Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
3,903
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

23

Sudah satu minggu sejak peristiwa bersama lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Reev berlalu. Entah mengapa nama lelaki itu sukar untuk aku lupuskan dari memori. Walhal momen yang berlangsung di antara kami pendek sahaja. Tetapi ingatan terhadap setiap tindak-tanduknya masih kuat melekat dalam kepalaku ini. Rancangan yang sedang bersiaran di kaca televisyen langsung tidak aku endahkan. Tanganku sedang lincah melipat sebakul pakaian yang mengandungi kain baju Tok Wan, aku dan Azran. Aku menjeling Tok Wan yang sedang duduk bersandar di kerusi kayu yang sudah usang itu. Tetapi, kusyennya sahaja yang baharu kerana telah aku gantikan kira-kira setahun yang lalu. Khusyuk orang tua itu menonton. Hampir satu jam hanya siaran di saluran itu sahaja yang ditontonnya. Belum sempat aku mahu bertanya akan rancangan yang sedang dimainkan, aku mendengar suara orang memberi salam. Salam itu aku jawab secara perlahan sahaja. Niat untuk bangun dan meninjau kedatangan tetamu di beranda terbantut sebaik wajah Yana tersembul di muka pintu yang tersedia terkuak lebar. Pintu itu memang sengaja dibuka. Memberi peluang untuk bayu laut yang dingin menelusi segenap ruang yang terhad itu. Dapat aku hidu bauan haruman yang pernah dikenakan oleh Shakira merebak ke seluruh ruang sebaik Yana melintasi dihadapanku untuk mendekati Tok Wan. Tok Wan berpaling setelah menyedari kedatangan cucunya itu. Pandanganku sebentar sahaja hinggap di wajah yang cantik berias sebelum kembali menyambung kerja yang tertangguh. Dalam diam aku memerhati dengan ekor mata. Aku sedang menanti kemunculan Moksu ketika ini. Namun, tidak kedengaran pula bunyi mahupun suara di luar rumah. Barangkali Yana datang sendirian sahaja. Jika begitulah, lapang dadaku ini. Tak perlu menadah telinga mendengar sindiran pedas dari orang tua itu. Meskipun tangan lincah melipat pakaian, ekor mataku tidak berganjak dari mengamati gerak-geri sepupuku itu. Usai bersalaman dengan Tok Wan, Yana menghulurkan satu bungkusan paper bag yang tertera tulisan SOGO kepada Tok Wan. 

"Apa dia ni?" soal Tok Wan. Aku memasang telinga. 

"Kain pasang, Tok Wan. Yana beli dekat KL. Kain mahal tau. Bila pakai tak panas. Sejuk aje. Yang bunga-bunga untuk Tok Wan. Yang lagi satu untuk Oci." sahut Yana seraya duduk di sebuah kerusi kayu lama bersebelahan Tok Wan. Aku terkedu buat seketika sebaik mendengar namaku disebut. Niatku untuk buat tidak endah saja akan kehadiran gadis itu. Namun, tentulah sukar. Ruang sekangkang kera begitu, sudah pasti setiap butir percakapannya dapat aku dengari juga.

"Lama cuti?" tanya Tok Wan sekaligus mematikan lamunan aku. Sebenarnya aku juga musykil walaupun pada mulanya enggan lagi mengambil tahu akan hal sepupu yang tua setahun usianya dariku itu. Jika dicongak, sudah lebih dari satu minggu Yana berada di kampung. 

"Tiga bulan." jawab Yana pula. Dalam keadaan menunduk, aku membulatkan mata.

"Lamanya..." kata Tok Wan dengan nada yang hairan. Yana ketawa kecil. 

"Bukan cuti goyang kaki, Tok Wan. Sekarang, kan zaman teknologi. Kerja jugak walaupun duduk dekat kampung. Semalam pun Yana ke Kuantan. Tengok kedai. Sebenarnya Yana nak buka bisnes dekat sini. Kalau jadi Yana tak perlu duduk KL dah. Jaga bisnes Datin dekat sini." ujar Yana dalam nada yang sengaja dikuatkan. Mungkin dengan niat mahu aku turut mendengarnya. Wajah yang sering menunduk aku angkat sedikit. Melayangkan lirikan sebentar kearah sepupuku itu. Bukan hanya penampilan sahaja berubah seratus peratus. Keyakinan dalam gadis itu dapat aku rasai turut berubah. Dari seorang anak kampung yang tidak mengharapkan impian setinggi gunung tercapai, kepada gadis kota yang lincah dan sofistikated. 

"Mu kerja apa sebenarnya?" soal Tok Wan pula. Sekali lagi aku mendengar tawa kecil meletus dari mulut Yana. 

"Dekat KL Yana jadi pegawai promosi. Yana kerja dengan VIP, Tok Wan. Datin ni ada salon dan butik. Ada produk kecantikan sendiri. Masa jumpa Yana dulu dia suruh Yana cuba produk dia. Tok Wan tengok, kulit Yana lain, kan? Sebab ambil produk Datinlah, Tok Wan." cerita Yana penuh bersemangat. Aku akui. Sedikit demi sedikit perasaan rendah diri menjalar dalam jiwa sebaik kejayaan demi kejayaan yang digapainya digembar-gemburkan dan didengari oleh sepasang telingaku ini. 

"Mu yang dulu lagi comel. Ini kulit putih serupa mayat." sampuk Tok Wan tidak semena-mena. Aku menggigit lidah. Aku tahu tidak elok gelagatku ketika ini yang mahu ketawa mendengar kata-kata Tok Wan. Tetapi, ucapan itu benar-benar menggelikan hati.

"Apalah, Tok Wan. Sekarang semua orang berlumba-lumba nak kulit putihlah. Dengan kulit nilah Yana dapat jadi model, tau. Esok-esok Yana bawak majalah yang ada muka Yana tu tunjuk dekat Tok Wan eh..." ujar Yana seakan tidak berpuas hati. Tok Wan diam. Aku pula sibuk mengusir rasa lucu itu supaya tidak lagi melekat dihati. 

"Takpelah, Tok Wan. Yana nak balik dulu." ujar gadis itu lagi. Entah rajuk atau malu kerana disindir begitu aku tidak pasti. Tergesa-gesa gadis itu beredar tanpa menyalami tangan Tok Wan. Aku melihat Tok Wan memandang sahaja pergerakan Yana hingga sepupuku itu turun dari rumah dan bunyi enjin kereta dihidupkan kemudian menjauh. Tok Wan kembali menghadap kearah peti televisyen. Aku pula sudah bangkit sambil mengangkat bakul kain yang sudah siap dilipat kesemuanya. Satu demi satu longgokan kain aku tinggalkan ditempat yang berhak. Akhirnya aku menjejakkan kaki ke dalam kamar tidurku sendiri. Disalah satu sudut yang terdapat sebuah gerobok dua pintu, aku merebahkan tubuh dan bersimpuh disitu. Sehelai demi sehelai pakaian aku aturkan. Kembalinya Yana tidak mampu aku elakkan. Namun aku hairan. Mengapa aku berasa tersangat kerdil jika mahu dibandingkan dengan sepupuku itu. Aku perlu kuat dan menuntut kembali keadilan yang telah dirampas dariku. Yana mampu berpura-pura dihadapan semua orang. Sedikit pun rasa bersalah tidak dapat aku kesan diwajahnya itu. Aku menanti juga ucapan permohonan maaf darinya. Hingga ke hari ini belum ada tanda-tanda Yana mahu menegurku secara peribadi. Atau.. Patutkah aku yang mendekati terlebih dahulu? 

"Ci.. Kain ni..." suara Tok Wan yang tiba-tiba menyapa membuatkan lamunan panjangku bertempiaran lari. Aku menoleh. Melihat Tok Wan yang tercegat dimuka pintu. Dengan berat hati aku bangkit dan menghampiri Tok Wan. Orang tua itu cuma diam memerhati ketika aku mengambil bungkusan beg kertas di tangannya. Tanpa menunggu lama Tok Wan beredar semula ke ruang tamu. Aku kembali ke gerobok. Beg kertas di tangan aku selak sedikit. Warna hijau menyapu pandangan. Hatiku tercalar sedikit. Adakah Yana sengaja atau terlupa? Aku tidak sukakan warna hijau! 


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa