Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 22

“KENAPA Mel tak sedar lagi?” 

“Doktor kan cakap dia tak apa-apa. Kalau kau tak yakin, nanti dia sedar kau bawaklah dia pergi hospital. Kau tu apasal tak nak terima rawatan. Dah rasa kuat sangat.” 

“Bisinglah Dam. Berapa kali aku nak cakap yang aku okeeyyy! Hish, geram aku!” Muka Rizqi merah padam duduk di katil bersebelahan dengan katil yang menempatkan Camelia.

Adam tahu mood Rizqi betul-betul tak baik sekarang. Lagi-lagi bila Syahid hilang entah ke mana. Apa yang dia mintak janganlah ada orang ganggu Rizqi buat masa ni. Kalau tak memang jadi punching bag kaw-kaw punya.

“Check Qi atau aku bagitahu tok ayah.” Adam tetap berkeras. Dia risau. 

Rizqi pandang Adam macam nak dilahap hidup-hidup. Adam buat muka tak heran. Saling tatap menatap buat beberapa minit akhirnya Rizqi mengalah. Adam senyum lega. 

“Aku panggilkan doktor. Kau nak perempuan ke laki?” Adam mengejek. Bila dia datang iringi Aiman tadi orang duk sok seh sok seh yang tuan muda mengamuk nak doktor perempuan. 

Nasib baik kolej ni Rizqi punya, kalau tak mesti lagi kecoh sebab tak ada orang nak layan kegilaan Rizqi kalau kat tempat lain.

“Pondan!” 

“Aaahhh… nanti aku cari ya.” Adam ketawa geli hati bila Rizqi mendesis penuh geram. 




CAMELIA bangun dalam kebingungan. Perlu beberapa saat untuk dia mengumpul semula kewarasannya. 

“Rizqi!” Teringat tentang Rizqi terus Camelia turun dari katil menyelak tirai dengan tergesa-gesa dan pemandangan di depannya cukup mengejutkannya. Rizqi tanpa baju. Laju dia menunduk. 

Rizqi pula segera  memakai kemejanya. Tak mahu Camelia melihat kesan pengorbanannya menyelamatkan Camelia tadi. Dia tak mahu Camelia rasa bersalah. Adam tengok tadi pun menjerit macam orang pondan, entah-entah kalau Camelia tengok terus pengsan.

“Qi, bagilah doktor rawat dulu.” 

“Aku okey!” tekan Rizqi sambil hantar isyarat pada Adam tak bagi Adam terus berkicau. 

“Doktor ni pun satu. Panggil dari tadi tak sampai-sampai.” Adam menghembus nafas geram, risau, sebal dan banyak lagi. Semuanya sebab si bodoh yang terus nak berlagak hero. 

“Kau okey? Ada sakit kat mana-mana?” soal Rizqi selembut mungkin. Adam sampai nak termuntah mendengarnya.

“Aku okey.” Camelia memandang Rizqi dengan rasa bersalah.

“Baguslah. Tapi kalau sakit aku boleh jadi doktor kau.” Saja Rizqi nak menyakat. Kebisuan Camelia buat dia diserang bimbang. Sakit lagi ke cik bunganya ni?

Muka Camelia memerah. Rizqi terus terpesona melihatnya.

“Kau ni Qi, tak padan dengan sakit. Mel, ni suruh dia check dengan doktor. Dia sakit buat-buat tak sakit.”

“Dam!” desis Rizqi geram. Kenapalah Adam jadi cerewet tak bertempat hari ni. Lempar keluar dari tingkat dua ni baru tahu.

“Kenapa tak bagi doktor check?” Camelia tayang muka risau nak mati buat hati Rizqi tersentuh, terharu, teramat bahagia, terlajak-lajak rasa nak ajak Camelia kahwin. 

Boleh ke?

“Awak belajar kat kolej ni ke? Buat apa kat sini? Awak sakit apa? Biar saya check.” 

Entah datang dari mana muncul lelaki yang buat Rizqi jengkel nak mati. Datang-datang terkam dan serbu cik bunganya dengan soalan bertubi-tubi. Yang tak sedap lagi si doktor duk pandang girlfriend dia dengan mata bersinar-sinar.

Adam dah risau. Dari mana doktor ni kenal Camelia pulak? Perlu ke tenung perempuan sampai macam tu sekali. Doktor tu tak rasa ke ada jantan buas yang tunggu masa aje nak menyerang. 

Melihat Rizqi macam nak makan orang Adam menampar belakang Rizqi, sekadar nak mengingatkan jangan cari pasal. Lupa yang Rizqi sakit.

Apa lagi melolong kesakitanlah Rizqi . 

“Sorry Qi. Aku tak ingat.”

“Doktor check dia! Tadi dia kena pukul dengan kerusi! Doktor check dia!” Camelia kalut tengok Rizqi menahan sakit yang teramat.

“Kau risaukan aku ke?” Rasa sakit Rizqi hilang tiba-tiba bila tengok Camelia risaukan dia sampai berkaca-kaca mata.

Adam sampai melopong tengok muka Rizqi yang tadi macam sakit nak mati tiba-tiba dalam sekelip mata bertukar lagi cerah dari mentari pagi.

Camelia angguk laju-laju. Mestilah risau. Dia rasa bersalah dan terhutang budi. Badan Rizqi yang tebal macam bata boleh sakit. Kalau dia yang macam plywood ni hancur berkecai terus rasanya. 

“Kecederaan dia tak teruk pun. Awak jangan risau. Risaukan diri awak. Biar saya check awak.” Muiz sebenarnya nak jual minyak.

Dah seminggu dia perhatikan gadis ni, jiran sebelah rumahnya. Lebih tepat lagi rumah isteri keduanya. Tapi boleh cuci mata aje. Nak bermesra tak layan. Orangnya sombong.

Rizqi kacip gigi, geram yang amat. Doktor ini memang suka mencabar kesabarannya. Apa hak doktor ini nak halang Camelia dari risaukannya? Memang kurang ajar! 

“Aku rasa kalau kau yang kena, dah lama kau kiok! Dasar mamat skema rambut belah tengah!”

Muiz melopong. Terkejut.

Camelia mula menjauh. Takut.

Adam mengeluh. Tepuk dahi. Si jantan buas ni buat hal lagi… 

“Awak jangan nak kurang ajar! Awak ni siapa nak cakap macam tu dekat saya!” Muiz turut menengking. Jatuh maruahnya di depan orang yang dia nak buat jadi bini nombor tiga.

“Ohh… kau tak kenal aku siapa? Patutlah girlfriend aku pun kau nak caras.” Rizqi bangun, berdiri dengan gagah siap nak menerkam mangsa.

Girlfriend? Bila masa pulak? Terkejut sakan Camelia mendengarnya.

“Qi, boleh tak jangan buat hal. Malu sikit.” Adam cuba menenangkan Rizqi.

“Sekarang ni bukan aku nak buat hal. Aku nak sedarkan mamat skema ni jangan perasan sangat nak mengorat girlfriend aku.” 

“Betul dia boyfriend awak?” soal Muiz.

Camelia diam. Nak geleng takut kena tengking. Nak angguk, macam tak sanggup. Namun bila melihat mata Rizqi menjengil kepadanya pantas kepalanya diangguk berkali-kali.

Rizqi senyum lebar. Teruja.

Adam picit dahi. Pening kepala.

Camelia menunduk. Pasrah.

Muiz nanar. Frust.

“See? Lepas ni kau jangan cuba-cuba nak ganggu girlfriend aku. Nak check, nak check. Cakap saja kau nak menggatal nak sentuh girlfriend aku. Check kepala otak kau tu. Kalau dah gatal sangat pergi jadi gigolo tak payah nak jadi doktor.”

“Kurang ajar!” Muiz dengan bengis menerkam Rizqi. Tak pernah-pernah seumur hidupnya dihina sebegitu rupa. 

Rizqi menyambut penuh sukacita. Belum sempat si doktor emosi menyentuhnya tangan Rizqi sekelip mata mencengkam leher si doktor dan menolaknya ke dinding.

“Kau memang sengaja cari nahas! Dah puas hidup ke hah?! Dah nak mampus sangat?!” 

Muiz meronta-ronta. Dia tak boleh nak bernafas. Lelaki ni betul-betul gila. 

“Qi, enough!” Adam menarik kuat Rizqi tapi Rizqi tetap tak berganjak. Adam risau nak mati, Rizqi kalau dah marah memang jadi tak waras. 

Camelia berundur selangkah demi selangkah. Matanya tak lepas dari menatap pemandangan yang mengerikan itu. Dia pernah berada di dalam posisi itu. Dan sumpah ianya menakutkan! Menyakitkan!

Camelia menggeleng-geleng ngeri. Tangannya memegang lehernya sendiri. Dadanya sesak. Lehernya sakit. 

Jangan… sakit… tolong… tolong ayah… tolong Mel… ayah... tolong... tolong...

Tolong! Tolong! Tolong! Dada Camelia naik turun cuba mengeluarkan suaranya yang tersekat. Dia mencuba lagi. Mencuba lagi dan…

“Tolong!!!” 

Rizqi berhenti dari terus mengganas. Pantas dia berpaling bila mendengar tempikan Camelia. 

Muiz jatuh melorot ke lantai sambil memegang leher. 

“Mel…” Rizqi melangkah ke arah Camelia.

“Jangan! Jangan dekat!” 

Melihat Camelia memandangnya penuh ketakutan Rizqi terpaku, kaku di tempatnya berdiri. Hatinya hancur melihat Camelia menatapnya seolah-olah dia adalah pembunuh yang kejam. Lagi hancur melihat wajah Camelia basah dengan air mata.

“Mel…” seru Adam penuh berhati-hati. 

“Jangan! Jangan dekat!” 

Camelia terus berundur dan matanya tak putus merenung Rizqi penuh waspada seolah-olah kalau dia salah langkah sedikit pun dia akan mati dia tangan Rizqi dan itu buat Rizqi rasa macam nak mati.

“Cik bunga…” Lirih suara Rizqi menahan sebak.

“Kak Mel, Aiman suruh…” Amiza bungkam bila melihat keadaan tegang di depannya. 

“Kak Mel…” seru Amiza hiba bila Camelia menatapnya, mengharapkan sesuatu darinya tapi bibir itu bergetar hebat tak mampu berbicara.

“Kawan Aiman, kan?” soal Adam tiba-tiba. Amiza mengangguk.

“Bawak Mel pergi dari sini.”

“Dam!” desis Rizqi tak bersetuju.

“Diamlah kau! Dengar cakap aku kali ni!” Adam bertegas dan Rizqi hanya mampu memandang Camelia yang dibawa pergi darinya dengan lelah. 

“Besok kau jangan datang kerja lagi kat sini! Aku tak nak tengok muka kau ada dalam kolej ni lagi!” 

 “Awak siapa nak buang-buang saya? Awak sedar diri tu sikit.” Sambil terbatuk-batuk Muiz tetap melawan. 

Adam mendengus geram. Tak boleh ke si doktor ni diam aje. Adam kembali berjaga-jaga takut Rizqi kembali mengganas.

“Sebab aku sedar dirilah aku arahkan kau keluar dari sini! Ini harta aku! Kolej aku! Kalau aku nampak muka kau lagi, siap kau!”

Muiz sudah ternganga.

Kalau tak ingat Camelia memang jantan ni lunyai di tangannya. Rizqi melangkah dengan tergesa-gesa. Dia perlu melihat Camelia.

Adam membiarkan. Malas nak larang. Mengamuk lagi nanti. Besar harapannya agar Rizqi tak buat benda bodoh pergi muncul depan Camelia di saat keadaan Camelia masih haru biru.

Adam mendekati mangsa Rizqi yang masih nampak terkejut. Tangan dihulurkan membantu si doktor bangun. 

“Hmm… Doktor baru kerja kat sini ke?” soal Adam. 

Anggukkan diberikan. Muiz masih terkejut. Betul ke kolej ini lelaki kurang ajar tu punya? Kalau ya, habislah dia.

“Patutlah…” keluh Adam. Patutlah doktor ni berani cari pasal dengan Rizqi. Tak kenal rupanya. 

Sebelum pergi Adam tersenyum kepada jururawat tua yang turut nampak terkejut dengan persembahan hebat Rizqi tadi tanda minta maaf.

“Doktor, kenapa doktor cari masalah dengan tuan besar tu?” 

“Betul ke dia pemilik kolej ni?”

“Betul doktor. Dia tu pewaris tunggal KZ Group.”

Ternganga Muiz. Dunianya bagaikan kelam. Dahlah frust calon isteri nombor tiga dah kena kebas. Kerja pun melepas.  

“Ni semua salah awak! Kenapa awak tak cakap awal-awal kat saya?! Awak sengaja buat saya dapat masalah, kan?!”

“Saya ingat doktor dah tahu.” 

“Ni lah masalah kalau dah tua! Lembab!” Muiz meninggalkan tempat itu siap membanting pintu.

Si jururawat menghembus nafas dengan keras. Nasib baik dia tak ada riwayat sakit jantung.

“Padan muka kalau kau kena pecat. Kalau dengan orang tua kau sombong. Kurang ajar. Dengan nurse muda kau menggatal. Belum sehari datang pun kau buat aku macam orang tak guna. Terimalah balasan kau.”


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila