Bab 12
Dua
hari Muadz Hazami tidak senang duduk. Ingatannya kepada Ellysa Qairina semakin
kuat. Bayangan gadis itu seakan melekat terus di mata. Bayangan skuter gadis
itu turut menghantui mimpinya. Tak boleh jadi! Parah ni! Muadz Hazami keluar
dari bilik tidur. Dia mencari kelibat papanya. Bayangan lelaki separuh abad itu
tiada di situ. Kemudian, Muadz Hazami ternampak Pak Abu yang sedang memotong
daun pokok yang mula meliar.
“ Pak Abu!” Laung Muadz Hazami di
muka pintu. Pantas Pak Abu berpaling sambil mengesat peluh yang membasahi
mukanya. Dia menghampiri Muadz Hazami yang sedang menunggu.
“ Ya Encik Muadz. Ada apa Pak Abu
boleh tolong?” Pak Abu merenung Muadz Hazami yang kelihatan tergesa-gesa.
“ Papa mana?” soal Muadz Hazami
pantas.
“ Ooo..Dato’ pergi pejabat dah.
Kenapa Encik Muadz?” soal Pak Abu dengan hairan. Lain benar perangai lelaki
muda itu. Bukannya Muadz Hazami tidak tahu rutin harian papanya! Muadz Hazami mendecit
perlahan. Dia mengetuk dahinya seakan berfikir.
“ Tak apalah Pak Abu!” balas Muadz
Hazami sambil berlalu masuk ke dalam rumah. Dia memasuki dapur dan mengambil
air mineral di dalam peti sejuk. Kemudian dia membuka tudung saji untuk melihat hidangan tengahari. Matanya
membutang luas apabila melihat hanya dua botol kicap yang tergolek di situ.
Muadz Hazami mengetap bibir ketap-ketap. Perutnya tiba-tiba pula berkeroncong
hebat
“ Bibik memang nak kena! Suka buat
kerja main-main!” Muadz Hazami melilau mencari bibik Sarti. Kelibat orang
gajinya tidak kelihatan. Entah pergi melencong ke mana! Ni lah kalau bagi muka!
Buat kerja sesedap hati!
“ Bibik…” jerit Muadz Hazami seraya
menyising lengan bajunya. Dia mencari bibik Sarti serata rumah. Pak Abu yang mendengar
hanya menggelengkan kepala. Anak majikannya itu sekejap sejuk, sekejap panas!
Macam-macam! Fikir Pak Abu sebelum tersengih sendiri.
“ Bibik…” laung Muadz Hazami lagi
sambil melangkah ke muka pintu. Belum sempat dia meneruskan lontaran bom atomnya,
kelihatan Datin Zahara dan bibik Sarti tercegat di situ. Kemudian sengihan
bibik Sarti menyakitkan hati Muadz Hazami yang tengah panas.
“ Apa ni Muadz terjerit-jerit macam
orang sawan ni!” Datin Zahara memandang anak bujangnya dengan geram.
“ Bibik, bibik pergi mana? Saya
lapar ni! Nak makan!” Tekan Muadz Hazami tanpa menghiraukan kata-kata Datin
Zahara. Bibik Sarti mencebik melihat raut wajah Muadz Hazami yang tegang. Tak
mesra alam langsung!
“ Mama dan bibik pergi makan kat
luar. Datin Zainab pun ada sekali. Nak ajak Muadz, tidur sampai tak ingat
dunia!” Belebel Datin Zahara sambil berlalu memasuki rumah. Bibik Sarti turut
mengekori majikannya itu.
“ Makan kat luar dengan bibik?
Kenapa bawa bibik sekali?” soal Muadz Hazami tidak berpuas hati. Bibik Sarti
meluru ke dapur mendengar pertanyaan lelaki muda itu. Malas dia mendengar
bebelan Muadz Hazami yang menyakiti hatinya.
“ Saja! Sesekali bawa bibik apa
salahnya. Yang Muadz tak puas hati tu kenapa? Asyik nak cari salah bibik je!” Datin
Zahara mengelengkan kepala sambil duduk di atas sofa. Kerenah anak bujangnya
itu sentiasa menyakitkan jiwa.
“ Masalahnya, ada ke patut bibik tu
letak botol kicap bawah tudung saji! Makanan langsung tak ada! Siapa tak naik
angin! Bibik tu memang saja nak kenakan Muadz!” tutur Muadz Hazami dengan
geram. Datin Zahara yang mendengar kata-kata anak bujangnya tergelak kuat.
Seronok dia mendengar berita tersebut. Bagus bibik! Muadz ni kena diajar juga!
Asyik makan, tidur! Itu sahaja yang dia tahu. Kerja malas!
“ Mama..mama janganlah bagi muka sangat
kat bibik tu! Nanti naik kepala!” Tokok Muadz Hazami tanpa menghiraukan gelak
tawa Datin Zahara. Dia duduk di sebelah mamanya dengan wajah yang mencuka.
Mulutnya terkumat kamit tanpa mengeluarkan suara.
“ Yalah! Dah pergi dapur, mama dah
bungkuskan nasi untuk Muadz. Lain kali, jangan asyik membuta je!” Balas Datin
Zahara sambil berlalu meninggalkan Muadz Hazami yang terkebil-kebil.
“ Jaga kau, bibik!” Getus Muadz
Hazami dan meluru ke dapur. Dia membuat mimik muka tidak berpuas hati dan
menayangkannya kepada bibik Sarti. Wanita itu hanya bersahaja tanpa perasaan
takut.
“ Sila makan Encik Muadz ya!” Bibik
Sarti menuang jus oren untuk Muadz Hazami. Lelaki itu hanya menunjukkan muka
tidak berpuas hati. Mungkin masih sakit hati dengan perbuatannya meletakkan
botol kicap di bawah tudung saji tanpa sarapan.
“ Bibik, simpan balik botol kicap
ni! Tak pasal-pasal saya mengamuk nanti.” Muadz Hazami menarik kerusi dengan
kasar. Dia menjeling bibik Sarti yang mengambil kembali botol kicap dan
menyimpannya di dalam peti. Kemudian wanita itu berdiri tegak di hadapannya
dengan raut muka serius.
“ Encik Muadz, boleh bibik tanya
satu perkara?” soal bibik Sarti sambil tersenyum. Geli hatinya dengan
tindakannya sendiri.
“ Apa dia?” soal Muadz Hazami seraya
menyuap nasi ke mulut. Malas dia melayan pembantu rumahnya itu. Sudahlah
perutnya tengah meragam kelaparan, boleh pula wanita itu hendak berteka teki
dengannya!
“ Boleh ke kita berkasar dengan
orang yang lebih tua daripada kita? Apa hukumnya Encik Muadz?” bibik Sarti
tersenyum sinis. Dia yakin soalannya kena pada tempat dan waktunya.
“ Bibik rasa?” soal Muadz Hazami
kembali. Dia mendengus kasar. Malas dia menjawab soalan tersebut. Dia tahu, dia
yang bersalah sebenarnya.
****
Katrina
menari mengikut rentak lagu yang dipasangnya dengan kuat. Lagu dangdut nyanyian
Mas Idayu memenuhi ruang biliknya yang bersepah. Ketukan pintu yang
bertalu-talu membuatkan dia menutup radio serta merta. Pantas dia membuka pintu
dengan wajah yang dibasahi peluh.
“ Katty, kenapa pasang radio
kuat-kuat! Sekarang kan waktu zohor. Azan baru je lepas!” tekan Datin Zainab
sambil mencuri pandang bilik anak gadisnya yang bersepah. Dia menggelengkan
kepalanya beberapa kali. Macam tongkang pecah!
“ Katty bersenamlah mummy! Okey,
Katty tahu bilik Katty bersepah. Bibik mana? Bibik…” laung Katrina seraya
berlari menuruni anak tangga. Datin Zainab hanya menggelengkan kepala dengan
sikap anak daranya itu. Keras kepala! Dia turut ke tingkat bawah apabila
melihat Katrina memarahi bibik Nara. Air muka bibik Nara kelihatan berubah
apabila dimarah bertubi-tubi oleh Katrina.
“ Cik Katty bagitahu bibik, jangan
usik barang dalam bilik Cik Katty. Sebab tu bibik tak kemaskan pakaian Cik
Katty.” Bibik Nara terketar-ketar untuk memberi jawapan. Katrina bercekak
pinggang dan mengetap bibir dengan geram.
“ Sekarang saya beri arahan! Pergi
bersihkan bilik saya sekarang! Selagi bilik tu tak kemas, bibik jangan
pandai-pandai nak goyang kaki!” Katrina mengarah sesedap rasa. Bibik Nara
menganggukkan kepalanya sambil berlalu. Datin Zainab menggelengkan kepalanya.
Tidak wajar Katrina memarahi pembantu rumah mereka seperti itu.
“ Mummy pergi mana cantik-cantik
ni?” soal Katrina sambil duduk di atas sofa. Dia mengambil remote televisyen untuk
mencari siaran yang menarik.
“ Mummy baru balik makan dengan
Datin Zahara. Mummy nak ajak Katty, Katty tidur lagi.” Datin Zainab turut duduk
di atas sofa.
“ Erm..anak bujang dia yang berlagak
tu ikut ke?” soal Katrina acuh tak acuh sahaja bunyinya. Dia merenung kaca
televisyen yang menyiarkan filem Senario The Movie di Tv3. Sesekali dia
mengelap peluhnya yang bermain di dahi.
“ Kenapa Katty cakap macam tu pada
Muadz? Dengar kat Datin Zahara kan tak elok! Dah, Katty pergi mandi. Mummy
tengok berpeluh-peluh tu!” Arah Datin Zainab. Katrina merenung wajah cantik
wanita separuh abad itu. Dia mencebik apabila Muadz Hazami dibela oleh orang
tuanya. Lelaki kurang ajar macam tu perlu dihormat! Taklah!
“ Muadz tu, lebih kurang ajar
daripada Katty tahu Mummy! Perasan bagus! Tengoklah nanti, Katty akan pastikan
dia tu sujud juga di kaki Katty nanti! Mummy tengoklah!” Ujar Katrina sambil
berlalu dengan hati yang puas. Datin Zainab mendengus perlahan. Payah benar
diajak berbincang! Hanya tahu mengikut perasaan! Argh..stress!