Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 19


KAKI Rizqi melangkah perlahan-lahan. Dari jauh dia mengekori Camelia. Cepat saja masa berlalu. Asyik sangat melayan perasaan rupa-rupanya dah berjam-jam dia bertapa dalam library. 

“Hesy, cik bunga dah nak balik rupanya.” Rizqi frust bila dah tahu arah tuju Camelia. Nampaknya sampai di sini saja dia dapat menatap Camelia untuk hari ini. Nak tunggu esok rasanya terlalu lama. Belum apa-apa dah rindu. 

Aci tak kalau dia culik Camelia ajak pergi dating? 

Bibir Rizqi menyeringai licik. Dalam kepalanya meledak idea-idea jahat. Namun pantas hati sucinya menyerang balas. 

Jangan buat gila lagi Qi. Cukup-cukuplah dia benci kau. Rizqi mengangguk-angguk. Setuju dengan suara hati. 

Di sudut lain…

“Dam, tu mamat jantan buas!” Lurus jari telunjuk Fiqri menghala kepada susuk tubuh tegap yang berjalan slow giler, terkedek-kedek mengalahkan itik. Entah kenapa pulak macam tu gayanya?

“Yes, dah jumpa!” Jay bersorak. Kalau ikut hati yang marah ni memang dia kerat-keratkan aje kaki Rizqi. Seksa nak mencari sekor manusia yang ada kaki di tempat sebegini besar. Dia lagi rela tolak kerusi roda Rizqi buat seumur hidup. 

Adam mengeluh. Jumpa akhirnya. Kalau tak ingat amaran keras CMA, tak adanya dia kerahkan Jay dan Fiqri cari si jantan buas ni. Biarlah duk jadi pungguk rindukan bulan 24 jam sekali pun. Memang dia tak hirau langsung pun. 

“Betul ke apa yang aku tengah tengok ni?” Fiqri bagaikan tak percaya dengan matanya sendiri. Baru dia perasan apa yang sedang Rizqi lakukan. Tengah ikut bunga beracun rupanya.

“Memang sah dia gila bayang!” Tergeleng-geleng Jay. Susah nak percaya. Tapi kalau dah begini rupanya. Memang tak dapat dipertikaikan lagi. 

“Kenapalah jadi sampai macam ni sekali?” Adam turut tergeleng-geleng. 

“Macam kucing jantan gila nak mengawan duk mengekor kucing betina. Buat malu keturunan aje. Huh!” Fiqri mendengus keras.

"Fiq!!!" Tak ada angin tak ada ribut Jay berteriak dengan tiba-tiba sehingga Adam dan Fiqri berundur selangkah dek terkejut.

"Kau kenapa lahanat?!" desis Fiqri di sela-sela giginya yang dikacip geram.

Adam gosok dada sambil geleng-geleng kepala. 

"Sorry guys." Jay sengih tayang muka tak bersalah. "Aku bukan apa, rasa terpanggil nak menegur bila mulut busuk ni cakap yang bukan-bukan."

"Aku tak cakap apa-apa pun setaaan!" Fiqri rasa nak tarik aje rambut Jay yang baru dicap merah. Kenapa tak diletak tanduk terus, pasti si penyangak ni saling tak tumpah macam jelmaan iblis.

"Ada!" Muka Jay begitu serius. Tangannya memeluk bahu Fiqri. 

Dengan suara prihatin dan nada menasihat Jay berkata, "Fiq pleaselah... tolong jangan sesekali cerita pasal persetubuhan antara haiwan depan Adam. Tergadai maruah Sharifah Chokie nanti kalau Adam terpengaruh dengan ucapan busuk kau tu. Kau pun tahu macam mana Adam tergila-gilakan adik perempuan aku tu."

Pang! Satu tamparan di belakang kepala Jay dilayangkan Adam.

"Wadoiii..." Jay pegang kepala. Mukanya berkerut kesakitan tapi mulutnya berdekah-dekah ketawa. Seronok tengok muka marah Fiqri dan muka merah Adam.

"Yang gatal jahanam sejak dari sel telur lagi tu kau! Bukan Adam!" Fiqri memandang Jay dengan jijik.

Adam usap wajah tahan sakit hati bila dituduh sebegitu keji sekali. For God's sake, Sharifah Chokie tu kucing putih gebu uminya Jay. Tak mungkinlah dia...

Oh lupakan. Adam tak sanggup nak fikir. Dari dia melayan kegilaan penyangak ni baik dia kejar Rizqi yang dah hilang.

"Adik ipar, tunggu! Jangan laju sangat! Tak lari Sharifah Chokie dikejar!"

"Diamlah kau syaitooon!!!" Fiqri tarik rambut merah Jay kemudian berlari secepat mungkin kepada Adam. Takut Jay balas dendam.

"Adoiii..." Jay mengaduh. Kurang ajar mulut busuk. Jay berlari mengejar Fiqri. Baru dia nak mencabut rambut Fiqri tangannya ditepis kuat.

Fiqri menjelir-jelirkan lidah, menganjing sambil berselindung di sebalik tubuh Adam.

"Sakit Dam," bantah Jay tak terima.

"Diam!!!" desis Adam penuh kemarahan.

Jay telan air liur. Seram. Jarang abang besar naik marah. Aura hitamnya lain macam. Mau gigil kaki.

Fiqri pula menjauh dari Adam. Perlahan-lahan mendekati Jay. Takut weh. 

"Kalau nak main-main pun lepas ni! Kita dah tak ada masa, faham?!" Tak tunggu jawapan dari kedua sedaranya langkah kaki Adam lebar mencari Rizqi.

"Faham!" Serentak Fiqri dan Jay bersuara dan mengekor di belakang Adam dengan begitu patuh.

Adam mendekati Rizqi yang masih tak perasan kehadirannya. Bahu tegap itu ditarik dengan agak kuat.

Dush... satu tumbukan dilayangkan Rizqi. Tindakan refleks tubuhnya bila terasa diancam.

Fiqri menjerit nyaring mengalahkan perempuan dek terkejut. Manakala Jay mengeluh kecewa bila Adam dapat mengelak.

Kan seronok kalau kena tadi. Hihihi...

"Kau kenapa Dam? Dah tak sayang muka ke?!" 

Nasib baik tak kena. Fuh... Adam rasa dia patut buat kenduri kesyukuran malam nanti. Kalau tengokkan kuatnya Rizqi bagi tadi, kalau tak sempat elak, mau pecah muka patah batang hidung.

"CMA suruh kau mengadap dia." Tak mahu buang masa Adam terus ke perkara utama.

"Nanti-nantilah!" Rizqi kibas tangan. Memalingkan tubuh sebelum ditahan Adam sekali lagi.

"Kau nak repeat ke? Kau ada masa sepuluh minit lagi tahu tak!" Adam meninggikan suara. Kerana penangan mabuk cinta perintah CMA pun Rizqi sanggup langgar.

"Hish, pandailah aku uruskan nanti." Rizqi dah tak takut apa-apa. Dalam kepala dia nak mengiringi cik puan bunganya balik ke istana. Lepas tu baru otaknya waras semula.

"Tak kesiankan tuk ayah ke? Mana nak letak muka dia kalau kau repeat." Bahalul... Itu sambung dalam hati saja. Fiqri tak mahu tanggung risiko ditumbuk Rizqi. Confirm-confirm dia tak dapat elak.

"Kau, kau, kau, pergi berambus!" Tunjuk Rizqi satu per satu kepada sedaranya sebelum berpaling dan berjalan laju mengejar bunga cintanya.

“So nak buat apa sekarang ni?” soal Jay. Sebenarnya dia tak kisah pun kalau Rizqi repeat. Padan muka. Tapi ingatkan tuk ayah kesayangannya, Jay jadi tak sampai hati.

“Apa lagi. Heret je si jantan buas tu." Adam dah hilang sabar. Ugut apa saja Rizqi dah tak layan. Dah asyik dimabuk kepayang. Dia pulak yang risau macam nak mati kalau Rizqi direpeatkan. Entah kenapa dia syak kalau Rizqi lagi suka kalau tak graduate on time, dapatlah mengekor Camelia lagi semester depan.

"Heret Dam?!" Mata Jay bersinar-sinar bahagia.

"Yalah!"

"Kalau Qi mengamuk lepas ni kau kena tanggung Dam. Aku cuma tolong kau je." Jay suka sebenarnya. Tapi dia tak mahu tanggung derita kemudiannya.

"Yalah, aku tanggung semua," sanggup Adam.

“Okey, jom serang!” sahut Jay penuh semangat. Serang-menyerang memang dah jadi favourite dia. Tambah-tambah lagi Adam dah bagi green light.

Ikut hati Fiqri memang tak berani. Tapi demi kerana Adam, tuk ayah, dan jantan buas yang bodoh tu dia sanggup bertabah.

Perlahan-lahan mereka bertiga mendekati Rizqi dari belakang. Rizqi pula dah tak sedar apa dah. Dalam kepala, hati, dan jiwa penuh dengan cik bunga. 

“Aku bilang sampai tiga, kita serang.” Jay berbisik. Adam dan Fiqri mengangguk. Dalam hati berdebar jugak. Takut si jantan buas naik angin, memang kena penendang sedas sorang.

“Satu… dua… tiga. Serang!” arah Jay. Serentak ketiga-ketiganya menerkam Rizqi. 

“Weh! Dah gila ke?!” Terkejut Rizqi bila tiba-tiba saja dia diserang.

Meronta-ronta dia cuba melepaskan diri. Tiga lawan sorang. Dengan Jay paut leher. Adam dan Fiqri paut tangan kiri dan tangan kanannya. Memang mustahillah dia dapat lepaskan diri.

“Kalau aku lepas nanti tahulah nasib korang!” 

Rizqi ketap gigi. Nak bertempik memang taklah. Nanti Camelia dengar. Nasib baik sekarang ini tak ada orang. Kalau tak malu dia diperlakukan sebegini rupa.

“Lagilah kita orang tak nak lepas!” Jay penuh semangat mengheret Rizqi. Seronok yang amat dapat buat begini dengan sokongan padu sedaranya yang lain.

“Boleh tak tolong jangan keras kepala. Ikut sajalah.” Adam cuba menyedarkan Rizqi yang tak mahu-mahu sedar diri lagi.

Fiqri pula tak mampu nak berkata apa-apa. Tenaganya habis dikerah untuk menaklukan haiwan buas yang tengah meronta sekuat hati tak mahu untuk dilumpuhkan.

“Lepas! Lepas! Lepaaas!” 

Dikerah sepenuh tenaganya untuk melepaskan diri. Kakinya menendang-nendang angin. Memang kalau boleh nak tendang Fiqri, Adam, dan Jay. Tapi tak sampai. 

“Tolong!!!” Jay bertempik kuat, mengejek Rizqi. “Muahahaha, aku bahagia!” 

Rizqi ketap bibir. Janganlah Camelia dengar. Janganlah dengar.   

Camelia berpaling. Macam dengar orang menjerit meminta tolong. Patut ke dia pergi tengok?

Tak naklah. Kalau orang tengah bergaduh tak pasal-pasal dia kena sama. Kakinya laju melangkah. Jauhkan diri dari sumber masalah. 

Tapi tak patut dia pentingkan diri sendiri. Kalau orang tu dalam kesusahan macam mana?

Tak tunggu lama Camelia kemudiannya berlari-lari anak menuju ke tempat kejadian.

“Ikut ajelah sebelum aku pancung kepala kau!” Jay dah hilang sabar. 

Terkejut Camelia dengan ugutan yang cukup kejam itu. Entah apa yang ada disebalik dinding yang memisahkan dia dengan apa yang sedang berlaku sekarang ini. 

Patut ke dia hubungi polis?  

Air liur ditelan. Diberanikan diri untuk mengintai. Cuba mengenal pasti situasi sebenar. Lepas tu baru fikir macam mana nak tolong orang yang sangat malang tu. 

“Hello beautiful…” Tersengih Jay bila matanya menangkap seraut wajah indah yang mengintai di sebalik dinding. 

Dek terkejut tertangkap ketika duk menyiasat, Camelia terkeluar dari tempat persembunyiannya. Kaku dia bila gerangan mangsa dan pemangsa dikenal pasti.

Terhenti rontaan Rizqi. Bulat matanya memanah Camelia bila susuk tubuh langsing itu muncul di depan mata.

Fiqri mengeluh lega. Berhenti pun si jantan buas melawan.

Adam senyum serba salah dekat Camelia. Rasa macam tak patut pulak memaparkan adegan terlarang ini di depan Camelia. Mesti Camelia ingat dia dan sedaranya orang yang tak bertamadun. 

“Bye… kita orang pergi dulu.” Sempat Jay melambai sekejap. 

“Apa lagi, hereeeettt!!!” 

Arahan dari Jeneral Jay berkumandang kuat. Serentak itu juga peperangan diteruskan kembali.

“Lepaslah bodoh!!!” tempik Rizqi sekuat hati dan sekuat hati juga Jay, Adam dan Fiqri mengheret Rizqi pergi.

Camelia pegang dada. Hampir nak luruh jantungnya dengan tempikan kuat itu. Dia tegak memerhatikan Rizqi yang makin jauh diheret pergi. 

Memang begini ke perangai Rizqi dan kawan-kawannya? Semuanya suka menggunakan kekerasan. 

Takut dia dengan adegan yang baru dilihatnya tadi. Macam ganster perangai sorang-sorang. 

Langsung tak budiman!  

Jahaaaat!!!


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila