Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,664
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

3

Bauan yang datang dari kerusi yang aku duduki kadangkala membuatkan aku berasa mual. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang satu jam itu makin menghampiri destinasi yang dituju. Setelah van yang sarat dengan para pekerja diparkir di lapangan, aku menarik nafas yang lega. Jika tidak tahan sangat sebiji gula-gula Hacks berperisa cengkih akan aku telan. Barulah terasa nyaman sedikit. Setelah Azran mengucapkan selamat tinggal kepadaku, kami berpisah. Masing-masing menuju ke arah dua laluan yang bertentangan. Aku mengambil laluan ke kanan yang membawa ke arah pejabat. Manakala Azran ke arah kiri yang akan membawanya ke sebuah gudang dimana operasi utama dilaksanakan. Kilang elektronik yang menjadi tempat kami mencari rezeki ini sudah lama bertapak di bandar ini. Sejak kecil aku melihat ianya sudah wujud. Cuma, setelah aku dewasa kilang ini juga berubah dari segi lokasi dan saiznya. Perusahaan yang berasal dari Jerman ini semakin berkembang maju. Para pekerja kilang sahaja berjumlah seramai empat ratus orang. Aku bergegas ke stesen kerjaku. Hanya sebahagian staf pejabat yang kelihatan. Sebahagian lagi mungkin masih di dalam perjalanan. Mungkin juga sedang minum pagi di kantin. Lagipun, waktu masih berbaki sepuluh minit sebelum waktu berkerja bermula. Bunyi riuh rendah dengan suara gelak ketawa mati sebaik menyedari kehadiran aku yang mendekati meja kerja mereka. Aku melemparkan sebuah senyuman tipis. Seperti biasa hanya Rajni yang membalas dengan satu senyuman yang lebar. Yang lain berpura-pura tidak perasankan kehadiranku disitu. Alah bisa tegal biasa.  Hampir dua tahun, aku kalis dengan layanan dingin sebegitu. Setelah mengisi nama dan tandatangan pada buku log di meja Mariam yang mesra di panggil Kak Mar, aku menyauk segugus kunci yang sudah tersedia disitu. Pintu pejabat yang sentiasa bertutup aku tolak dari dalam. Kakiku melangkah ke arah kawasan parkir motosikal. Deretan motosikal milik pekerja dan juga staf bersusun di bawah bangsal beratap zink. Dari jauh aku melihat sebuah motosikal yang tidak pernah berubah kedudukannya. Itulah kenderaan yang menjadi tunggangan aku pada setiap pagi. Di kala teman sepejabat asyik berbual dan bergelak ketawa, aku harus ke pejabat pos di pusat bandar untuk mengambil surat-surat yang dikirimkan ke alamat kilang. Oleh kerana satu kejadian yang berlaku beberapa tahun yang lalu, pihak pengurusan telah memutuskan untuk menyewa sebuah peti pos di pejabat pos besar. Dan entah bagaimana nama aku terpalit sama di dalam kejadian itu hingga membuatkan kerja yang tidak ubah seperti mat despatch itu menjadi sebahagian skop tugasanku. Selesai urusan dipejabat pos, aku kembali semula ke pejabat. Tetapi tidak terus ke meja kerjaku. Aku menuju ke arah ruangan Human Resource atau HR. Disitu aku mula mengagih-agihkan dokumen yang diambil dipejabat pos tadi.

"Thanks, Rosy." ucap Joyce sambil tersengih sebaik memperoleh surat-surat yang tertera namanya. Aku membalas kembali senyumannya itu. Kali ini satu senyuman yang benar-benar ikhlas kerana hanya Joyce dan pengurus kilang sahaja yang tidak pernah membezakan layanan mereka kepadaku. Sebaik mengundurkan diri dari bilik HR yang diketuai oleh Joyce, aku mengagihkan surat-surat tersebut kepada pemilik yang berhak. Setelah itu barulah aku kembali ke meja kerjaku sendiri. Hampir lima minit melepaskan lenguh dan lelah barulah aku menekan butang ON untuk menghidupkan komputer dihadapanku. Suasana pejabat senyap di awal pagi begini. Masing-masing sedang tekun melayari dan meneliti tugasan yang harus disiapkan mahupun yang masih tertangguh. Aku pula harus membuka peti email dahulu. Atas arahan pembantu pengurus, satu lagi tugasan tersenarai di dalam skop kerjaku. Setiap email yang diterima oleh pembantu pengurus itu turut diterima oleh aku sendiri. Tugasku mengasingkan email yang penting dan memerlukan perhatian segera. Kerja sebegitu tak ubah seperti seorang PA sahaja. Tetapi apa boleh buat. Aku cuma memegang jawatan Admin Assisstant di pejabat. Meskipun bergaji kecil dan bertaraf rendah, aku tetap bersyukur. Melalui kerja inilah aku berjaya mengumpul sejumlah wang bagi menghantar Azraf belajar di universiti. Usai menyusun email Encik Rahman yang bertugas sebagai pembantu pengurus aku bangkit dari tempat duduk. Langkahku menuju ke pintu. Terus ke arah kawasan gudang. Sebaik pintu dikuak beberapa pasang mata melirik ke arahku. Ada yang kembali menyambung kerja yang sedang dilakukan, ada juga yang menjadi pemerhati. Tak kurang juga berbisik sesama sendiri. Ah, normal! Macam hari-hari sebelum ini apabila mereka bertembung denganku. Aku buat tak endah sahaja. Sebaliknya aku terus berjalan ke arah satu sudut di tepi dinding yang berdekatan dengan pintu masuk dimana terdapat sebuah mesin punch card dan card holder diletakkan. Lebih kurang dua ratus keping kad aku kumpulkan dan kemas berada di dalam pelukanku sebelum aku kembali semula ke pejabat. Di meja kerjaku, aku membuka perisian Microsoft Excel. Satu persatu nama yang ada pada kad berwarna merah diatas meja aku masukkan ke dalam database. Sesekali namaku dipanggil untuk diarahkan melakukan kerja fotokopi. Jika bernasib baik kerja fotostat dokumen hanya mengambil sedikit sahaja masanya. Jika tidak hampir setengah jam jugalah aku perlu berada di tepi mesin tersebut. Tepat jam satu, tugas yang pelbagai berjaya aku siapkan. Aku menarik nafas yang lega dengan perasaan berpuas hati. Melihatkan keadaan pejabat yang mula hingar dengan ragam staf yang mahu keluar makan, aku tidak ketinggalan mahu ikut serta. Tetapi langkahku solo lagi. Tidak berteman dan terus menuju ke arah kantin yang sedang gamat dengan keriuhan para pekerja yang sedang makan tengah hari. 


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa