Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,658
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

15

Hari ini Shakira memandu kereta kepunyaannya. Tiada lagi kenderaan pacuan empat roda yang digunakan kelmarin. Sepuluh minit berada di atas jalan raya, akhirnya kami tiba di sebuah warung cendol yang terletak di tepi sungai. Ianya bukanlah sebuah warung yang dibina khas disitu. Sebaliknya sebuah lori kecil yang diubahsuai dibahagian belakangnya dan dijadikan ruang penyediaan makanan dan minuman. Tengah hari yang sibuk di tengah bandar membuatkan kami terus menuju ke arah sebuah meja kosong yang baru ditinggalkan oleh pengunjung sebelumnya. Tiada masa untuk memilih tempat. Cendol Hamid itu memang terkenal dikawasan ini. Kadangkala apabila meja sudah penuh, pelanggan yang lain lebih rela untuk duduk sahaja dibangku tanpa meja makan. Selain cendol, menu wajib yang harus dicuba ialah mee rojak. Memang kenalah dua menu itu apabila digabungkan. Rasa kuah rojak yang agak pedas disertai dengan minuman cendol yang menyejukkan tekak. Sebaik duduk dimeja yang masih belum dikemaskan, satu-satunya pelayan yang merupakan anak kepada pemilik warung cendol tersebut datang menghampiri kami. Aku perasan matanya tidak berkedip memandang wajah Shakira. Jikalau aku yang sejenis jantinanya gemar melihat wajah cantik itu, apatah lagi anak muda yang lain. Sudah tentu rupa yang menawan itu telah berjaya mengetuk perhatian mereka. Setelah beberapa saat yang kekok, Shakira menegur gelagat pemuda itu. Barulah pesanan diambil dan meja yang diduduki dikemaskan. Aku menggigit bibir. Menahan rasa lucu mengenangkan tingkah pemuda itu tadi.

"Mesti kau dah biasa, kan macam tu? Sebab tu kau tak heran, kan?" ujarku tanpa aku sedar sama sekali. Padahal getusan itu cuma terlahir di benak fikiranku sahaja. Tetapi entah macam mana terzahir secara terang-terangan. Shakira menatapku dengan perasaan tidak percaya. Aku pula berlagak selamba.

"Banyak orang tertipu dengan pandangan mata." sahut Shakira lantas membuang pandang kearah aliran air sungai yang mengalir perlahan. Tidak berapa jauh dari tempat kami duduk bersusun beberapa buah bot persiaran bersaiz kecil yang berwarna putih. Semenjak tebing sungai itu mengalami penstrukturan yang lebih tersusun dan teratur, kehadiran bot-bot tersebut menjadi satu lagi tarikan kepada pengunjung ke kawasan tebing itu yang lebih dikenali sebagai Riverfront. Aku memerhati sejenak reaksi Shakira. Sedarlah aku boleh jadi gadis itu terasa dengan ucapanku sebentar tadi.

"Maksud kau, kau taklah secantik yang kami fikirkan?" tanyaku pula. Ah, kenapalah aku gemar menuturkan sesuatu yang lain dari sepatutnya. Bukankah tadi aku berniat untuk memohon maaf. Tetapi, sekali lagi ayat menyentap perasaan pula yang aku berikan. Shakira segera menoleh kearahku. Dua kali ganda terkejut mimik mukanya ketika ini. Dah kenapalah dengan kau ni, Rosy?

"Kami? Termasuk kau ke?" soal Shakira pula. Aku terkedu seketika. Iye. Termasuk aku. Apa yang pelik? Aku mengangguk sedikit. Lantas membuatkan Shakira tergelak besar. Beberapa pengunjung berdekatan yang mendengar hilaian tawanya memerhati gelagat gadis itu buat seketika sebelum kembali meneruskan kegiatan masing-masing. Aku memandang gadis itu dengan perasaan hairan. Memang sejak pertama kali bertegur sapa dengan Shakira aku sedari ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis ini. Boleh jadi bukan kerana otaknya tak centre. Aku tak pernah pun terfikir kearah itu. Tetapi, sesuatu yang unik. Hati gadis itu seakan kental dengan kecaman, sindiran mahupun usikan kasar. Macam mana dia boleh membina jiwa segagah itu? Atau benarkah seperti yang disebutkan olehnya tadi? Mata kerap menipu. Aku diseliputi dengan rasa musykil yang tebal terhadap gadis dihadapanku kini.

"Aku fikir kau takkan iktiraf diri aku cantik. Yelah, kita bukan rapat pun. Entah-entah kau benci aku." tutur Shakira seraya membuatkan aku terkejut. Jadi, itulah tanggapannya terhadap aku.

"Cantik akan aku kata cantik. Orang yang berhati busuk aje yang gemar nafikan sesuatu yang nyata. Lagipun aku tak benci kau tanpa sebab. Kalau hal minggu lepas tu aku mengaku memang aku benci sangat-sangat pada kau. Tapi, perkara tu je yang buatkan aku rasa benci. Selesai hal tu dah tak ade tujuan untuk aku saje-saje benci kau." kataku panjang lebar. Wajah Shakira kelihatan puas dan senang mendengar pengakuanku itu. Tanpa aku sedar aku turut berasa senang hati kerana dapat meluahkan apa yang aku rasa dan fikir terhadap sikap dan diri Shakira.

"Aku suka jawapan tu." ucap Shakira sebelum perbualan kami terhenti apabila hidangan yang dipesan tiba. Kami menjamu selera dan berada di situ kira-kira selama setengah jam. Sebelum beredar, sempat pula kami singgah ke sebuah kiosk berhampiran yang menjual buah-buahan potong.

"Kawan tak semestinya setuju dalam semua perkara. Kawan tak semestinya berbaik sepanjang masa. Menjadi seorang kawan yang sejati tu susah. Perlu bersedia menjadi pengkritik dan penyokong walaupun berisiko." tutur Shakira sewaktu dalam perjalanan pulang ke kilang. Sepanjang hari itu, fikiranku kerap memutar-mutar kata-kata tersebut. Minda mengimbau memori silam. Akukah yang bersalah kerana tidak menjadi kawan yang sejati? 


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa