Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,055
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

2

Sesekali ombak kecil yang memukul pantai mengenai kaki yang sedang melangkah. Aku berhenti seketika. Menoleh kebelakang untuk melihat Azraf yang sedang berdiri sambil memegang sebatang joran. Sudah lima belas minit Azraf di situ. Tetap setia menanti umpan isi udang segar mengena. Jika bernasib baik, pancingnya mampu menaikkan ikan pari. Pantai ini memang terkenal dengan hasil tangkapan pari. Jika kurang bernasib baik, ikan pasir mungkin menjadi mangsa. Kenyanglah Si Hitam peliharaan Che Muda nanti. Aku teruskan berjalan disamping Azran yang sengaja aku heret sekali. Sewaktu di rumah tadi aku sudah membuat kata putus. Ganti rugi sebanyak tiga ratus ringgit yang dipinta oleh Pak Hamid akan aku dahulukan menggunakan duit aku terlebih dahulu. Sebab itulah aku perlu berbincang dengan Azran ketika ini. Aku mahu dia berjanji untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab selepas ini. 

"Kak long, kenapa kau cakap macam tu dekat Tok Wan tadi? Kenapa tak terus-terang aje?" soal Azran setelah kami berdua sama-sama mendiamkan diri sejak menyusuri gigi air. Hanya deru ombak sahaja yang menemani kebisuan di antara kami. Baik Azraf mahupun Azran kedua-duanya sama terkejut semasa mendengar pengakuan aku di dapur tengah hari tadi. Sepanjang waktu makan kami empat beranak, dua beradik itu hanya mendiamkan diri. Azraf kerap memandang aku dengan perasaan tidak puas hati. Azran pula hingga kini masih berasa bersalah. Entah-entah makin bertambah rasa kesalnya itu. Baguslah jika dia menyesal. Biarlah pahit dahulu asalkan kemudian nanti manis-manis sahaja hasilnya. Aku menghentikan langkah. Azran mengikut. Rambut yang dibiarkan lepas sesekali mengirai di pipi dan melitupi mata. Rimas dan gatal dipermainkan begitu aku mula menggulungnya dan membuat siput. Hah! Aman rasanya. Kedudukan aku dan Azran kini sama-sama berhadapan. Namun, dengan keadaan tebing yang tidak sekata Azran kelihatan makin tinggi dari ketinggiannya yang sebenar. 

"Ran, kau tak boleh hidup macam ni. Kak long boleh terima bila kau dah tak nak sambung belajar. Kak long pun tak kisah kau nak kerja kilang. Sama-sama tolong beri belanja dapur. Tapi, kalau Aran setakat kerja dapat gaji lepas tu habiskan duit... Yang tu kak long tak boleh terima. Sampai bila nak jadi macam ni? Fikirlah masa depan Aran sendiri." Aku meluahkan isi hati yang terbuku terhadap tabiatnya selama bergelar pekerja. Azran menyepi seketika sebelum ketawa kecil. Sikap nilah yang buat aku fed-up. Orang bagi nasihat main-main pulak. Bengang dengan gelagat Azran, aku menjinjitkan kaki. Tepat di pelipisnya aku sekeh sekuat hati. Padan muka! Azran menyeringai sebelum memegang tempat yang sakit. Tiada lagi gelak tawa kedengaran. Dia melihat aku dengan perasaan hairan. 

"Serius boleh, tak?" gumamku dengan perasaan sebal.

"Tak padan pendek. Suka sangat sekeh orang." jawab Azran. Tangannya masih menggosok pelipis yang sakit. Kasihan pula aku melihat keadaannya. Kuat sangatkah pukulan aku tadi? Rasa bersalah pula sebab terlalu ikutkan perasaan sebentar tadi. 

"Aku ada simpan duitlah, kak long." ujar Azran setelah waktu kecederaan yang dialaminya tamat. Aku berpeluk tubuh. Memandang dengan wajah tidak percaya. Kedua belah keningku terangkat. Reaksiku seia sekata. Susah nak percaya cakap budak hingusan dihadapanku ketika ini. Seperti dapat membaca fikiranku, Azran mengeluarkan telefon pintar miliknya dari poket seluar jeans berpotongan pendek yang dipakai. Dia membelek dan menekan skrin tersebut sebelum menunjukkan paparannya dekat ke muka aku. Aku membaca sepintas lalu. Sebaik menyedari paparan itu menunjukkan portal sebuah bank, cepat-cepat aku merampas telefon tersebut. Aku membaca dengan teliti. Buat sesaat mataku terbeliak melihat baki wang simpanan Azran. Dua ribu! Azran yang setiap bulan mintak duit sebanyak lima puluh ringgit tu ada simpanan sebanyak dua ribu? Biar betik? Aku salah tengok ke? Tapi, bila ditilik kembali angka itu ianya memang jelas tertera nilainya. Cukup tiga kosong dibelakang nombor dua. Memang tak silap dan tak salah mata aku ketika ini. Dengan rasa kurang yakin yang masih berbekas aku memandang Azran. Dia tersenyum lebar kepada aku. Banggalah tu! 

"Sebenarnya ada seribu sembilan ratus je. Lagi seratus share kak long in advance. Nanti dah dapat untung aku pulangkan."

"Kau cakap apa ni? Sepatah pun kak long tak faham." Aku menyampuk. Memang aku tak faham. Advance? Untung?

"Sebenarnya Aran simpan duit nak buat modal bisnes. Aran ingat nak jadi bussinessman, kak long." sahut Azran sambil tersenyum malu. Aku menatap wajahnya sekali lagi dengan rasa tidak percaya. Oh! Selama ini aku fikir Azran sama seperti sebahagian pemuda kampung yang gemar mengambil kesempatan di atas 'nikmat' tinggal dengan orang tua. Mudah, bukan? Kerja dan dapat gaji buat belanja sendiri sahaja. Makan dan tempat tinggal sudah disediakan oleh orang tua. Sakit pening pun masih dilayan seperti anak kecil oleh ibu bapa yang prihatin. Sedangkan duit gaji sesen pun tidak mahu dihulurkan kepada mereka. Ketika Azran menyatakan keinginan untuk tidak lagi sambung belajar, memang aku kecewa. Kecewa dan sungguh terkilan. Fikirku Azran sama seperti Azraf yang minat dengan pelajaran. Azraf ketika ini di tahun ketiga di universiti. Adik aku yang seorang itu sentiasa berada di dalam kelompok pelajar terbaik. Satu-satunya kebanggaan aku dan Tok Wan. Apabila tiba masa Azran memilih, dia memilih untuk berhenti. Cukuplah setakat SPM sahaja katanya. Aku memendam rasa kecewa itu. Apabila terkenangkan diri aku sendiri yang cuma memiliki sekeping sijil membuatkan aku tidak mahu melihat adik-adikku mengikut jejak langkah aku dahulu. Namun, apa boleh buat. Azran sudah dewasa meskipun masih remaja belasan tahun. Sudah tahu mana baik dan buruk. Sudah mampu membuat keputusan sendiri. Barangkali salah aku sejak dari awal lagi. Mengapa tidak aku selami hati kecil Azran sebelum ini. Kenapa aku tidak mengajaknya berbual dari hati ke hati. Bila difikir balik simpanan dan gaji yang Azran peroleh serta-merta otakku membuat congakan. Hampir sembilan ratus sebulan? Menyamai gaji basic yang diterima setiap bulan. Habis tu, apa yang Azran belanja selama ni? Aku mula menyedari sesuatu yang tidak kena. Raut Azran yang memerah aku tatap sedalam-dalamnya.

"Apa yang kau makan dekat kilang?" soalku separa berdebar. Rasa bersalah mula menyelubungi memikirkan kekurangan diri aku sendiri yang kurang prihatin akan tingkah laku sebenar yang disembunyikan oleh Azran. 

"Aran makanlah. Takdelah sampai ikat perut." jawab Azran seraya mengambil kembali telefon yang berada ditanganku. Pertanyaan aku sebentar tadi tidak menarik minatnya. Kalau tak makan apa lagi? Campur tolak, memang banyak belanja yang harus dipotong untuk menyimpan wang sebanyak itu setiap bulan.

"Hei, kak long ni! Tak peliklah. Tiap-tiap pagi yang aku suruh Tok Wan masak nasi goreng tu untuk apa? Aku bawak bekallah. Kau je tak perasan." Aku termangu seketika. Eh, iye ke? Memang setiap pagi sarapan kami nasi goreng. Bersilih ganti antara aku dan Tok Wan yang memasaknya. Tok Wan memang gemar menyediakan menu itu. Senang katanya. Tumis bawang dan cili dan masukkan nasi. Tapi, air tangan orang tua itu memang umpphh! Bahan cincai pun hasilnya sedap tidak terhingga.

"Yelah..yelah. Tapi, Aran nak bisnes apa? Kenapa tak bagitahu kak long awal-awal? Lagi satu, kalau dah duit banyak ni sekali apesal sampai pergi curi cincin Tok Wan? Gunalah duit simpanan tu! Mujur kantoi dengan kak long, tau. Kalau Tok Wan yang nampak sendiri agak-agak apa yang jadi?" ujarku tak semena-mena membebel pula. Dah cakapkan aku memang kuat membebel. Padanlah kena tadah telinga dengar ceramah free aku ni. Azran memeluk tubuhnya. Sebelah tangan lagi menutup mulut. Nak ketawalah tu. Aku kenal benar dengan sikap Azran. Satu jelingan tajam aku hadiahkan. Tangan kanan pula tinggi aku angkat. Mengacah untuk sekeh kepalanya sekali lagi. Acah-acah pun budak ni terus mengelakkan kepalanya. Trauma agaknya dengan sakit yang belum kebah lagi tu.

"Aran takut nak usik duit simpanan tu, kak long. Nanti bila sekali dah usik jadi terbiasa pulak. Nak mintak dengan kak long karang kena bebel lagi, marah lagi. Jadi baik Aran fikir cara lain."

"Dengan mencuri?" tukasku sambil bercekak pinggang. Segar di kotak memoriku ini melihat reaksi Azran yang terkejut apabila menyedari aku berada di muka pintu bilik tidur Tok Wan sewaktu dia mengambil cincin pusaka itu. Setelah disoal siasat yang disertai dengan beberapa siri ugutan barulah Azran menceritakan perkara yang sebenar. Mengenangkan kesalahan berat itu memang membuatkan hatiku bengkak. Aku sebahagian ahli keluarga yang membantu membesarkan Azran. Sejak kakinya berukuran dua batang jari aku sudah membantu arwah emak menukarkan lampinnya. Sudah pastilah aku terkilan dan marah.

"Yang tu memang Aran tak tahu macam mana boleh terfikir nak buat. Aran mintak maaf, kak long." kata Azran bersungguh-sungguh. Wajah yang keruh dengan seribu penyesalan aku pandang dengan rasa kasihan. Seburuk-buruk perilaku Azran, dia tetap adikku. Darah daging yang lahir dari benih yang sama. Aku tersenyum tipis. Satu rahsia berkenaan Azran telah aku cungkil pada hari ini. Namun, yang paling penting, keazamannya itu dalam merealisasikan cita-citanya buat aku bangga. Sungguh aku bangga menjadi kakak kepada dua orang adik seperti kamu! 


Previous: 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa