Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 7

SEJAK kejadian hitam itu berlaku, Camelia sampai sekarang resah gelisah takut Rizqi tengah merancang sesuatu.

Masuk akal, kan?

Sebenarnya dia dan Aiman dah buat keputusan nak berhenti tup-tup Aiman tak jadi. Katanya kawan Rizqi nama Adam bagi gerenti yang Rizqi takkan melakukan penganiayaan kepada dia dan Aiman lagi.

Dia tak percaya tapi Aiman berkeras nak teruskan. Percaya sangat dengan Adam. Siap puji berbakul-bakul lagi.

Dia sebenarnya curiga dengan Adam. Ada ke Adam tu cakap bahawasanya Rizqi tu sukakannya.

Itu langsung tak masuk akal tapi Aiman seratus peratus yakin yang Adam tak tipu. 

Kalau tanya dia, mestilah dia jawab semuanya tipu langsung tak ada benarnya. 

Buktinya…

Mana ada orang lelaki sukakan perempuan tapi berkasar. Kalau kena tolak sejuta kali pun tetap gigih berjuang sampai ke pelaminan. 

Si Rizqi tu…

Belum apa-apa dah mengamuk macam orang gila. Nasib baik dia tak tewas di medan peperangan ciptaan si monster ganas tu.

Apa-apa pun Camelia tetap bersyukur sejak dia datang semula ke kolej Rizqi langsung tak dengar kabar. Apa lagi muncul nak ajak berperang. Keadaan nampak baik-baik aje.

Mungkin Rizqi dapat hidayah dari penjahat tiba-tiba nak jadi pak ustaz.

Mungkin Rizqi kena kanser hati tiba-tiba aje jadi baik hati. 

Mungkin Rizqi kena bala lepas tu insaf secara tiba-tiba.

Mungkin Rizqi dah nak mamp...

Belum sempat sambung spontan Camelia berjalan mundur. Laju pulak tu. Sampai orang tengok dia dengan pandangan pelik. 

Betullah yang orang cakap setan jangan disebut-sebut, nanti tiba-tiba muncul. 

Camelia bersembunyi di sebalik dinding. Jantungnya mulalah buat hal. Berdegup kencang meronta-ronta nak turun ke perut.

“Buat apa si budak business ni muncul sampai ke sini?” Bibir bawahnya digigit. Kalut dan takut. Muka Rizqi nampak serius. Dengan kepala terteleng-teleng ke kanan ke kiri. Macam tengah cari sesuatu. 

“Masalahnya cari siapa? Takkanlah cari aku kut?” Camelia makin takut.

“Hesy… takkanlah. Tak mungkin. Tak mungkin.” 

Melihat Rizqi yang fokus mencari tanpa menghiraukan pandangan memuja penuh kagum yang dilayangkan oleh perempuan-perempuan untuknya membuatkan Camelia gementar. Serius sangat nampak tu.

“Cari aku ke, tak cari aku ke. Lebih baik aku lari.” Tak sampai selangkah tiba-tiba…

“Mel!” 

Camelia pantas berpaling bila namanya diseru kuat. Berkerut dahi Camelia melihat Zaim seniornya tapi dia lagi tua berlari-lari menuju ke arahnya.

Ya Allah... masa orang nak lari nilah ada yang lain berlari datang. Kalau dia berlari pergi takutnya si Zaim berlari mengejar. Tak ke haru biru tu. 

Di satu sudut lain. 

Rizqi pasang telinga. Macam ada dengar orang panggil nama Camelia. Takkanlah dia berhalusinasi kut. Betul, memang dia ada dengar. Lelaki pulak tu. 

Cis, ada yang nak kena tebang ni. Berani betul nak mencantas bunga pujaan hati abang.

Kakinya melangkah laju menuju ke arah suara yang didengarinya tadi. 

“Mel!” seru Rizqi penuh dingin. Emosinya yang sudah lama tak stabil rasa makin menggila. Memang orang yang dia nak jumpa dah ada depan mata. Masalahnya kenapa ada jantan yang tak dikenali ada dengan Camelia? Dating ke?

Terjojol mata Camelia bila Rizqi tup-tu dah muncul depan hidung. Muka Rizqi nampak bengis, macam nak bunuh orang. 

Tubuh Camelia dah start menggigil. Takut Rizqi buat hal lagi. Bukan dia saja yang ngeri sampai nak terkancing gigi, tu Zaim pun dah pucat lesi.

“Mel, cakap kat Aiman aku cari dia ya.” Belum Camelia angguk Zaim dah hilang dari radar.

Rizqi mendengus. Pengecut! Dia tahu budak kurus kering tadi ada hati dekat Camelia. Buktinya...

Budak tadi pandang Camelia macam dapat duit sejuta. Bila dia dekat menggelabah tak sudah.

Tanpa sedar Camelia berundur, tersentak bila belakangnya menyentuh palang balkoni. Dia takut tengok Rizqi duk tenung Zaim macam nak dikunyah hidup-hidup.

Rizqi yang dari tadi duk tenung salah seorang pesaingnya yang tak layak pun nak bersaing dengannya menoleh laju ke arah Camelia bila suara terkejut Camelia menyapa telinganya. 

Berkerut kening Rizqi melihat Camelia sudah jauh darinya. Wah... cepat betul.

“Tak payahlah nak lari. Aku datang nak bincang baik-baik. Boleh?” Suaranya dikawal sebaik mungkin walaupun dadanya masih mendidih kerana si kurus kering tadi. Dia sedar yang Camelia takut dengannya.

Camelia mengurangkan kewaspadaannya. Mengangguk tanpa suara. Dia rasa bersalah sebenarnya tengok muka Rizqi masih bengkak. Lebam sana sini walaupun dah tak seteruk hari tu.

Sumpah dia takkan buat lagi kerja gila macam hari tu. Kalau mati tak ke dia jadi pembunuh.

Tubuh langsing itu dipandang atas bawah. Cantiknya!!! Rizqi rasa dia dengan Camelia sekarang bagaikan si cantik dengan si buruk rupa.

Itu kerana muka dia masih under construction. Cuba kalau muka handsome terlampaunya ni kembali seperti sedia kala tentulah dia dengan Camelia bagaikan pinang dibelah dua.

Sesuai sangat digandingkan bersama.

“Tu siapa?”

“Senior.”

“Rapat?”

“Tak”

“Dia selalu ganggu kau?”

Camelia diam. Pandang wajah Rizqi cuba cari tahu sesuatu. Jangan nak kata Rizqi cemburu.

“Kenapa diam?” Rizqi mula tak sabar. 

“Kenapa kau tanya macam tu?”

“Sebab aku tak suka ada jantan lain kacau kau. Aku suka kau.” 

Melopong Camelia sesaat. Jadi betullah si Adam tu tak tipu.

“Kenapa kau diam?” Rizqi makin tak puas hati. Dia tengah korbankan egonya luahkan hasrat hati tapi boleh Camelia melopong dan diam. 

“Aku nak jawapan.” Rizqi mendekat. 

Camelia terbeliak. Dia langsung tak hingin. Tapi dia takut nak jawab tak nak. Dalam banyak-banyak luahan cinta yang dia terima inilah yang paling brutal. 

Nak lari ikut mana ni? Takkanlah nak kena terjun. Tingkat dua weh. Kalau nasib baik patah kaki. Salah perkiraan, boleh mati. 

Terjojol mata Rizqi tengok Camelia jenguk ke bawah. Dia terkejut teramat sangat. Sungguh dia tak sangka Camelia tak suka dengannya sampai sanggup bunuh diri. Jahat sangat ke dia sampai cik bunga bencikan dia sedemikian rupa?

Camelia tak tahu ke yang dia sayangkan Camelia separuh mati. Kalau Camelia mati bunuh diri, confirm tak lama lepas tu dia mati patah hati.

“Kalau kau tak nak kat aku pun tak payahlah sampai nak bunuh diri,” ucap Rizqi penuh geram campur kecewa. Tergiang-giang lagu Abang Awie nyanyi… 


Pertama kali kau ku cinta, pertama kali ku diluka

Kini aku menjadi menjadi tanda sebuah kubur cinta

Ku berjalan di dalam hujan mencari api yang terpadam

Namun sudah sekian lama hanyalah gelap gelita


Malang betul. Tengoklah alam pun seolah-olah tengah mengejeknya. Hujan petir guruh dan kilat saling sabung-menyabung. Sedih!!!

Rizqi pergi. Bawa hati yang luka. Selamat tinggal cik bunga, selamanya...

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila