Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 34

 "ASSALAMUALAIKUM..." 

Dengar aje suara merdu Camelia, Rizqi mendadak terus bangun dari baringnya sehingga Camelia terburu-buru mendekati Rizqi takut tindakan Rizqi tadi membahayakan dirinya yang dah sakit parah tu.

"Hati-hati Qi. Kenapa bangun laju-laju macam tu. Bahaya." 

Rizqi terkejut sampai melopong sekejap. Macam tak percaya Camelia datang melawatnya. Lagi tak percaya melihat wajah cemas Camelia yang risaukan dirinya.

Walah! Ini betul-betul ajaib ni. Nafas Rizqi bagaikan tersekat bila Camelia menarik kerusi duduk disampingnya. Berdebar-debar hati ini bila cik bunga datang serah diri.

"Kau okey Qi?” Lembut Camelia bertanya. 

Rizqi mengerjap, takjub bila mendengar betapa lembutnya suara Camelia berbicara dengannya. Oh Tuhan... adakah dia sekarang ini sedang bermimpi? 

Rizqi betul-betul dilanda bahagia sekarang ini. Kalau macam ni seratus kali masuk hospital pun dia ready. Thank you Jay. Tak sangka sikap penyangak Jay membawa berkat. 

“Qi, kau okey ke tak ni?” Camelia risau bila Rizqi tak bagi respon. Mana tahu kepala Rizqi masuk air terus jadi ting tong.

Rizqi berdehem. Kemudian buat batuk-batuk sikit.

“Okey. Cuma sakit sikit sana sini. Kepala ni lah teruk sikit tak berhenti sakit dari semalam lagi." 

"Habis tu doktor tak bagi ubat ke? Buat apa-apa ke biar hilang sakit tu?" Camelia dilanda kecemasan yang luar biasa.

"Dah... doktor dah check. Dah makan ubat pun. Nanti-nanti hilanglah kot."

"Yalah, harap hilanglah ya." Perlahan suara Camelia ditenggelami rasa bersalah.

Rizqi mengganguk lemah sambil bersungguh menggosok dada. 

"Sakit dada ke Qi?" Camelia gigit bibir sedih dan risau bila tangan besar itu duk menggosok-gosok dada tak henti.

"Entahlah dada ni kenapa sakit sangat. Setiap kali tarik nafas, ada rasa nyeri menyucuk-nyucuk."

Mana tak sakitnya, kan Jay kata paru-paru Rizqi dah rosak. Camelia rasa nak menangis. Entah kenapa Rizqi tak nak terus terang tentang keadaan sebenarnya. Mungkin Rizqi tak mahu dia rasa bersalah kot. Sekuat tenaga Camelia tahan diri dari menangis.

"Mungkin sebab muntah tak berhenti-henti kot. Ni nasib baik dah reda sikit."

Penuh lemah dan menderita Rizqi bagi list kesakitan palsu yang dia alami. Janganlah betul-betul jadi kenyataan. Ampunkan dosa hamba-Mu yang sangat-sangat terdesak nak beristeri ini Ya Allah.

“Muntah tak berhenti Qi. Tak boleh dibiarkan tu. Kau nak aku panggil doktor?” Camelia diserang bimbang. 

“Tak payahlah. Doktor dah check aku tadi. Dia suruh aku rehat.”

“Kalau macam tu aku keluarlah. Kau rehatlah ya.” 

“Janganlah pergi lagi. Temankanlah aku kejap. Aku bosan tau. Budak-budak tu bukan nak temankan aku. Semua tiba-tiba ada hal penting. Kaulah yang aku harapkan nak tunggu aku. Bukan apa, aku takut aku mati sorang-sorang nanti.” 

Wajahnya disayukan. Suaranya dilirihkan. Dalam hati Rizqi bantai gelak. Memang sedaranya dari awal-awal lagi dia kasi warning jangan munculkan diri. Dia nak bermadu asmara dengan Camelia tanpa kekacauan. Nasib baik Camelia betul-betul muncul walaupun sejam lebih dia menunggu dengan penuh debaran.

“Janganlah cakap pasal mati Qi. Kau buat aku takut. Tak apalah aku temankan kau, ya.” Bibir bawahnya digigit. Menahan sebak. Hal-hal mati ni memang boleh buat dia meraung. 

“Betul kau nak temankan aku?” Bersinar-sinar mata Rizqi. Rasa nak meloncat tinggi-tinggi. Bahagia tak terucap!

Camelia mengangguk-angguk buat Rizqi membuak-buak diserang bahagia. Bak kata Kak Nita, akhirnya kini pasti ku merasai cinta yang suciiii...

“Aku tersadung kaki semalam. Sebab tu jatuh dalam kolam. Nasib baik ada kau, kalau tak aku dah tak ada agaknya kat dunia ni. Aku selalu buat kau sakit. Aku minta maaf Qi. Terima kasih. Aku terhutang nyawa dengan kau.” 

Semalam Camelia tergesa-gesa bangun dengan penuh emosi. Rancangannya nak pecahkan pintu. Tengok-tengok dadanya yang nak pecah masuk air.

Tiba-tiba dada Rizqi sesak bila teringat kejadian buruk menimpa Camelia akibat dari perbuatannya. Kalau dia tak tonyoh kepala dan halau Camelia tentu Camelia takkan menghadapi kejadian mengerikan semalam.

“Ke kau tak sudi maafkan aku?” tanya Camelia bila Rizqi tak bagi respon.

“Sudiii!” Lantang suara Rizqi menyahut dek kalut.

“Allah… terkejut aku.” Camelia gosok dada. Mujur dia tak terloncat tadi. Rizqi ni kena sawan ke menjerit tiba-tiba.

“Sorry… kau buat aku teruja.” Ketawa bahagia dilepaskan. 

Kau buat aku teruja? Jaw drop! Terjengil mata Camelia. Hesy… Macam dah habis perkataan dalam dunia ni. Karanglah ayat sopan sikit. 

“Aku mintak maaf sebab berkasar dengan kau. Aku tengah marah masa tu.” Rizqi betul-betul menyesal.

Camelia angguk. “Salah aku yang salah faham dengan kau. Maaflah jugak sebab tampar kau.”

“No hal la. Tak sakit pun.” Dengan Camelia memang Rizqi selalu jadi orang yang paling murah hati di dunia. 

"Hmmm.... pasal barang-barang yang kau suruh Kak Nora beli tu..."

"Kenapa? Kau tak suka? Kalau macam tu cakap kau suka yang macam mana nanti aku suruh Kak Nora belikan." Laju Rizqi memotong bila melihat wajah tak senang Camelia.

"Tak... tak... tak... bukan macam tu." Camelia mengibas kedua belah tangan. 

"Habis tu?" Rizqi tak dapat nak faham.

"Barang-barang tu banyak sangat Qi. Mahal-mahal pulak tu. Aku tak perlukan semua tu Qi. Kau ambik baliklah ya?" Lembut Camelia memujuk sedaya upaya berusaha agar tak buat Rizqi kecik hati. Camelia tak sangka barang-barang yang berada di tangan Kak Nora untuknya juga sehinggalah Kak Nora meminta dia tengok sama ada dia suka ke tak. Hampir terkejut beruk dia tadi. 

Rizqi mendesah lelah. Ada rasa kecewa menyelinap dalam hati. Terasa seperti dirinya ditolak bila Camelia tak mahu menerima barang pemberiannya.

"Tak apalah kalau macam tu. Kau guna apa yang perlu aje. Yang lain tu nanti aku suruh orang ambik." Rizqi mengalah. Hubungan dia dengan Camelia baru nak berbaik. Jadi apa saja kehendak Camelia harus ditunaikan. Dan Rizqi rasa dia tak buat keputusan yang salah bila melihat muka lega Camelia apatah lagi selepas itu Camelia tersenyum, manis sekali mmbuatkan bibirnya ikut tersenyum senang.

“Hmm... Mel,  kita kawan ya?” Sebenarnya nak mintak jadi isteri tapi positif Camelia akan bagi jawapan negatif. Jadi kena slow and steady masuk ke hati Camelia dengan hati-hati.

“Ok.” Tanpa fikir panjang Camelia setuju sebab Jay cakap Rizqi ada kemungkinan akan mati jadi Camelia tiba-tiba jadi baik hati.

Bulat mata Rizqi. Terkejut. Betul ke ni? Wajah Camelia direnung tak lepas. Bibir yang sedang tersenyum nipis itu ditatap. Gulp… jangan itu bahaya! Semalam dah kena libas. 

Wah, diterima jadi kawan pun Rizqi rasa bahagia yang amat. Kalau diterima jadi suami memang 365 hari Rizqi senyum tak henti.

“Tapi ada syarat.” Muka Camelia bertukar serius buat senyuman Rizqi pudar terus.

Rizqi berdehem, kemudian dengan penuh berdebar bertanya. “Apa dia?”

“Tolong jangan buat rancangan gila macam semalam. Kau buat sekali lagi aku memang tak nak tengok muka kau lagi.”

Dahi Rizqi berkerut hebat. Rancangan gila semalam?

Jangan cakap rancangan dia nak bawak Camelia pergi jumpa tok ayah.

Cis! Siapa yang pergi bocorkan rahsia? 

“Sorry Mel. Lain kali aku tak buat lagi.” 

“Hmmm...”

Bila Camelia berhmmm aje dengan muka berkerut-kerut ikhlas tak ikhlas maafkan dia, Rizqi tahu kalau dia salah cakap sikit aje pasti hubungan mereka yang baru nak bermula akan putus tiba-tiba.

Hesy... kenapalah cik bunga ni sensitif sangat? Cepat marah, pendendam pulak tu.

Dah jodoh kau Qi. Mestilah cerminan diri kau.

Cis! Dasar suara hati biadap. Durhaka pada tuan sendiri. Bukannya nak bagi semangat, lagi menghancurkan hati adalah.

“Sorry Mel.” Rizqi merayu mintak kasih sayang. Eh bukan, mintak belas kasihan. Dasar tamak. Dikesian belas pun belum tentu dah mintak disayang-sayang.

Camelia hela nafas panjang. Rizqi pulak tahan nafas melihatnya. Debaran kian terasa.

“Aku tak suka bila korang buat aku macam tu. Aku percayakan korang, terutamanya Adam tapi bila korang rancang benda macam tu aku rasa dikhianati.”

Dang!!! Dada Rizqi macam dibom. Camelia cakap apa? Adam yang terutama dipercayai. Habis tu dia Camelia lempar kat mana? 

Cemburu! Cemburu!! Cemburuuuu!!!

Camelia ingat muka merah padam Rizqi sebab malu tertangkap basah. Camelia tak tahu yang Rizqi sedang dalam fasa tahan diri dari lari keluar pergi cari Adam. Cakarnya dah sedia diasah setajam mungkin. Adam harus bersiap sedia untuk dicabik-cabik.

Mungkin dia patut letakkan racun di cakarnya, biar Adam kena terus mati. Anggaplah dia berbaik hati sebagai sedara yang masih memikirkan sedaranya walaupun telah ditikam dari belakang.

“Aku tahu kau dah selamatkan aku. Tapi tetap aku berhak marah, kan? Kalau kau tak rancang kurung aku dengan kau pun, aku tetap akan jumpa kau. Tak perlu buat sampai macam tu sekali. Kalau jadi apa-apa semalam macam mana? Tolonglah jangan buat benda bodoh macam tu lagi.”

Camelia bertubi-tubi lepaskan ketidakpuasan hatinya. Biar terlerai semuanya. Lepas ni tak nak fikir lagi. 

“Kau cakap apa ni?” Rizqi terkejut yang amat. Nampaknya apa yang dia fikir jauh dari apa yang Camelia sampaikan. Jadi ini bukan kes marah sebab nak bawak pergi jumpa tok ayah. Ini kes lain ni.

Bila Rizqi buat muka terkejut yang amat darah Camelia menyirap sangat-sangat. Tak nak mengakulah tu. Dia paling pantang orang buat salah tapi tak nak mengaku. Say no to kaki dalih!!!

“Betullah kan kau rancang nak berdua-duaan dengan aku sebab takut aku tak nak jumpa dengan kau. Adam ikut aku jadi dia tahu aku ada kat mana. Kau paksa Jay berlakon macam dia yang kurung kita. Lepas tu bila rancangan tak berjalan lancar kau tumbuk dia.”

Tercungap-cungap Camelia hirup nafas lepas jadi machine gun tembak peluru tanpa henti. Nak berdalih sangat, kan? Ambik kau!

Tak perlu Camelia cakap siapa yang karang cerita mengarut tu sebab Rizqi cukup-cukup tahu itu kerja si  penyangak malaun tak sedar diri tu.

“Jaafarudiiiiiiiiiiiiiinnn!!!” Rizqi bertempik sekuat hati. Tak kisah dah lepas ni dia kena tembak dengan ubat penenang sekalipun. Untuk kali ni dia nak amuk!

Amuuuukkkkk!!!




DI TEMPAT lain, Jay tersedak. Orang tua-tua cakap kalau tersedak macam ni ada orang duk sebut-sebut nama. Hesy… takkanlah penipuannya dah dihidu. Cepat sangat tu.

Camelia takkan sampai hati kan pergi cakap kat Rizqi? Dia dah merayu sampai menitiskan air mata buaya mintak Camelia jangan cakap dekat geng-gengnya. Nanti dia kena bantai lebih teruk lagi.

Sebenarnya ceritanya macam ni. Pagi-pagi lagi dia dah pergi jumpa Camelia reka yang Rizqi dan Adam yang rancang semuanya. Dia hanya mangsa yang terpaksa mengikut arahan. 

Itu semua kerana dia bukan Aiman Tino yang mengamalkan kepercayaan Ku Rela Dibenci. Dia tak rela Camelia benci dia sorang-sorang. Jadi dia kena buat Camelia bencikan Adam terutamanya Rizqi jugak.

Fiqri tak payah. Memang mereka berdua saling benci-membenci.

Rancangannya nampak berjalan lancar sehingga Adam yang nak masuk melawat Camelia dilempar dengan bantal. Tapi semuanya kacau bila dia terpaksa menipu sekali lagi demi diterima semula sebagai sedara dengan menipu Camelia bahawa Rizqi sakit tenat.

Mana satu penipuannya yang dah pecah?

Pertama ke kedua?

Ke dua-dua dah pecah?

Aduh… pening!

“Abang, okey tak ni?” Suara manja Elena sedarkan Jay dari lamunan ngerinya.

“El panggil abang tak menyahut pun. El risau.” 

“Abang tak pasti abang okey ke tak.” Bahu Jay jatuh, lelah terasa hati ini bila didatangi ujian bertubi-tubi.

“Hah, kenapa sampai macam tu sekali?! Abang sakit apa?! Jom kita pergi hospital!” Elena dah kalut dan takut.

Jay mendadak ngeri dengar nama hospital. Kat situ di atas katil hospital, ada singa jantan yang tengah pandang cakar sambil bayangkan tengah mencabik-cabik kejam dirinya.

“Abang, ni Abang Adam mesej tanya abang ada dengan El tak. Dia call abang tak dapat.” 

Bulat mata Jay tengok handphone yang dihulur Elena.

“Cakap yang abang tak ada dengan El.” Jay cemas giler. Ini dah sah penipuannya dah pecah.

“Kenapa nak kena tipu? Kenapa abang nampak takut?” Elena pun ikut sama cemas bila tengok kekasihnya cemas sampai pucat lesi muka.

“Buat aje macam yang abang cakap sayang.” Jay picit dahi.

“Tapi tak baik tipu Abang Adam. Abang jangan risau. Apa-apa masalah pun boleh selesai baik-baik. Abang Adam tu lelaki yang paling baik El pernah jumpa. Takkanlah Abang Adam nak marah abang. Lagi-lagi dalam keadaan abang yang cedera ni sebab nak selamatkan kekasih Abang Qi.

Aduuuhhh… Jay rasa nak jambak rambut, pukul-pukul dada, bertempik sekuat hati, hentak-hentak kepala kat meja. Dari kecik sampailah sekarang dia masih tak dapat mengerti kepolosan Elena yang kadang-kadang mengusik kesabarannya.

“Boleh tak kali ni El dengar cakap abang.”

“Tapi El dah cakap abang ada dengan El. Abang Adam dah on the way.”

Mampusssss!!!

Grrrrr… Jay rasa nak gila.

“Yang, nanti-nanti aje kita dating. Itu pun kalau abang masih ada kepala lagi.” Habis menyampaikan warkah terakhirnya Jay macam tak cukup tanah lari.

Dia kena sembunyi. Sekurang-kurangnya sampai hati sedaranya tenang dan merinduinya semula. Harap-harapnya tak lama.

Sampai dalam kereta Jay usap dada, tarik nafas, tenangkan diri. Sabar… nak buat macam mana. Dah memang peraturan dunia orang baik selalu diuji dan dizalimi. Pasti ada cahaya dihujung jalan.

Ya, Jay yakin itu memang pasti!



SEBAB LAMA TAK UPDATE. KITA KASI YANG PANJANG SIKIT. HARAP SEMUA YANG BACA SUKA, AAMIIN...





Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila