Home Novel Cinta Bersama Ke Akhirnya
Bersama Ke Akhirnya
Alin Arifin
28/10/2021 15:56:13
15,376
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

YOU'RE to much!” Ilyana berpeluk tubuh sambil merenung tajam ke arah Ilham.


Ilham ketawa kecil. “Kenapa nak sangat tolong dia? Tak kisahlah dia memang nak duit ke apa ke? Alang peduli apa. Yang penting alang dah selamatkan Ana. Tengoklah, baru dua bulan, dia dah tunjuk perangai sebenar.”


“Dina tak macam Noreen! Dia lain. Dina memang perlukan wang untuk bayar sewa rumah. Kalau tak, dia kena halau! Ayah dia tak boleh nak bekerja. Kedua-dua kaki tak ada. Sekarang ni, mak dia yang kerja. Ana bagi duit tadi, sebab nak bantu dia.” Ilyana tetap dengan pendiriannya.


“Alang peduli apa. Lantak dia la kena halau. Dua-dua sama je, Noreen dengan siapa tadi? Dina? Ha, dua-dua perempuan miskin. Amboi-amboi, baru tingkatan tiga dah ada hati nak bantu orang? Ingat sikit Ana, duit tu datang dari papa. Bukannya duit dari hasil titik peluh Ana.”


“Kenapalah alang ni tak ada hati perut langsung? Dulu Noreen boleh pula alang bagi duit. Sama je, bukan dari hasil titik peluh alang. Kenapa yang ini Ana nak bagi duit, alang halang? Jangan disebabkan alang pernah kena tipu dulu, dengan Dina sekali alang nak berdendam?”


“Siapa kata alang berdendam? Alang cuma tak suka perempuan tu pergunakan Ana. Cukuplah alang dulu dah pernah kena tipu. Takkan Ana pun nak kena tipu juga!”


“Sudahlah. Malas Ana nak melayan alang ni. Buang masa.” Ilyana terus sahaja berjalan meninggalkan Ilham di situ. Sekarang ni dia tidak tahu bagaimana dia dapat membantu Irdina. Dompetnya pula sudah diambil oleh abangnya.


Ilham melihat adiknya yang sudah berlalu pergi. Ilham memang cukup benci melihat orang yang tahu nak meminta sahaja. Dia benar-benar tidak sangka yang adiknya boleh terfikir mahu memberi wang kepada Irdina tadi.  


 




TUDUNG Irdina ditarik Ilham dari arah belakang. Hampir terlentang Irdina waktu itu. Nasib baiklah dia sempat berpaut pada tiang. Yang peliknya, kenapa dia asyik bertembung sahaja dengan Ilham?


“Abang ni kenapa? Apa masalah abang dengan saya?”


“Aku memang ada masalah dengan kau. Nasib baiklah aku sempat rampas duit dari tangan adik aku tadi. Pandai ya perempuan miskin macam kau ni buat muka kesian. Mana taktik kau belajar tu?”


Irdina diam membisu. Dia tidak tahu apa masalah lelaki itu. Apa yang menyebabkan lelaki itu tidak menyukainya?


“Aku ni dulukan, tak adalah benci dekat perempuan miskin ni. Aku okey je sebenarnya. Tak ada la aku nak pandang hina pun. Tapi entah kenapa, bila kali pertama aku tengok kau, aku rasa kau ni macam nak pergunakan adik aku pula. Adik aku tu naif tau. Aku tak nak kau pergunakan dia. Tapi bila aku nampak je adik aku hulur duit dekat kau tadi, aku betul-betul dah hilang rasa kepercayaan aku dekat kau. RM300 kau tahu tak? bukannya seringgit.”


“Saya tak minta pun. Tapi Ana yang nak bagi dekat saya.”


“Memang la kau tak minta. Dah kau pun buat muka kesian macam tu, memang cepat la adik aku bagi kau duit. Ni aku nak pesan dekat kau lagi sekali. Jangan kawan dengan adik aku lagi. Cermin diri tu sikit. Kau tu tak sama taraf dengan kami.” Ilham tersenyum sinis sambil menolak tubuh Irdina.


Buk!!


Irdina jatuh terduduk di situ. Sakit pinggangnya akibat ditolak lelaki itu. 


“Dasar perempuan miskin,” ucap Ilham sambil berjalan meninggalkan Irdina di situ.


Irdina menahan marah. Tangan digenggam kuat.


“Kau dasar Hitler! Yang kaya tu pun, mak bapak kau, bukannya kau. Duit yang kau ada tu pun, semuanya mak bapak kau yang bagi. Orang kaya tak sedar diri!” jerit Irdina. Dia tidak tahu, mana datangnya keberanian itu. Entah kenapa dia terfikirkan perkataan Hitler di kepalanya.


Berdesing telinga Ilham waktu itu. Dia berpusing semula ke arah Irdina. Matanya mencerun tajam mahu menerkam Irdina. Akan tetapi, ada seorang guru sedang melalui jalan itu, cepat-cepat Ilham berpatah semula.


Kau tunggu balik sekolah ni. Jerit hati kecil Ilham.


 


YAM,” panggil Solihin.


Maryam berpusing ke belakang. Dia melihat sahabat baik suaminya itu. “Eh Abang Solihin. Ada apa abang? Nak beli barang ke? Lama abang tak jenguk Abang Is.”


“Maaf la, bukan abang tak nak jenguk. Abang sibuk sikit dengan kerja. Balik pun kadang-kadang lambat. Nak singgah pun tak sempat. Lebih-lebih lagi bangunan dah nak hampir siap.”


“Oh ye ke? Patutlah abang tak datang jenguk. Bukan apa abang, Abang Is tunggu juga abang datang. Tapi abang tak datang-datang.”


“Tak apa la. Macam ni la, Insya-Allah minggu ni abang ke sana.”


Maryam tersenyum. 


“Ni Yam tengah kerja ke?”


“Ha'ah. Kenapa abang?”


“Oh tak ada apa. Sebab hari tu abang ada nampak Yam kerja dekat kedai makan restoran Thai tu. Kat situ buat kerja apa pula?”


“Oh, Yam ambil upah cuci pinggan mangkuk. Lagipun sekarang ni tengah nak cari duit lebih. Ahad ni tuan rumah nak datang rumah. Nak ambil duit sewa. Kalau Yam tak bayar, kitaorang anak beranak akan kena halau.”


“Lah, yeke? Kenapa tak beritahu abang? Tak pun macam ni, ahad ni abang datang rumah, abang bawa duit sewa rumah sekali. Sekarang ni abang tak bawa cash. Lagi berapa tak cukup tu?”


“Eh, tak payah la abang. Nanti tahulah Yam nak cari duit macam mana.”


“Tak apa, nanti ahad ni abang bawa duit ya? Kalau bukan abang, siapa lagi yang nak tolong kan?”


“Betul ke ni abang? Abang nak bantu kami?” Terpancar riak wajah gembira di wajah Maryam.


“Ye, abang ikhlas nak bantu. Lagipun Ishak tu kawan baik abang juga. Dia kat rumah tu, tidur dekat mana? Ruang tamu ke bilik?”


“Oh dia duduk dalam bilik. Asyik berkurung je. Mungkin sebab dia tak dapat terima hakikat dengan keadaan dirinya macam tu.” Suara Maryam kedengaran agak sedih.


Solihin menghela nafas panjang. “Tak apa la. Ahad ni abang datang. Baiklah abang balik dulu.”


“Ha, yalah. Terima kasih abang.”


“Sama-sama.”


Solihin berlalu keluar dari kedai runcit tersebut, dan berjalan menuju ke motosikalnya. Matanya tidak lepas merenung ke arah Maryam. Waktu itu, Maryam sedang tunduk menyusun barang. Solihin menelan liur merenung bentuk tubuh badan Maryam yang sedang tunduk waktu itu.





ASSALAMMUALAIKUM,” ucap Mak Teh di depan muka pintu.


Maryam terkejut. Rasanya sudah lama dia tidak bersua muka dengan jiran lamanya itu.


“Waalaikummussalam, Mak Teh. Ya Allah Mak Teh. Masuklah. Nasib baik saya tak pergi kerja lagi. Lama dah kita tak jumpa ya.” Mereka berdua bersalaman.


“Kamu kerja?”


“Ha'ah Mak Teh. Saya tengah rehat sekarang ni. Balik rumah kejap. Duduk dulu Mak Teh, saya pergi buatkan air.” Maryam berjalan ke dapur. Jarak dapur dengan ruang tamu hanya 2 meter sahaja.


“Tak payah susah-susah, Mak Teh datang singgah kejap je ni,” kata Mak Teh dari ruang tamu. Punggung dilabuhkan di atas lantai, yang berlapikkan dengan tikar getah.


“Eh tak ada susahnya. Kejap je buat air ni. Nak dekat tiga tahun juga ya Mak Teh, kita tak jumpa.” Di samping itu, Maryam ligat membancuh secawan air teh untuk Mak Teh.


Mak Teh merupakan jiran kepada Maryam dahulu. Tetapi sejak dia bekerja di rumah majikannya tiga tahun yang lalu, Mak Teh sudah tidak lagi tinggal di situ. Mak Teh berpindah, dan tinggal di rumah majikannya, bersama pekerja yang lain.


“Lama la juga. Mak Teh pun tak ada masa nak datang ke sini. Kenderaan pun tak ada. Ni pun kebetulan Mak Teh ada urusan dekat Tabung Haji tadi, terus singgah ke sini. Lagipun Mak Teh lepas ni dah nak balik ke kampung. Mak Teh pun dah tua. Dah tak larat nak buat kerja dekat rumah besar tu dah. Sebelum Mak Teh balik ke kampung, Mak Teh datang sini kejap, nak jenguk kamu.”


“Lah, ye ke? Jadi, Mak Teh nak berhenti kerja la ni ye?”


“Ha'ah. Lagi seminggu Mak Teh terus balik kampung. Sayang rumah dekat kampung terbiar macam tu je. Jadi Mak Teh ingat nak pindah terus ke sana.”


“Habis tu, majikan Mak Teh setuju ke, Mak Teh berhenti kerja?” soal Maryam sambil menapis hampas teh.


“Majikan Mak Teh dah meninggal dunia tiga bulan yang lepas. Sekarang ni anak lelaki dia dari Johor pula tinggal di situ dengan anak dia sekali.”


Maryam muncul, sambil menatang dulang berisi secawan air teh untuk dijamu kepada Mak Teh. Dulang diletakkan di atas lantai.


“Mana Ishak? Kerja ke?”


Maryam menghela nafas perlahan. Entah kenapa, dia mula berasa sebak.


“Kenapa Yam? Ada yang tak kena ke?” soal Mak Teh. Pelik dia melihat riak wajah Maryam yang tiba-tiba berubah suram.


“Abang Ishak dah dua bulan tak kerja, sebab kemalangan jalan raya. Kaki dia dua-dua kena potong. Abang Ishak dalam bilik je. Tak nak keluar-keluar. Keluar pun untuk mandi dan makan je. Lepas tu, terus masuk bilik berkurung.”


“Lah, ye ke? Maafkan Mak Teh. Mak Teh tak tahu pun. Habis tu sekarang ni, kamu la ye yang bekerja?”


“Ye Mak Teh. Sayalah yang bekerja pula. Kalau saya tak kerja, kami anak beranak nak makan apa pula nanti?”


“Cukup ke gaji kamu kerja tu? Tempat kerja Mak Teh nak pakai orang gaji juga tu. Tapi tu la, dia nak orang gaji dia tinggal dekat rumah tu. Sekarang ni ada sorang yang tinggal, kalau Mak Teh berhenti.”


“Tak apalah Mak Teh. Kalau saya kerja dekat tempat Mak Teh, siapa pula yang nak tengokkan Dina dengan Abang Is?”


“Ye tak ye juga.” Mak Teh terdiam. Majikan barunya Puan Marina memang memerlukan lagi seorang orang gaji. Tetapi dia mahu pekerjanya tinggal di situ. Baru sahaja dia terfikir mahu memperkenalkan Maryam kepada majikan barunya untuk bekerja di sana.


 



TENGAH hari itu, Irdina berjalan keluar dari kelas untuk pulang. Dari tadi memang dia langsung tidak bercakap dengan Ilyana. Bertalu-talu soalan yang ditanya Ilyana. Tetapi Irdina tetap tidak menjawab persoalan rakannya itu.


Baru sahaja dia mahu berjalan keluar dari pagar sekolah, tiba-tiba sahaja tubuhnya ditolak dari arah belakang. Irdina terjatuh ke dalam lopak air. Habis pakaian sekolahnya. Irdina tergamam berbaur malu waktu itu.


“Itu makannya. Kutuk aku lagi tadi. Ingat aku nak biarkan? Apa kau panggil aku? Hitler?” Beberapa pelajar sekolah yang melalui di situ mula ketawa kecil melihat Irdina waktu itu, begitu juga dengan Ilham. 


“Alang!” jerit Ilyana.


“Apa?”


“Apa alang dah buat ni? Kenapa teruk sangat perangai alang ni ha?” Ilyana membantu Irdina untuk bangun. Dia mengeluarkan tisu untuk mengelap wajah Irdina yang sudah kotor dengan lopak air.


“Tak kisahlah Ana nak cakap apa pun. Alang benci tengok muka perempuan ni.”


“Sekarang ni apa masalah alang ha? Apa salah Dina dekat alang? Jangan disebabkan Noreen, alang nak berdendam dengan Dina. Dina tak ada kena mengena dengan alang tau!” Ilyana hilang sabar waktu itu dengan sikap abangnya.


Irdina memakukan dirinya. Dia diam tidak berkutik sedikit pun.


“Alang tak dapat balas dendam dekat Noreen, jadi alang balaslah dekat perempuan ni,” ujar Ilham, sambil berjalan meninggalkan mereka berdua di situ.


“Alang! Jangan nak benci sangat dengan Dina. Nanti makan diri! Jangan pula suatu hari nanti, alang yang jatuh hati dekat Dina!” jerit Ilyana lagi.


Ilham berhenti. Dia berpusing memandang adiknya.


“Apa Ana cakap tadi? Jatuh hati?” Hatinya tercuit kelakar. Entah kenapa dia merasakan kata-kata adiknya tadi begitu kelakar.


“Ya jatuh hati dekat Dina!”


“Ana jangan buat lawak ya? Kalau nak ada kekasih pun, alang nak cari yang sama taraf dengan alang je tau? Cukuplah alang dah pernah kena tipu dengan perempuan miskin. Jadi alang tak nak terkena lagi. Lepas ni alang nak cari yang cantik. Bukan macam dia ni. Dah la muka pun kusam. Orang perempuan lain pun ada la juga pakai bedak dekat muka dengan lip bambs. Kalau yang ni tak nak la. Tak lalu aku.” Ilham terus sahaja berjalan meninggalkan mereka berdua.


Irdina tunduk merenung tanah. Sungguh dia terasa maruahnya dipijak-pijak waktu itu. Dia betul-betul malu, dengan disaksikan oleh pelajar yang lain. Kenapalah Ilham langsung tidak membiarkan hidupnya tenang? Kenapa dia perlu berjumpa sahaja dengan lelaki itu?


“Dina, awak okey ke? Awak abaikanlah abang saya tu.”


“Sudahlah! Rasanya kita tak perlu lagi berkawan! Cukup sampai di sini sahaja persahabatan kita.” Irdina terus sahaja berlari meninggalkan Ilyana di situ.


Ilyana terpinga-pinga waktu itu. Apa yang Irdina maksudkan? Cukup sampai di sini sahaja persahabatan mereka?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alin Arifin