Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
7,950
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Suraya melabuhkan duduk ke sebuah loveseat berbingkai besi diruang balkoni apartmen berketinggian lima belas tingkat itu. Buku yang dipegang diletakkan di atas sebuah para mini yang melekap pada dinding di atas kepala. Sebiji bantal hiasan disandarkan pada armrest dan dia memusingkan tubuh agar kedua belah kakinya dapat dilunjurkan di atas kerusi tersebut. Pemandangannya ketika ini berubah. Dari kejauhan dia melihat barisan pencakar langit berskala mega yang saling gagah berdiri mempamerkan keutuhan senibina masing-masing. Suasana petang itu nyaman. Langit biru dengan calitan awan larik sentiasa memberikan kepuasan kepada mata yang memandang. Kilauan mentari tidak lagi garang. Perasaannya kembali gontai. Hampir terlena andai bayu sepoi datang membuai.

"Amboi, jauh berangan." sapa Kak Rin yang merupakan tuan rumah kepada apartment yang diduduki oleh Suraya dan Hanis itu. Apartmen yang berusia melebihi sepuluh tahun itu dimiliki oleh Kak Rin yang bertugas di awan biru. Sudah berumah tangga tetapi Suraya tidak begitu jelas akan kehidupan peribadi tuan rumah itu kerana empunya diri seakan mengunci sisipan peribadi itu untuk dirinya sendiri. Makluman yang diperolehi melalui Hanis juga terlalu minimal. Apabila suami Kak Rin berada di Kuala Lumpur, Kak Rin akan pulang ke rumah suaminya yang terletak di Bangi. Sesekali, Kak Rin akan datang untuk bermalam dirumahnya ini. Namun beberapa menjak ini kerap pula Kak Rin berada di apartmen. Barangkali kehadiran Suraya dan Hanis sebagai penyewa membuatkan wanita itu tidak lagi kesepian tatkala pulang ke rumah. Suraya tergelak kecil lalu tubuh dimiringkan buat memandang Kak Rin yang mengambil tempat duduk di atas sebuah kerusi urut.

"Kak Rin, bila balik? Yaya tak perasan pun." ujarnya disertai dengan satu senyuman yang manis.

"Pukul 3.00 tadi. Sunyi je rumah masa akak sampai. Ingatkan korang berdua balik kampung. Hanis mana?" cerita Kak Rin yang memiliki nama sebenar Sherina. Dia membuat congakan pantas. Patutlah dia tak perasan. Waktu itu dia tengah sedap tidur. Sedar-sedar dah masuk waktu Asar ketika dia bangun tadi. Lantas ditunaikan kewajiban sebelum ke dapur membancuh minuman petang. From GSM to LTE-ADVANCED dibawa ke mana-mana. Sejak kebelakangan ini menelaah menjadi suatu hobi baharu baginya. Selepas tindakan Dr. Adrian yang mengambil kembali salah satu site Prima itu, dia berazam untuk menambah pengetahuannya melalui medium bacaan sebagai persiapan memahirkan dirinya dalam bidang yang diceburi itu. Banyak maklumat baru yang diperolehi daripada buku tebal tersebut. Tidak rugi dia melabur sejumlah wang demi mendapatkan buku ilmiah itu.

"Hanis keluar. Shopping katanya."

"Aik, dah tu kenapa Yaya tak ikut? Korang ni kan macam belangkas. Berkepit ke hulu hilir."

"Tak nak lah kacau daun." ucapnya sambil menahan suara lirih dikerongkong. Enggan membiarkan Kak Rin menangkap perasaan hiba yang tiba-tiba menjenguk. Entah kenapa dia belum mampu untuk move on dengan status Hanis sebagai tunangan orang ketika ini. Cemburukah dia? Sedikit pun tidak. Mungkin dia tidak gembira kerana banyak perancangan yang pernah dirancang bersama Hanis bakal terkubur begitu sahaja sekiranya rakan baiknya terus melangkah ke fasa seterusnya dalam tempoh terdekat.

"Oh, keluar dengan Irfan. Berdua aje ke? Biar betul?" Tanya Kak Rin lagi seakan tidak percaya. Suraya melirik kepada wajah yang tidak perlu dipaksakan untuk senyum itu. Wajah yang sentiasa tampak manis secara semula jadi meski tanpa perlu mengukirkan sebuah senyuman. Ini kali keempat. Dia baru tiga kali bertemu dengan Kak Rin yang sentiasa 'terbang' itu. Tetapi, baik latar belakang Hanis mahupun dirinya, kedua-duanya tersimpan kemas dalam benak wanita itu. Sebelum ini belum pernah terjentik dihati Suraya akan kebijaksanaan Kak Rin dalam berbicara yang sebenarnya lebih menjerat kepada hal ehwal yang sulit. Tetapi, pertanyaan Kak Rin sebentar tadi menunjukkan setiap pertanyaan wanita itu sebelum ini merupakan interogasi bagi mengenali peribadi penyewanya dengan lebih mendalam. Waspada dan curiga patut ada. Dia tidak mampu untuk meyakinkan wanita itu dengan apa cara lagi. Cukuplah sekiranya Kak Rin dapat melihat sendiri akan keberadaan rumahnya yang sentiasa dijaga rapi oleh mereka berdua.

"Tak pastilah. Yaya tak ikut sebab busy membaca ni."

Dia beralasan meski alasan itu memang terselit suatu kebenaran.

"Oo.."

Sepi.

"Apa ek Yaya rasa tentang pertunangan Hanis tu?"

Dia menoleh. Merenung tepat ke dalam sepasang mata nan kuyu yang mengingatkan Suraya kepada ibunya dikampung. Mereka berdua mempunyai persamaan pada panca indera yang satu itu.

"Maksud Kak Rin?"

"Akak bukan nak busy body. Tapi sebab korang berdua ni tinggal dirumah akak dan akak dah anggap macam adik-adik akak, nak jugak akak tahu apa saja yang jadi pada korang berdua ni. Tapi, kalau Yaya tak nak kongsi, Kak Rin faham." ujar Kak Rin tulus. Secebis senyuman ditarik.

"Yaya pun mula anggap Kak Rin macam kakak Yaya," maklumnya tanpa segan silu.

"Lagipun, Yaya kan anak tunggal. Selain Hanis yang memang rapat sejak kecil, Yaya belum pernah ada kawan perempuan yang betul-betul akrab macam ni." tambahnya. Senyap seketika.

"Kak Rin bimbang tentang Hanis ke?"

Dia bertanya. Direnung sebentar wajah kacukan Terengganu, Siam dan Arab itu dengan teliti. Tiada riak kebimbangan. Tenang. Kak Rin menggeleng.

"Akak tak bimbang. Akak nak tahu pendapat Yaya je." balas Kak Rin semacam tahu kekusutan yang diperam oleh dirinya selama ini.

"Kalau tentang Irfan, Yaya no comment. Sebab apa yang Yaya tahu Irfan lelaki yang baik. Selebihnya Yaya tak pasti."

"Yaya, tentang pertunangan tu pulak macam mana? Bagi Yaya sendiri.." pancing Kak Rin setelah memerhatikan dia seakan mengelak memberikan pendapat tentang hal itu. Suraya membuang pandang sekilas ke angkasa. Kemudian jatuh menjauh ke paksi-paksi pencakar langit yang terbentang.

"Sebenarnya Yaya sedihlah kak."

"Kenapa?" sahut Kak Rin.

"Kami ada banyak plan, Kak Rin. Macam bucket list. Yaya tak pasti Hanis ingat lagi tak plan kami tu. Tapi, Yaya tak pernah lupa." tuturnya berbaur rajuk. Kak Rin mengubah kedudukan. Bangkit dan berpindah dihujung kaki Suraya membuatkan dia terpaksa menegakkan tubuh yang bersandar lalu kaki dilipat sila. Wanita itu duduk bersilang kaki sambil memerhati wajahnya yang kelam. Merekah lagi senyuman dibibir itu seakan sedang menyebarkan ramuan terapi kepada jiwanya yang masih berbaki gundah.

"Oh, Kak Rin faham. Faham sangat, Yaya. Sebab apa yang Yaya rasa sekarang ni sama seperti apa yang akak pernah lalui. Bukan sekali tapi berkali-kali. Akhirnya, akak ambil keputusan untuk bergerak solo. Dan tak sangka, jodoh akak pula datang. Tapi sayang, walau dah kahwin terpaksa pula berpisah," cerita Kak Rin akan sisipan kehidupannya itu. Suraya membulatkan mata. Mulut terkunci rapat. Bukan tiada persoalan. Tetapi tak tahu yang mana satu harus ditanyakan dahulu.

"Pekerjaan Kak Rin, kan bertemu dengan ramai orang. Dulu akak ada dua orang best friend. Kami sama-sama fly. Jadi macam-macam kami rancang untuk buat bersama. Tapi, sebentar aje. Masing-masing mula membuka haluan sendiri. Ada yang berhijrah ke negara lain dan ada yang memulakan kerjaya sendiri," Kak Rin berkata panjang lebar. Suasana sepi buat sementara kerana Kak Rin kelihatan seperti menahan sebak. Dia turut termenung. Namun dalam masa yang sama tidak sabar mahu mendengar sehingga habis.

"Akak bingung sebab dua orang best friend akak buat keputusan serentak. Tinggal akak sendirian. Betul-betul sendirian. Mujurlah mama masih ada. Akak ceritakan apa yang berlaku dan mama banyak beri nasihat," sambung Kak Rin lagi. Ditoleh kearah Suraya lantas satu senyuman dipamerkan.

"Tau tak apa nasihat mama akak?"

Suraya membatu. Masih hanyut dalam bayangan penceritaan yang didengari.

"Setiap makhluk ada takdirnya sendiri. Rancang untuk terima sesuatu yang tak dirancang. Kalau tak boleh terima, berhentilah dari merancang."

Oh, Suraya mengerlipkan mata beberapa kali. Seperti baru terhantuk, dia terngadah memandang Kak Rin dihadapan.

"Akak, terima kasih.." tuturnya secara tiba-tiba. Baru kini dia faham. Kenapalah sebelum ini dia tidak terfikirkan akan hukum alam yang satu itu. Kak Rin melirik puas. Mudah rupanya menasihati gadis cantik yang terlalu merendah diri itu.

"Jadi, walau apa yang pernah Yaya rancang dengan Hanis sebelum ini jika belum dibuat, jangan sedih. Mungkin suatu masa nanti akan tercapai. Tak kisahlah lama mana pun masa yang diambil, yang penting Yaya sokong Hanis. Tentu Hanis sedih kalau tahu hal sebenar, kan?" ujar Kak Rin tak ubah seperti seorang kakak yang mengambil berat. Suraya menggeleng. Enggan perasaan yang disembunyikan itu ketahuan oleh rakan baiknya itu.

"Tapi, apa jadi dengan perkahwinan, kak Rin? Perkahwinan akak ditentang oleh keluarga ke?" soalnya serius dengan riak wajahnya tertulis bimbang. Kak Rin tergelak. Tidak menduga sama sekali akan reaksi itu.

"Tak adalah. Pandai-pandai aje kau buat teori ye, Yaya. Husband akak offshore, lah."

"Oh,"

Dia tersipu sebentar.

"Hihi.." sahutnya lantas ketawa malu.

"Dekat mana?"

"Teluk Mexico."

"Jauhnya, kak.."

Kak Rin mengangguk tanda mengiyakan. Satu pandangan penuh bermakna dihantarkan kepada Suraya. Fahamlah dia kini. Sebelum dia merintih mengenangkan bucket list yang dibuat bersama-sama Hanis yang belum tentu dapat dicapai, eloklah dia mengenang kehidupan orang lain yang jauh lebih parah darinya. Sekurang-kurangnya dia tidak berpisah jauh dari keluarga dan kawan karibnya itu. Sebenarnya hidupnya lebih bertuah dan patut disyukuri andai dia banyak melihat ke bawah. Mudah.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.