Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
7,964
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Hujung minggu itu dia dipelawa oleh Hanis untuk keluar bersama-sama. Kata gadis itu bosan duduk dirumah tidak buat apa-apa. Jadi lebih baik mengambil angin atau cuci mata setelah penat berkerja. Termenung sebentar dirinya mengakui kata-kata Hanis yang terkandung kebenaran. Peristiwa berada di site tempoh hari mampu menewaskan mental dan fizikalnya itu andai tidak dipujuk supaya bertahan. Dia memejamkan kelopak mata. Menolak kenangan yang dirasakan pahit tetapi bernilai itu jauh ke sudut paling belakang dalam kotak memori. Jam meja yang diletakkan bersebelahan dengan sebekas alat solek di atas drawer kayu empat lapis itu menunjuk tepat ke angka 10.00 pagi. Foundation dalam bentuk serbuk yang mempunyai ciri-ciri tiga dalam satu itu ditempek ke wajah. Hanya lapisan yang paling nipis disapukan. Lip balm turut dioles. Beberapa lapisan kerana sejak akhir-akhir ini bibirnya dirasakan kering. Dia memerhatikan penampilan dirinya di dalam sebuah cermin besar yang tergantung dibilik tidur. Berpuas hati dengan wajah yang dirias ringkas itu. Sememangnya dia memang tidak gemar dengan alat mekap. Alat mekap miliknya itu boleh dikira dengan jari saja. Puas disuruh oleh Hanis supaya menambah itu ini tetapi, dia tidak berminat. Pujuklah dengan cara apa sekalipun, Suraya memang tidak minat main mekap-mekap ni. Sedari kecil, tatkala bermain bersama-sama kawan-kawan terutamanya ketika bermain kahwin-kahwin, dia tidak pernah mencalonkan atau dicalonkan sebagai pengantin. Awal-awal lagi dia memilih menjadi budak-budak kompang. Dengan seluar pendek paras lutut dan topi dikepala, dia lebih selesa dengan permainan yang lasak. Sebab itulah teman perempuannya sedikit. Kebanyakan daripada mereka tidak gemar bergaul dengannya yang sering bermain ala-ala tentera itu. Cuma, meniti hari menginjak dewasa, nasihat bapa dan ibunya tentang adab dan akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh seorang perempuan melekat ke dasar hati. Lasak dan kasar ditinggal jauh ke belakang. Sopan dan santun mengambil alih. Mujurlah kerjaya nan satu ini diizinkan oleh orang tuanya. Barangkali mereka sedar kelincahan anak dara mereka itu sudah sebati dalam darah daging. Hari itu dia mengenakan sepasang palazo berwarna beige dan sehelai blouse linen berona biru gelap. Blouse yang labuh melewati paras punggung. Sejak dari menjadi anak dara sunti kod pakaiannya telah ditetapkan oleh kedua orang tua. Dia tidak pandai membantah sementelah dia dan Hanis telah terbiasa dikawal dari segi pemakaian oleh kedua orang tua masing-masing. Selendang yang dipilih dari tona sedikit gelap dikemaskan. Dilayangkan pandangan ke arah Hanis di dalam kemeja polka dot berlengan panjang berona hitam putih yang turut menilik diri disebelahnya. Belum puas menilik cermin agaknya. Sedangkan di dalam bilik tidur gadis itu terdapat dua buah cermin. Satu cermin berjenis frame berdiri dilantai dan satu lagi cermin kecil yang digantung didinding. Suraya mengerling lagi. Lain macam rias rakan akrabnya pada hari itu. Jika tidak, mereka berdua sama sahaja dalam berhias. Seminimal mungkin.

"Cantik terlajak ni. Ada apa-apa ke?" Tanya Suraya ketika menyarungkan sneakers yang turut dijadikan fungsi dua dalam satu. Ke pejabat dan keluar berjalan-jalan.

"Sekali sekala apa salahnya." ujar Hanis sambil tersengih. Mereka berjalan kaki menuju ke arah stesen LRT yang terletak tidak jauh dari rumah sewa. Hampir setengah jam kemudian mereka tiba di stesen KLCC.  Lokasi pertama yang dituju sudah tentu tempat makan memandangkan mereka tiba disitu hampir ke waktu tengah hari.

"Lepas ni nak ke mana?" Soal Suraya sewaktu kunyahan terakhir spaghetti dengan sos carbonara itu cair di dalam mulut. Hanis memesan personal pan pizza buat dirinya.

"Kau ada apa-apa nak shopping?"

Dia menggelengkan kepala.

"Kalau macam tu kita window shopping ajelah. Boleh?"

Hanya anggukan dan senyuman menjadi jawapan. Mereka beredar keluar dari restoran makanan segera itu menuju ke tingkat atas menggunakan escalator. Belum sempat sesi penjelajahan ke segenap ruang kompleks Suria KLCC selesai, masing-masing mengadu kepenatan. Hanis memberi cadangan untuk mengambil angin disebuah taman yang terletak diluar. Cadangan itu disambut baik olehnya.

"Nasib baik redup, kan? Kalau tak, aku tak sanggup duduk bawah panas terik macam ni." keluh Hanis. Mereka duduk bersantai di tepi tasik buatan manusia itu bersama-sama dengan sekelompok pengunjung yang agak ramai. Suraya sengih. Sesekali matanya melirik memerhati gelagat pengunjung yang berada di situ.

“Assalamualaikum.”

Dia mendongakkan kepala. Salam lelaki itu tidak dijawab kerana dia mendengar sambutan yang jelas dari Hanis disisi. Tanpa dipelawa lelaki itu terus sahaja duduk bersebelahan dengan Hanis. Berjarak sehasta. Hatinya dijentik rasa hairan. Dia menarik Hanis rapat kepadanya. Tangannya berlingkar di atas bahu gadis itu. Hanis tersipu dengan aksi posesifnya itu namun, ditutup dengan tawa kecil.

“Sorry lambat. Tadi ada member minta tolong hantarkan ke bengkel kereta. Dah makan?”

Tanpa mempedulikan gelagat Suraya terus sahaja lelaki itu berbicara.

“Sudah. You?” Soal Hanis selamba. Dia mula berasa sangsi dengan pelawaan Hanis untuk keluar dengannya pada hari itu. Tidak selesa menonton adegan dihadapannya itu dia mencengkam bahu temannya lalu mencelah;

"Eh…nanti dulu. Kau ada lupa nak bagitau aku apa-apa, tak?"

Hanis tersengih. Lelaki yang baru tiba itu turut sama sengih.

"Kau tengok dengan teliti dan cuba teka." sahut Hanis. Bergaris tiga dahinya memikirkan pemilik raut hitam manis namun tampan itu. Redup renungannya diserikan dengan senyuman diwajah yang berjambang kemas. Setelah diamati sekian lama dia membulatkan mata. Hanis dan lelaki itu mulai tersengih kerana mengetahui perkara yang bermain di mindanya ketika ini.

“Irfan Muhsin?”

Teka Suraya. Kedua temannya itu sama-sama menganggukkan kepala. Suraya tergelak besar. Tidak menyangka akan menemui lelaki itu lagi. Hubungan mereka bertiga amat rapat walaupun lelaki itu merupakan senior mereka sewaktu di universiti dahulu. Hanis mula membuka mulut menceritakan peristiwa pertemuan semulanya dengan lelaki bernama Irfan itu. Rancak perbualan mereka bertiga membicarakan keadaan masing-masing ketika ini. Sesekali kenangan sewaktu berada di universiti diimbau kembali.

"Banyak sangat kenangan kita bertiga, kan? Tapi yang paling aku tak boleh lupa waktu korang kenakan aku masa tu. Hisy!!" ujarnya geram. Bahu Hanis di tampar kuat. Irfan dan Hanis tergelak mendengarnya. Kejadian itu berlaku pada tahun akhir Irfan di universiti. Suraya sama sekali tidak menduga Hanis dan Irfan telah lama merancang untuk mengenakannya. Selesai kelas Wireless Communications, dia dan Hanis menuju ke makmal untuk menyiapkan papan litar elektrik yang bakal menjadi bahan presentation mereka untuk kelas Analog Circuit. Beberapa orang pelajar turut berada di makmal itu. Baru sebentar melabuhkan punggung ke kerusi Hanis meminta diri untuk keluar ke tandas.

"Suraya Anne!"

Hanya mendengar lelaki itu menyebut namanya dia tahu siapa empunya diri. Dimitry Mikael merupakan pelajar pertukaran yang berasal dari Rusia. Dia berpaling sambil tersengih. Mikael berdiri di muka pintu.

"Saya mahu pinjam pemutar skru, boleh?" Laju bibirnya tersenyum lantas menarik laci meja. Pemutar skru yang bersaiz kecil itu di keluarkan. Dia kembali berpaling. Belum sempat hajatnya mahu bangun mendapatkan Mikael, lelaki itu terlebih dahulu menahan.

"Baling saja. Awak tahu saya pandai tangkap."

Acap kali dia berasa geli hati mendengarkan setiap patah perkataan yang datang daripada pemuda itu. Masih pelat namun bersungguh-sungguh mahu mempelajari Bahasa Melayu dan mempraktikannya. Meski kedengaran lucu, sering juga dia menahan perasaan untuk ketawa sebagai tanda sokongannya terhadap usaha Mikael yang patriotik itu.

"Okay. Ready?"

Suraya membaling pemutar skru tersebut sebaik melihat Mikael sudah bersedia untuk menyambut. Balingannya itu tepat kepada sasaran dan dia dapat melihat Mikael menyambut pemberiannya. Tetapi pemuda itu tiba-tiba sahaja rebah ke lantai. Pelajar yang lain sudah mengerumuninya. Dia turut bergegas mendapatkan Mikael yang terbaring. Bulat biji matanya. Tak mungkin! Darah merah mengalir dari bawah tangannya yang memegang pemutar skru yang sedang terbenam didada. Dia mulai panik. Dadanya berdebar kuat. Wajahnya pucat lesi.

"Mika! Mika!!"

Panggil Suraya kuat sambil duduk bercangkung disebelah tubuh Mika yang kaku tidak bergerak. Air mata mula berkumpul. Darah gemuruh menerpa.

"Mika! Please, Mika. Please…." serunya agak kuat. Tetapi lelaki berambut coklat itu tetap diam membatu.

"Yaya!!!"

Dia mendongak sebaik mendengar Hanis memanggil namanya. Penglihatan berbalam-balam. Hanis tegak berdiri di muka pintu. Irfan turut sama berada disebelahnya. Mereka berdua seperti tergamam melihat adegan yang berlaku di depan mata. Suraya tidak dapat berkata-kata. Semuanya berlaku dengan begitu pantas.

"Boo!!!"

Jerit Hanis dan Irfan. Mikael yang terbaring dilantai tergelak besar.

'Hah!!!'

Dia membulatkan mata. Keningnya sedikit terangkat memandang Hanis dan Irfan yang sedang terbahak-bahak ketawa. Begitu juga pelajar-pelajar yang lain. Terpinga sebelum fikirannya mulai memahami situasi yang berlaku. Mereka semua sedang mengenakannya! Bertubi-tubi tumbukan dihadiahkan kepada Mikael sebelum Hanis dan Irfan pula menjadi sasaran. Dikejarnya kedua orang sahabatnya itu sehingga ke pintu gerbang kampus.

"Rindu dekat Mika."

Suara Hanis memecahkan bayangan memori Suraya. Dia menoleh kearah Hanis disisi. Tersenyum pendek sambil menganggukkan kepala. Sekali lagi mereka tenggelam seketika di dalam memori mengingati lelaki bernama Mikael itu.

"Korang tau tak ada satu kumpulan volunteer yang pergi ke benua Afrika untuk menyediakan bekalan elektrik buat sekolah-sekolah dipedalaman. Beberapa orang senior kita join dan Mika pun ada. Sekarang diorang di Namibia." maklum Irfan membuatkan Suraya dan Hanis sama-sama tergamam.

"Dari mana you tahu?" soal Hanis. Irfan senyum.

"Nanti I bagi satu link untuk buka website group tu. I kerap juga follow nak tengok perkembangan kerja-kerja diorang."

Seperti berjanji, kedua kawan baik itu sama-sama menganggukkan kepala.

"Mari. I hantar balik. Dah lama you all dekat sini, kan?" Pelawa Irfan sambil bingkas berdiri. Suraya hanya menuruti cadangan lelaki itu. Tidak sabar mahu tiba di rumah. Bukan sahaja kepenatan tetapi kerana ada banyak persoalan mengenai Irfan yang ingin ditanyakan kepada Hanis.

Dia mengeringkan rambut yang basah dengan tuala kecil sambil duduk bersantai di ruang tamu. Alat kawalan jauh ditekan. Sitkom The Nanny sedang bersiaran. Baguslah. Rancangan komedi itu antara rancangan kegemaran tak lapuk dek zaman yang masih relevan ditonton sehingga kini. Komedinya bersahaja tetapi terkena tepat ke batang hidung. Cuma, kerana ianya buatan barat, humor yang dipersembahkan lebih terarah kepada budaya disana. Seperti tahu sahaja kegiatannya diruang tamu itu, Hanis keluar dari bilik tidurnya dan duduk menyertai.

"Dah kenapa muka tu?"

Dah macam opera Cina wajah rakan baiknya itu yang ditempek dengan bedak sejuk. Hanis menoleh.

"Itulah. Keluar tadi.. Dah banyak naik jerawat pasir dekat muka. Eei..tak sukanya."

Hanis mencemikkan bibir. Jari jemarinya menekan-nekan diwajah. Seperti membuat urutan.

"Dah dapat jumpa buah hati nak merungut pulak." perli Suraya. Hanis tidak menjawab sebaliknya cuma tersengih. Pandai Hanis menyimpan rahsia. Rupa-rupanya mereka berdua sudah menjadi kekasih sebelum Irfan menamatkan pelajaran lagi. Patutlah asyik berkepit dengan telefon sejak dua menjak ni. Haih! Namun percintaan jarak jauh itu tidaklah menjadi fokus utama kepada Hanis kerana bimbang komitmen itu hanya bersandar pada sebelah pihak sahaja. Tetapi tanggapan gadis itu salah sama sekali. Irfan dilihat komited dalam perhubungan mereka. Sudah hampir setahun rupanya hubungan itu terjalin.

Sitkom komedi yang ditonton sudah tamat bersiaran. Hanis menghilang ke dapur. Ingin membancuh minuman katanya. Suraya juga ingin merehatkan diri dibiliknya.

"Yaya!"

Dia yang sedang berdiri dijendela melihat pemandangan kotaraya nun dikejauhan berpaling. Hanis sedang berdiri dimuka pintu dengan segelas air ditangan. Suraya mengangkat kedua belah keningnya.

"Bulan depan aku nak bertunang."

Sikat yang dipegang terlepas dari genggaman. Mulutnya sedikit terbuka. Hanis tersengih melihat sorotan itu.

"I. Hate. You." ujarnya menyebut kata-kata itu satu persatu. Pantas Hanis menghilang ke dalam bilik sebaik menyedari gerakannya untuk menyerbu. Pintu dikunci dari dalam. Dia berdiri diluar pintu sambil tangan bercekak pinggang dan perasaan bengang.

"Hanis!  Kau tau kan aku sayangkan kau. Tapi kau baru je couple dengan dia.. Tak ke terlalu awal?" tutur Suraya dengan suara sedikit tinggi.

"Kita dah lama kenal dia, kan? Dari U lagi.. "

Hanis membetulkan. Dia dapat merasai yang Hanis juga berada disebalik pintu itu.

'Arrghh! Perlu ke bercakap macam ni?'

"Sharifah Yuhanis! Bukak pintu!!" laung Suraya keras. Selak yang mengunci kedengaran dibuka. Dia tersenyum sinis. Tentu Hanis sudah masak dengan sikapnya yang satu itu. Andai suara keras itu mula bergema temannya pasti yang dia sedang serius. Tidak main-main.

"Kau nak marah sebab aku nak bertunang ke?" Tanya Hanis. Hanya kepalanya sahaja yang tersembul keluar. Mungkin menjadikan daun pintu sebagai perisai andai dia diserang secara tiba-tiba lagi.

"Eh, tak kuasa aku.." ujar Suraya masih bercekak pinggang. Pura-pura garang.

"Aku bengang sebab tak ada angin ribut tiba-tiba dapat berita gempar ni. Paling kurang pun bagilah hint. Ini semuanya dalam satu hari tau, tak? Mula-mula aku dapat tahu korang bercinta, tiba-tiba nak bertunang pulak. Kau biar betul? Mak Long tahu, tak?" tembaknya bertubi-tubi. Puas hatinya dapat menjelaskan apa yang dipendamkan secara depan-depan.

"Erm, belum tahu. Sebab tu aku bagitahu kau ni. Nak tanya pendapat kau, lah." getus Hanis. Masih menikus dibalik pintu. Suraya mengeluh perlahan. Wajah gadis itu ditenung sebentar.

"Jom bincang." ucapnya lantas daun pintu terbuka lebar bersamaan dengan lebarnya senyuman Hanis ketika ini.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.