Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,658
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

9

Sudah lima hari semenjak rahsia yang tak pernah aku kongsikan dengan sesiapa diketahui oleh Shakira. Lima hari juga gadis itu tidak duduk makan semeja denganku. Adakah aku membuat keputusan yang betul dengan membocorkan rahsia itu? Aku fikir, ya. Dalam diam aku tercari-cari juga kelibat Shakira. Namun batang hidungnya memang tidak kelihatan. Bukan dia sahaja yang berada di dalam radar pengesanku. Kak Mar dan teman sepejabat yang lain turut aku awasi gerak laku mereka. Malah, setiap hari selepas rahsia itu aku bongkarkan, aku menanti kedatangan Kak Mar atau yang lain untuk datang menyerang aku. Bukan aku tidak tahu Kak Mar itu ramai pengikut dan penyokong. Sama ada staf dipejabat mahupun operator kilang. Nama Kak Mar sentiasa meniti dibibir mereka. Sebelum Kak Mar dilantik menjadi Operation Clerk, Kak Mar terlebih dahulu menjadi seorang operator pengeluaran. Kerana kegigihannya, dia dilantik menjadi Leader. Kemudian, Supervisor sebelum dapat menghuni bilik pejabat dan menyandang jawatannya ketika ini. Usahanya mengubah taraf hidup menjadi buah mulut para pekerja. Kak Mar sering dijadikan contoh untuk berjaya oleh sesetengah dari mereka. Tak terkecuali aku pada suatu ketika dulu. Perjalanan hidup aku dikilang hampir sama dengan Kak Mar. Aku juga bermula sebagai operator pengeluaran. Namun, hanya sementara. Kira-kira enam bulan sahaja aku menjadi operator sebelum kembali semula dua tahun selepas itu untuk menjawat jawatan yang aku pegang sekarang. Oleh kerana masa rehat di kantin aku singkatkan, banyak pula masa yang berbaki sebelum tempoh itu tamat. Aku berura-ura untuk ke surau bagi menunaikan solat fardhu Zuhur. Di pertengahan jalan, tidak semena-mena aku terserempak dengan Shakira. Gadis tinggi lampai itu anggun seperti biasa. Melangkah persis model catwalk diiringi sepasang mata yang tajam menatapku. Hatiku terus menduga sesuatu yang tidak enak. Kletak kletuk bunyi kasut tumit tinggi milik Shakira kuat mendekati hinggalah ianya tiba-tiba senyap. Dengan wajah sedikit terdongak aku mempamerkan reaksi selamba. Gadis itu juga tidak mahu kalah. Hanya merenungku tanpa sebarang kata. Biasanya dialah yang terlebih dahulu menegurku. Tetapi, tiba-tiba sahaja mendiamkan diri. Setelah beberapa saat yang bungkam, Shakira berdehem beberapa kali.

"Encik Faiz nak jumpa kau dekat stor pukul lima setengah nanti." ujar Shakira lalu memusingkan tubuh dan berlalu tanpa menoleh ke belakang. Sepeninggalannya, aku dilanda perasaan terpinga-pinga. Antara mahu percaya atau tidak aku lupakan buat seketika pesanan gadis itu. Selesai urusanku di surau, aku kembali ke pejabat. Tiada individu yang layak untuk aku dapatkan maklumat berkenaan Encik Faiz melainkan daripada Rajni. Gadis berketurunan Tamil itu merupakan pembantu kepada Joyce dan antara individu yang rapat dengan Encik Faiz. Perasaanku hampa tatkala orang yang dicari tidak kelihatan. Baik Rajni mahupun Joyce, keduanya tiada di tempat masing-masing. Cuma terdapat tiga orang staf sahaja di dalam bilik itu.

"Oi, intai apa?" tegur satu suara dibelakangku sambil satu cuitan mesra mengenai bahu. Aku berpaling dengan wajah yang terkejut. Namun, berasa lega sebaik wajah Rajni yang menyapu pandangan.

"You, lah." sahutku separa berbisik. Aku meminta Rajni ke meja kerjaku kerana posisi stesen aku bertugas agak ke belakang dan berpisah di antara staf yang lain. Sejak aku mula berkerja di pejabat ini, di situlah lokasi aku. Ruang yang dikatakan khas kerana berada berdekatan dengan bilik Encik Faiz dan Encik Rahman serta mesin fotostat. Kedudukan itu jelas menjoloki jawatan yang aku pegang.

"Encik Faiz ada tak?" soalku kepada gadis berusia tiga puluhan itu. Sepasang mata yang sedia bulat itu makin bertambah bulat apabila menatapku. Aku mengerutkan kening. Berasa hairan kerana pertanyaanku kedengaran seperti janggal sahaja.

"Eh, you tak tahu ke? Encik Faiz ada di Kota Tinggi, lah. Petang nanti dia balik. Tapi, dia akan masuk ofis dulu. Kenapa?" soal Rajni pula kepadaku. Oh, patutlah aku tak melihat lelaki itu sejak dari pagi. Aku terfikir untuk bertanyakan Rajni tentang keinginan Encik Faiz untuk bertemu aku petang nanti. Manalah tahu jika gadis yang gemar mengikat tocang rambutnya itu tahu akan jadual kerja bos kami.

"Petang nanti Encik Faiz ada mesyuarat ke?" soalku lagi. Rajni meletakkan tangan di meja dan sebelah lagi berpaut dipinggangnya. Dia memerhatikan diriku buat beberapa saat. Atas dan bawah juga.

"Yup. Ada beberapa orang dia kena jumpa. Apahal you ni? Nak balik awal, ye." tanya Rajni selamba sambil tersengih. Aku senyum sahaja mendengar usikannya itu. Fuh! Selamat. Mujurlah gadis itu membuat andaiannya sendiri. Jadi, tak perlulah aku bersoal jawab. Setelah berbual kosong beberapa ketika gadis itu mengundurkan diri untuk kembali menyambung tugas yang tertangguh. Bilik pejabat juga kedengaran sedikit kecoh dengan suara para staf yang sudah kembali setelah waktu rehat tamat. Aku cepat-cepat memulakan tugas yang terbengkalai. Meneliti sebuah fail yang diberikan oleh Angah, pemuda yang berkerja sebagai storekeeper untuk dibuat beberapa salinan. Inventory list yang akan dikemaskini pada setiap minggu turut menjadi sebahagian dari tugasku. Kerja-kerja memasukkan data itu dilakukan oleh Angah. Cuma kerja-kerja fotokopi maklumat dalam bentuk hadrcopy itu diserahkan kepada aku. Dari satu tugasan aku beralih ke satu tugasan hinggalah jam lima setengah petang aku mendengar suara staf yang lain mula riuh mengucapkan selamat tinggal. Aku mengerling bilik Encik Faiz. Lelaki itu langsung tidak menjejakkan kaki ke pejabat. Namun, seperti kata Rajni dia perlu menghadiri beberapa mesyuarat. Mungkinkah aku terlambat? Komputer yang masih terpasang segera aku matikan. Siap berkemas aku melangkah menuju ke bangunan kilang. Di situ aku sempat bertemu dengan Azran dan memaklumkan kelewatanku. Azran berjanji untuk menunggu, dan kami membuat keputusan untuk pulang menaiki bas sahaja. Apa boleh buat. Demi kerja yang memerlukan sedikit komitmen, aku sanggup berkorban. Lagipun pulang lewat dari berkerja sesuatu yang jarang aku lakukan. Sekali sekala apa salahnya. Aku bergegas ke arah laluan yang membawa ke sebuah bilik yang terletak agak ke belakang. Namun ianya masih bersambung dengan bangunan kilang. Suasana dikawasan itu agak sepi. Aku memang tidak gemar ke situ melainkan jika terdapat sebarang urusan berkaitan kerja sahaja. Sudahlah staf dibahagian stor itu semuanya lelaki, di bilik itulah peristiwa hitam yang mengaibkan aku berlaku. Sambil mengepit kemas beg tangan yang disandang, aku melangkah dengan cermat menghampiri pintu yang bertutup. Dadaku sedikit berdebar walaupun aku sedar Encik Faiz mahu menemui aku demi tuntutan kerja sahaja, bukan dengan niat yang lain. Malah, selepas peristiwa itu, hanya Encik Faiz satu-satunya staf lelaki yang aku percayai. Jadi aku yakin aku selamat apabila berada berdekatan dengan Encik Faiz. Pintu bilik stor itu aku ketuk beberapa kali. Senyap. Tiada sebarang bunyi mahupun sahutan. Perlahan-lahan aku menolak pintu bilik itu. Pertama-tama, hanya kepalaku sahaja yang menjenguk ke dalam ruangan yang agak luas itu. Namun, kerana susun atur peralatan dan kotak-kotak yang menjulang tinggi, satu bayang manusia pun aku tidak nampak. Akhirnya aku menolak pintu itu seluas-luasnya dan membiarkan sahaja ia terbuka. Sambil menjengulkan kepala kiri dan kanan aku mencari kelibat Encik Faiz. 

Dummm!!! 

Bunyi pintu ditutup dengan kuat membuatkan aku terus mengambil langkah seribu. Pintu yang terkuak lebar sebentar tadi sudah ditutup rapat-serapatnya. Aku cuba memulas tombol namun ianya jelas ketat dan berkunci. Dalam perasaan cemas dan lelah, aku cuba menenangkan diri sendiri. Aku menarik nafas yang dalam beberapa kali meskipun aku sedar setiap helaan cuma menambahkan debaran di dada.

"Tolong! Err.. Ada siapa-siapa tak? Tolong!" Aku memekik sekuat hati. Tetapi, semua orang tahu. Dinding stor itu umpama bilik kebal. Kalis bunyi dan dilengkapi dengan sistem keselamatan. Tak mungkin orang diluar dapat mendengar jeritanku itu. Hati kecilku terus terdetik untuk menghubungi seseorang. Dengan sedikit kelam kabut, aku menyelongkar isi di dalam beg tangan berwarna coklat cair. Tiada! Telefon yang sentiasa dibawa ke mana-mana tiada dalam beg tangan ini! Aku menyelongkar lagi. Kini, sambil duduk bersila dilantai bersimen itu aku keluarkan satu persatu barangan yang terdapat di dalam beg itu. Sah! Memang tiada. Setiap inci poket beg tangan itu sudah diperiksa. Fikiranku mula rungsing. Dengan kedua belah tangan menongkat dagu, baru aku teringat telefon itu tertinggal di rumah. Malam tadi sebelum tidur aku caskan ia kerana kehabisan bateri. Ketika keluar untuk pergi berkerja, langsung aku terlupa untuk membawanya. Ah, kenapalah hari ini aku lupa. Kenapa tidak hari lain? Tidak semena-mena, aku mendongak ke atas. Baru aku perasan terdapat sebiji kamera litar tertutup di atas kepala yang tepat menghala kearahku. Aku melonjakkan badan dengan seribu harapan mula berputik. Sambil melambaikan kedua belah tangan aku meminta pertolongan. Aku benar-benar berharap ada seseorang sedang menonton kamera itu ketika ini. Tetapi, patutkah aku mengharap sebegitu? Kerana monitor CCTV itu terdapat di dalam bilik Encik Faiz. Dan aku pula tiada petunjuk tentang kedudukannya ketika ini. Aku melirik jam ditangan. Sudah sepuluh minit aku melambai dengan harapan seseorang akan datang dan membukakan pintu. Namun, bila diperiksa hanya suasana sepi yang aku dapat. Tubuhku sudah penat. Fikiran pula berkecamuk memikirkan solusi untuk keluar dari situ. Aku masih di depan pintu itu. Tidak berganjak ke mana-mana. Bersendirian di ruang itu hanya membuatkan peristiwa dua tahun lalu kembali memutar diminda. Aku memeluk erat beg yang sudah dikemaskan kembali. Sambil memeluk kedua belah kaki rapat ke dada, aku sembamkan wajah ke lutut.

"Sial! Dalam bilik stor pun boleh jadi! Kalau dah tak tahan sangat, kahwin! Bukan berzina dekat sini!" suara Encik Azizi selaku pegawai keselamatan di kilang bagai halilintar menerjah ke cuping telinga. Aku tekupkan kedua belah tangan ke telinga. Aku tidak mahu mengimbau kejadian itu lagi. Aku tak nak!! Sambil menjerit meminta tolong buat kesekian kalinya, aku mengetuk pintu tebal itu sekuat tenaga. Tidak sedar air jernih laju membasahi pipiku ketika ini. Apabila suara dan ketukan makin lemah dan tidak bermaya, aku lihat pintu itu terkuak secara perlahan-lahan. Nafas yang terumbang-ambing sebentar tadi tenang. Debaran yang bergetar hebat semakin reda. Aku ingin tersenyum kepada penyelamatku itu. Namun senyuman itu mati sebaik figura yang muncul dihadapanku jelas kelihatan.

Shakira!


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa