Bab 15

“Nah, minumlah dulu. Farissha pergi rumah Mak Midah ambik daun pandan. Jap lagi baliklah tu.” Ujar Nur Syazwani sambil menuangkan air sunquick yang baru dibancuh ke dalam gelas di hadapan Ida Muhainy.

Ida Muhainy hanya beriak biasa sambil menghirup sedikit air itu bersama kerutan di wajahnya. Lebih gula dari pati. Memang nak potong kaki aku ke? Bisik hatinya sambil meletakkan semula air di atas meja.

Hari ini dia datang ke rumah itu atas ajakan Nur Farissha untuk menolongnya menyiapkan 500 bekas tempahan sagu gula melaka oleh Pak Mat dan ada perkara yang dia ingin bincangkan bersama Nur Farissha.

“Pak Mat nak ambil pukul berapa esok?” Tanya Nur Syazwani sambil menyuapkan kuih bahulu ke dalam mulutnya.

“Pukul 10 pagi.” Ringkas Ida Muhainy membalasnya. Telefon pintar dikeluarkan daripada poket seluar tracknya.

Nur Syazwani mengangguk tanpa bertanya lebih lanjut lagi. Mereka berdua sedang asyik menonton televisyen sementara menunggu Nur Farissha kembali.

“Eh, minum lagi weh. Penat aku buat.” Suara Nur Syazwani memecahkan suasana  sambil laju tangannya menuangkan kembali air ke dalam gelas Ida Muhainy yang masih berbaki lebih sepatuh membuatkan biji mata  Ida Muhainy terbuntang tanda tidak rela.

Tetapi nasib menyebelahinya apabila muka Nur Farissha muncul di pintu masuk rumah. Terus Ida Muhainy bangun daripada sofa itu dan berlari anak menuju ke arah penyelamatnya.

Terkebil-kebil Nur Farissha di muka pintu apabila melihat wajah terlebih ceria Ida Muhainy di hadapannya. Terasa seram sejuk pula melihat wajah itu.

 

 

 

“Mana Jiqah ni. Boleh cair mekap aku ni hah.” Mak Ani mengomel seorang diri. Dia membuka tas tangannya lalu mengeluarkan cermin kecil. Ditelek seketika penampilannya. Setelah berpuas hati dia memasukkan kembali cermin kecil itu kembali di dalam tas tangannya. Jus oren yang berada di hadapannya dihirup perlahan.

“Mak, lama tunggu?” Nur Haziqah yang baru tiba itu mengambil tempat duduk bertentangan dengan emaknya. Dia memanggil pelayan untuk memesan makanan. Perutnya sudah berkeroncong sedari tadi meminta untuk diisi.

“Kamu kenapa lambat?” Mak Ani bertanya setelah pelayan itu berlalu dari situ.

“Tadi kawan Jiqah tak jumpa restoran ni. Pusing-pusing baru jumpa.” Ujarnya sambil melihat sekeliling restoran itu. Memang bertaraf lima bintang. Baru lah sesuai dengan imejnya.

“Banyaklah alasan kamu.” Mak Ani membuka kembali tas tangannya lalu mengeluarkan telefon pintar yang baru dibelinya dan dengan bangga dia menayangkan di hadapan anaknya itu.

Terus membuntang mata Nur Haziqah melihatnya. Iphone 11Pro Max!. Dia spontan mengambil telefon pintar itu lalu membelekenya dengan rasa kagum.

“Bila mak beli ni? Keluaran terbaru ni. Mahal tau!” Dia masih berasa kagum melihatnya seolah-olah baru lepas keluar daripada gua.

“Tengok lah siapa. Mak kau ni.” Angkuh Mak Ani berkata.

“Mana mak dapat duit banyak ni? Duit ayah bagi bulan-bulan pun cukup makan je.” Kutuk Nur Haziqah dengan muka meluatnya.

Mak Ani menjuihkan bibirnya. “Kalau nak harapkan ayah kau, sampai ke matilah mak tak dapat merasa barang mewah macam ni.” Dia juga mengutuk suaminya.

“Habis tu, mana mak dapat duit?” Nur Haziqah bertanya lagi dengan penuh minat. Bersinar-sinar matanya seperti ‘diamond’ tiruan memandang emaknya.

“Dapat dari mana lagi. Pak cik kau lah.” Mak Ani tersenyum sinis sambil mengambil kembali telefon pintarnya dari tangan anaknya.

“Seriuslah mak? Pak cik dah bank in duit?” Tanya Nur Haziqah dengan penuh teruja. Dia mula mengedip-ngedipkan matanya dengan harapan dirinya terlihat sungguh comel di hadapan mata emaknya untuk mengambil hati.

Anggukan dari Mak Ani itu mengembirakan hatinya. Terasa ingin menjerit sahaja di dalam restoran itu tetapi cepat-cepat dikawalnya. Dia sekarang berada di restoran mewah jadi kenalah berlagak seperti orang kaya. Erat dia menggengam tangan emaknya. Patutlah emaknya mengajaknya makan di restoran itu.

“Habis tu, jadi ke rancangan kita nanti?” Tanya Nur Haziqah dengan membayangkan sahaja apa yang bakal terjadi kepada Nur Farissha nanti sudah cukup membuatkan dirinya berasa puas. Puas kerana bakal menghancurkan hidup adik tirinya. Rancangan yang akan menentukan titik noktah di dalam hidup Nur Farissha.

“Mestilah jadi. Ni mak baru lepas bincang dengan Pak cik kaulah. Semua mak dah aturkan dengan sempurna.” Hati Mak Ani sungguh gembira tatkala ini. Tidak sabar rasanya untuk melenyapkan Nur Farissha dari dalam hidup mereka setelah membayangkan perancangan demi perancangan mereka selepas ini.

“Mak... belilah jugak Jiqah smartphone ni.” Rengeknya manja. Keluaran terbaru ni. Boleh lah dia menunjuk di hadapan kawannya nanti biar semua berputih mata. Dia bernyanyi kecil tanda kegembiraan yang sudah tidak dapat dibendung lagi.

“Mestilah. Itu yang mak ajak kamu keluar ni. Lepas makan ni kita pergi shopping sepuas hati.” Mak Ani turut berasa teruja. Siapa yang tak teruja dapat duit banyak oii...

Nur Haziqah mengangguk tanda setuju. Bolehlah dia membeli barangan berjenama yang selama ini diidamkannya. Dia sudah membayangkan beg tangan, kasut tumit tinggi, barangan kosmetik berjenama dan pelbagai lagi barangan yang bakal dibelinya.

Mereka dua beranak makan dengan penuh rasa gembira seolah-olah segala perancangan sudah berjaya dilaksanakan. Mereka berdua merasa yakin yang hidup Nur Farissha akan lebih sengsara selepas ini.

Silap besar kau lawan aku Farissha! Aku akan pastikan hidup kau akan lebih terseksa dari emak aku. Najwa, kau tengok aku hancurkan hidup anak kau. Mak Ani tersenyum sinis. Dia sudah tidak dapat mengawal kegembiraan dan kemenangan yang bakal dikecapinya nanti.

Dendam yang bersarang di dalam hatinya membuatkan dia sudah lupa akan kekuasaan dan azah Yang Maha Esa. Mungkin bukan sekarang,tetapi di kemudian hari kita sendiri tidak mengetahuinya. Semoga pintu taubat masih terbuka untuk kita saat itu.

Waiter, bill.” Satu suara yang tidak jauh daripada tempat duduk mereka membuatkan Mak Ani tersentak dari lamunannya.Sekilas dia memandang ke arah datangnya suara itu sebelum menyambung semula menikmati makanan di hadapannya.

 

 

 

“Hainy nak letak mana lagi Kak sagu ni?” Semua kotak dah penuh.” Ida Muhainy bertanya sambil menggeliatkan badannya. Dia hanya tidur beberapa jam sahaja semalam lantaran Pak Mat datang dan ingin menambah lagi 200 bekas sagu gula melaka menjadikan jumlah 700 bekas sagu gula mereka yang mereka harus siapkan. Lebih kurang pukul 4.00 pagi mereka menyiapkannya dan seawal 8.00 pagi dia sudah datang untuk menolong kembali.

“Semua kotak dah guna ke?”

Ida Muhainy mengangguk mamai. Matanya masih belum terbuka sepenuhnya.

“Kamu masuk dalam bilik Jiqah. Rasanya dia banyak kotak kosong.” Pinta Nur Farissha sambil menutup sagu gula melaka itu dengan penutup.

“Bilik Jiqah? Tak nak lah Hainy. Nanti dia bising pulak.”Ida Muhainy sudah mula mengerutkan dahinya.

“Dia tak ada dalam bilik. Pagi-pagi lagi di dah keluar dengan Mak Ani.” Beritahu Nur Farissha. Satu pemandangan yang jarang dilihat kerana Nur Haziqah hanya akan bangun apabila matahari berdiri tegak.

“Oh ye?” Ida Muhainy terkejut sambil berlalu dari situ dan membuka pintu bilik Nur Haziqah. Terbuntang matanya apabila melihat katil yang bersepah, baju hanya dibiarkan berselerak di atas lantai, pinggan dan cawan kotor berteraburan di atas lantai... jika ingin digambarkan reban ayam dirumah keluarga mertuanya lagi bersih!

“Kalau macam ni bukan kotak je aku tak dapat jumpa, kalau minah sengal tu mati dalam bilik ni pun belum tentu jumpa. Tengok, kan dah terkeluar ayat hiperbola aku.” Bebelnya sambil menutup pintu bilik. Sakit matanya melihat keadaan itu. Laju dia berjalan menuju ke arah pintu dapur.

“Kak, tu bukan bilik manusia tau! Reban ayam rumah Abang Ashraf lagi bersih!” Bersungguh-sungguh Ida Muhainy bercerita kepada Nur Farissha.

“Oh ye? Kamu jumpa tak kotak yang Kak suruh cari tu?” Nur Farissha membasuh perkakas yang digunakan semalam. Dia hanya beriak biasa sahaja kerana dia sudah biasa melihatnya.

“Kak, kalau bilik macam tu... cari manusia pun belum tentu jumpa.” Ujar Ida Farhana sambil berpeluk tubuh. Terus segar biji matanya.

Nur Farisssha ketawa kecil mendengarnya sambil mengira bekas sagu gula melaka yang masih berada di atas meja makan. “Ada lebih kurang 30 bekas lagi. Kak rasa kita masukkan dalam plastik jelah. Kamu buat dalam tiga plastik. Ambil dalam kabinet belakang kamu tu.” Arahnya sambil membetulkan anak tudung yang dipakai untuk menutupi rambutnya sewaktu membuat kuih itu.

“Kan senang macam ni. Tak perlulah mata Hainy tengok tempat pembuangan sampah tadi.” Dia menghentakkan kaki tanda protes sambil berfikir bagaimana Nur Haziqah dapat hidup dalam suasana begitu. Nak termuntah dirinya...

“Kak angkat dulu kotak-kotak ni kedepan. Nanti Pak Mat datang terus masukkan dalam bonet je. Tak payah susah-susah masuk dalam rumah ambik.” Nur Farissha memindahkan satu persatu kotak yang berisi sagu gula melaka ke beranda rumahnya.

“Kak, Angah cakap dia dah ada dekat Kemaman. Dia tak dapat datang. Pinggang dia sakit.” Ida Muhainy memaklumkan mesej yang baru diterimanya.Kakaknya itu dalam perjalanan balik ke kampung ini setelah seminggu berada dirumah mertuanya di Kuala Terengganu.

Nur Farissha mengangguk.

Selesai sahaja, mereka berdua duduk di atas sofa sambil membetulkan segala urat di badan. Ida Muhainy sudah tersengguk-sengguk di situ membuatkan dia meminta diri untuk pulang.

Nur Farissha menghulurkan sampul putih kearahnya tetapi ditolak mentah-mentah oleh Ida Muhainy. “Kak simpanlah. Kak lagi perlukan daripada Hainy.” Ujarnya sambil membetulkan tudung sarungnya yang senget dan bersalam dengan Nur Farissha. Baru kakinya ingin melangkah keluar daripada rumah itu,dia teringkatkan sesuatu. Mungkin kerana mengantuk yang menguasai diri membuatkan dia terlupa. Bersama tangan mengigil dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan tiket bas bersaiz A4 yang telah dicetak. Dia menarik nafas panjang dan kembali semula ke ruang tamu.

“Kenapa? Kamu tertinggal barang ke?” Soal Nur Farissha apabila melihat Ida Muhainy menghampirinya kembali bersama mata pandanya.

Ida Muhainy menghulurkan tiket bas yang dicetaknya pagi tadi. Jujur dia katakan, dia sendiri tidak percaya yang dirinya akan bertindak sejauh ini. Berkali-kali dia menepuk pipinya pagi tadi setelah selesai membeli dan mencetak tiket bas itu.

“Apa ni? Nur Farissha mengambil tiket bas dan menelitinya. Dia terus memandang Ida Muhainy dengan tanda tanya.

“Kak jangan pandang Hainy macam tu. Hainy tahu yang Hainy gila. Tak perlu Kak cakap. Tapi, sekurangnya Hainy tahu yang Kak akan selamat di sana.” Air mata sudah mula bergenang di kelopak matanya. Dia duduk di tepi Nur Farissha dan memeluknya.

“Kak, Hainy tahu penderitaan Kak. Hainy nampak dengan mata kepala Hainy sendiri Kak. Maafkan Hainy sebab tak dapat tolong masa tu. Sebabtu Hainy nak tebus balik. Lari Kak... Kak tak perlu fikirkan kebahagiaan dan kegembiraan orang lain. Jangan korbankan diri kita untuk orang lain. Hidup kita, kita yang berhak tentukan.” Dia memberikan kata-kata semangat kepada Nur Farissha bersama pelukan yang sangat erat kepada Nur Farissha yang sudah dianggap seperti kakaknya sendiri. Ida Muhainy sudah teresak-esak di situ.

Perlahan air mata Nur Farissha tumpah dengan keprihatinan Ida Muhainy. Dia sebenarnya sudah ada rancangan untuk menangani masalah ini. Mungkin dia perlu rombak semula. Lari dari kampung ini mungkin jalan yang terbaik buat masa sekarang.

Dalam leka mereka di dalam kesedihan, sepasang mata memerhatikan mereka sedari tadi turut mengalirkan air mata kesyukuran. Nur Syazwani tersenyum gembira. “Terima kasih Hainy.” Pintu biliknya ditutup perlahan.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh