Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,661
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

4

Suasana di kantin ketika ini memberikan ritma seperti gema sang lebah. Masing-masing leka berbual sambil menikmati hidangan. Sesekali kedengaran bunyi gelak ketawa. Hiruk pikuk itu aku lemparkan jauh ke belakang. Pandanganku terarah pada sebatang jalan raya yang bersimpang siur dengan kenderaan. Di seberang jalan sana terdapat lapangan sawah padi yang sedang menghijau. Dari kejauhan aku melihat beberapa ekor burung berwarna putih sedang mencari makan. Kerana pemandangan itulah aku menjadikan meja yang paling tepi itu sebagai tempat duduk tetapku. Setiap kali waktu rehat tengah hari, meja itu seakan sengaja dikosongkan untuk aku. Barangkali bimbang jika duduk dimeja itu mereka bakal mendapat suwey kerana ianya sudah diduduki oleh aku. Hari ini aku sendirian lagi. Menjamah menu nasi putih berlaukkan ayam masak kicap yang bernilai dua ringgit. Murah, kan? Sebab kilang ini mengamalkan sistem kupon. Pekerja cuma perlu bayar dua ringgit untuk menu semurah itu. Air pula disediakan secara percuma. Jika mahukan hidangan panas, harga sebenar akan dikenakan oleh pihak kantin. Demi penjimatan dan Azraf, aku lebih rela menggunakan kupon makanan.

"Boleh aku duduk sini?" Aku tergamam. Satu suara yang agak lunak dan manja serta merta mematikan khayalanku. Sebaik mendongak, aku terkesima. Shakira! Si ratu cantik di kilang. Sudahlah cantik,, bijak pula tu. Gadis yang sebaya denganku ini memegang jawatan sebagai jurutera. Kehadiran Shakira dikilang kira-kira enam bulan yang lalu membuatkan ramai jejaka yang jatuh hati. Tetapi, manakan pipit mahu terbang bersama dengan enggang. Sayap gadis itu terlalu perkasa. Rata-rata yang memuja pula hanyalah pemuda kilang yang tidak berpelajaran tinggi. Masing-masing cuma berani memendam perasaan saja. Aku jadi tidak tentu arah buat seketika. Hampir dua tahun dan inilah pertama kali seseorang mahu makan semeja denganku. Azran? Bukanlah adikku itu tidak mahu makan denganku sebelum ini. Tetapi awal-awal lagi aku sudah memberi amaran. Malah siap berikrar. Biarlah nama aku seorang yang busuk dikilang ini. Tak mungkin aku biarkan dia mendapat layanan yang sama seperti aku. Oleh itu hanya seorang dua staf sahaja yang tahu status kami sebagai adik beradik. Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan ke arah lain sebaik menyedari sejak tadi wajah jelita itu aku tatap tanpa mengerdipkan mata. Tidak tahu berkata apa aku mengangguk kecil tanda memberi izin. Takkan aku nak halau pula. Lagipun selama ini bukan aku yang mengasingkan diri. Tapi mereka semua yang seakan menjarakkan diri dari aku. Jijik agaknya berada berdekatan denganku. Aku meneruskan suapan. Sedaya upaya bersikap selamba dihadapan gadis lincah yang berasal dari Kuala Lumpur itu. 

"Rosy, kan?" soalnya lagi. Dengan wajah yang masih menunduk dan sedang mengunyah makanan aku mengangguk lagi. Sempat ekor mataku mengerling makanan yang berada di dalam tray yang bertentangan denganku. Menu gadis itu sama seperti aku. Aku fikir orang berjawatan dan bergaji besar mahukan hidangan berbayar yang lebih lazat! Aku ketawa kecil di dalam hati mengenangkan kedaifan pendapatku sebentar tadi.  Selera lain-lain. Bukan diukur melalui pangkat dan harta. 

"Dah lama ke kerja sini?" soal Shakira lagi. Jadi, gadis ini jenis yang tidak mudah putus asa. Masih mengasak dengan bermacam soalan meskipun sedar bagaimana aku membalasnya. Bukanlah kerana aku sombong. Tapi aku segan! Segan untuk berbual dengan orang cantik, bijak dan berpendidikan tinggi seperti Shakira. Bahasa kami mungkin tak sama. Jadi lebih baik aku berdiam diri dari memalukan diri sendiri. Lihat sahaja pakaian yang dikenakan. Sekali imbas aku tahu ianya berjenama. Malah sejak dari hari pertama Shakira masuk kerja aku sering memerhatikan penampilannya apabila berpeluang. Gadis itu mempunyai gaya yang tersendiri. Rambutnya yang lurus sentiasa diikat ekor kuda. Pakaiannya sama ada kemeja berlengan panjang mahupun blouse. Dipadankan pula dengan sepasang skinny jeans berwarna hitam atau berona gelap. Kasut hitam bertumit tinggi itu trademark Shakira. Meskipun berkerja mengendalikan jentera dia kelihatan tangkas dan cekap. Aku pernah melihat dia membetulkan conveyor belt yang tiba-tiba berhenti bergerak secara kebetulan sewaktu bertugas mengumpul punchcard. Wajahnya serius dan yakin. Siulan dan usikan nakal terhadapnya sedikit pun tidak mengganggu konsentrasi gadis itu. Saat itu juga aku kagumi Shakira dalam diam.

"Kau tak patut layan tetamu kau macam ni." ujar Shakira membuatkan lamunan aku terhadapnya lintang-pukang menghilang. Keningku sedikit terangkat. Aku memikir-mikir lantas melayangkan lirikan singkat ke arah Shakira sebelum ianya kembali jatuh ke arah makanan. Mulutku terus terkunci rapat dari berkata sepatah. Memang aku kagumi dan suka melihat kecantikan gadis itu. Tetapi, pertama kali disapa dan diajak berbual begini aku berasa agak kekok. Nampak sangat ramai orang disekelilingku mempunyai tanggapan mereka sendiri terhadap diriku. Lantaklah. Setelah hampir dua tahun aku melewati kehidupan dengan bersendirian tanpa teman sewaktu berkerja, aku sudah lali dengan anggapan mereka semua. Aku biarkan sahaja mereka dengan anggapan buruk yang salah itu. Satu pun tidak ingin aku betulkan. Walaupun kadangkala pernah hati kecil memberontak mahukan keadilan untukku. Tetapi, siapa yang mahu berdiri dipihakku? Individu yang aku harapkan mahu bersuara untuk membebaskan aku daripada tuduhan ini cuma diam sehingga kini. Setiap kali aku memandangnya dia bersikap seperti biasa. Malah, pandangannya terhadap aku juga kelihatan kosong tanpa sebarang perasaan. Jadi bagaimana mungkin aku tidak bersikap seperti aku ketika ini. Bukanlah aku menutup terus pintu untuk berhubung dengan mereka semua. Cuma aku kecewa. Kecewa dengan sikap mereka disekeliling yang enggan mendengar kisah di kedua belah pihak. Mudah sahaja menjatuh hukum. 

"Aku ada dengar satu dua gosip tentang kau. Bagi aku gosip hanyalah gosip. Tapi, sikap kau sendiri buatkan perkara tu jadi lagi keruh." Wah, kali ini memang aku tak mampu berdiam diri. Aku mengangkat wajah. Merenung wajah yang dicalit dengan solekan nipis  itu tanpa berkelip. 

"Pertama kali duduk semeja dengan aku kau dah boleh baca sikap aku?" tanyaku kepada Shakira. Meskipun suaraku perlahan, ia aku pastikan tegas dan jelas. Shakira kelihatan sedikit tercengang. Mungkin tidak menyangka aku akan membalas kembali tuduhannya sebentar tadi. Semenjak lima belas minit dia duduk dihadapanku yang bagaikan patung bernyawa tiba-tiba  disanggah pendapatnya. Siapa tidak terkejut? Sebenarnya aku sendiri terkejut mendengar bicara yang keluar dari bibirku ini. Berani. Terlebih berani pula aku pada hari ini. Mataku masih belum berganjak dari wajah berbentuk bujur sireh yang putih mulus dihadapanku. Bibir mungil Shakira bergerak sedikit. Mengukir satu senyuman yang tipis.

"Panggil aku, Kira. Akira. Esok aku nak duduk semeja dengan kau lagi." sahut gadis itu lantas memfokuskan perhatiannya kepada makanan yang sejak tadi tidak berusik. Aku dilanda perasaan hairan. Namun, aku usir kehairanan itu dan turut mengalihkan perhatianku kepada nasi yang masih berbaki separuh. Kami sama-sama menghabiskan makanan tanpa sebarang bicara lagi. Apabila waktu rehat berbaki dua puluh minit, aku mengundurkan diri dalam diam dan menuju ke arah sebuah bangunan kecil yang dijadikan surau buat kemudahan para pekerja Muslim. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa