Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
3,897
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

24

Selesai menongkat motosikal dibawah bangsal, aku terus menuju ke bangunan pejabat. Kepingan surat yang diterima tidak sampai lima keping. Sempat aku membelek sampul-sampul tersebut sebelum kakiku melencong pula ke arah bangunan kilang. Salah satu sampul surat tersebut kepunyaan seorang juruteknik. Pejabat kakitangan teknikal pula terletak di dalam bangunan tersebut. Aku melangkah laju. Minggu ini merupakan minggu yang agak sibuk. Maklumlah minggu gaji. Kehadiran, cuti, claim, potongan dan pelbagai tugas yang diamanahkan berada di dalam seliaan aku. Aku tidak mengeluh. Apatah lagi merungut. Biasanya hujung bulan dan awal bulan sahaja kesibukan itu benar-benar aku rasai. Pintu kalis bunyi aku tolak dari luar. Terus sahaja aku menuju ke sudut paling hujung dimana dengan jelas aku mampu melihat kelibat beberapa orang petugas teknikal sedang tekun berkerja. 

"Damn it!! Just email me the service and warranty document! I need to check them by myself. ASAP!" Bunyi gagang telefon dihempas membuatkan aku terpana sebaik pintu bilik pejabat yang diduduki oleh seramai empat orang staf itu diselak. Wajah keruh Shakira yang sedang duduk bertenggek di meja kerja sambil berpeluk tubuh aku pandang sebentar sahaja. Belum pernah aku lihat gadis itu di dalam keadaan marah begini. Selalunya ceria sahaja. Mazlan, juruteknik dikilang mengangkat kening tatkala pandangan aku jatuh pula kearahnya. Aku tersenyum tipis. Pantas melangkah mendekati duda anak dua itu. Surat kepunyaannya aku serahkan. Lelaki itu menyambut lalu aku berpaling untuk segera beredar dari suasana yang tegang ketika ini. 

"Eh, Oci. Lunch nanti tolong tapau untuk aku, boleh?" Aku terkedu. Belum sempat tombol pintu dipulas setiap gerak-geriku beku serta-merta. Aku berpaling. Menoleh ke arah Shakira yang sudah kelihatan tenang. 

"OK." Jawabku. Meskipun aku tahu amarah yang dilontarkan oleh Shakira bukanlah dituju untukku, namun, entah mengapa setiap kali mendengar individu sedang marah-marah aku pula yang tidak senang duduk. 

"Thanks." Aku mendengar suara ceria Shakira sebelum pintu bilik pejabat ditutup. Tanpa aku sedar bibir aku terangkat sedikit. Senyuman tipis bermain dibibirku. Shakira.. Shakira... Macam mana gadis itu mampu berubah mood  dalam masa yang sangat pantas. Tentulah pengalaman! Aku pasti kerana pengalamanlah gadis itu matang dalam menguruskan perasaan. Destinasiku yang seterusnya ialah meja kerja aku sendiri. Tetapi, sebelum itu aku perlu ke bilik Encik Faiz terlebih dahulu. Kesemua surat tersebut adalah kepunyaannya. Usai berbual sepatah dua, barulah aku kembali ke meja kerjaku sendiri. Wah, lega sungguh apabila dapat kembali ke tempat sendiri. Aku mula mengatur tugas. Meneliti tugasan yang mana yang harus dibereskan terlebih dahulu. 

"Kak Mar nak mintak maaf." Aku tersentak. Hinggakan pen yang sedang dipegang terpelanting dari pegangan. Permohonan maaf secara mendadak itu tidak aku sangka-sangka. Apatah lagi ianya datang dari orang yang selama ini aku harapkan. Aku mengangkat wajah. Melihat Kak Mar sedang tercegat berdiri disampingku. Dia juga sedang merenungku saat ini. Bukan kami tak biasa berada berdekatan. Cuma, kali ini ianya terasa janggal sekali setelah hampir dua tahun kami tidak bertegur sapa. Ya. Kami berada di bawah satu bumbung dan ruang yang sama. Jarak meja kerjaku dan Kak Mar tidak sampai sepuluh kaki. Namun, setelah peristiwa itu berlalu, masing-masing mengunci mulut. Pada awalnya saban hari aku minta diberikan penjelasan. Namun, tidak berhasil. Hinggakan aku terpaksa tebalkan muka merayu supaya namaku dibersihkan. Ketika itulah Kak Mar bersuara. 

Jangan babitkan Kak Mar, ye. Kak Mar tak tahu apa-apa. Ini antara Oci, Yana dan Encik Badrul. 

Punah-ranah harapanku saat itu. Di hadapan beberapa pekerja kilang yang lain Kak Mar meloloskan diri dari terjerumus di dalam kes tersebut dengan cara yang terhormat. Aku pula dipandang serong. Malah disindir pula oleh sekalian yang berada disitu. Akhirnya aku pasrah. Mungkin begitulah pengakhiran episod hitam yang terpaksa aku lalui. Tiada lagi individu yang boleh dijadikan sandaran. Sejak dari hari itu aku sedar perjalanan aku di tempat kerja selama ini sebenarnya sendirian sahaja. Di kala gembira, ramai teman disekeliling. Di kala malang, semua melarikan diri. Aku merenung ke dalam anak mata Kak Mar yang mengenakan kaca mata itu. Mencari sebuah keikhlasan. Tetapi, pandangan itu kelihatan seperti hari-hari kelmarin. 

"Kak Mar dah siapkan bahan yang perlu Oci beli. Oci tak payah susah-susah nak fikir. Tapi kalau ada apa-apa nak tambah bagitau Kak Mar. Nanti kita bincang." ujar Kak Mar. Aku tercengang-cengang kehairanan. Beli apa pulak? Mungkin perasan air muka yang masih terpinga-pinga Kak Mar menambah pula. 

"Tentang dekorasi majlis nanti, Kak Mar mintak maaf sebab mungkin tak dapat tolong banyak. Sebab tu Kak Mar buatkan list ni." terang Kak Mar lagi. Mulutku ketika ini membentuk huruf O. Barulah aku mengerti. Kata maaf sebentar tadi bukanlah kerana peristiwa dahulu. Hati yang berputik dengan pengharapan merudum layu. Aku memujuk hati kecil. Melepaskan episod itu buat seketika. Perhatianku kembali kepada realiti dihadapan mata. Sekeping kertas yang dihulurkan oleh Kak Mar aku ambil.  Hisy, macam manalah aku boleh lupa akan peranan aku dalam majlis jamuan itu nanti. Isinya aku teliti satu persatu. Banyak juga barangan yang perlu dicari. 

"Erm... Err... Kenapa Kak Mar tak dapat join?" Meskipun masih diselubungi rasa kekok, tak sangka bibirku mampu menuturkan kata-kata itu kepada Kak Mar. 

"Ada hal keluarga." sahut Kak Mar. Aku termenung sejenak memikirkan jawaban Kak Mar itu. 

"Eh, takpelah. Kak Mar banyak kerja. Nanti mintak Rajni bukak petty cash." ujar Kak Mar sebelum sempat aku bertanya lanjut. Aku tidak pasti sama ada Kak Mar benar-benar sibuk atau cuma berdalih bagi mengelakkan dari perlu bersoal jawab denganku. Dahulu, sewaktu rapat dengan Kak Mar aku mengetahui serba sedikit tentang keluarga Kak Mar. Dia mempunyai seorang suami yang berkerja sendiri dan empat orang anak. Salah satu dari anak lelakinya pula menghidap penyakit jantung berlubang. Suatu ketika dulu keadaan anaknya itu agak kronik juga. Namun, setelah hampir dua tahun, aku tidak pasti bagaimanakah keadaan anaknya itu kini. Simpati aku melimpah terhadap Kak Mar sekeluarga. Mungkinkah simpati yang aku kirimkan dalam diam ini mampu dikembalikan kepadaku? 


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa