Home Novel Cinta REEV
Bab 7

7

Tepat jam tujuh pagi, aku dan Azran sudah tercegat berdiri berdekatan rumah api yang menjadi stesen buat Daud, pemandu van kilang mengambil kami. Kami sama-sama berpeluk tubuh walaupun sudah mengenakan sweater bagi memanaskan badan. Aku melayangkan pandangan ke ufuk timur. Biasan cahaya sang mentari terpaksa menyelit dibalik kelompok awan hitam yang tebal melindunginya. Malam tadi daerah ini basah dilanda hujan yang lebat. Memang asyik dan lena tidurku. Namun apabila bangun awal pagi tadi, kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitam membuatkan mandiku tak ubah bagaikan seekor kucing yang takutkan air. Air paip yang berpunca dari sebuah perigi di belakang rumah Tok Wan sejuk seperti ais suhunya. Tidak sampai lima minit menunggu, van yang dicat biru tua kelihatan. Aku dan Azran terus mengambil tempat duduk di bahagian belakang. Tempat duduk di sisi pemandu sudah diduduki oleh dua orang pekerja lelaki. Kedua-duanya berusia awal dua puluhan. Namun bertubuh kurus sahaja. Barisan tempat duduk hadapan pula dipenuhi oleh pekerja wanita. Mereka semua merupakan orang kampung di seberang sungai sana. Kebiasaannya, Daud akan mula mengambil pekerja dari kampung itu kerana dia juga berasal dari situ. Di kampung kami terdapat seramai lima orang pekerja sahaja. Selebihnya pekerja yang menetap di kampung bersebelahan. Sewaktu aku mula berkerja dahulu, ramai juga orang kampung ini yang bergelar pekerja kilang itu. Hinggakan sebuah bas digunakan untuk dijadikan pengangkutan kami. Namun, setelah hampir sepuluh tahun berkhidmat, aku melihat para pekerja yang datang silih berganti. Sehinggalah bilangan yang ramai itu semakin sedikit dan daripada sebuah bas ditukar kepada sebuah van pula. Dua biji gula-gula Hacks aku keluarkan dari poket beg tangan yang dikepit. Sebiji lagi aku hulurkan kepada Azran. Dia menolak pemberianku itu. Mungkin kerana tidak cukup tidur, aku lihat pagi ini Azran seperti tidak bermaya. Diam dan lesu sahaja. Aku bisikkan ke telinganya supaya tidur disepanjang perjalanan ini. Dia mengangguk lemah dan mula memejamkan mata. Kemudian nanti akan aku risik penyebab dia berkeadaan begitu. Sambil berpeluk tubuh aku melirik ke luar tingkap. Hari ini giliran aku pula duduk disitu. Aku melihat panorama di sepanjang jalan daerah aku membesar. Rumah penduduk kampung yang terletak di bahagian pantai kebanyakannya rumah papan dan berkeadaan uzur. Rata-rata penduduk dibahagian ini mencari rezeki sebagai nelayan. Di kawasan pinggir pantai ini banyak sekali tanaman kelapa. Sebuah rumah pasti akan dipagari sekurang-kurangnya sehingga tiga atau empat batang pokok kelapa. Rumah dikawasan ini juga terletak agak jauh diantara satu sama lain. Berbeza keadaannya dengan kawasan dikejiranan Tok Wan yang  terletak di tanjung itu. Meskipun cuma terdapat lima belas buah rumah sahaja, ianya didirikan agak rapat di antara satu sama lain. Jarak yang hampir itu membuatkan aku sering mendengar suara Tok Wan berbual dengan jiran sebelah rumah hanya melalui tingkap dapur sahaja. Tiba di kawasan tumpuan penduduk kampung, banyak kedai makan, kedai runcit, masjid, stesen bas, pejabat pos dan dewan orang ramai didirikan. Rumah di kawasan itu juga kebanyakannya rumah batu. Disebabkan kawasan itu lengkap dengan pelbagai kemudahan, penduduk kampung sebelah yang kerap berkunjung untuk sebarang urusan menggelarkan ia sebagai sebuah pekan. Van yang dipandu kira-kira enam puluh kilometer sejam melewati pula kawasan persekolahan. Mulalah mindaku melayang mengingati zaman dibangku sekolah. Aku memejamkan mata buat seketika. Ah, pantas sungguh masa beredar. Satu persatu wajah teman sewaktu berada di zaman itu terbayang diminda. Ada yang masih menetap dikampung. Ada juga yang berhijrah ke daerah lain kerana berkerja mahupun berumahtangga. Sehingga kini apabila terkenang zaman persekolahan, hatiku sebu dengan kerinduan. Suatu masa dulu aku pernah mempunyai seorang teman karib. Dari sekolah rendah kami kenal dan berkawan, sehinggalah ke tingkatan tiga. Pelbagai cerita, kisah suka dan duka serta rahsia, kami kongsikan bersama. Namun, menjelang pertengahan tahun, sahabatku itu berpindah ke negeri Johor kerana mengikuti bapanya yang bertugas sebagai pegawai polis. Semenjak hari itu, aku tidak pernah mempunyai seorang pun teman rapat. Kerana rumah Tok Wan yang terletak jauh di tanjung, persahabatan aku dan teman sekelas cuma terjalin ketika waktu persekolahan sahaja. Setelah lama hanyut dengan memori silam, aku memerhatikan keadaan di luar. Desa tempat kami membesar telah jauh ditinggalkan. Setelah tiga kali lagi berhenti untuk mengambil penumpang, perjalanan van kilang laju meluncur di jalan raya menuju ke arah bandar. 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa