh, iye eh? Aku tak pernah tahu pun. Thanks." sahut Shakira sambil tersengih. Aku tidak memberi sebarang respon. Sebaliknya terus menyambung kembali menikmati hidangan. 

"Walaupun kau tak banyak cakap, tapi aku still suka duduk dekat sini. Kalau duduk meja belakang tu takde hal lain selain membawang aje kerja diorang. Acapkali, rimas jugak." cerita Shakira. Dengan wajah yang masih menunduk, aku mengiyakan kata-kata Shakira itu di dalam hati. Dua buah meja yang terletak dibahagian belakang menjadi tempat makan wajib untuk staf pejabat. Dahulu, aku juga penghuni tetap salah satu meja itu. Selain berbual kosong dan berkongsi pendapat tentang isu kerja masing-masing, perbualan berkaitan gosip tidak lari dari tajuk utama. Ada sahaja cerita yang mahu dikongsikan. 

"Ada seseorang yang buatkan aku rasa terkilan." ujarku. Segera menarik perhatian Shakira. Ah, dari gerak geri begitu aku sedar memang patut aku berwaspada. Shakira masih diam menatapku. Barangkali tak sabar mahu mengetahui dengan lebih lanjut. Namun dikawal perasaannya kerana tidak mahu ianya kelihatan terlalu menonjol. 

"Kak Mar." sahutku lagi. Aku menggigit-gigit lidahku sendiri. Ketika nama itu aku sebutkan wajahku masih menunduk sambil tangan menguis-nguis makanan yang hanya sedikit sahaja berbaki. Sebelum ini aku pernah berjanji pada diri sendiri untuk tidak lagi menyebut akan nama itu. Mengungkapkan nama itu sahaja hanya mencalarkan lagi luka lama yang sedang berusaha untuk pulih. Tetapi, bagi mengesahkan rasa curiga terhadap gadis dihadapanku ini aku harus berbuat sesuatu. Andai benar terkaanku itu, Shakira tidak layak aku gelarkan sebagai teman. Teman yang berkhianat bukanlah seorang teman namanya. Lebih baik aku mengetahui sikapnya dari awal sebelum hubungan persahabatan ini menjadi rapat.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa