Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,653
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

11

Bauan vanila dan sitrus lembut menusuk ke lubang hidung setelah pintu pacuan empat roda itu aku tutup dengan kemas. Walaupun menumpang kenderaan orang, aku berasa sedikit lega setelah kekacauan yang berlaku tadi. Mungkin kerana aku ingin berada jauh dari kawasan kilang agaknya. Silauan mentari semakin sirna dan gelombang jingga juga sudah terpalit diufuk barat. Aku melemparkan pandangan terus kehadapan apabila kenderaan berhenti beberapa kali di persimpangan lampu isyarat. Sambil berpeluk tubuh aku bersandar dengan wajah yang lesu. Aku dapati hanya hujung kakiku sahaja yang dapat mencecah ke lantai apabila duduk begitu. Aku melihat keluar. Memerhati kenderaan yang banyak bertali arus di jalan raya memandangkan masa masih berada di dalam zon waktu puncak. Walaupun bandar ini tidaklah sebesar mana, industri automotif yang mengambil keluasan beratus hektar tanahnya terdapat di sini. Malah sebuah universiti berteraskan industri itu juga ada dibina disini. Ianya menjadi kebanggaan seluruh warga setempat. Juga, menjadi punca pendapatan sebahagian penduduk di daerah ini. Aku melirik ke arah deretan bangunan kilang automotif bertaraf dunia yang dibina saling bersebelahan. Deretan produk buatan mereka berderet dipamerkan dilapangan parkir yang maha luas itu. Suatu masa dulu, aku pernah mencuba nasib mencari rezeki di salah satu kilang tersebut. Namun, sudah ketentuan aku terdampar dikilang aku berkerja kini daripada terlibat dengan industri automotif. Aku menjeling ke arah Shakira dengan ekor mata. Gadis itu sedang memberi tumpuan di dalam pemanduannya. Walaupun kenderaan bergerak dengan kelajuan sederhana, sesi cilok-mencilok tetap berlaku. Jika memandu dengan keadaan sambil lewa, tak mustahil boleh menjadi kemalangan. Aku menarik nafas yang dalam. Nyaman pula apabila haruman itu melalui rongga hidung. Sambil memejamkan mata, aku memikir-mikir. Walaupun aku sudah dipermainkan, aku tetap berasa terhutang budi dengan gadis itu kerana sudi menghantarku pulang. Aku segera membuka mata dan menoleh kearah Shakira. 

"Jangan salah faham. Kereta aku pancit tadi. Malas nak uruskan aku pinjam orang punya." ujar Shakira memecah kebisuan antara kami. Aku ada terfikirkan perkara itu sebelum menaiki kenderaan ini. Namun tidak terlalu ambil pusing. Ada hal lain yang ingin aku perkatakan.

"Kau nak ke mana?" tanyaku. Secara tiba-tiba tubuhku terdorong sedikit ke hadapan apabila brek ditekan secara mengejut. Aku menoleh dengan kening sedikit berkerut.

"Lampu merah." jawab Shakira selamba. Cepat-cepat aku menarik tali pinggang keledar. Baru aku sedar tali keselamatan itu tidak disematkan ke tubuh.

"Nak ke Rompin. Ada hal. Lagipun esok cuti, kan?" kata Shakira lagi. Aku mengangguk kecil. Terasa lega kerana sudah mendapat kepastian arah kami memang sama. Kuranglah rasa bersalah dalam diriku sebaik mengetahui tujuan gadis itu. Aku kembali mendiamkan diri. Tidak mahu bertanya lanjut. Lagipun hal peribadi orang buat apa sibuk-sibuk ingin tahu. Busybody bukanlah tabiat aku. Dan Shakira juga awal-awal sudah memberikan hint.

"Aku fikir kau marah lagi." ucap Shakira sewaktu kenderaan melewati jambatan untuk menyeberangi Sungai Pahang. Fokus aku kepada air pasang yang berwarna kuning kecoklatan itu terhenti. Aku memandang ke hadapan pula. Sebetulnya aku sudah malas mengungkit perihal di stor dan sebagainya. Setiap kali imbauan kejadian di stor dahulu berpusu-pusu menghimpit difikiran, aku akan segera menghalangnya dari terus bermain diminda. Aku lebih senang mem'block' perkara itu dan mengalihkan perhatianku terhadap perkara yang lain pula. Kejadian yang masih baru tadi juga sudah siap aku block. Marah? Memang aku marah dengan gadis itu. Namun marah itu sudah tinggal baki. Selebihnya geram dan penat. Aku ingin segera pulang dan tiba di rumah Tok Wan. Satu-satunya tempat yang memberikan kedamaian dan ketenangan untukku.

"Memang aku marah lagi. Tapi, penat dan letih tu lagi banyak." ujarku dengan perasaan hambar.

"Aku mintak maaf." kata Shakira pula. Aku berpaling. Bosan mendengar permohonan maaf itu buat kesekian kalinya.

"Kau tahu? Waktu mula masuk kerja dulu aku selalu perhatikan kau." Lamunan yang baru hendak menjelma mati secara tiba-tiba. Perhatianku mula tertarik untuk mendengar dengan lebih lanjut. Seperti aku perhatikan dia dalam diam, rupanya gadis itu juga sama, getusku di dalam hati. 

"Aku selalu fikir.. Apa kena dengan perempuan tu? Tiap-tiap hari makan sorang-sorang. Jadi, aku risik-risik dengan staf. Diorang cakap tak perlu dekat dengan kau. Kau berperangai toxic. Aku like.. Hah? Tapi, aku sendiri pun tak  tahu hujung pangkal apa yang diorang ceritakan tu." tambah Shakira lagi.

"Kenapa? Terlalu extreme?" soalku separa menyindir. Separa lagi ingin tahu pendapatnya.

"Tak. Sebab aku tak patut ambil tahu." Wow. Entah kenapa panas juga telinga aku mendengar ucapan yang jujur  itu. 

"Kau tahu, kau dah termasuk dalam perangkap yang kau sendiri buat." kata Shakira lagi sambil memandang kearahku buat seketika sebelum kembali fokus ke hadapan. Aku termangu sendiri. Meski penat aku tidak tahu kenapa setiap patah bicaranya yang pedas itu menarik minatku.

"Bagi aku, apa yang pernah jadi pada kau tentu saja dah buat kau sedih dan kecewa. Dan dah tentu terluka. Sebab tu rasa kecewa tu sampai saat ni masih ada. Tapi, kau tahu tak? Setiap kali tubuh kita luka mesti luka tu akan berkudis, kan? Jangan cuba-cuba usik kudis tu. Sebab itulah proses semulajadi untuk tubuh kita lindungi kulit yang terluka tu." tutur Shakira lalu mendiamkan diri buat seketika.

"Lama-kelamaan kudis tu akan kering dan tertanggal sendiri. Luka sudah sembuh. Tapi, parut ditinggalkan. Tak mengapa. Jadikan parut tu sebagai pengalaman yang memberikan pengajaran. Sama seperti kehidupan kita. Setiap dari kita pasti akan merasa kecewa dan terluka. Pernah dengar time will heal?" Aku terkaku seketika. Asyik mendengar bicaranya hinggakan apabila Shakira mengajukan soalan aku terkedu. Melalui ekor mata aku lihat dia tersengih sendirian. Wajahnya kembali ceria seperti hari-hari biasa. Tiada lagi riak bersalah seperti tadi. Mungkin berbual begitu membuatkan dirinya lebih tenang.

"Kalau masa tak mampu juga sembuhkan luka tu maksudnya ada sesuatu yang menghalang. Diri kita sendiri. Mungkin dah tiba masanya kita lepaskan rasa kecewa dan derita tu. Kongsikan dengan seseorang. Memang sukar tapi percayalah waktu kita bersedia untuk berkongsi, itulah petanda kita dah move on. Carilah seseorang yang betul-betul kau percaya. Aku yakin kau boleh buat  seperti mana kau boleh bertahan dekat dua tahun dikilang selepas apa yang jadi." ujar Shakira panjang lebar. Buat seketika aku terkesima. Meremang bulu romaku mendengar setiap bait yang dilantunkan oleh gadis itu. Awalnya biadap dan menaikkan amarah. Namun, apabila aku membiarkan sahaja dia berceloteh, ucapannya itu bagaikan suatu nasihat yang selama ini memang aku nantikan. Ya Allah, aku terasa bagaikan mati hidup semula. Belum pernah seseorang berani membicarakan isu itu secara terbuka denganku. Tidak adik-adikku. Tidak juga Encik Faiz. Apa yang sering meniti dibibir mereka ialah perkataan sabar. Sedangkan bahuku sudah berat membawa beban emosi yang kecewa, sedih, haru dan terluka. Aku perlukan suatu kata berupa perangsang untuk menaikkan semangatku ini. Aku menoleh memandang wajah Shakira yang tenang memandu di kawasan hutan tebal yang menujukkan kami ketika ini sedang menghampiri daerah kampungku. Reaksinya selamba sahaja. Tanpa melihat kearahku dia mengangkat kedua belah kening. Aku kembali melihat kehadapan. Belum bersedia mencurahkan isi hatiku kepadanya. Aku melihat keluar tingkap. Waktu senja sedang berlabuh. Suasana makin gelap. Hanya lampu kereta yang menerangi perjalanan kami dijalan yang lurus tanpa sebatang lampu jalan itu. Tiba di satu persimpangan aku membuka mulut. Itu pun kerana menunjukkan arah ke rumah Tok Wan. Sebaik tiba di lorong pinggir pantai itu, mulut Shakira tidak berhenti berbicara. Menyatakan keinginan untuk bermain air laut dan membina sebuah rumah ditepian pantai. Seperti biasa aku menadah sahaja telinga mendengar celotehnya itu. Usai kereta berhenti dibahu jalan aku sudah bersedia untuk turun. Melihatkan sahaja bumbung rumah Tok Wan hatiku bersorak riang. Tidak sabar mahu masuk ke dalam rumah. Namun, sebelum pintu kereta dibuka aku berpaling memandang Shakira.

"Terima kasih. Panggil aku Oci." tuturku seraya turun dengan penuh berhati-hati dan terus melangkah tanpa menoleh kebelakang lagi. 


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa