Bab 9
Petang
itu Muadz Hazami terjenguk-jenguk dari dalam kereta di hadapan pejabat papanya.
Entah kenapa hatinya tertarik mendengar cerita daripada Quezairy tentang
perempuan yang dilanggarnya tempoh hari. Macam menarik! Getusnya perlahan. Tiba-tiba
matanya menangkap tiga orang manusia keluar dari bangunan tersebut. Seorang
lelaki dan dua orang perempuan! Lelaki itu tidak lainlah Quezairy teman
baiknya. Dan dua gadis yang berada bersama Quezairy tidak lain tidak bukan
adalah orang yang sama mereka jumpa di pusat membeli belah tempoh hari.
Quezairy nampak rancak berbual.
Wajahnya tampak ceria dan gembira. Bercakap dengan awek katakan! Muadz Hazami
merenung lama kepada gadis skuter yang asyik ketawa apabila Quezairy mengatakan
sesuatu. Naik panas pula Muadz Hazami melihatnya. Cemburu? Ya dia rasa cemburu!
Kenapa? Mungkin itu dinamakan cinta! No..
“ Jumpa lagi esok Quezairy. Seronok
kami berbual dengan awak. Tak adalah sunyi sangat ofis tu kalau awak ada!” Tutur
Ellysa Qairina dengan senyuman.
“ Jumpa awak esok ya! Jangan tak
datang!” Lembut kata-kata Juliza Damia. Pantas Ellysa Qairina menyinggung
bahunya.
“ Ya, jumpa esok! Hati-hati!” Pesan
Quezairy sebelum berlalu untuk mendapatkan keretanya.
“ Quezairy..” panggil Muadz Hazami
dengan kuat. Dia melambai lelaki itu beberapa kali. Pantas Quezairy mencari
arah suara.
“ Erm..sampai sini kau cari aku!
Apahal?” soal Quezairy acuh tak acuh sahaja bunyinya. Pantang benar dia jika
ternampak lelaki itu. Suka benar cari pasal.
“ Tak adalah! Kau tu sibuk
memanjang! Dah tak ada masa untuk aku. Lagilah sejak ada mata air dua orang tu!
Lebar semacam je senyuman kau!” Muadz Hazami seakan tidak berpuas hati.
“ Bukan dua orang ya! Aku Cuma suka
Juliza Damia! Cantik tak orangnya?” tanya Quezairy ingin tahu. Air mukanya
berubah ceria.
“ Yang aku langgar tu?” soal Muadz
Hazami.
“ Tu bukan Juliza Damia. Tu Ellysa
Qairina!” Balas Quezairy.
“ Ellysa Qairina? Cantik! Secantik
tuannya!” Puji Muadz Hazami tanpa sedar. Dia tersenyum secara tiba-tiba.
“ Cantik? So, kau dah tahu apa makna
cinta?” sindir Quezairy sekadar menyedarkan lelaki itu. Tanpa cinta, hidup
tidak akan berseri. Umpama pokok tidak berbuah!
“ Belum tahu lagi! Dahlah, jom kita
minum!” Ajak Muadz Hazami seraya menghidupkan enjin kereta.
“ Aku rasa tak laratlah! Aku nak
balik! Ni Muadz, kau kerjalah kat sini! Ada juga aku kawan. Aku tak kisah kau
jadi bos aku sekalipun! Aku rela. Lagipun..kasihanlah dekat papa kau tu! Dia
minta aku pujuk kau kerja dengan dia. Kau tak kasihan ke?” Quezairy seakan memujuk.
Muad Hazmai merenung Quezairy sekilas. Kemudian dia tersenyum sebelum
menganggukkan kepalanya tanda setuju.
“ Tapi..aku tak janji! Mana tahu,
papa aku tak perlukan pekerja lagi. Sekarang, aku nak balik! Ajak minum kau tak
nak! Banyak alasan!” Getus Muadz Hazami dengan geram. Dia mendengus perlahan
tanda protes.
“ Sorry bro! Aku betul-betul penat
ni!” ujar Quezairy serba salah. Badannya benar-benar terasa letih.
“ Okey tak apa. Aku gerak dululah!
Lain kali kita minum! Time tu, jangan kau tolak pulak!” Balas Muadz Hazami
seraya menarik pintu kereta.
“ Kau jangan merajuk pulak dengan
aku!” Sempat Quezairy bersuara sebelum Muadz Hazami meluncurkan keretanya. Dalam
perjalanan Muadz Hazami sempat masuk ke
sebuah butik untuk mencari sesuatu. Selesai membeli, Muadz Hazami meneruskan
perjalanannya. Tanpa dipaksa bayangan gadis skuter bermain di ruangan mata.
****
Seusai
tiba di rumah, Muadz Hazami mengerutkan dahinya apabila melihat mama dan
papanya merenung dengan tajam. Bibik Sarti yang turut berdiri di situ memandang
Muadz Hazami dengan pandangan redup. Pantas Muadz Hazami menjungkit kening
kepada bibik Sarti. Bibik Sarti pantas memuncungkan mulutnya kepada Datin
Zahara dan Dato’ Zahari.
“ Kenapa?” soal Muadz Hazami tanpa suara. Hanya mimik
mukanya yang dapat dibaca oleh wanita itu.
“ Katrina!” Balas bibik Sarti seakan
berbisik. Dia kemudian memandang ke tempat lain apabila dijeling oleh Datin
Zahara. Muadz Hazami mendecit perlahan. Pasti pasal perempuan tak cukup kain
tu! Banyak bawa masalah! Muadz Hazami menyumpah di dalam hati sebelum duduk
berhadapan dengan mama dan papanya.
“ Muadz, Mama nak tanya ni!” Tutur
Datin Zahara sedikit keras. Dato’ Zahari hanya memandang seraut wajah anak
bujangnya yang bersahaja.
“ Ya mama..mama nak tanya apa?” soal
Muadz Hazami selembut mungkin.
“ Bibik! Bibik cakap apa kesalahan
Muadz Hazami! Saya dan Dato’ nak dengar!” Kasar tutur kata Datin Zahara. Bibik
Sarti terkebil-kebil sambil memandang Muadz Hazami yang membulatkan mata
kepadanya. Aduh! Apa mahu cakap! Pasti Encik Muadz marah nanti!
“ Bibik!” Sergah Datin Zahara geram.
Sempat pula orang gajinya itu mengelamun.
“ Iya Datin..Kesalahannya Encik
Muadz kerana menghalau Cik Katrina sama teman-temannya Datin.” Bibik Sarti
menelan air liur apabila Muadz Hazami memandang lama kepadanya.
“ Lagi??” tekan Datin Zahara tidak
berpuas hati.
“ Lagi..Encik Muadz buat begitu
kerana Cik Katrina marah sama saya. Saya tersiram Cik Katrina ketika siram
pokok bunga,” bibik Sarti berterus terang. Datin Zahara mengetap bibir. Mengapa
Muadz Hazami harus masuk campur!
“ Kenapa bibik buat macam tu? Bibik
tahu tak, kerana perkara ni, saya dan Dato’ mendapat malu. Orang tua Katrina tu
kawan baik saya dan Dato’! Sepatutnya, bibik minta maaf dengan dia.”
“ Saya sudah minta maaf sama Cik
Katrina, Datin! Tapi Cik Katrina terus marah-marah. Encik Muadz bilang, Cik
Katrina yang salah! Bukan saya!” Bibik Sarti bersuara tegas. Hilang rasa
takutnya sebentar sahaja tadi. Muadz Hazami tergelak kecil sebelum berwajah
serius apabila dijeling oleh Datin Zahara.
“ Sebab? Kenapa Katrina yang salah?
Dia tetamu kita. Sebagai tuan rumah, kita wajib menghormati tetamu. Takkan tu pun
bibik tak tahu!” Ulas Datin Zahara. Dato’ Zahari hanya menggelengkan kepalanya.
Malas untuk masuk campur sebenarnya!
“ Mama, Muadz nak tanya boleh tak?”
sampuk Muadz Hazami sambil tersenyum.
“ Apa dia?” Datin Zahara tidak
senang melihat senyuman anak bujangnya itu. Banyak muslihatnya!
“ Sebagai tetamu, patut ke dia datang
bertandang ke rumah orang tanpa memberi salam? Datang secara tiba-tiba dengan
pakaian tak senonoh! Patut ke?” soal Muadz Hazami sambil merenung wajah bersih
Datin Zahara. Wanita separuh abad itu hanya mencuka tanpa membalas.
“ Jangan kerana mama sukakan dia,
adat dan budaya hilang begitu sahaja! Tadi, dia marah-marah Pak Abu! Cakap
kasar dengan bibik! Mama rasa Katrina tu yang betul? Okeylah! Muadz dah letih,
Muadz nak masuk bilik!” Muadz Hazami bangun untuk berlalu. Bibik Sarti
tersenyum simpul. Di dalam hati dia mengutuk sebenarnya. Macamlah Encik Muadz
tidak pernah berkasar sama saya!
“ Erm..ni Muadz belikan mama kain.
Untuk bibik pun ada.” Beg plastik dihulurkan kepada mereka. Bibik Sarti
tersenyum lebar.
“ Papa punya tak ada?” soal Dato’
Zahari setelah lama mendiamkan diri.
“ Papa punya lain kali! Ni kes
perempuan!” Bisik Muadz Hazami sambil tersenyum lebar.
“ Encik Muadz ingat sama bibik!
Terima kasih!” Ucap bibik Sarti sambil mengeluarkan sehelai tudung dari beg
plastik. Muadz Hazami berlalu dari situ untuk ke bilik. Dia menarik nafas lega
kerana terlepas dari bebelan mamanya.
“ Salah saya ke bang?” Datin Zahara
kelihatan serba salah. Cerita yang didengar daripada Katrina tidak sama seperti
yang didengarnya sebentar sahaja tadi. Kata Katrina, bibik Sarti sengaja
mencurah air kepadanya.
“ Tulah! Lain kali siasat dulu! Awak
suka marah dia sesuka hati. Tengok tu, awak dapat hadiah lagi. Awak tak kasihan
ke si Muadz tu? Lagipun, Katrina tu bukannya
boleh dipercaya sangat!” Ujar Dato’ Zahari menyalahkan Katrina pula.
“ Betul tu Datin!” Sampuk bibik
Sarti sambil menganggukkan kepalanya. Dia kemudian mengenakan tudung di
tangannya ke atas kepala.
“ Bibik! Jangan menyampuk! Pergi
buatkan kopi!” Arah Datin Zahara dengan jelingan tajam. Bibik Sarti pantas
menutup mulut dan bergegas ke dapur. Dia menyanyi kecil sambil memeluk tudung
pemberian Muadz Hazami. Encik Muadz baik juga hatinya! Bisik bibik Sarti sambil
tersenyum lebar
****
Lewat
malam, Ellysa Qairina masih terkebil-kebil di atas tilam. Entah kenapa matanya
payah sekali untuk dipejam. Wajah tunangannya bermain di mata. Entah apa khabar
dia sekarang! Sihat ke? Sakit ke? Kenapa lama tak call aku? Ellysa Qairina
berbisik sendiri. Atau betul kata Juliza Damia. Mungkin Irwan Hanif terpaut
kepada perempuan lain ketika di sana. Mungkin juga tersangkut kepada minah
saleh bermata biru! Jika benar, apakah perasaannya? Adakah suka kerana terlepas
dari perhubungan yang terasa begitu hambar. Bagaimana pula maruahnya sebagai
seorang perempuan? Diambil dan dibuang sesuka hati. Ya, Irwan Hanif yang
memulakan perhubungan itu. Irwan Hanif yang memaksa orang tuanya datang melamar!
Dan Irwan Hanif yang perlu membuat keputusan tentang hubungan mereka.
“ Hanif, kau dah lupakan aku ke?
Kalau betul, kenapa kau tak berterus terang?” Ellysa Qairina bersuara sendiri.
Penat dia memikirkan hubungan mereka yang entah bila akan berakhir. Dia
kemudian mendengus kasar. Kain selimut ditarik dan bantal peluk dipeluk dengan
kemas. Matanya terkebil-kebil memandang dinding sebelum dia terlena akhirnya.