Home Novel Cinta Bersama Ke Akhirnya
Bersama Ke Akhirnya
Alin Arifin
28/10/2021 15:56:13
15,376
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

BUK!

Irdina jatuh tersembam di atas tanah. habis kotor baju sekolahnya. Dia melihat dua pelajar perempuan yang sedang tersenyum sinis merenungnya.

“Hey, perempuan! Kau tengok kasut sekolah aku dah kotor. Mata kau tu letak dekat mana?” tengking Maisara.

“Maaf, saya tak sengaja.” Irdina bangun perlahan-lahan setelah ditolak tadi.

“Aku tahu kau tu cemburu tengok kita orang ni pakai kasut sekolah mahalkan? Tak macam kau tu, baju sekolah pun warna kuning pudar. Dengan beg sekolah pun koyak. Beli la semua baru. Itu entah-entah baju sekolah tahun lepas tak?” ejek Maisara.

Zainab ketawa sekuat hatinya. 

Ops lupa. Kau tu miskin. Mana ada duit nak beli semua baru.” Maisara ketawa kuat. Sungguh seronok dia mengata Irdina.

“Dah la Mai, jom blah. Tak payah layan perempuan miskin ni. Dah la tak cantik. Miskin pula tu,” sampuk Zainab. Mereka berdua meninggalkan Irdina di situ. 

Irdina ketap bibir. Dia sudah terbiasa dengan cemuhan mereka berdua. Sedar tak sedar, sudah tiga tahun lebih dia bersekolah di situ. Tiada siapa yang mahu berkawan dengannya. Kata mereka, dia merupakan seorang pelajar yang miskin. Dan jatuh standard mereka nanti kalau berkawan dengannya. 

Pakaian sekolah sahaja hanya dibeli dari kedai bundle. Walaupun begitu, Irdina tidak sikit pun berasa malu. Yang penting dia ke sekolah untuk menuntut ilmu, dan dia berharap suatu hari nanti, dia dapat mengubah nasib keluarganya. Irdina pula, hanyalah anak tunggal dan tidak mempunyai adik beradik.

Kenapalah dia orang tak mahu berkawan dengan aku? Salah ke kalau aku anak orang miskin? Tak layak ke kalau aku nak berkawan dengan mereka? 




SUASANA kelas tingkatan 3 Zamrud, begitu riuh rendah waktu itu. Irdina pula hanya banyak berdiam diri, langsung tidak bersuara. 

Tidak lama itu, kedengaran suara ketua kelasnya mengarahkan kesemuanya bangun. Irdina bangun dan diikuti juga dengan pelajar yang lain.

“Selamat pagi cikgu!” ucap ketua kelas Irdina yang bernama Haslam.

Masing-masing mula mengucapkan selamat pagi kepada cikgu mereka yang sedang berdiri di hadapan.

“Selamat pagi murid-murid. Semua boleh duduk. Hari ini saya nak memperkenalkan pelajar baru kelas kita, iaitu Ilyana,” ujar Cikgu Saiful.

Muncul seorang pelajar perempuan yang sedang tersenyum manis berdiri di sebelah Cikgu Saiful.

“Assalammualaikum semua, nama saya Ilyana Humairah, boleh panggil saya Ana.”

Cikgu Saiful tersenyum. “Ana, kamu boleh duduk di sebelah Irdina, di belakang tu ya.”

Ilyana menganggukkan kepalanya dan menuju ke arah Irdina yang agak begitu kaku. Kerusi ditarik lalu punggung dilabuhkan di sebelah Irdina.

“Hai. Selamat berkenalan,” ucap Ilyana sambil menghulurkan tangannya.

Irdina teragak-agak untuk menyambut salam Ilyana waktu itu. Kebetulan pula, dua orang pelajar di hadapannya sudah mula ketawa kecil.

Ilyana masih dengan keadaan tangannya dihulurkan ke arah Irdina.

“Kenapa?” soal Ilyana pelik.

“Tak payah salam tangan dia ni. Tangan orang miskin. Kotor,” sampuk Maisara sambil tersenyum sinis. 

Ilyana tersenyum. Laju sahaja dia menarik tangan Irdina, lalu dia menyalami tangan Irdina.

“Awak sepatutnya sambut salam saya tadi. Tak elok tau, kalau tak sambut salam orang.”

Irdina terdiam. Dia juga tidak tahu kenapa dia tiada kekuatan untuk menyalami tangan Ilyana tadi. 

“Ha, lupa pula. Tak kisah la orang tu miskin ke kaya ke, kita ni sama je di mata Allah. Mati masuk kubur juga. Masing-masing pakai kain kapan putih yang sama. Bukan pakai kain kapan ada jenama tau?” perli Ilyana ke arah dua pelajar perempuan di hadapannya.

Maisara dan Zainab terus menjeling mereka berdua. Sakit hati mereka apabila diperli sebegitu.

Ilyana memandang Irdina semula. “Kita kawan ya?”

Irdina yang dari tadi diam, terus sahaja menganggukkan kepala sambil tersenyum. 




TEPAT pukul 11 pagi, mereka berdua keluar rehat bersama dan berjalan menuju ke kantin. Irdina mula berasa selesa dengan Ilyana, walaupun baru empat jam mereka kenal. Dia nampak keikhlasan hati Ilyana yang sudi mahu berkawan dengannya.

“Awak bawa bekal?” soal Ilyana. Matanya merenung bekal yang dibawa Irdina. Bekas aiskrim yang bersederhana besar.

“Ha’ah, mak saya bekalkan nasi putih dengan ikan masin,” jawab Irdina.

“Makan ikan masin? Mesti sedapkan? Kalau saya nak rasa ikan masin sikit boleh?”

“Awak nak rasa sikit?” 

Ilyana mengangguk.

“Baiklah, nanti saya bagi sikit,” kata Irdina.

Mereka berdua tiba di kantin. Ilyana meminta izin untuk membeli makanan. Tidak lama itu dia muncul semula sambil membawa nasi lemak, bersama dua ketul ayam goreng. Seketul ayam goreng diletakkan ke dalam bekal Irdina.

“Eh, awak... kenapa letak ayam goreng dalam bekal saya ni?” Irdina terkejut waktu itu.

“Tak apa la. Saya kan, nak makan ikan masin awak. Sebab tu saya letak ayam goreng tu dalam bekal awak. Rezeki, kita kongsi sama-sama. Ha, makan la,” jemput Ilyana.

Irdina tersenyum. “Terima kasih awak.”

“Sama-sama,” balas Ilyana.

Irdina merenung ayam goreng di dalam bekal tersebut. Sudah lama dia tidak merasa ayam goreng. Kali terakhir dia merasa ayam goreng, sewaktu ayahnya dapat gaji. Mereka hanya dapat makan ayam goreng hanya pada waktu hujung bulan sahaja. Itu pun sebulan sekali.

Tangannya terus sahaja mencubit isi ayam tersebut lalu digaul bersama dengan nasi. Belum sempat dia mahu menyuap nasi ke dalam mulutnya, tiba-tiba sahaja tangannya ditepis oleh seseorang. Terkedu Irdina waktu itu. Nasi di tangannya habis berterabur di atas meja makan.

“Ana! Ana biar je diri Ana dibuli orang?” marah seorang pelajar lelaki di hadapan mereka berdua.

“Alang! Kenapa alang ni?” Ilyana bangun dari kerusi.

“Kenapa Ana cakap? Ni apa? Ayam goreng? Alang dari tadi, perhati je apa yang Ana buat. Baru hari pertama Ana sekolah sini, Ana dah kena buli?”

“Mana ada Ana kena buli. Memang Ana nak belanja Dina makan. Yang alang nak sibuk sangat ni kenapa?”

Ilham tidak peduli dengan kata adik perempuannya. Matanya terus tertancap ke arah perempuan yang hanya tunduk merenung nasi. 

“Hey, budak miskin. Kami ni baru hari ni start sekolah sini tau? Kau dah buli adik aku? Kalau dah miskin, buat cara miskin. Tak payah nak berangan nak makan ayam goreng! Bukan aku tak tahu orang miskin ni nak ambil kesempatan je! Ingat kau buat muka sedih macam tu, aku nak kasihankan kau ke?” jerkah Ilham.

“Saya minta maaf. Nanti saya bayar balik harga ayam goreng ni,” ucap Irdina. Sikit pun dia tidak berani memandang ke arah wajah lelaki di hadapannya.

“Kau nak bayar harga ayam goreng ni? Kau mampu ke? Tengok baju sekolah kau pakai ni je, aku dah tahu kau tak mampu. Lauk pun makan lauk ikan masin. Ni apa ni? Bekas aiskrim?” Ilham tersenyum sinis.

“Dah la alang. Pergi la balik kelas alang. Malu la orang tengok! Jangan nak malukan Ana la.” Ilyana menolak tubuh badan abangnya.

Ilham berdengus kasar. “Tengok nanti Ana, alang beritahu dekat papa.” Ilham terus sahaja berlalu dari situ meninggalkan mereka berdua.

Mata Irdina seakan bertakung. Tunggu masa sahaja air matanya mahu tumpah.

“Awak, saya minta maaf bagi pihak abang saya.”

“Tak apa. Saya sedar siapa diri saya. Saya memang orang miskin.” Irdina tersenyum lemah.

“Jangan cakap macam tu Dina. Abang saya tu tak ada niat nak cakap macam tu dekat awak.” Tangan Irdina digenggam erat.

Irdina hanya mampu tunduk membisu.


 


ILYANA berjalan keluar dari kereta Vellfire milik keluarganya, setelah dijemput oleh pemandu keluarga mereka, iaitu Pak Jabit. Pintu dihempas kasar. Dari tadi dia bergaduh mulut dengan abangnya Ilham.

“Alang tak habis cakap lagi ni!” jerit Ilham.

“Sudah la alang! Malas la dengar alang membebel ni!” 

Ilyana laju sahaja masuk ke dalam rumah. Kelihatan papa dan umi mereka sedang duduk di sofa ruang tamu.

“Apa yang kau orang berdua bergaduh ni? Baru hari pertama sekolah, dah mula nak buat hal?” Tuan Ismail memandang pelik anaknya.

“Alang ni la. Sibuk sangat. Papa tanya la dia.”

“Kenapa ni Am? Apa yang kau orang berdua bertekak ni?”

“Kenapa la kita pindah dekat KL ni pa? Kenapa kita tak duduk je dekat Johor tu? Tengoklah, hari pertama persekolahan, Ana dah kena buli. Pergi belanja budak miskin mana entah,” kata Ilham.

“Lah, itu je dah buat kamu nak angin dengan adik kamu? Benda tak masuk akal. Biar jelah adik tu nak belanja orang. Baguslah. Sekurang-kurangnya dia prihatin,” ujar Tuan Ismail.

“Prihatin papa cakap? Sekolah dekat sini, macam-macam jenis budak tau tak? Si Ana ni, tak pandai pilih kawan. Percaya sangat dengan budak miskin tu. Bukannya Am tak tahu, perempuan miskin ni hanya tahu nak ambil kesempatan je. Buat muka sedih nak tagih simpati. Nanti lama-lama barulah tunjuk sikap sebenar.” Ilham berpeluk tubuh.

“Habis tu papa nak buat apa? Papa dah pencen kerajaan dah pun. Sebab tu papa ajak semua pindah KL balik. Siapa lagi nak handle company arwah atuk dekat sini, kalau bukan papa? Arwah atuk dah bagi company tu dekat papa, jadi papa kena la handle pula.” Tuan Ismail menggelengkan kepalanya. 

“Betul cakap papa kamu tu Am. Arwah atuk dah bagi company dia dekat papa, jadi papa kena la handle pula. Apa masalahnya kalau sekolah dekat sini pun?” sampuk Puan Marina.

Ilham terus sahaja berjalan menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Sungguh dia tidak dapat terima apabila keluarganya tiba-tiba sahaja mahu berpindah ke Kuala Lumpur setelah papa dan uminya pencen kerajaan. Dan lebih-lebih lagi, arwah atuknya pula sudah sebulan meninggal dunia, dan telah mewasiatkan syarikatnya kepada papanya. 

Tuan Ismail dan Puan Mariam tidak faham dengan sikap anak lelaki ketiga mereka itu. Sejak mereka berpindah ke Kuala Lumpur semula, Ilham langsung tidak gembira. Bercakap pun bila perlu sahaja.

Ilyana ketawa kecil melihat abangnya, Ilham.

“Papa nak tahu tak satu cerita? Alang tu kan pa, dia tu frust dengan ex-girlfriend dia dulu. Dia tertipu, sebab tu dia anti dengan perempuan miskin ni. Dulu ex-girlfriend dia tu memang bukan dari golongan berada. Dan dia orang susah, tetapi perempuan tu dah gunakan alang.”

Girlfriend? Aik? Time sekolah pun bercinta? Bukan main lagi abang kamu tu.” Tuan Ismail buat wajah pelik.

“Yela, papa. Alang tu kan handsome. Siapa je yang tak terpikat dengan dia. Semua perempuan nak kan dia dulu masa dekat sekolah. Tapi, dia lebih tersangkut dekat perempuan yang tipu dia dulu.”

“Dah macam awak la. Time sekolah pun bercinta. Tak payah nak pelik sangat la,” perli Puan Marina.

“Mana tak tumpahnya kuah ke nasi.” Tuan Ismail ketawa.

Ilyana kasihan juga pada abangnya Ilham. Sungguh dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa Noreen hanya mempergunakan abangnya untuk kesenangannya. Bermacam-macam yang sudah, diberikan abangnya kepada Noreen. Telefon bimbit sudah diberi. Wang juga turut diberikan kepada wanita itu.

Abangnya pula sememangnya terlalu cintakan Noreen, jadi dia tidak kisah jika menghabiskan wang ringgit pada bekas kekasihnya itu. Mana abangnya dapat duit? Setiap bulan mereka adik beradik akan diberi wang saku setiap bulan sebanyak RM300. Lagipun mereka sememangnya dari golongan yang berada. Arwah datuknya juga turut memberikan wang saku kepada mereka bertiga. Lebih-lebih lagi mereka bertiga sahaja cucu kepada Tan Sri Ijmal.

Selain dari Ilham, Ilyana juga turut mempunyai dua orang lagi abang, iaitu Irfan dan Izzat. Irfan  merupakan anak yang sulung, dan kini sedang belajar di Universiti Sains Malaysia. Manakala Izzat pula belajar di Universiti Teknologi Malaysia. Kali terakhir dia bertemu dengan abangnya sejak sebulan yang lepas, semasa abangnya cuti semester.

Ketika ini, Ilham merebahkan badannya di atas katil. Sungguh dia berasa sakit hati melihat adiknya bersama dengan pelajar perempuan tadi.

Baginya perempuan yang dia bertemu tadi, sama sahaja dengan bekas kekasihnya Noreen. Entah kenapa, dia betul-betul berdendam dengan perempuan miskin. Baginya, mereka hanya berpura-pura dan mahu mengambil kesempatan ke atas kesenangan mereka. Seperti tengah hari tadi, laju sahaja adiknya mengeluarkan wang, untuk belanja makan pelajar perempuan tadi. Kebetulan pula, Ilham rehat pada waktu yang sama. Cukup membuat wajah sedih sahaja, sudah membuatkan hati mereka cair dan jatuh kasihan.

Bukan aku tak tahu, nanti lama-lama mesti Ana termakan dengan kata-kata dia. Aku tak boleh biarkan Ana masuk jerat dia. Perempuan macam tu tak boleh dipercayai! 



Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alin Arifin