7 SEPTEMBER 2003
PERISTIWA BERDARAH YANG
MENGGEMPARKAN MALAYSIA
PENEMUAN MAYAT SERAMAI
25 ORANG DIJUMPAI
DI TAPAK PEMBINAAN LAMA
DUA ORANG AHLI PERNIAGAAN BERGELAR
DATO’ SERI TURUT TERBUNUH
PEMAJU DIPANGGIL UNTUK
MEMBANTU SIASATAN
IDENTITI SEMUA MANGSA
MASIH BELUM DIKENALPASTI
PIHAK POLIS MASIH MENJALANKAN
SIASATAN TERPERINCI
Itulah antara tajuk utama yang menghiasi muka depan akhbar walaupun sudah seminggu penemuan berdarah itu berlalu. Seluruh rakyat Malaysia masih berdukacita dan terkejut dengan berita yang dilaporkan.
Sungguh kejam pelakunya!
Satu skuad khas telah ditubuhkan oleh pihak berkuasa bagi menyiasat dan membongkarkan tentang kes pembunuhan berprofil tinggi itu. Dan secara tidak langsung, penemuan mayat itu juga menyelesaikan kes kehilangan orang sejak minggu lepas.
Di saat ini, kawasan tapak pembinaan lama itu masih dikerumuni oleh pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut mencari lebih banyak bahan bukti bagi membantu siasatan. Walaupun dalam keadaan panas terik, pihak wartawan juga masih setia menunggu di kawasan tapak pembinaan lama itu untuk mendapatkan maklumat terkini kes itu untuk dilaporkan.
Sebaik sahaja mereka melihat ketua pasukan polis melepasi garisan kuning yang dipasang sekeliling tapak pembinaan itu, pihak wartawan mula menyerbu ke arahnya. Inspektor Mazlan yang ditugaskan untuk mengetuai unitskuad khas itu dilihat sedikit keletihan tetapi digagahkan jua untuk menjawab pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan oleh pihak wartawan.
“Inspektor,bagaimana dengan hasil siasatan setakat hari ini? Ada perkembangan baru?” Soal salah seorang wartawan di situ. Jari jemari wartawan itu bersama wartawan yang lain sudah bersiap sedia untuk mencatit segala maklumat yang bakal dijawab oleh Inspektor Mazlan.
“Buat masa ini tiada lagi petunjuk utama yang kami boleh gunakan untuk mengesan suspek utama kes ini. Kami di sini berharap masyarakat dapat bersabar dan jangan cemas sementara kami mencari bukti dan motif utama pembunuhan.” Tenang Inspektor Mazlan menjawab.
“Bagaimana pula dengan identiti mayat? Semua mangsa sudah dikenalpasti?” Wartawan lain pula bertanyakan soalan sambil menyuakan perakam suara miliknya untuk mendapatkan butiran dengan lebih jelas.
“Setakat makluman kami, 18 orang mangsa sudah dikenalpasti dan ahli keluarga mereka sudah dimaklumkan...”
Masih tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan, wartawan itu mengajukan lagi soalan.
“Pihak kami mendapat makluman ada di kalangan mangsa terlibat dengan Kumpulan Kala Jengking. Adakah betul Inspektor?”
Inspektor Mazlan mengangguk. “Ya betul. Itu kami tidak na...”
PANNN!!!
Bunyi skrin televisyen ditembak oleh sepucuk pistol. Tajam mata yang memandang kearah skrin yang telah berderai itu. Wajahnya tidak dapat dilihat dengan jelas kerana kesan terbakar di pipi kirinya. Pipinya diraba perlahan lantaran peritnya yang masih terasa.
Bibirnya diketap kuat.