Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 30

"ALLAHUAKBAR, apa dah jadi ni?!!” Masuk-masuk Adam hampir putus nafas tengok keadaan Rizqi yang basah dengan air mata memangku Camelia yang dah kaku.

“Mel lemas…” adu Rizqi sebak. 

“Cik bunga dah mati ke Dam? Mel dah tinggalkan aku…”

“Angkat Mel. Kita pergi hospital.” Lewat petang begini klinik kolej dah tutup. Adam berharap sangat Camelia dapat bertahan.

Jay mendekati dengan tergesa-gesa. Tak sangka tindakan durjananya menciptakan musibah sebegini dahsyat. Kepada Camelia pulak tu. 

“Qi, aku minta ma…” Belum sempat Jay menyudahkan ayat, penumbuk Rizqi singgah dan Jay terhumban jatuh ke dalam kolam. 

“Kalau jadi apa-apa kat Mel, kau siap!!!” Mengaum Rizqi sebuas-buasnya. Tubuh Camelia kemudiannya dicempung pergi dari situ.

“Padan muka. Pandai-pandailah kau naik sendiri. Kalau tak dapat naik lagi bagus. Esok aku datang kutip mayat.” Sempat Fiqri menyindir sebelum berkejar mendapatkan Rizqi dan Adam yang sudah menghilang.




“MACAM mana Qi pulak yang pengsan? Yang lemasnya si Mel tu.” 

“Doktor cakap dia mengalami keletihan yang melampau. Tubuh dia lemah.” Fiqri menjawab pertanyaan Jay yang baru tiba. 

Muka bengkak sebelah Jay buat Fiqri nak ketawa mengilai. Dia tahan saja takut Jay buat aksi balas dendam kepadanya pulak.

“Dam…” seru Jay mintak perhatian. Sejak dia datang Adam lirik dia pun tak nak.

Adam mendengus keras. Matanya dipakukan kepada Rizqi yang terlantar di katil. Tak kuasa nak pandang muka si jembalang tanah tu. Jay takkan dimaafkan semudah tu. Dia tak boleh lupa masa Rizqi pengsan di depan matanya. Sampai sekarang jantungnya masih berdegup kencang. Tunggu Rizqi bukak mata dulu baru dia boleh bertenang.

“Niat aku baik. Aku nak tolong Qi aje. Qi kan sukakan Mel. Aku nak rapatkan mereka.” Huh tipu. Sebenarnya dia nak balas dendam.

“Kau jangan nak menipu. Hati kau tak adalah suci murni macam tu. Kau ingat aku kenal kau sehari dua? Cakap kenapa kau buat macam tu?” Adam kacip gigi. Rasa mahu diterajang saja Jay saat ini.

Ligat Jay memerah otak, tengah merangka penipuan untuk membela dirinya. 

“Cakap!” jerkah Adam kurang sabar. 

Jay terkedu. Rambutnya diramas. Kalau cakap benar, silap hari bulan penumbuk Adam akan julung-julung kali singgah ke mukanya. Kalau cakap bohong, lunyai dia dikerjakan. 

Eh, akibatnya sama aje tu. Tak ada ke akibat yang baik-baik saja. Ni tak semuanya buruk-buruk belaka.

Tak apalah, biar dia berterus-terang saja. Mintak-mintak keikhlasan hatinya yang sanggup menceritakan hal sebenar dihargai.

“Sebenarnya aku nak balas dendam sebab Qi tumbuk aku. Lepas tu dia paksa aku mengaku yang aku ni jantan murahan dekat Mel. Memang takdelah can aku nak mengorat Mel. Jadi aku nak Qi pun tak ada peluang jugak."

Jay usap-usap pipinya yang bengkak berusaha menagih simpati untuk mengalih perhatian kedua sedaranya dari menagih sambungan cerita darinya.

"Jadi?" soal Fiqri setelah menanti beberapa minit tak ada tanda-tanda pun Jay nak bersuara. Bukan apa rasa macam tak bersambung pulak cerita Jay tu.

"Jadi apa?" Jay buat-buat tak faham. Dia rasa tak sanggup nak menceritakan yang seterusnya takut sedara-sedaranya membencinya.

"Tak payah nak buat bodohlah Jay. Kau kurung Mel dengan Qi sebab kau nak Qi buat yang bukan-bukan dekat Mel. Jadi Mel benci Qi dan Qi pun takkan dapat Mel kan." 

Jay terkejut. Tak sangka Adam begitu memahaminya. Memang itu pun niat dia. Ideanya datang melihat betapa terujanya Rizqi bila Camelia ada depan mata. 

Terlopong Fiqri. “Ya Allah! Kau ni siuman ke tak?! Kau tak fikir ke kalau Qi buat benda yang bukan-bukan dekat si Mel-Mel tu, siapa nak tanggung?!” 

"Halah, Qi takkan buat yang bukan-bukan sampai macam tu sekali. Takkan kau tak kenal Qi." Jay berlagak memahami, kenal hati budi, macam sedara paling erat dunia akhirat.

"Paling teruk pun cuit-cuit sikit je." Jay ketawa namun dia ketawa seorang diri. Dua orang sedara dia muka dah macam nak mamam dia hidup-hidup.

“Tapi kalau jadi apa-apa kita kahwinkanlah aje mereka.” Jay bergurau. Saja nak menceriakan suasana.

“Jaaaayy!!!” Buat pertama kalinya Adam menjerit macam orang gila.

Kelu tak terkata Jay sampai bulat mata dijerkah Adam yang dah macam orang histeria. Mungkin kejutannya terlalu hebat sampai Adam jadi macam tu sekali.

“Dam, sabar. Qi tengah rehat tu.” Fiqri tepuk-tepuk bahu Adam. Takut juga kalau Jay patah batang hidung nanti. 

“Aku menyesal…” Jay merintih penuh penyesalan. Berlakon aje, demi mengemis satu kemaafan dari abang besar tersayang. Sebenarnya dia tak pernah tahu rasa menyesal tu macam mana.

“Kau tahu ke maksud perkataan sesal tu? Ke pakat sebut aje? Tengoklah apa dah jadi. Kalau kita lambat, entah-entah Mel dah tinggal arwah.” Adam rasa nak tendang aje Jay ke Planet of the Apes. Biar duk berhuhahuha dengan monyet.

Jay menunduk lemah. Tak sangka sekali lagi Adam memahaminya. 

"Kau pergi balik sekarang. Sakit hati aku tengok muka kau ni." 

Jay terkejut beruk. Sampai hati Adam menghalaunya.

"Dam, kau dah bagitahu tok ayah? Kalau belum lagi biar aku pergi jemput tok ayah datang sini." Jay cuba mengambil hati Adam. Menggemis kasih sayang dari abang besar. Keadaannya dalam bahaya sekarang ni. Kalau Rizqi bukak mata, perkara pertama yang Rizqi akan buat adalah cekik dia.

Selalunya kalau Rizqi mengamuk Adam akan jadi pelindung. Kalau sekarang entah-entah Adam sekali akan ambik bahagian kerjakan dia cukup-cukup.

“Dengar sini, kau jangan buat hal pergi cakap kat tok ayah Rizqi masuk hospital.” 

“Kenapa pulak Dam?"

“Aku tak nak buat tok ayah risau. Cukup-cukuplah dia risau Qi sakit hari tu."

"Habis tu kalau tok ayah tanya nak jawab apa?”

Adam rasa nak lempang aje Jay. Tiba-tiba aje raja segala kaki kelentong tak tahu cara nak menipu.

"Cakaplah Qi tidur kondo kau! Faham?!” 

“Okey Dam. Aku menurut perintah.” Jay tayang muka muram, semuram-muramnya. Tapi Adam tetap tunjuk muka tak kesah.

“Dah, pergi berambus!”

“Janganlah kasar sangat Dam. Aku kecik hati tau.”

Adam cekak pinggang, tunjuk muka bengis. “Kau ingat aku kisah kau kecik hati ke, sakit hati ke. Kau pun tak pernah kesah pasal orang. Yang kau tahu balas dendam, puaskan hati busuk kau tu!”

Nampaknya keadaan makin tegang. Adam tak pernah semarah ni sebelum ni. Fiqri ambik keputusan ajak Jay balik.

Bahu lebar Jay ditepuk. “Dia tengah marah tu. Jom balik. Esok kita datang,” bisik Fiqri. Walaupun dia geram dengan sifat tidak berperikebinatangan Jay, tapi dia tetap tak sampai hati tengok muka sedih Jay. 

Lagipun dia bimbang Jay akan buat onar lagi kalau terus diasak begitu. Jangan sampai dengan Adam-Adam sekali terlantar atas katil hospital sudah.



Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila