Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,653
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

13

"Kenapa kau boleh ada dekat sini pagi ni?" soalku sebaik kenderaan yang dipandu bergerak menjauhi rumah Tok Wan. Shakira berpura-pura tidak mendengar pertanyaanku. Jari-jemarinya sibuk menekan sesuatu pada skrin yang dipasang ditengah-tengah ruang dashboard. Sebaik siaran radio yang menarik minatnya ditemui, barulah jarinya tidak lagi sibuk dengan gajet tersebut.

"Sama-sama." sindirnya seraya memandang wajahku sekilas. Aku menggigit lidah yang tidak bertulang ini. Ya. Aku akui mulutku ini berbisa juga kadangkala. Sudahlah gadis itu datang tepat pada masanya untuk menyelamatkan keadaan, langsung tidak berterima kasih pula tu.

"Yelah. Terima kasih." sahutku acuh tak acuh lalu berpeluk tubuh. Kehadiran Yana setelah hampir dua tahun tidak memunculkan diri di rumah Tok Wan mengganggu emosi aku. Apa yang aku tahu Yana menetap di Kuala Lumpur dan mempunyai kerjaya disana. Ibunya iaitu Moksu, kerap datang ke rumah Tok Wan semata-mata ingin mencanangkan kisah kejayaan anak bongsunya itu. Hadirnya pula di hujung minggu ketika aku berada di rumah. Tentulah tiada lain niatnya selain mahu aku mengetahui perkembangan anaknya itu. Kini, tiba-tiba Yana menunjuk muka. Di awal pagi pula tu. Ngam-ngam sebelum aku keluar berkerja. Bagaimana fikiran aku tak keruan jika kedatangan itu tidak pernah didendang. Tup.. Tup. Muncul dengan penampilan yang ketara berbeza dari kali terakhir aku melihatnya. 

"Siapa tadi tu?" tanya Shakira seraya mematikan lamunan aku. Aku mengunci mulut. Berat untuk membicarakan status mereka. Lebih-lebih lagi ianya berkaitan dengan peristiwa dahulu. 

"Mak saudara kitorang. Moksu dengan puteri kesayangan, Yana." sahut Azran yang duduk ditempat duduk belakang. Aku menoleh ke belakang. Memandang Azran dengan mata yang sengaja dibulatkan. Aku ingatkan Azran memahami situasi aku ketika ini. Rupanya tidak. Tetapi, aku juga tidak seharusnya mempersalahkan adikku. Apa yang dikatakan oleh Azran itu adalah fakta. Yang tentunya pahit untukku telan. 

"Oh, ini mesti macam cerita Bawang Putih Bawang Merah, kan?" getus Shakira disambut dengan ketawa besar oleh Azran. Hmm.. Apa sajalah. Pandai-pandai aje kaitkan dengan kisah dongeng tu. Padahal jauh sekali persamaannya.

"Cik Shakira dari mana ni?" tanya Azran pula. Aku melahirkan rasa kesyukuran dalam hati. Adanya Azran ketika ini dengan mudah dapat mengalihkan perhatian Shakira terhadapku. Aku tidak pasti sejauh mana dia mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Moksu dirumah Tok Wan tadi. Apa yang aku tahu kenderaan yang dipandu oleh Shakira sudah diparkir dibahu jalan sebelum dia membunyikan hon.

"Tak payah panggil ciklah dengan saya, okay. Panggil Akira je." 

"Wow! Akira. Macam padan je dengan Azran. Azran dan Akira. Perghhh! Cunlah!" Aku sudah berpaling sekali lagi kebelakang. Melirik ke arah Azran dengan wajah penuh tanda tanya. Buang tebiat ke apa? Tak tahu malu langsung. Selamba aje cakap macam tu dengan jurutera kilang. Tak pasal-pasal kena buang kerja kang! Aku mengutuk diri sendiri dalam diam. Hai.. Tak patut aku fikir macam tu terhadap adik sendiri. Terang-terang fikiran aku tengah kacau ketika ini. Bukankah Azran tu gemar bersenda gurau. Mungkin dia sedang menghiburkan jiwa aku yang sedang gundah ini. Tanggapan aku benar apabila aku mendengar gelak tawa Shakira membalas usikan nakal tersebut. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Azranlah yang banyak mulut mengisi suasana yang sepi itu. Bermacam soalan ditanya kepada Shakira. Gadis itu pula sporting menjawab soalan-soalan cepumas yang dihantar. Cuma, pengenalan diri Shakira itu sedikit mengusik fikiranku. Gadis itu lebih senang dikenali sebagai Akira. Aku memejamkan mata. Alah, hal sebegitu pun nak dijadikan isu. Boleh jadi keinginannya begitu. Kenapa mahu pertikai pula. Perbualan mereka berdua jauh aku tinggalkan dibelakang. Lamunan aku kembali hanyut mengenangkan kepulangan Yana sekaligus menyapaku setelah hampir dua tahun tidak bertegur. Aku bimbang. Benar-benar bimbang kerana niat dan tujuan satu-satunya sepupu perempuan yang aku miliki itu tidak aku ketahui. Berniat baikkah dia? Atau ada niat tersembunyi? Adakah esok atau lusa kami akan bertemu lagi? Jika bertemu, apa yang harus aku cakapkan? Baru kelmarin aku dapat rasakan jiwa yang sekian lama kelam ini ingin bangkit kembali dan bersinar seperti dahulu. Namun, sebaik terpandangkan wajahnya aku kecut. Aku tidak ingin menjadi aku yang berkawan rapat dengan Yana sebelum ini. Aku tidak ingin menjadi aku yang bertindak bagai lembu dicucuk hidung. Aku mahukan diriku ketika belajar di sebuah kolej dahulu. Itulah diriku yang sebenar. Mampu bersuara dengan lantang dan melontarkan sebarang idea. Aku tidak tahu dimana diri yang satu itu menghilang. Yang paling penting aku tidak sedar bila masa aku kehilangan diri yang satu itu. 


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa