Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,053
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

12

Pagi ini aku terasa terlebih rajin pula. Sudah lama aku tidak mengalami perasaan seperti ini. Bangun pagi dengan perasaan yang girang dan bersemangat. Sebelum waktu Subuh masuk lagi aku sudah bangkit. Selesai solat fardhu, terus aku menjengah ke dapur. Dari semalam aku sudah merancang untuk menyediakan nasi lemak untuk dijadikan sarapan. Tentu Azran gembira. Maklumlah, makanan kegemaran. Lebih-lebih lagi jika disediakan sekali sambal kerang cili api air tangan Tok Wan. Memikirkan Tok Wan, orang tua itu sudah berada di dapur ketika ini. Sedang menghiris bawang merah untuk dibuat sambal. Aku tersenyum sendirian. Sementara Tok Wan menggunakan dapur untuk memasak, aku membasuh beras untuk ditanak. Keriuhan bunyi enjin bot yang mahu keluar kelaut sejak jam lima pagi masih kedengaran. Gegak gempita begini telah menjadi lumrah dalam kehidupan penduduk yang menetap dikawasan tanjung ini. Terdapat segelintir nelayan bersolat di atas bot sahaja jika keluarnya kelaut di awal pagi begitu. Tepat jam enam setengah aku lihat Azran masih melingkar ditempat tidurnya. Tidur matilah tu! Kalau tidak dikejutkan memang subuh gajahlah baru dia bangun. Aku segera memanjat anak tangga kayu dan menuju ke satu ruangan yang bertentangan dengan bilik tidurku. Di sudut itu kain langsir yang berela panjangnya dijadikan tabir pelindung yang membentuk petak bersegi. Disitulah ruang yang dijadikan sebagai bilik tidur Azran. Rumah Tok Wan ini cuma mempunyai dua bilik tidur sahaja. Jikalau Azraf pulang bercuti, kedua beradik itu akan menjadikan ruang tamu sebagai tempat tidur mereka. Dahulu, aku juga ikut tidur disitu. Namun, semenjak menjadi anak dara sunti lagi aku ditegah oleh arwah emak untuk tidur bersama-sama dengan adik-adikku. Aku menyelak salah satu langsir yang dijadikan tirai pintu. Huh! Tengah sedap tidur. Siap berdengkur lagi. Aku menyentuh lembut bahu Azran. Setelah beberapa kali mengejutkannya, barulah dia mula menggeliatkan tubuh dan membuka mata. Faham akan tabiatnya diwaktu pagi yang gemar duduk sebentar sebelum turun ke bilik air, aku terus kembali semula ke dapur. Aroma sambal kerang yang hampir masak memenuhi segenap ruang. Berpadu pula dengan haruman daun pandan yang sedang dimasak bersama dengan nasi. Kacang yang telah disangai pada malam tadi aku hidangkan di atas meja makan. Begitu juga dengan ikan bilis goreng bermata biru yang comel saiznya namun tahan lama kerangupannya. Apabila jam tujuh pagi menjelang kami bertiga sudah berada di meja makan untuk bersarapan sama-sama. Begitulah rutin kami anak beranak pada setiap pagi. Aku menjeling ke arah Tok Wan yang sedang mengunyah dengan perlahan. Kemudian, jelingan itu beralih pula kepada Azran. Berselera sekali dia makan. Hati kecilku dibuai keseronokan melihat telatah mereka berdua. Usai bersarapan, aku terus menuju ke bilik air untuk menggosok gigi dan segera kembali ke bilik tidur untuk bersiap-siap. Aku memilih untuk mengenakan sehelai blouse berona biru lembut dan dipadankan dengan sepasang seluar berjenis khakis. Tudung bawal bercorak abstrak kemas menutupi kepalaku. Puas hati dengan penampilan serba ringkas itu, aku berlalu ke tingkap dan membuka ia selebar-lebarnya. Angin laut yang sepoi berhembus menerobos masuk. Aku menghirup bayu dingin itu sedalam-dalamnya. Menikmati aroma yang menyegarkan minda dan tubuh. Lazuardi ketika ini terang berkilau dengan cahaya mentari yang menyinar. Cuaca pagi ini seiring dengan bahasa tubuhku. Bersemangat dan ceria! Tiba di dapur, kelihatan Azran sedang berdiri di muka pintu. Aku tidak pasti sama ada dia sedang menanti aku bersiap atau sedang mengambil angin pagi. Tok Wan pula tidak kelihatan. Mungkin sudah turun ke laman. Pagi-pagi begini Tok Wan memang gemar berada diluar rumah. Memberi ayam belaannya makan sambil menghirup udara yang nyaman. Tiba-tiba akal nakalku muncul. Diam-diam aku mendekati Azran sambil jari telunjuk tajam terhunus untuk mencucuk pinggangnya. 

"Hah!" Sergahku lantas ketawa besar sebaik melihat reaksi Azran yang hampir melompat kerana terperanjat. Azran tersengih bagai kerang busuk. Ketawa yang tercetus masih belum berhenti. Namun, sebaik aku menjejakkan kaki ke tanah wajahku terus pucat lesi. Bibir yang meleret dengan senyuman terus mati. Semangat yang membara bertempiaran lari. Lidahku kelu. Entah bila masa dua orang tetamu itu tiba aku langsung tidak sedar.  Barangkali ketika aku keluar dari bilik dan meninjau ruang tidur Azran untuk memeriksa peralatan elektrik yang digunakan sudah ditutup suisnya. Apabila mataku bertembung dengan Tok Wan barulah aku tersedar kami berdua harus segera ke rumah api untuk menunggu van kilang datang menjemput. Meskipun sedikit gementar aku berpura berlagak selamba menghampiri Tok Wan yang sedang duduk dipangkin bersama dua orang tetamu itu. Huluran salam terlebih dahulu aku berikan kepada Tok Wan. Begitu juga Azran. Kemudian dengan perasaan yang teragak-agak aku hulurkan pula tangan kepada seorang wanita yang berusia di awal lima puluhan.

"Tak payah salam-salam. Tangan kotor siapa nak sentuh!" herdik ibu saudaraku yang lebih mesra dengan panggilan Moksu. Suaranya yang agak tinggi dan nyaring itu membuatkan tangan yang dihulurkan serta-merta kutarik kembali. Walaupun bertimpa-timpa perasaan malu dan sebal aku tetap berdiri disitu sambil melirik ke arah Azran dengan satu pandangan yang penuh makna. Aku tahu apa niat adikku itu. Sebab itulah aku terlebih dahulu perlu menghalangnya. Jika tidak kecoh keadaan nanti apabila perang mulut antara Azran dan Moksu berlaku. Azran itu pantang benar apabila seseorang berkata buruk tentang diriku. Terus naik darahnya. Tidak kira siapa, akan dipulangkan kembali kata nista mereka itu. Namun, mengenangkan orang itu adalah ibu saudara kami, aku perlu lakukan sesuatu. Biarlah dikeji dan dihina. Tak mungkin aku melihat sahaja adikku bersikap biadap dengan orang tua. 

"Hai, Oci. Lama tak jumpa." sapa pula satu suara yang sudah lama aku tidak mendengarnya. Suara itulah yang membuatkan wajahku pucat dan semangatku melayang. Kerana individu itulah aku berasa gementar. Dialah Yana. Sepupu yang paling rapat denganku. Aku melihat kearahnya sebentar sahaja sebelum memandang ke tempat lain. Namun, dalam tempoh yang singkat itu aku sungguh terkejut. Sepupu yang aku kenali semenjak kecil itu ketara sungguh penampilannya. Kulitnya putih sekali. Gebu dan mulus. Wajahnya bersinar tanpa sebarang alat mekap. Cantik, itulah perkataan yang terungkap di dalam hatiku saat ini. 

"Tengok orang rajin kerja.. Gaji mahal, dapat beli kereta baru.. Bagi duit dekat mak ayah seribu sebulan. Hati baik.. Muka berseri-seri. Tapi, kalau jenis garik pulak, pergi kerja dok cari laki orang, memang tak ke mana-manalah hidup. Kena laknatlah tu.." sahut Moksu dengan wajah yang mencuka. Nadanya masih meninggi. Seperti cuba menarik perhatian jiran tetangga yang berhampiran. Aku sedari Azran menapak sedikit kehadapan. Cepat-cepat aku memaut lengannya. Dari kecil lagi kami dah terbiasa mendengar ayat-ayat yang celupar yang datangnya dari Moksu. Malah, hampir semua jiran di kawasan tanjung ini tahu bagaimana sikap Moksu. Lebih-lebih lagi setelah peristiwa hitam itu berlaku. Di laman sekangkang kera inilah Moksu datang dengan wajah yang menyinga berserta cacian dan makian yang tidak henti dilemparkan kepadaku. Aku ingin bersuara untuk mengundurkan diri. Jika lama disitu bukan sahaja maruah aku dipermainkan, akan lewat pula tiba ke kilang nanti. Tanpa sesiapa menduga bunyi hon kenderaan yang agak kuat serta-merta mengalihkan tumpuan kami. Saat itu juga aku berasa semangat yang bersembunyi sebentar tadi sedikit demi sedikit memunculkan diri.

"Assalamualaikum. Hai, Oci! Jom pergi sama-sama." ucap Shakira sebaik sahaja turun dari kenderaan yang sama dipandunya kelmarin. Berpenampilan menawan dengan sepasang kemeja putih yang berpotongan hi-low dan sepasang skinny jeans, Shakira melangkah bersama kasut tumit tinggi berwarna merah terang. Walaupun tanah dilaman itu tidak sekata, langkah yang diambil yakin dan bersahaja. Semerbak haruman minyak wangi yang lembut bauannya menusuk hidung apabila tubuh langsing itu mendekati kelompok kami. Shakira menyalami tangan Tok Wan dengan penuh tertib. Kemudian, dengan Moksu dan Yana. Tanpa sengaja aku terpandangkan wajah melopong Moksu yang kagum melihat kecantikan asli milik Shakira. Juga wajah tidak gembira Yana apabila menyedari gadis jelita itu adalah kenalanku. Setelah membiarkan Tok Wan bertanya dan berbual beberapa perkara, kami bertiga akhirnya mengundurkan diri. Ketika berjalan menuju ke kereta, aku sedar tangan kiriku digenggam erat oleh Azran. Manakala bahuku pula dipaut kemas oleh Shakira.  


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa