Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
7,967
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Sudah lebih dari dua minggu semenjak ketiadaan Hanis di taman perumahan itu. Meski menetap dikawasan perumahan yang tersusun, ukhwah yang terjalin antara penduduk setempat umpama mereka semua tinggal disebuah kampung. Lebih-lebih lagi  kerana kebanyakan penduduk disitu merupakan warga tua yang sebilangan besar dari mereka adalah golongan berpencen. Suraya menjalani hari-hari seperti biasa tanpa Hanis yang terkadang muncul di depan pintu mengajaknya berbual kosong. Kadang-kadang hadirnya semata-mata mahu meminta diberikan pendapat terhadap produk di atas talian yang ingin dibeli olehnya. Bukan sekali Suraya tersengih sendirian mengenangkan telatah sahabat karibnya itu. Tak perlu dihairankan kerana mereka itu hidup berjiran. Hanya terpisah oleh sebuah rumah sahaja di lorong bernombor lima itu. Saban hari pergerakannya ibarat auto mode. Awal pagi dia sudah bangkit kemudian ke dapur membantu ibunya. Di waktu dhuha pula dia berjemur di sebuah kebun mini sambil menemani Puan Norlin menyelenggara hampir dua puluh buah pasu kecil yang mengandungi tanaman hiasan. Ibunya kelihatan fokus. Langsung tidak jejas konsentrasinya ketika berada di sekeliling tanaman yang hampir separuh adalah berjenis orkid. Sayang benar beliau akan pokok-pokok itu semua. Kalau saja-saja nak membelai tanaman itu memang dia tak berani. Inikan pula menawarkan diri untuk membantu. Lagak ibunya itu tak ubah seperti seorang warden penjara waima hanya sepasu pokok sahaja yang diuruskan olehnya. Menjelang tengah hari dia turun ke dapur sekali lagi. Bersama-sama ibunya, dia akan menyediakan juadah tengah hari dengan bantuan seminimal mungkin. Bukan dia tidak minat memasak. Lagak warden itu pasti akan muncul di waktu-waktu tertentu. Ada sahaja usahanya yang tidak menepati citarasa Puan Norlin. Entahlah, setelah sekian lama berpisah sementelah alasan pengajian, dia seakan terlupa akan sifat cerewet yang dimiliki oleh ibunya sendiri. Ah, mummy... Mujurlah sikap yang satu itu tidak begitu keterlaluan. Cukup sahaja Puan Norlin menegur bagi membetulkan perbuatannya kemudian ibunya diam. Barangkali sedar anak daranya yang seorang ini sudah dewasa. Sekali ketuk sudah berjalan. Tidak perlu dibebel berulang kali. Hanya saja lirikan warden itu dipamerkan cukup membuatkan dia mengambil langkah berhati-hati setiap kali melakukan sesuatu pekerjaan.

Usai solat Asar, Suraya merebahkan diri ke tilam. Dengan perasaan malas dia bergolek mendekati sebuah side table. Laci ditarik dan sebuah laptop berwarna kelabu gelap dikeluarkan. Dalam keadaan berbaring meniarap dia menantikan paparan Windows terpasang. Tanpa menunggu lebih lama, jari jemari menari di atas pad cursor lalu ikon email ditekan. Dia tidak menafikan setiap kali ikon itu dibuka pasti perasaan gemuruh menggamit dadanya. Dipejamkan kedua belah mata. Acapkali dia tertanya sendiri adakah usahanya di dalam memohon pekerjaan sudah berhasil. Adakah salah satu diantara berpuluh syarikat yang telah dihantar resume dan CV miliknya memberi respon terhadap permohonannya itu. Apakah kelayakannya terlalu rendah? Atau terlalu tinggi? Soalan begitu seringkali menjadi batu penghalang untuk dirinya sentiasa positif. Bapanya pernah menyuarakan hasrat untuk membantu mencarikan satu jawatan di jabatan yang sedang diketuai oleh beliau ketika ini. Laju sahaja dia menolak. Bersetuju bermakna sanggup untuk menganiayai seseorang yang sedang berhempas pulas mendapatkan jawatan itu manakala dia dengan mudah menduduki tampuk itu dengan hanya berbekalkan bantuan cable daripada bapanya sendiri! Tak mungkin. Terasa sia-sia sahaja kerja-kerja penyelidikan, eksplorasi dan kajian yang mengorbankan sekian waktu sebelum ini andai cadangan bapanya dijadikan pilihan. Dia enggan. Malah meminta bapanya agar tidak lagi membangkitkan isu itu. Dia rela bermula dari bawah sekiranya itulah satu-satunya pilihan bermaruah yang ada. Ditarik dalam nafas yang dihela. Kemudian perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Satu email rasmi berada di barisan pertama di antara barisan email yang lain. Font gelap yang menandakan ianya belum dibaca ditekan. Tekun sekali dia membaca email tersebut sebelum mulutnya melopong dan dadanya diserbu kemuncak kegembiraan. Suraya tidak terus membalas email tersebut. Sebaliknya dia bingkas bangun meninggalkan kamar tidurnya untuk mencari kedua orang tuanya. Khabar gembira itu harus disampaikan kepada mereka berdua terlebih dahulu.

“Yaya, mummy tak kisah pun kalau Yaya belum dapat kerja. Lagipun tak sampai sebulan Yaya balik. Bila Yaya dapat kerja nanti tinggallah mummy sendirian lagi.”

Lirih suara Puan Norlin kedengaran di cuping telinganya yang baru menyertai ibu dan bapanya yang sedang minum petang di beranda. Belum sempat dia menyandarkan tubuh ke kerusi posturnya berubah tegak. Bapanya yang sedang tekun membaca akhbar tidak jadi meneruskan bacaan mendengar nada hiba yang datang dari mulut isterinya. Akhbar bersaiz kompak itu dilipat dua lantas cawan berisi teh O panas dicapai. Seteguk minuman disisip. Mata yang dilindungi oleh sepasang kaca mata untuk membaca bersilih ganti memerhatikan Puan Norlin dan Suraya.

"Begitulah hidup kita ni, Nor. Beralih dari satu fasa ke fasa yang lain. Nor tak boleh selamanya menganggap Yaya akan terus duduk dibawah ketiak kita. Sejak dia melangkah ke alam universiti, Nor dah tahukan yang Yaya telah pun memilih jalan hidup dia sendiri." ucap Encik Fauzi sekaligus membuatkan tubuh Suraya yang tegang mulai kendur. Masakan tidak gusar dengan rungutan ibunya sebentar tadi. Kiasan sebegitu jelas menunjukkan ibunya itu berat hati untuk melepaskannya keluar mencari rezeki. Ibunya bukanlah seseorang yang pandai menyembunyikan emosi. Kata abah, mummy itu ibarat open book. Terkandung persoalan dan jawapan dalam material yang sama. Tak perlu bersusah payah menebak atau menembak.

"Iye, Nor tahu.. Tapi, rasa baru sangat lagi Yaya balik ke sini. Dah kena pergi lagi." sahut Puan Norlin. Dia menatap wajah ibu yang sentiasa cantik pada padangan matanya. Berkening lebat dengan sepasang mata yang dalam dan tajam. Muka pula berbentuk bujur dengan dagu yang tirus. Dia mengerti akan perasaan rindu yang belum kebah sepenuhnya itu. Sebenarnya dia pun begitu. Terasa belum puas mahu bermanja dengan kedua orang tua setelah lama terpisah. Tetapi, apakan daya. Azamnya ketika ini lebih kuat mempertahankan kemahuannya. Ibarat sebuah rumah yang sedang tenggelam dek banjir. Air makin meninggi manakala angin ribut kuat membadai. Namun, rumah itu tetap tegap mempertahankan diri. Begitulah tekadnya saat ini. Mungkinkah kerana dia berasa cemburu dengan keupayaan Hanis yang terlebih dahulu berjaya memperoleh pekerjaan? Rasanya tidak. Sepanjang mengenali gadis itu iaitu dengan lebih tepat lagi semenjak mereka berdua dilahirkan ke dunia ini, belum pernah lagi perasaan begitu wujud di antara mereka berdua. Kata ibu Hanis, Puan Sharifah, mereka itu kembar lain ibu. Lahir di hari yang sama, waktu yang hampir sama. Perbezaan mereka hanyalah tempat kelahiran. Sumpah. Sekelumit rasa cemburu belum pernah wujud didadanya buat gadis yang dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Dan sungguh dia tidak menyangka pendapat ibunya jauh tersasar daripada bapa dan dirinya sendiri. Alahai, gundah gulana pula dibuatnya memikirkan keluh-kesah mummy itu.

“Yaya ni macam budak-budak lain juga, Nor. Habis belajar dah tentulah nak rasa dunia pekerjaan pula. Janganlah kita sekat kemahuan mereka tu. Kita cuma nasihatkan supaya mereka tak salah buat pilihan.” sahut Encik Fauzi. Pandangannya berlabuh kearah Suraya. Suraya membalas dan bermulalah bahasa isyarat antara kedua beranak itu dengan hanya kerdipan mata antara mereka. Suraya menyeringai tatkala bapanya menganggukkan kepala beberapa kali.

"Nor, tak kesian dekat anak kita yang dah berhempas pulas belajar bertahun-tahun tetapi di suruh duduk di rumah sahaja?" tanya Encik Fauzi kepada Puan Norlin yang kelihatan sugul.

"Agaknya mummy Yaya lupa kot macam mana lagaknya dia waktu muda-muda dahulu. Tak sempat tamat belajar mummy dah mula berkerja, tau."

"Hah? Yeke abah?" sahut Suraya sedikit terperanjat. Belum pernah lagi kisah ini diceritakan kepadanya. Dia mengerling kearah ibunya yang mula kelihatan tidak senang duduk apabila fokus kini tertumpu kepadanya pula.

"Hisy, abang jangan u-turn pula. Nor tengah fikirkan tentang Yaya, cerita Nor pulak yang abang bangkitkan." celah Puan Norlin dengan perasaan tidak puas hati. Suraya tergelak kecil. Lucu pula melihat adegan kedua orang tuanya ketika ini.

"Okay, okay… Tak perlu ribut-ribut sebab Yaya, abah dan mummyku..,"

Tiba-tiba dia menyampuk sebelum sempat Encik Fauzi membalas. Hampir sahaja dia berdiri demi mendamaikan gaduh-gaduh manja kedua orang tuanya itu. Dia berdehem beberapa kali sebelum tersenyum sumbing.

"Sebenarnya, Yaya dah dapat kerja!" ujarnya dengan nada yang sedikit tinggi. Kegirangan jelas kedengaran. Encik Fauzi dan Puan Norlin sama-sama memandang dengan perasaan tidak percaya.

"Alhamdulillah…" sahut Encik Fauzi.

"Apa??"

Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Puan Norlin ketika kedua-duanya serentak berkata-kata.

"Mummy, kenapa? Mummy betul-betul ke maksudkan apa yang mummy cakap tadi tu? Mummy tak izin Yaya kerja ke?" Soalnya cemas. Riak yang bercahaya ketika mengumumkan berita itu berubah malap. Seriuskah ibunya dengan kata-katanya itu? Tiba-tiba Puan Norlin ketawa kecil.

"Mummy gurau ajelah, Yaya. Saje.. Nak tengok reaksi anak mummy tu."

"Mummy dah berjaya buat Yaya bimbang tau."

Baik Encik Fauzi mahupun Puan Norlin kedua-duanya tertawa besar mendengar ucapan dari Suraya itu.

"Jadi, abah pun sama? Dah pakat dengan mummy untuk kenakan Yayalah ni?" ujarnya dengan mata yang terbeliak. Tak menduga sama sekali gurauan kedua orang tuanya benar-benar menjadi. Sedangkan dia sudah bertekad untuk melutut merayu kepada ibunya seandainya tidak diberi

keizinan untuk berkerja. Mulutnya sudah muncung seperti paruh burung. Elusan mesra dibelakang tubuh sekelip mata mengubah mood untuk merajuk kepada satu senyuman simpul. Dia melirik ke arah ibunya yang tersenyum mesra menatap wajah buah hati tercinta.

"Tunggu sekejap. Yaya pergi ambil laptop." tutur Suraya buru-buru meninggalkan kedua orang tuanya yang kembali tertawa melihat aksinya itu.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.