Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,666
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

10

"Air."

Shakira menyuakan sebotol air mineral kepadaku. Aku menepis dengan kasar. Bijak betul berlakon! Kami kini berada diluar kawasan kilang. Di sebuah lapangan kecil yang dijadikan kawasan parkir tambahan oleh pihak kilang. Dengan wajah masam mencuka, aku menjauhi dari berada berdekatan gadis itu. Aku memerhatikan keadaan sekeliling. Rupa-rupanya hampir empat puluh minit aku dibiarkan di dalam bilik stor. Sejak diselamatkan oleh Shakira tadi aku terus mengambil langkah seribu menuju ke luar pagar itu. Panggilan daripada Shakira tidak aku hiraukan. Malah, aku tidak menduga sama sekali dia akan mengekori aku hingga ke luar ini. Barangkali berasa bersalah, kot. Entahlah. Walaupun dia yang datang menyelamatkan aku, hati kecilku kuat mengatakan dialah punca aku terperangkap di situ. Boleh jadi dia sengaja ingin mengenakanku. Aku berura-ura untuk menapak ke arah sebuah pondok bas yang berdekatan. Namun, memikirkan Azran aku tidak jadi untuk bergerak. Aku tidak tahu di mana Azran ketika ini. Suasana dikawasan kilang sudah kembali sepi memandangkan semua pekerja syif siang sudah pulang. Pekerja syif malam pula kesemuanya sedang sibuk memulakan tugas. Aku mengerling kearah pondok pengawal di mana Encik Azizi sedang berkawal. Mahu bertanya lelaki berusia hampir tujuh puluhan itu? Simpang malaikat empat puluh empat. Walaupun Encik Faiz membela dan mengisytiharkan aku tidak bersalah, pesara tentera itu sehingga ke hari ini sentiasa memerhatikan diriku dengan pandangan yang tajam. Aku mengerling kembali kearah pondok bas. Disebelah pondok bas itu terdapat sebuah telefon awam. Namun, seperti biasa, vandalisme yang masih parah dikalangan anak muda membuatkan telefon itu tidak dapat berfungsi dengan baik. Aku mati akal. Fikiran dan hati kecilku tidak henti menyeru nama Azran. Manalah tahu disaat genting begini hubungan telepati boleh digunakan memandangkan betapa kuatnya hubungan kami adik beradik. 

"Cari siapa?" Aku terkedu sesaat. Tidak menyangka Shakira masih setia disampingku. Aku endahkan sahaja pertanyaannya. Aku sudah membuat keputusan. Sehingga hari terakhir gadis itu mahupun aku di kilang ini, akan aku endahkan sahaja kehadirannya. Hari ini aku belajar sesuatu yang amat berharga. Rasa percaya mungkin sudah hampir pupus diakhir zaman ini. Dua kali aku dikenakan. Dan dua kali juga orang yang menyelamatkan aku itu ialah orang yang sama membuat onar. Aku mahu menangis ketika ini. Menangis mengenangkan perbuatan mereka terhadapku. Menangis mengenangkan betapa mudahnya aku dibuli. Menangis kerana aku benar-benar penat dan lelah. Menangis kerana Azran tiada disisiku saat ini. Aku terjelepuk ke tanah. Tidak hiraukan lagi debu dan kotoran yang melekat.

"Mari aku hantarkan kau balik. Aku dah bagitau adik kau yang aku akan hantarkan kau balik." pujuk Shakira dengan nada yang lembut. Aku tahu keadaanku ketika ini layak diberikan simpati. Namun, aku tak perlukan simpati dari orang yang membuat dajal kepadaku. Aku berpaling dari memandang Shakira yang duduk bercangkung disisiku. Wajahku ketika ini muram dan mendung seperti cuaca yang sedang melanda. Ah, aku patut menduga akan hal itu tadi. Sudah tentulah Shakira tahu Azran itu adik aku. Seperti mana dia tahu tentang hal Kota Tinggi itu. Lembab! Aku tak mampu membaca fikiran gadis itu yang jauh kehadapan dariku.

"Aku mintak maaf. Lain yang aku rancang, lain yang jadi." ujar Shakira lantas ikut serta duduk diatas debu tanah disisiku. Aku terpana sebaik menyedari tindakannya itu.

"Aku bukan nak kurung kau disitu. Sumpah! Aku takde niat kenakan kau." kata Shakira lagi sambil membengkokkan sedikit lututnya. Barangkali tak selesa berkasut tinggi dan terpaksa duduk begitu. Aku pula duduk bersila sambil bermain dengan jari jemariku sendiri. Membiarkan sahaja dia berceloteh sendirian. 

"Aku cuma nak lihat dengan mata aku sendiri apa perhubungan kau dengan Encik Faiz. Tapi kau terlewat. Encik Faiz dan budak-budak stor dah masuk bilik meeting waktu kau sampai."

"Jadi, kau bengang dan kurung aku?" tukas aku dengan suara yang jengkel. Benda dah jadi. Rasanya tiada guna nak menyesal. Untuk beralasan juga tidak sesuai lagi. 

"Bukan aku... Angah tak sengaja tutup pintu tu. Katanya semua budak stor dalam bilik meeting. Jadi dia pelik bila tengok pintu bilik tu terbukak. Sebab tu dia tutupkan. Dan aku... Waktu aku nampak kau bercakap dengan Azran, aku tahu kau dah lambat. Encik Faiz tu kan jenis yang menepati masa. Waktu aku nak halang kau, aku disuruh briefing kepada staf dari Kota Tinggi. Aku ingatkan bila kau tengok Encik Faiz tak ada kau akan balik. Tapi, tak sangka jadi macam tu.. " tutur Shakira dengan nada yang kesal. Aku menoleh kearahnya sekilas. Hatiku masih berdarah dengan perbuatannya itu. Namun, aku perlukan satu kepastian darinya. 

"Aku nak tahu.. Kenapa kau curiga dengan hubungan aku dan Encik Faiz?" soalku. Shakira mengangkat wajahnya dan memandang kearahku. Aku segera berpaling. Tidak mahu bertentang mata dengannya. Sebaliknya pemandangan jalan raya yang sibuk dengan kenderaan menjadi perhatianku. 

"Dia abang aku." Hah! Memang aku terkejut. Terkejut bukan kepalang sebaik mendengar fakta itu. Adik kepada Encik Faiz? Setahu aku Encik Faiz itu muallaf berbangsa Cina. Bapanya juga merupakan seorang muallaf yang terlebih dahulu memeluk Islam. Tergambar diminda rupa Encik Faiz dan Shakira. Aku mula membuat perbandingan. Aku melirik kearah gadis itu dengan ekor mata. Hati kecil berasa ragu. Manakan tidak. Jika diteliti wajah Shakira, aku tercari-cari dimana letaknya sepasang mata yang sedikit sepet seperti abangnya itu. Wajah Shakira wajah Melayu asli. Namun bertaraf primadona dan berada dalam kelas tersendiri. Betul ke mereka adik-beradik? Namun, keraguan itu aku diamkan sahaja. Buat apa ambil pusing hal musuh, kan? 

"Tapi, kau.. Kenapa kau terlalu lurus dan mudah percaya? Kenapa kau ikut jugak cakap aku tu? Kalau kau abaikan pesanan tu boleh jadi tak jadi macam ni." sangkal Shakira akan tindakan yang telah aku ambil. Dada yang tenang kembali berombak. Aku memandangnya dengan perasaan berang 

"Salah ke jadi orang yang mudah percaya? Salah ke jadi orang yang setia? Salah ke jadi orang yang berpegang pada janji? Kalau yang lurus itu salah apa yang betulnya?" soalku dengan nada yang tinggi. Panas pula hatiku apabila dipersalahkan begitu. Eeii.. Beberapa kali berbicara dengan gadis disisiku ini aku dapat rasakan sikapnya yang kepala batu dan tak mahu kalah itu. Kenapalah awal-awal dulu tidak aku tolak sahaja salam perkenalannya itu. Tak perlulah aku nak hadap situasi huru-hara seperti sekarang. Aku mengalihkan pandangan supaya kelibat gadis itu tidak kelihatan dalam skop penglihatanku. Apa boleh buat. Bila perasaan benci dah bertunas. Bayang-bayang pun boleh dibuat musuh. 

"Maksud aku, kau patut melawan. Kau patut suarakan bila kau rasa sesuatu yang tak kena. Bukan diam dan akur aje. Macam mana kau tak kena buli kalau setiap arahan orang kau terima walaupun hati kau tak setuju. Sebab itu aku salahkan sikap kau yang terlalu ambil mudah tu." asak Shakira pula. Sebal pipiku apabila diserang begitu. Dalam diam aku akui kata-kata Shakira. Namun egoku menahan. Aku bingkas bangun. Begitu juga Shakira. Dengan tergesa-gesa aku meluru ke arah pondok bas berdekatan. Aku melirik jam ditangan. Mengikut perkiraan aku, masih ada sedikit waktu sebelum bas terakhir yang menuju ke kampung berlepas. Ketika ini aku tahu Azran sudah selamat tiba di rumah. Jadi, buat apa aku layankan fiil gadis ini? Buang masa betul! Belum pun kaki memijak lantai yang bersimen di pondok bas itu lengan aku disentuh dari belakang. 

"Aku hantar kau balik. Kau nak tunggu bas ke stesen satu hal. Sampai di stesen mungkin bas ke tempat kau dah cabut. Jadi, biar aku hantar. Lagipun kita sejalan." tutur Shakira dengan suara yang kendur. Wajahnya masih beriak simpati. Namun, arahannya kedengaran tegas. Aku memikir-mikir. Kata-kata Shakira ada kebenarannya. Untuk menunggu bas yamg datangnya dari bandar Kuantan memerlukan sedikit masa. Teksi pula sudah jarang benar melalui lalauan ini. Lebih-lebih lagi petang begini. Dalam keterpaksaan aku mengangguk sedikit. Namun, cukup untuk mendapat maklum balas yang ceria dari Shakira. Dia meminta aku menunggu sahaja disitu sementara dia pergi mendapatkan keretanya yang diparkir di dalam kawasan kilang. Kadangkala aku hairan dengan sikapku terhadap gadis itu. Bukankah tadi kami sama-sama bergaduh dan bermasam muka? 


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa