Home Novel Cinta Bersama Ke Akhirnya
Bersama Ke Akhirnya
Alin Arifin
28/10/2021 15:56:13
15,379
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

IRDINA mematikan enjin kereta. Setelah itu dia berjalan keluar dari perut kereta dan menuju ke bahagian penumpang. Pintu kereta dibuka. Dia melihat Ilham seakan menahan kesakitan.

“Abang Am boleh jalan tak?”

“Tak boleh. Tangan aku tak boleh nak gerak ni. Susah kalau aku nak jalan sendiri.”

Tapi tangankan yang sakit? Apa kena mengena pula dengan kaki?

“Abang Am. Sini, Dina bantu Abang Am.” Irdina sudah tiada cara lain, selain memeluk pinggang Ilham untuk membantu lelaki itu berjalan menuju ke pintu lobi hospital.

Tangan kanan Ilham mula berpaut pada bahu Irdina. Dia merenung wajah Irdina, yang sedaya upaya membantunya untuk berjalan. Ilham tersenyum sendiri.

Tiba sahaja di pintu masuk, seorang pembantu hospital datang membawa satu kerusi roda ke arah mereka berdua. Ilham tanpa disuruh, terus sahaja duduk di atas kerusi roda tersebut. Kalaulah tiada pembantu hospital tadi, dia memang mahu Irdina memeluk pinggangnya sehinggalah mereka bertemu dengan doktor.

Irdina pula benar-benar risau dengan keadaan Ilham. Dia berharap tangan Ilham tidak begitu teruk terseliuhnya.


ILHAM hanya dirawat sebagai pesakit luar. Irdina pula sudah menghubungi Tuan Ismail tentang kejadian yang telah berlaku tadi. Effendi juga turut dihubungi. Lelaki itu benar-benar risau, sehinggakan dia mahu ke hospital. Tetapi dihalang Irdina. Ini kerana Irdina langsung tidak cedera. Buat apa lelaki itu datang ke hospital? Bagaimana pula nanti jika Effendi bertemu dengan Ilham? Sudahlah Ilham tidak menyukai Effendi. Ada lebih baik, jika dia menghalang dari mereka berdua bertemu antara satu sama lain.

Tidak lama itu Ilham selesai menerima rawatan. Kelihatan tangan kiri Ilham yang sudah siap dipakaikan anduh. Irdina dengan pantas menuju ke arah Ilham.

“Macam mana nurse? Teruk ke tangan dia?”

“Tangan Encik Ilham tak apa-apa, cuma terseliuh sahaja, dan tak patah. Dalam masa beberapa hari tangan dia akan sembuh. Tapi doktor bagi Encik Ilham MC selama lima hari. Kejap lagi kami akan bagi ubat. Makan ubat ikut jadual yang diberikan ya?” jelas jururawat wanita tersebut.

“Baik nurse. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Irdina. Irdina merenung Ilham yang sedang memejamkan mata sambil duduk di atas kerusi roda.

“Abang Am, Dina pergi bayar bil dan ambil ubat dulu. Kejap lagi Dina datang balik.”

Irdina mahu melangkah pergi, tetapi lengan bajunya ditarik Ilham.

“Ambil dompet aku ni. Bayar bil.”

“Tak apalah, biar Dina bayar.”

“Ambil jelah dompet aku ni.” Ilham menghulurkan dompetnya kepada Irdina.

Nak tak nak, Irdina terpaksa mengambil dompet tersebut. Dia terus berjalan menuju ke kaunter ubat. Sempat juga dia mengerling ke arah Ilham. Kelihatan Ilham merenungnya tadi, tetapi dengan pantas lelaki itu berpaling ke arah lain.

Benci kut, dia tengok aku ni. Irdina mengeluh.

Selesai membayar bil hospital dan mengambil ubat, Irdina menuju ke arah Ilham semula. Dompet dihulurkan kepada lelaki itu.

“Abang Am tak call girlfriend Abang Am ke?”

Call girlfriend?” soal Ilham pelik.

“Kan, Abang Am kata, ada buah hati dekat sini? Tak nak call ke?”

“Nak buat apa call dia?”

“Yelah, Abang Am kan terseliuh tangan ni. Dia kenalah tahu keadaan Abang Am. Ke abang nak Dina call, kan?”

“Kau sebut pasal call, kau tak bagi lagi phone number kau dekat aku.”

“Nombor telefon Dina?”

“Bagi sini phone kau.”

Irdina yang tidak banyak tanya, terus menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ilham. Ilham mendail sesuatu pada telefon bimbit Irdina, sehinggalah bunyi deringan di telefon bimbit Ilham. Setelah itu, Ilham mematikan talian.

“Okey, ni phone number aku. Kalau ada apa-apa, kau boleh je contact aku. Takkan boyfriend kau je kau contact kan?” Telefon bimbit Irdina dipulangkan semula.

Irdina tidak mengerti dengan kata-kata Ilham. Dia malas bertanya lebih lanjut, terus sahaja dia menolak kerusi roda yang diduduki Ilham waktu itu, menuju ke tempat parkir.

“Aku lapar. Boleh bawa aku pergi makan tak?” pinta Ilham.

“Makan? Bukan ke tadi pagi dah breakfast?”

“Pagi tadi aku makan roti je. Sekarang aku rasa nak makan nasi lemak.”

“Hmm yelah. Jomlah Dina bawakan.”

Tiba sahaja di kawasan parkir, Irdina membantu Ilham masuk ke dalam perut kereta. Mata Ilham tidak lepas merenung ke arah wajah Irdina. Irdina menarik tali pinggang keselamatan secara perlahan-lahan untuk dipakaikan pada Ilham.

Sewaktu Irdina sedang mengenakan tali pinggang pada Ilham, secara tak sengaja, bibir Ilham telah mengenai pada pipi Irdina. Irdina tergamam waktu itu, dengan pantas dia mengundur ke belakang. Lain pula dengan Ilham yang agak terkejut juga dengan apa yang dah berlaku tadi. Dia pun tidak tahu, bagaimana bibirnya boleh mengenai pipi Irdina.

Sorry, aku tak tahu macam mana bibir aku boleh terkena pipi kau. Sebab pipi kau rapat sangat dekat muka aku ni tadi. Kau jangan fikir yang bukan-bukan pula. Nanti kau kata aku nak ambil kesempatan pula dekat kau.”

Irdina tidak berkata apa, lalu pintu kereta ditutup perlahan. Irdina berfikir. Mungkin Ilham tidak sengaja. Lagipun dia tahu, memang wajahnya rapat pada wajah Ilham tadi.




MEREKA berdua tiba di restoran yang berdekatan dengan kawasan rumah mereka. Irdina membantu Ilham masuk ke restoran tersebut. Setelah itu, Ilham memesan dua pinggan nasi lemak berserta dengan teh tarik. Tidak lama itu, muncul pelayan restoran sambil membawa makanan yang dipesan mereka tadi.

Irdina bangun dari kerusi dan mengambil sudu beserta garfu untuk diberikan kepada Ilham.

“Aku macam susah nak makan je ni,” ujar Ilham.

“Tak apalah. Biar Dina suapkan Abang Am.”

Irdina mula mencedok nasi lemak di dalam pinggan Ilham, lalu dihalakan ke arah mulut lelaki itu.

“Bismillah...” ucap Irdina.

Ilham mengangakan mulutnya. Dia mula mengunyah perlahan-lahan nasi lemak yang berada di dalam mulutnya. Dalam masa yang sama dia hampir mahu ketawa. Dia pun tidak tahu kenapa. Dia seakan mahu bermanja dengan Irdina.

Kalau aku yang jadi suami dia, mesti dia akan jaga aku elok-elokkan? Fikir Ilham.

“Abang Am betul tak nak call girlfriend abang?”

“Tak payahlah. Lagipun dia dah tahu.”

“Oh ye ke? Abang Am dah beritahu dia la ya?” Irdina menganggukkan kepalanya berulang kali.

Aku suka kat kaulah Dina. Tapi kau dah ada Fendi. Ah, Dina takkan faham dengan perasaan aku. Lagipun Fendi di hatinya sekarang ni.

Kalaulah Ilham boleh luahkan perasaannya, sudah lama dia luahkan. Tetapi dia tidak mampu. Langsung tidak mampu!





SETIAUSAHA baru kepada Ilham tidak senang duduk dibuatnya. Dia melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Dia berasa pelik. Sehingga kini, wajah lelaki itu masih belum muncul. Kaki laju melangkah menuju ke meja Farah.

Sorry Cik Farah. Jam dah pukul 11 pagi, tapi bos masih belum sampai. Ke mana ya dia pergi?”

“Alamak sorry, I lupa nak inform dekat you. Encik Ilham dia MC.”

MC? Kenapa?”

“Tadi pagi dia hampir accident. Tangan dia terseliuh. Jadi dia diberikan MC.”

“Oh, tak terukkan keadaan dia?”

“Tak berapa teruk. Dia hanya cedera ringan sahaja. You mesti tak ada kerja nak buatkan? It's okay, I boleh beri you kerja. Jom ikut I,” ajak Farah.

Wanita itu mengerutkan dahinya. Lain yang ditanya, lain pula yang perlu dia buat. Nak tak nak dia terpaksa menurut.




KEESOKAN paginya, Irdina menuju ke bawah untuk bersarapan pagi. Yang peliknya, dia melihat Ilham tiada di situ.

“Mana Abang Am?”

“Dia tak selera nak makan,” jawab Puan Marina.

“Tak selera? Kalau tak selera, macam mana nak makan ubat?”

“Tak tahulah umi. Kesian pula umi tengok dia. Ni pun umi nak bawa breakfast dia ni naik ke atas. Nak hantar dekat dia.”

“Tak apalah umi. Biar Dina pergi hantar breakfast ni.”

“Kamu nak pergi hantar?”

“Ha’ah umi.”

“Ha yelah. Cakap dekat dia, ubat jangan lupa makan.”

“Baik umi.” Irdina terus mengangkat dulang yang berisi roti dan air teh panas. Dengan perlahan-lahan, Irdina berjalan menaiki anak tangga menuju ke arah bilik Ilham.

Tok! Tok! Pintu bilik diketuk.

“Masuk. Pintu tak lock pun,” jerit Ilham dari dalam.

Irdina memulas tombol pintu perlahan. Dia berharap Ilham lengkap berpakaian waktu itu. Kalau tidak, terpaksa dia melihat keadaan lelaki itu yang suka sangat tidak berbaju jika dia berada di dalam bilik.

Ya benar. Memang lelaki itu tidak berbaju. Tetapi nasib baik Ilham mengenakan seluar panjang.

“Abang Am, ni ada breakfast. Abang Am nanti makanlah.” Irdina meletakkan dulang di atas meja berhadapan dengan sofa. Sesekali itu Irdina memandang ke arah lain. Entah kenapa apabila melihat susuk tubuh Ilham yang tidak berbaju membuatkan bulu romanya naik. Adakah kerana takut, ataupun dia memang tertarik dengan tubuh badan lelaki itu?

“Aku tak selera nak makan.”

“Abang Am, kan nak kena makan ubat? Jadi kenalah makan.”

“Kau suap aku jelah.”

“Suap abang?”

Ilham menganggukkan kepalanya.

“Kalau nak suap boleh. Tapi tak boleh dalam bilik ni. Lebih baik dekat bawah.”

“Maksud kau apa?”

“Tak maniskan, kalau lelaki perempuan dalam bilik ni. Dengan Abang Am tak berbaju pula tu.”

“Habis tu, kalau nak jadi manis nak kena buat apa?” soal Ilham. Sengaja dia menduga Irdina.

“Kena halalkanlah, kalau nak jadi manis antara lelaki dan perempuan.”

“Maksud kau nikah?”

Irdina menganggukkan kepalanya.

“Hmm, kalau macam tu, kau kena nikah dengan akulah. Tak payah nikah dengan Fendi tu.”

“Ha? Abang Am cakap apa? Nikah dengan Abang Am?”

Ilham ketawa. “Aku gurau jelah. Dahlah, kau pergilah turun makan. Aku boleh suap sendiri. Thanks hantar makanan naik ke atas.”

Apa maksud dia nikah dengan dia? Dia bergurau ke? Tapi Abang Am kan dah ada kekasih hati?  Irdina memandang wajah Ilham dengan perasaan yang bercampur baur.

“Hmm, okey. Ubat jangan lupa makan,” pesan Irdina. Irdina mula mahu melangkah keluar waktu itu.

“Err, Dina,” panggil Ilham.

Irdina berpusing. “Ye abang?”

“Boleh hantar makanan tu dekat katil aku tak? Aku tak larat nak bangun.”

Irdina mengangkat dulang yang berada di atas meja, lalu dulang tersebut dibawa ke arah katil Ilham.

Mata Ilham tidak lepas merenung wajah Irdina. Dia benar-benar terpikat dengan kecantikan yang dimiliki wanita itu.

Du bist wunderschoen (Kau sungguh cantik).”

“Apa? Bahasa apa tu?” soal Irdina.

Nothing.”

“Dina nak turun dulu. Nak pergi kerja dah.”

“Kau drive?”

“Tak. Hari ni Fendi datang ambil.”

“Patut cantik sangat kau pagi ni. Boyfriend nak datang rupanya. Dah la, pergilah keluar.”

Irdina menggelengkan kepalanya. Bila sebut je nama Effendi, pasti Ilham berubah menjadi dingin. Dia pun tidak faham kenapa Ilham jadi seperti itu.

“Baiklah Dina keluar dulu. Jangan lupa makan ubat.”

Sebelum Irdina melangkah pergi, sempat juga dia mengintai Ilham di sebalik pintu. Ilham langsung tidak mahu memandang ke arahnya. Malah, lelaki itu berpaling ke arah lain. Irdina mengeluh perlahan.




IRDINA termenung di dalam kereta sambil matanya merenung ke luar tingkap.

What’s wrong? Senyap je?” soal Effendi.

“Ha? Tak ada apa. Pagi-pagi macam ni memang mamai sikit.”

“Tak cukup tidur ke semalam?”

“Cukup je tidur.”

“Teruk ke tangan Ilham tu?”

“Terseliuh je. Doktor bagi dia MC lima hari.”

“Saya nak lawat dia, awak tak bagi.”

“Tak payahlah. Bukan teruk mana pun. Er awak...” Irdina memandang wajah Effendi.

Effendi memandang Irdina. “Kenapa?”

“Boleh tak awak masuk meminang saya awal? Macam lambat je tiga bulan tu.”

“Masuk meminang awal? Tiga bulan tu bukan cepat ke?”

“Kenapa? Awak tak nak ke?”

“Tapi saya dah cakap dengan family saya, dalam tiga bulan baru dia orang datang masuk meminang awak. Kita pun tak sampai seminggu bercintakan?” Effendi ketawa kecil.

So tak nak ke?”

“Gatal ye awak?”

“Gatal apa pula?”

Effendi ketawa. “Tak ada apalah. Tak apa, nanti saya bincang balik dengan family saya. Boleh?”

“Betul ni?”

“Ye betul. Nanti saya beritahu awak balik.”

Irdina sudah tersenyum lebar. Kalau boleh, dia mahu perkahwinannya dengan Effendi dipercepatkan. Dan dia juga akan dapat keluar dari rumah keluarga angkatnya itu. Mungkin dengan ini, Ilham tidak perlu lagi melihat wajahnya di rumah tersebut.



TIDAK sampai dua hari, tangan Ilham sudah pulih seperti sediakala. Dia tidak betah berada di rumah begitu lama. Lebih-lebih lagi dia juga sudah tiga hari tidak bersua muka dengan Irdina. Ini kerana wanita itu sudah ke Terengganu bersama Farah, atas urusan kerja. Ilham turun ke bawah untuk bersarapan pagi.

Puan Marina merenung anak lelakinya yang sudah lengkap berpakaian kerja. “Eh, kamu nak ke mana ni? Nak pergi kerja ke?”

“Ha’ah umi. Bosan duduk rumah.”

“Tangan dah elok ke?”

“Dah umi. Tengoklah.” Ilham menggerak-gerakkan tangannya.

“Habis tu nak pergi kerja ke ni?”

“Ye. Am nak pergi kerja. Umi, bila Dina balik?”

“Hari ni katanya.”

Ilham menghirup kopi O, sambil bangun dari kerusi.

“Okeylah umi, Am pergi kerja dulu.”

“Eh, tak makan ke?”

“Am makan dekat luarlah nanti. Am pergi dulu.” Ilham menyalami tangan Puan Marina, lalu berjalan keluar dari rumah. Rindunya dia pada Irdina. Sebelum tidur, pasti Ilham akan melihat video Irdina yang pernah diambilnya seminggu yang lepas.




ILHAM tiba di pejabatnya dalam pukul 9 pagi. Dia melihat ada beberapa fail di atas mejanya.

Banyak kerja juga nak kena buat ni. Dia baru teringat yang papanya ada mencarikan dia seorang setiausaha. Butang interkom ditekan.

Morning Tuan Ilham.”

Morning. You’re my new secretary right?”

Yes.”

“Masuk office I sekarang.”

“Baik, Tuan Ilham.”

Butang interkom dimatikan.

Ilham menunggu setiausaha barunya masuk. Kedengaran pintu biliknya diketuk.

“Masuk,” arah Ilham, dengan matanya terarah pada muka pintu.

Terjegul seorang wanita yang bertudung sambil tersenyum ke arahnya.

“Noreen?” Ilham benar-benar terkejut waktu itu. Pen di tangannya hampir terlepas.

Yes Am. I Noreen. Am, I missed you so much,” ucap Noreen.

Ilham tidak mengerti. Bagaimana wanita itu tahu dia di sini? Yang buat dia makin sakit hati, kenapa wanita itu langsung tidak ada rasa bersalah? Dan tanpa segan silu, wanita itu boleh mengucapkan rasa rindu padanya?

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alin Arifin