Home Novel Cinta REEV
Bab 26

26

Hari ini, kali pertama aku berada dikilang pada hari Sabtu selepas kejadian hampir dua tahun yang lalu. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya sebaik menolak pintu pejabat. Aku melihat persekitaran yang sunyi dan sepi. Akukah yang awal? Atau memang pada hari Sabtu tiada staf yang berkerja. Yang pasti Encik Faiz ada di pejabat. Kerana pintu biliknya terbuka lebar. Aku sengaja berjalan kearah bilik HR terlebih dahulu. Pintu bercermin yang mampu dilihat ke dalamnya mempamerkan sosok Rajni yamg sedang bersendirian di meja kerja. Aku mengetuk pintu itu beberapa kali. Rajni berpaling. Aku tiada niat untuk masuk. Oleh itu, tangan kananku diangkat buat menyapa gadis itu. Rajni tersengih lebar. Aku memberi isyarat untuk beredar ke meja kerjaku. Belum sempat aku duduk, aku mendengar suara Encik Faiz memanggilku. Tergesa-gesa aku masuk ke bilik pejabatnya. Encik Faiz tersenyum sebaik melihat kelibatku. Lelaki berusia pertengahan tiga puluhan dan memakai kaca mata itu boleh dikategorikan sebagai tampan. Sudah aku ceritakan dahulu yang bosku ini seorang muallaf, bukan? Wajah putih bersih dan mata yang sedikit sepet. Berhidung mancung dan berketinggian lebih kurang Shakira. Tetapi, Encik Faiz tinggi sedikit sahaja dari adik tirinya itu. Aku turut tersenyum. Bercampur segan mengenangkan sudah lama benar tidak berada di pejabat pada hari Sabtu. 

"You, okay, Rosy?" Soal Encik Faiz. Aku terpempan seketika. Saat ini aku masih berdiri berdekatan dengan meja kerja Encik Faiz yang ditimbun dengan pelbagai fail tebal. Riakku sedikit bertukar. Wah, banyaknya kerja. 

"Gerun, ke?" tanya Encik Faiz lagi setelah menyedari aku hanya mendiamkan diri. Aku terpinga buat seketika sebelum dapat aku rasakan perasaan merona melingkari wajahku. Tepat betul terkaan Encik Faiz itu.

"Saya okay, Encik. Erm.. Semua fail ni kena habiskan hari ni ke, Encik?" soalku ingin tahu. Jikalau kerja sebanyak ini perlu dihabiskan pada hari ini, alamatnya esok aku perlu ke bandar lagi untuk menguruskan hal pembelian barangan dekorasi yang ditugaskan kepadaku. 

"Takpe. Kita buat mana yang boleh dahulu. Saya dah asingkan fail-fail yang dah saya semak. Sorry, Rosy. Nak buat macam mana, kan? Walaupun rekod lama, still, kena update dalam database. HQ yang minta." jelas Encik Faiz dengan rasa serba salah. Aku tidak menyalahkan sesiapa. Sudah tugas. Tugas aku pula membantu bos. Oleh itu, terpaksalah aku akur. Setelah dua kali aku berulang alik ke bilik Encik Faiz untuk mengangkut lebih kurang sepuluh buah fail, aku mula memulakan tugas. Mesin pengimbas atau scanner yang berada berdekatan dengan mesin fotostat aku angkut ke meja kerjaku. Lebih mudah jika semua peralatan diletakkan berdekatan denganku. Aku mula mengimbas satu persatu dokumen yang bersusun di dalam fail tersebut. Bermula daripada fail laporan tahunan hinggalah statistik pengeluaran yang direkodkan. Kesemua fail tersebut bertarikh lebih dari sepuluh tahun yang lalu. Tepat jam satu Encik Faiz muncul di meja kerjaku. Dia mempelawa aku untuk makan tengah hari bersama. Mengenangkan permintaannya sebelum ini dihampakan oleh Shakira, aku bersetuju. 

"Rajni! Fancy join us?" seru Encik Faiz kepada Rajni yang baru keluar dari bilik HR. Aku membisu. Memerhati sahaja gelagat Rajni yang jelas terkejut di sapa begitu. Dalam diam berharap benar Rajni menerima pelawaan itu. Tidaklah kekok sangat situasi jika aku dan Encik Faiz sahaja yang makan bersama. 

"Sorry, boss. Maybe next time. I ada lunch date today. Enjoy your lunch, boss, Rosy." sahut Rajni penuh ceria. Aku tahu gadis itu  sudah memiliki kekasih hati. Saban hari dihantar dan dijemput pulang oleh kekasihnya itu. Aku menghantar kelibat Rajni yang sedang bergerak keluar dari pejabat dengan sedikit rasa sayu. Wajah penuh pengharapan aku pendamkan. 

"Let's go, Rosy." kata Encik Faiz. Setelah mencapai beg dompet di dalam drawer aku mengikuti langkah Encik Faiz ke tempat parkir. Kereta sedan miliknya diparkir disitu. 

"Kita tak makan di kantin ke, Encik?" soalku sedikit hairan. Aku fikir kami bakal menjamu selera disitu sahaja. 

"Tak. Kita makan dekat Ubai. I dengar ada sebuah restoran baru dibuka. Makanannya sedap." kata Encik Faiz seraya membukakan kereta. Aku tidak punyai pilihan untuk menolak. Bukankah aku sendiri yang bersetuju tadi. Mahu atau tidak aku masuk jua ke dalam kereta lelaki tersebut. Perjalanan ke Ubai tidaklah jauh mana. Mengambil masa kira-kira sepuluh minit sahaja dengan kelajuan yang dipecut oleh Encik Faiz. Seperti yang diperkatakan oleh lelaki itu sebentar tadi, memang benar restoran itu baru dibuka. Namun, pengunjung tidaklah begitu ramai. Barangkali ianya masih baharu. Belum dikenali ramai lagi. Aku memilih juadah nasi campur sahaja. Mudah. Lagipun perutku memang sedang lapar. Jika memesan makanan panas perlu mengambil sedikit masa pula sementara menanti hidangan itu siap. Nampaknya bukan aku seorang sahaja yang memilih juadah begitu. Encik Faiz sudah berada di meja makan sewaktu aku kembali ke meja tersebut. Dihadapannya sepinggan nasi dagang sedia terhidang. Kami makan dalam suasana yang sunyi. Masing-masing leka menikmati juadah sendiri. Usai membasuh tangan disebuah sinki yang disediakan aku kembali ke meja. Secawan air suam aku capai dan menghirupnya perlahan. 

"Macam mana dengan tugasan dekorasi? Minggu depan majlis dah nak berlangsung." tanya Encik Faiz ingin tahu. Barangkali ramai staf yang tidak tahu akan keperibadian Encik Faiz. Tetapi, pada pengamatan aku lelaki ini seorang yang prihatin. Walaupun pekerja itu cuma operator dikilang, Encik Faiz pasti mengambil tahu serba sedikit perihal keluarga individu tersebut. Bagi Encik Faiz, pekerja bagaikan ahli keluarganya sendiri. Mereka berhak diambil peduli dan diambil tahu kebajikannya. 

"Barang-barang tahun lepas kita recycle, Encik. Cuma, untuk PA system dan peralatan lain kita kena sewalah macam biasa. Yang tu Kak Mar dah bereskan. Bahan hiasan je yang tinggal. Kalau sempat, balik kerja nanti saya beli. Kalau tak, esoklah saya pergi cari." kataku panjang lebar. 

"Jadi, you patutnya shopping barang-barang tulah hari ni? Haiya, sorry ma... I tak tahu. Apesal you tak bagitahu awal-awal. Senang I nak compromise." kata Encik Faiz dengan riak serba-salah bermain-main diwajahnya. Aku tersenyum tipis bagi mengelakkan lelaki itu terus dihurung perasaan itu. 

"Takpelah, Encik. Sikit je barang yang kena beli. Lagipun kerja dekat ofis tu lagi urgent." ujarku berbasa basi. Encik Faiz memandangku lama. Segan pula jadinya. Oleh itu aku mengalihkan pandanganku kearah lain. Melihat hingar-bingar pengunjung yang sedang menikmati hidangan. 

"I suka Shakira kawan dengan you. Sama-sama tegas dan ada pendirian. Makan ni I belanja, okay." tutur Encik Faiz sebelum berdiri dan berlalu ke kaunter bayaran. Aku terdiam sambil memikir kata-kata itu sehinggalah kami  masuk ke dalam perut kereta. Ketika Encik Faiz memandu keluar dari kawasan bangunan kedai dua tingkat itu aku memberanikan diri bersuara. 

"Bos tahu kenapa Shakira nak kawan dengan saya?" 

"Nope. But I think maybe she just curious. You know, minggu pertama dia berkerja, dia dah tanya I tentang you. So, hari-hari I ceritakan sesuatu tentang you. Sampai dia suruh stop. Siapa suruh tanya, kan?" ucap Encik Faiz bersahaja. Merona pula wajahku apabila mendengar cerita Encik Faiz. Padahal satu pun tiada kata pujian. 

"Encik cerita perkara tak elok ke?" tukasku tanpa sengaja. Aku membuang pandang ke luar tingkap. Lidah tidak bertulang ini aku gigit sekuat hati. 

"Tak. Tentang sikap you yang orang lain tak perasan. Don't worry, Rosy. Kisah tu masih elok I simpan."

"Erm... Thank you, bos." ujarku penuh kelegaan. 

"Jadi, habis kerja nanti bolehlah I tolong temankan beli barang tu." Encik Faiz menawarkan diri. Aku cepat-cepat menggelengkan kepala. 

"Takpe...takpe. Saya boleh pergi sendiri." kataku sedikit tegas. Aku mendengar Encik Faiz ketawa kecil. 

"Patutlah boleh jadi kawan. Dua-dua keras kepala..." desis Encik Faiz. Meskipun perlahan, aku masih boleh mendengarnya dengan jelas. Senyuman tipis bermain-main dibibirku sepanjang perjalanan pulang ke pejabat. 


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa