Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 16

BERADA di Fakulti Perniagaan memaksa mata Camelia liar memandang kiri kanan. Bimbang terserempak dengan Rizqi. Payah dia nak bertarung dalam keadaan tak fit macam ni. Ini akan jadi perlawanan berat sebelah. 

Nafas yang dihembusnya terasa panas. Tangannya diletakkan ke dahi. Sukat suhu. Huh… rasanya demamnya makin teruk. Kepalanya sakit bukan main. Dengan sakit menyucuk-nyucuk seluruh badan, batuk yang tak berhenti, hidung berair mengalahkan paip bocor, buat dia rasa nak give up. 

“Sabar… sabar Mel sabar. Ingat Aiman.”

Akhirnya penantiannya berakhir. Beberapa orang mula keluar. Muncul saja kelibat orang yang ingin ditemuinya terus Camelia bergegas menahan Sarah.

“Sarah, aku ada benda nak cakap.” 

Sarah memandang Camelia takut-takut namun tetap mengangguk. Sarah tahu yang satu hari nanti dia akan berdepan dengan Camelia tapi tetap saja dia tak bersedia untuk lepaskan Aiman. Aiman adalah tempat dia mengadu kerana tak mungkin dia nak membuka aib Syahid kepada orang tuanya.

“Kita cakap kat sini boleh?” Sarah tak rasa yang dia selamat kalau pergi tempat sunyi. Camelia bukan selembut wajahnya. Jangan sesekali tertipu. Tunangnya sampai dapat MC tiga hari kena penangan Camelia.

Berkerut kening Camelia pandang Sarah yang nampak takut-takut dengannya. Sarah ingat dia ni tukang pukul orang ke. 

“Aku tak nak cakap banyak. Tinggalkan Aiman. Tunang kau pandang Aiman tadi macam nak telan. Nasib baik Aiman tak perasan kalau tak pergi terapi lagi budak tu.”

“Tapi saya tak ada cerita apa-apa kat Syahid.” 

Sarah berundur setapak bila Camelia pandang dia macam nak disalai hidup-hidup. Dada Camelia naik turun. Sarah tak terkejut atau pun berminat bila dia cakap pasal Aiman kena terapi. Itu bermakna Sarah dah tahu masalah Aiman.

“Sanggup kau kan! Kau tahu keadaan Aiman tapi tetap kau nak dekat dengan Aiman! Kau nak tengok dia mati dulu ke baru kau berhenti?!” Camelia mendesis marah. 

Ikut hati nak aje dia menjerit. Tapi dia tak nak orang dengar dan timbulkan gosip. Syahid belum tentu tahu dan dia tak nak kerananya Syahid jadi tahu hubungan sulit tunangnya dengan Aiman.

“Aiman satu-satunya tempat yang saya boleh cerita masalah saya. Saya dah tak ada orang lain.”

“Kau ni memang perempuan tak ada hati perut. Kau ambik kesempatan sebab kau tahu Aiman sukakan kau. Kau tak kisah pun kalau tunang mental kau tu kerjakan Aiman.”

“Saya mintak maaf. Saya tak boleh buat apa-apa. Saya dah cakap kat Aiman yang saya anggap dia kawan aje.”

“Aku dah agak. Kau memang pura-pura terima Aiman jadi boyfriend kau sebab Aiman nak tinggalkan kau kan? Sanggup kau gunakan dia.”

Darah Camelia betul-betul menyirap. Kalau dia singa dah lama dia keluarkan cakar. Cabik-cabik si perempuan yang kononnya naif tapi pentingkan diri ni. Kat dunia ni kalau nak jadi jahat tak perlu nampak jahat, senyap-senyap macam si Sarah ni pun boleh tahan jahatnya.

“Mel, kau buat apa ni?!” 

Siapa sangka Aiman tiba-tiba muncul depan mata. Dan siapa menduga tiba-tiba aje Sarah menangis penuh derita. Camelia yang melihatnya putar bola mata. Ikut hati nak sangat putar kepala si drama queen tu, biar betul-betul menangis sebab sakit bukan pura-pura sakit.

“Maaf… maaf… Sarah tak boleh tinggalkan Aiman. Sarah betul-betul sayangkan Aiman.” 

Hati murahan Aiman tersentuh. Camelia mendengus.

“Aiman mintak maaf Sarah. Aiman janji lepas ni Mel tak akan ganggu Sarah lagi. Aiman janji Aiman takkan tinggalkan Sarah “

Ternganga Camelia dengan kemurahan hati Aiman yang begitu murah.

“Jangan jadi bodoh Aiman! Kalau kau tak sayang nyawa kau, ingat sikit dekat mama kau!”

“Kau tak payah masuk campur hal aku!!! Jangan sampai aku benci kau Mel!!!” raung Aiman begitu keras.

Camelia tersentak. Matanya terbeliak memandang Aiman sambil menggeleng-geleng kepala. 

Kamil... Bibir Camelia bergetar hebat menyebut sebaris nama itu namun suaranya tersekat di kerongkong. Dia berundur menjauh memandang figura di depannya dengan linangan air mata.

“Mel, kau okey tak ni?” Aiman mendekat. Dia naik takut melihat Camelia tiba-tiba nampak begitu kacau dalam sekelip mata. Dia tak patut tengking Camelia tadi. Mesti Camelia terkejut dan terluka hati.

Kamil... Camelia memejam mata. Bayangan lelaki kesayangannya menerpa tanpa henti. Kenangan manis hingga yang terpahit datang menyerangnya bertubi-tubi membuat kewarasan Camelia kian hilang.

“Mel... Mel...” seru Aiman penuh sayu. Nafas lega dihela bila Camelia membuka mata menatapnya.

“Ai... Aiman...” 

“Ya, ni aku.” Aiman ingin mendekati Camelia tapi tiba-tiba lengannya dipaut.

“Aiman...” Sarah menggeleng. Tayang muka sedih minta simpati dan terus Aiman luluh.

Camelia melihat semua itu dengan hati yang remuk. Sekali lagi... Sekali lagi dia harus berhadapan dengan perempuan busuk hati dan sebelum harus menerima kenyataan yang lebih buruk, dia memilih untuk menjauh untuk menjaga hatinya.

Aiman pilih Sarah.

Jadi dia pilih untuk tinggalkan Aiman.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila