Bab 13

Ida Farhana dan Ida Muhainy masih lagi ternganga mendengar cerita dari mulut Nur Farissha. Mereka bertiga sepakat untuk berjumpa di warung Pak Mat pada waktu pagi sambil Nur Farissha menghantar kuih muih untuk jualannya.

Hish kau ni biar betul? Takkanlah jahat macam tu sekali Mak Ani? Cuba kita husnuzon dulu.” Ida Farhana cuba untuk berfikiran positif.

“Habis tu kau nak cakap yang Si Wani tu reka cerita?” tebak Nur Farissha. Dikawal sedikit suaranya walaupun warung itu masih lenggang. Beberapa orang pekerja Pak Mat sudah tiba di situ. Berkerut dahinya memandang ke arah Ida Farhana.

“Bukan tu maksud aku. Kau jangan salah faham. Sebab macam tak logiklah... Mak Ani sampai nak buat macam tu sekali. Busuk sangat hati dia.” Ida Farhana menjelaskan kembali kenyataannya itu.

“Selama ni kau pernah tengok dia layan aku dengan baik? Aku tak kisah kalau dia tak nak layan aku macam anak sendiri pun. Aku pun tak mintak semua tu. Tapi tulah... aku pun ada hati dengan perasaan.” Luah Nur Farissha kesal.

Terdiam terus Ida Farhana mendengarnya.

Ida Muhainy mengeluh perlahan. Dia memandang Nur Farissha dengan perasaan yang sungguh sayu tanda tidak menyangka yang perkara itu semua terjadi kepada orang terdekatnya. “Kak, Hainy nak tanya boleh?”

“Tanya apa? Nur Farissha bertanya kembali.

“Kak ada duit simpanan?” Alang-alang Mak Ani dah buat kerja gila baik dia pun turut berbuat perkara yang sama. Perkara itu sudah difikirkan semenjak dia menyaksikan Nur Farissha dipukul dengan teruk oleh Mak Ani. Cuma kini dia mampu meluahkannya.

Ida Farhana sudah memandang adiknya semacam. Dah kenapa budak ni tanya pasal duit simpanan orang? Nak pinjam ke?

Nur Farissha teragak-agak untuk menjawab. Tidak mungkin dia akan menceritakan siapa dirinya yang sebenar. Biarlah mereka terus menganggap dirinya Nur Farissha yang tidak punya apa-apa. “Adalah sikit dalam RM2500 macam tu.”

Bulat bola mata Ida Farhana. “Banyak tu. Masa bila kau kumpul?”

Nur Farissha menarik nafas panjang selepas dia menyusun kata-kata. “Ni...” Dia menunjuk ke arah kuih muih yang tersusun rapi di atas meja jualan. “Bersih sehari aku boleh dapat dalam RM30 sampai RM40. Lepas tu,campur dengan duit aku ambil tempah kuih, tolong Pak Mat dekat kedai kalau tak cukup pekerja. Oh ye, hari tu aku ada tolong Abang Puteh mengecat rumah sewa Pak Uda enam buat dekat hujung kampung tu. Mak Ani pun bagi upah jual nasik. Tapi ikut angin dia lah. Tak pernah pun lebih RM10. Minggu depan pula Pak Mat tempah sagu gula melaka 500 bekas. Banyaklah kerja kampung aku buat. Lagipun aku bukannya ada komitmen. Cuma kena keluarkan duit nak beli barang dengan dengan bayar bil air dengan elekrik. Itu pun aku kongsi dengan ayah aku.” Panjang lebar Nur Farissha bercerita setelah dia berkira-kira.

Semakin melopong Ida Farhana dan Ida Muhainy mendengarnya. Mereka berdua memandang antara satu sama lain silih berganti.

“Hainy cadangkan Kak lari dari kampung ni.” Akhirnya terlepas jua idea gila daripada mulut Ida Muhainy tanpa teragak-agak.

Ida Farhana terus memandang adiknya. “Kau jangan nak buat gila Hainy! Apa yang dah rasuk kau ni?” Suaranya meninggi. Dadanya sudah mula turun naik mendengarnya.

“Ini bukan soal gila Angah. Angan nak tengok Kak Farissha kena jual hidup-hidup dekat orang tua tu?” Ida Muhainy menyoal kembali hilang sabar. “Lagi satu, dah terang lagi bersuluh rumah Pak Rashid tu yang Mak Ani memang ada niat jahat pada Kak Farissha. Kita nak husnuzon apanya lagi? Dah tak boleh husnuzon, ni dah zon bahaya.” Ida Muhainy membebel tanda tidak berpuas hati.

Ida Farhana mendengus. “Kamu nak orang kampung kutuk Kak Farissha lagi ke? Kamu tak ingat masa Farissha lari dari kampung ni Mak Ani jaja cerita bukan-bukan? Cakap Farissha ikut jantanlah... perempuan jalanglah... keturunan pelacurlah... kamu nak semua perkara tu berulang lagi? Dia mengingatkan adiknya.

Sempat Nur Farissha melirik ke arah Ida Farhana. Sebenarnya dia langsung tidak kisah tentang buah mulut orang kampung. Lantaklah nak cakap apa pun. Mulut mereka bukannya tempayan yang boleh ditutup bila-bila masa. Cumanya, dia masih tidak menjumpai apa-apa langsung yang berkaitan dengan ayah kandung sebenarnya. Puas sudah dicarinya. Mungkin bukan di rumah itu? Dia cuba membuka setiap ‘kotak memori’ di dalam kepalanya sewaktu kecil tetapi semua itu sangatlah mustahil untuk diingati sekarang. Seolah-olah ada kepingan memorinya yang hilang ketika dia kecil. Setelah berfikir-fikir, Nur Farissha bersuara.

“Kamu ada cadangan nak Kak lari ke mana Hainy? Ujarnya yang mengikut rentak Ida Muhainy.

Terus ceria muka Ida Muhainy apabila Nur Farissha menunjukkan minat dengan rancangannya. Dengan teruja dia berkata. “Angah ingat tak anak Mak Cik Kiah?” Dia memandang kakaknya.

“Si Izzah tu ke?” soal Ida Farhana.

“Bukanlah. Itu anak Mak Cik Kiah hujung kampung.

Ida Farhana berfikir sejenak. “Angah tahu... Si Hanim tu kan?”

“Bukanlah Angah. Itu anak Mak Cik Kiah kampung sebelah.”

“Habis tu anak Mak Cik Kiah yang mana? Ramai pulak anak Mak Cik Kiah yang berkawan dengan kamu ye.” Ida Farhana menunjukkan ketidapuasan hatinya apabila semua tekaannya tidak mengena.

Nur Farissha tergelak kecil melihat telatah dua beradik itu.

“Fathia lah Angah! Housemate Hainy masa dekat Shah Alam tu. Ingat tak? Emak dia yang kerja jadi orang gaji dekat rumah Datin sombong tu.” Sengaja disebutkan Datin itu supaya kakaknya mengingati memori yang menyakitkan hati mereka itu. Sampai ke hari ini hatinya masih sakit jika mengenangkannya.

Ida Farhana berfikir sejenak sebelum berdengus. “Angah ingat... Angah ingat... Huh! Dia hengat aku nak sangat jejakkan kaki dekat rumah dia tu kalau bukan sebab Fathia mintak tolong ambik Mak Kiah masa arwah Pak Omar nazak masa tu.” Omelnya. Jelas terpancar riak meluat di wajah Ida Farhana sewaktu menuturkannya apabila dia teringat kembali memori itu.

“Eh kejap. Maksud kamu, kamu nak Kak Farissha lari sampai ke Shah Alam tu?” Membulat mata Ida Farhana memandang ke arah adiknya setelah dia sedar. Masakan tiba-tiba nama Fathia naik.

“Ini yang Hainy nak cerita. Buat masa sekarang Fathia tengah cari roommate. Dapatlah cut cost sikit nak bayar sewa bilik. Kalau kongsi dengan Kak, dalam RM160 sebulan tapi tu tak termasuk bil elektrik dengan air lah. Biasanya tak sampai pun dalam RM200 kak. Rommate dia dulu tu dah kahwin. Dia kerja customer service sekarang ni.” Ida Muhainy memulakan mukadimahnya.

“Tak... tak... Angah tak setuju.” Bantah Ida Farhana.

“Sabarlah Angah. Hainy baru bagi mukadimah Angah dah bangkang. ”Muncung Ida Muhainy memandang kakaknya itu.

“Lepas tu...” Nur Farissha menambah menunjukkan minatnya tanpa mempedulikan bantahan daripada Ida Farhana.

“Jadi Hainy cadangkan Kak Farissha tinggal dulu dengan dia buat sementara waktu. Kalau perlu, nanti Hainy mintak dia tolong carikan kerja untuk Kak. Amacam? Bernas tak idea Hainy? Keningnya di angkat tanda bangga dengan idea gila yang keluar daripada otaknya. Jujur dia katakan, dia juga tidak tahu kenapa dia boleh berfikir sedemikian. Agaknya betullah yang dia sudahnaik giler.

“Angah bangkang!” Ida Farhana menumbuk meja makan itu. Tajam matanya memandang ke arah adiknya tanda dia sama sekali tidak bersetuju dengan idea gila yang dilontarkan oleh Ida Muhainy itu.

“Kerja kau asyik bangkang je Ida! Cuba diam jap. Bagi aku fikir.” Nur Farissha sudah berpeluk tubuh sambil menyandar pada kerusi. Berkerut dahinya memikirkan pro dan kontra akan tindakannya nanti.

Muncung Ida Farhana sudah boleh diikat dengan tali rapia apabila ditegur sebegitu oleh Nur Farissha.

“Fathia tu tak kisah ke kalau Kak tinggal dengan dia?” Nur Farissha inginkan kepastian terlebih dahulu sebelum dia membuat keputusan.

Dia lagi tak kisah Kak.” Ida Muhainy menyakinkannya. Dia telah bercakap tentang perkara ini dengan Fathia dan sahabatnya itu juga menyambut baik akan cadangannya ini.

Tetapi tidak bagi Ida Farhana. Mukanya kelihatan risau mendengarnya.

“Jangan pergi.” Kali ini Ida Farhana mengenggam erat pergelangan tangan Nur Farissha. Matanya tepat memandang mata sahabatnya itu mengharapkan agar Nur Farissha tidak terpengaruh dengan idea gila adiknya dan tetap tinggal di kampung ini.

Nur Farissha menghela nafas. “Nanti Kak bagi jawapan ye Hainy.”

Ida Muhainy mengangguk senang kerana dia sangat yakin akan jawapan yang akan diberikan oleh Nur Farissha. Manakala Ida Farhana masih cuba memujuk Nur Farissha tidak diendahkan.

Tajam mata Nur Farissha memandang sahabatnya itu.

 

 

 

Tengku Mikhail masih lagi menghadap dokumen dan kertas kerja yang sedang berselerak di atas mejanya. Naik berpinar matanya meneliti setiap helaian kertas itu untuk disemak. Sesekali matanya dihalakan ke arah komputer di hadapannya. Bunyi deringan daripada Iphone 11 Pro Max membuatkan dia terhenti seketika.

“Apa kau nak?” soalnya sambil mengurut-urut tengkuknya.

“Kau dah lunch?” tanya Syed Daniel. Dia membuka pintu kereta Ferrari hitamnya lalu masuk ke dalam.

“Belum.” Ucap Tengku Mikhail sepatah.

“Jom lah... lunch sekali.” Ajak Syed Daniel sambil menghidupkan enjin keretanya.

“Hari ni tak boleh. Aku busy sangat. Lagipun aku dah mintak Syafiq belikan makanan. Aku lunch dekat office je.” Tengku Mikhail meletakkan telefon pintarnya di atas meja. Sengaja dibuat loudspeaker. Dia menyambung kembali meneliti dokumen tersebut.

“Kau dengan Kimi sama je. Kalau dah pasal keja tak tengok kiri kana dah. Ala bolehlah... Kimi masuk kerja esok. Kau nak biarkan aku yang hensem ni lunch sorang diri ke?” Dia cuba memancing Tengku Mikhail.

“Ya.” Tengku Mikhail terus mematikan perbualan mereka.

“Cis, tak guna punya kawan.” Syed Daniel dengan laju keluar daripada tempat letak kereta yang dikhaskan untuknya. “Nak makan dekat mana ni?” Omelnya. Perutnya sudah berbunyi minta diisi sedari tadi. Tepat pada masanya apabila telefon pintar miliknya berbunyi.

Hello sayang.” Suara Syed Daniel bertukar manja.

Baby dekat mana ni?” Gedik kedengaran suara dihujung talian. Umurnya itu sudah masuk 29 tahun. Adakah boleh dikategorikan sebagai ‘baby’? Lebih elok sekiranya dipanggil Beluga Whale. Kan sedap sikit bunyinya bak kata Syed Hakimi.

“Dalam hati sayanglah.” Syed Daniel bermain-main dengan kata-kata.

Baby ni nakal lah. Hmm... baby nak temankan sayang makan ke? Laparlah.” Rengek suara di hujung talian .

“Sayang dekat mana ni?” Syed Daniel bertanya dengan suara menggoda.

“Sayang dekat Aeon Bukit Raja ni.” Wanita di hujung talian itu memintal hujung rambutnya. Tahap gediknya sudah sampai ke peringkat antarabangsa.

Syed Daniel tanpa berfikir panjang terus bersetuju.

Okay baby. Sayang tunggu. I love you.”

I love you too.” Balas Syed Daniel.

Sebaik sahaja talian dimatikan, Mina atau nama sebenarnya Nur Maimon binti Mohd Kuntum mengukirkan senyuman gembira. “Seronoknya! Tak sia-sia aku cuba nasib call Niel tadi.” Cermin mata hitam dikeluarkanl alu dipakai dan dengan penuh rasa keyakinan yang tinggi melangit dia berjalan menuju ke arah Starbucks yang terletak betul-betul di pintu masuk utama pusat beli belah itu.

Setelah agak lama menunggu, Mina terganggu apabila ada yang mencuit bahunya. Terus dia memusingkan badan sambil senyuman manis terukir di wajahnya. Tanpa menghiraukan pandangan orang sekeliling dia memaut manja lengan Syed Daniel.

Sorry buat sayang tunggu lama.” Syed Daniel mencuit sedikit dagu Mina manja. Dia melemparkan senyuman menggoda sambil mengeluarkan telefon pintar daripada poket seluarnya lalu mendail nombor setiausahanya. “Iza, saya tak masuk office tau. Cancel kan semua meeting saya petang ni.” Terus dia mematikan talian sebelum setiausahanya sempat untuk menjawab. Mina apa lagi, terus tersenyum sampai ke telinga mendengarnya.

“Jom sayang. Laparlah.” Rengek Mina. Erat Syed Daniel memaut pinggang Mina membuatkan senyumannya semakin melebar. Bangga anak jutawan peluk.

Syed Daniel mengangguk setuju.

“Encik Syed... Encik Syed...” Iza setiausaha Syed Daniel panik apabila talian dimatikan begitu sahaja. Apatah lagi Syed Hakimi secara tiba-tiba munculkan diri di pejabat sejurus Syed Daniel keluar untuk makan tengahari. Dia melepaskan keluhan perlahan dan dengan rasa berat hati mengetuk pintu pejabat Syed Daniel.

“Masuk.” Kedengaran suara Syed Hakimi dari dalam.

Iza memulas tombol pintu daripada luar dan melemparkan senyuman manis.

“Ye Iza. Kenapa?” Syed Hakimi bertanya. Dia memandang setiausha adik kembarnya sekilas sebelum menumpukan kembali kepada fail tebal di hadapannya.

Iza membatu di situ kerana secara tiba-tiba lidahnya kelu.

Syed Hakimi masih meneliti dokumen yang bertaburan diatas meja itu tanpa menyedari bahawa setiausaha adiknya itu masih berada di dalam bilik itu. Bak kata Syed Daniel, kalau dah pasal kerja memang tak tengok kiri kanan dah.

Iza sebenarnya tidak berani bersuara. Kali pertama dia bertentang mata dengan Syed Hakimi adalah 2 tahun lalu sewaktu Syed Hakimi memarahi ketuanya itu kerana lalai dalam menguruskan syarikat sehingga berleluasanya pecah amanah dan rasuah di dalam syarikat itu.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh