Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,653
Kategori: Novel
Genre: Cinta
1

1

Kiraan detik di dalam hati terus bertambah sedangkan mulut yang berbibir tipis itu masih belum berhenti dari berbicara. Aku mendongak sedikit. Melihat bentuk wajah yang agak bersegi dan kelihatan sedikit cengkung. Bawah matanya lebam akibat tidak cukup tidur. Bibirnya pucat. Tubuhnya kurus keding. Jika mahu diukur ketinggiannya dengan aku, ubun-ubun kepala aku ni setakat mencecah pangkal lehernya sahaja. Aku menjeling pula ke arah satu susuk yang sedang bersandar dibalik daun pintu yang bertutup rapat. Azraf sedang berpeluk tubuh sambil diam mendengar butir bicara adiknya yang bernama Azran. Boleh jadi fikirannya juga sedang kusut seperti aku. Memikirkan alasan tidak masuk akal yang sedang dibentangkan oleh Azran ketika ini. Mencuri cincin pusaka milik Tok Wan lalu dipajakkan ke kedai emas sebelum wang itu digunakan buat membayar ganti rugi kepada Pak Hamid, si pemilik warung cendol di bandar. Yang membuat aku musykil ialah Azran itu berkerja di kilang. Kilang yang sama aku mencari rezeki hampir sepuluh tahun yang lalu. Setiap minggu pula berkerja lebih masa atau overtime, OT. Pelik! Jika dicampur dan ditolak gaji yang budak ni dapat menyamai gaji aku. Tapi, tetap tak mampu nak bayar ganti rugi sebanyak lima ratus ringgit tu. Kerjanya juga dah nak masuk tiga bulan. Ke mana perginya duit gajinya selama ini? Berjoli agaknya. Sakit pulak hati aku bila fikirkan tabiat Azran yang satu ini. Dan memang pantang bagi aku apabila bertemu dengan orang yang tak memikirkan masa depan! Sejak dari Azran mula berkerja aku perhatikan sahaja sikapnya. Betul-betul sambil lewa! Bangun tidur, bersiap-siap dan pergi berkerja. Cukup bulan dapat gaji lesap ke bandar dengan kawan-kawan. Beberapa hari nak dapat gaji mulalah muka toyanya datang nak pinjam duit. Ewah.. Ewah.. Mudahnya hidup macam tu. Ini baru berumur lapan belas tahun. Kalau dibiarkan sahaja perangai sebegitu bukan sahaja memusnahkan diri sendiri. Orang lain pun boleh terkena tempiasnya. Ketika ini akulah si penerima tempias terbesar. Kuasa veto untuk mengekang tabiat buruk Azran dah naik hingga tahap maksima. Budak hingusan ni memang nak kena ajar!

"Kau diam, Ran!!" serta merta Azran membisu. Tak sangka agaknya mendengar suara pekikan aku yang selama ini lembut aje bila bercakap. Ini bermaksud perang sudah diisytiharkan. Sempat aku menjeling ke arah Azraf yang sudah menegakkan badan. Tidak lagi berpeluk tubuh. Agaknya dia pun terkejut sama dengar jeritan aku tadi. Bukanlah aku nak memuji diri. Tapi memang payah orang dalam rumah ni nak dengar suara emas ala-ala Ziana Zain yang terpacul dari mulut aku ni. Sekali keluar memang mereka dah boleh agak apa pengakhirannya. Tak lain tak bukan membebel sampai puas hati ini meluahkan rasa geram yang terbuku. 

"Kak long nak tahu apesal kau mencuri? Kenapa sampai perlu mencuri? Dari Tok Wan pulak tu!" aku mengherdik Azran sambil telapak tangan menepuk dadanya yang cuma beralas sehelai tshirt nipis. Meskipun herdik, suara yang terkeluar terpaksa dikawal dari kedengaran sehingga ke bahagian dapur. Aku tahu saat ini Tok Wan berada di dapur. Bunyi kelentang kelentung lesung batu sedang ditumbuk mengesahkannya. Tentu Tok Wan sedang menyediakan sambal belacan. Tengah hari begini memang waktu Tok Wan turun ke dapur untuk memasak. Sepatutnya aku turut serta membantu Tok Wan. Tetapi, disebabkan hal budak hingusan ini aku tidak menyertai orang tua itu di dapur seperti biasa.

"Aran tak tahu.. Tak tahu kenapa boleh terfikir nak curi cincin Tok Wan. Kak long, Aran mintak maaf. Janganlah bagitahu Tok Wan. Mati Aran nanti." rayu Azran bersungguh-sungguh. Kedua belah tangannya kemas mencengkam bahu aku. Eleh, dia ingat aku ni jenis yang mudah lupa? Tiap kali buat hal mesti skrip yang sama dia ulang. Aku dah hafal sejak dari kau berumur sepuluh tahun, lah!

"Memang mati kau kali ni!" aku membentak sambil menepis tangannya yang masih menjalar dibahu. Renungan tajam dan satu senyuman yang sinis sengaja aku pamerkan untuk tatapan Azran. Jelas di mata aku wajahnya makin pucat. Mungkin tak menduga kakak yang selama ini sering membelanya enggan lagi berjuang mempertahankan dirinya. Azran berdiri lemah. Tidak mampu meluahkan walau sebutir kata pujukan. Tanpa membuang masa aku melangkah di dalam ruang sekangkang kera itu menuju ke muka pintu. Azraf sejak tadi mendiamkan diri. Menjadi pemerhati sahaja. Menyedari keinginan aku untuk keluar dari situ dia memberi laluan. Siap membukakan pintu. Tangan kanan aku menyeluk poket tracksuit yang dipakai. Sebentuk cincin emas belah rotan kemas dalam genggaman. Sambil berjalan menuju ke arah bahagian dapur, mulut aku terkumat kumit membaca sepotong doa untuk melembutkan hati. Entah. Hati aku atau hati Tok Wan mahupun hati kedua-dua anak muda itu. Aku sebut sahaja semua nama yang terlintas. Sejenak memijakkan kaki di anak tangga kayu yang pertama, aku berhenti. Memerhati Tok Wan yang sedang duduk di lantai simen yang dialas dengan tikar mengkuang. Orang tua itu masih sibuk mengetuk lesung. Aku menuruni pula anak tangga kedua sebelum kaki disapa sedikit rasa dingin akibat memijak lantai bersimen. Perlahan-lahan aku duduk bersila dihadapan Tok Wan. Orang tua itu nampak terkejut dengan kehadiran aku. Ralit benar dengan kerjanya. Dengan perasaan berkecamuk aku menghulurkan tangan kananku kepada Tok Wan. Sepasang mata kuyu yang kelihatan sedikit letih memandangku dengan perasaan hairan. Aku tersenyum tipis. Dahi yang coreng-moreng dengan kerutan makin jelas beralur melihat telatah aku.

"Tok Wan. Kak long nak mintak maaf banyak-banyak. Ni.. Cincin Tok Wan kan?" ujarku seraya membuka telapak tangan dan menunjukkan isinya. Mata kuyu itu terbuka lebar. Barangkali tergamam melihat isi yang bernilai itu.

"Oci curi. Tapi, tak sampai hati pulak. Jadi, Oci pulangkan. Ampunkan Oci, Tok Wan." kataku lagi sambil menundukkan wajah. Aku menutup kelopak mata buat sebentar. Sekian kalinya aku menjadi perisai melindungi Azran. Aku menarik nafas yang panjang. Dada aku ketika ini berdebar dengan sungguh kencang. Bukan sahaja berdebar kerana telah menipu orang tua itu. Tetapi kerana takut memikirkan reaksi orang tua itu nanti. Sesaat kemudian aku merasakan tangan aku disentuh. Kemudian sentuhan itu hilang. Aku mengerling ke hadapan. Melihat cincin itu tiada lagi di atas telapak tangan. Aku memberanikan diri. Mengangkat wajah dan ritma jantung yang tidak sekata makin kucar-kacir. Tok Wan memandangku dengan wajah yang masam. Mulutnya terbuka sedikit. Matanya tidak lepas menatapku. Jika sebentar tadi aku bagaikan singa, kini posisi aku bertukar seperti seekor tikus pula. Terasa kerdil diri ini apabila dipandang begitu. Lebih-lebih lagi dari Tok Wan yang terkenal dengan kegarangannya itu

"Mu tak cukup duit ke? Kenapa tak bagitahu?" marah Tok Wan. Apabila marah, dahi Tok Wan akan naik beralun-alun dan mulutnya masih bergerak-gerak meskipun sudah habis berkata-kata. Aku menelan air liur. Apa nak dijawab? Sudahlah menipu aku yang curi. Takkan nak tipu yang aku tak cukup duit. Padahal yang buat onar itu Azran. Sudah..

"Err.. Bukan. Oci ambik sebab tengok cincin tu cantik sangat. Bukan nak jual." aku berdalih lantas menggigit kuat lidah yang bercabang di dalam mulut aku ni. Gasaklah. Jawab aje apa yang difikir logik asalkan Tok Wan percaya. Tapi, percaya ke orang tua tu? Aku memandang Tok Wan. Tok Wan pula memandangku lama. Macam tengah scan kejujuran aku saat ini. Hati kecil aku kuat merintih supaya mata kabur Tok Wan mempengaruhi fikirannya. Aku melihat Tok Wan menggeleng. Namun, wajahnya tetap mencuka. Sebelah tangannya kembali memegang alu. Menyambung kerja mengetuk lesung. Kewujudan aku dihadapannya tidak lagi diendahkan. Aku melirik jemari di tangan kirinya. Cincin belah rotan yang diperbuat dari emas sembilan sembilan sembilan itu tersarung dijari ibu. Jari itu sahajalah yang masih muat untuk memakai cincin bersaiz comel tersebut. Tanpa berlengah aku bingkas bangun dan menuju ke sinki. Ikan tamban yang sudah siap disiang belum dilumurkan dengan garam dan kunyit. Aku tahu di mana tugas aku untuk menyiapkan juadah tengah hari bermula. 


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa