Home Novel Seram/Misteri GUNUNG IBLIS
GUNUNG IBLIS
Scarlet Silver
29/10/2016 15:45:24
5,656
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 5

BAB 5

Uhuk! Uhuk!

Balqis tersedak air masin yang memenuhi kerongkongnya. Dia menepuk-nepuk dada yang terasa sakit. Kemudian dia memicit kepala yang terasa berpinar. Tangannya tersentuh butiran pasir yang menjadi alas tubuh. Balqis terkejut!

Dia yang terbaring tadinya segera bingkas bangun. Balqis melingas ke kiri dan ke kanan dengan wajah pucat lesi. Dia tidak lagi berada dalam bot! Tapi, dia bersendirian di persisiran pantai!

Balqis cuba menenangkan diri yang panik. Dia tidak melihat bayang bot atau bayang Luth. Dia cuba mengingat kembali apa yang menimpa dirinya. Bulu romanya berdiri tegak saat terimbau akan lembaga mengerikan yang menarik tangannya hingga dia jatuh ke dalam laut.

Adakah dia bermimpi? Tidak! Jika dia bermimpi masakan dia boleh terjatuh dari bot?

Tapi, mana Luth? Bukankah dia sempat melihat Luth terjun untuk menyelamatkan dirinya sebentar tadi? Adakah abangnya mati lemas atau dicederakan lembaga hitam itu?

“Luth?! Luth?!”

Balqis menjerit kuat memanggil nama abangnya. Berdoa dalam hati yang Luth terdengar akan panggilan itu. Jika abangnya tidak mati, pasti abangnya terdampar sama di pantai itu. Teriakan Balqis langsung tidak berjawab.

Mujurlah bulan bersinar terang malam itu, membiaskan cahaya yang menjadikan lautan berkelip-kelip seperti serpihan kaca. Balqis sempat memungut beg selempangnya juga lampu suluh yang tersadai di atas pasir. Balqis memerhatikan keadaan sekeliling. Dia baru sedar yang saat itu dia berada atas sebuah pulau…

“Qis…”

Telinga Balqis mencanak naik saat terdengar suara Luth memanggil namanya. Apabila dia berpaling ke belakang, kelihatan susuk tubuh abangnya sedang berdiri di situ. Bagaimana dia boleh tidak sedar Luth berada berhampiran dengannya?

“Ya Allah, Luth. Terkejut aku…”

Balqis mengucap syukur kerana berjaya menemui abangnya. Dia mendekati Luth yang kelihatan diam membisu.

“Apa yang berlaku? Kenapa kita terdampar di sini?” soal Balqis dalam nada agak cemas. Abangnya itu kelihatan pucat lesi dan kulitnya agak kebiruan. Mungkin kerana terlalu lama berendam dalam air. Entah mengapa abangnya itu kelihatan agak pelik berbanding kebiasaan.

“Sejuk…” Sepatah saja perkataan keluar dari mulut Luth. Dia sekadar menundukkan wajah dan menekur kakinya yang tidak berkasut.

“Aku pun sejuk. Kita perlukan ranting-ranting kayu untuk hidupkan api. Aku ada bawa lighter.”

Balqis bersyukur kerana beg selempangnya masih selamat. Dia selalu mengasingkan barang-barang keperluan yang penting ke dalam beg selempang. Sentiasa bersedia untuk situasi kecemasan. Tidak mahu bergantung penuh pada backpack. Sekarang, mereka terkandas atas pulau itu tanpa peralatan lengkap. Backpack yang mengandungi kelengkapan perkhemahan berada dalam bot yang entah ghaib ke mana.

“Sana…” Luth mengajukan jari telunjuknya lurus ke arah hutan yang terdapat tidak jauh dari situ.

“Hari malam dan gelap gelita. Macam mana kita nak cari kayu api? Jika bertemu dengan haiwan-haiwan buas bagaimana?”

Balqis terkejut kecil apabila soalan-soalannya langsung tidak diendahkan Luth. Pemuda itu menonong ke arah hutan tanpa sebarang bunyi. Balqis menarik nafas panjang. Dia tidak boleh mengelak. Jika mereka berterusan duduk di persisiran pantai tanpa sebarang sumber api, bahaya akan mendekati. Hanya api yang ditakuti haiwan-haiwan buas. Itu salah satu ilmu yang pernah dipelajarinya.

Balqis fikir hutan itu sama dengan hutan biasa… Dia langsung tidak dapat membayangkan apa yang bakal berlaku…

“Luth!” jerit Balqis kuat.

“Luth, perlahanlah sikit. Aku tak sempat ikut kau!” Balqis termengah-mengah mengejar langkah abangnya yang berjalan jauh ke hadapan.

Balqis fikir abangnya itu mahu mengutip ranting-ranting kering. Namun, Luth molek saja meredah belantara dengan kaki ayam tanpa hala tuju. Balqis tidak tahu apa yang hendak dilakukan abangnya saat itu. Mujurlah Balqis masih mempunyai lampu suluh yang bisa menerangi jalannya walaupun sedikit.

“Luth?” Balqis tergamam apabila dalam sekelip mata dia kehilangan bayang pemuda itu. Hatinya dibalut perasaan cemas.

“Luth?!”

“Luth, jawablah?! Aku takut ni?!”

Balqis menghalakan lampu suluh ke segenap arah. Tercari-cari akan kelibat abangnya yang hilang entah ke mana. Dalam kepekatan malam, suasana hutan itu tidak ubah seperti kawasan berpuaka yang selalu ditayangkan dalam filem-filem seram. Bunyi-bunyi unggas dan cengkerik bersahut-sahutan. Telinga Balqis juga dapat menangkap bunyi lotong yang seolah-olah sedang bercakaran di malam hari.

Uhuk! Uhuk!

Telinga Balqis dapat menangkap bunyi seseorang yang sedang batuk. Pasti Luth yang sedang batuk. Siapa lagi yang ada di tengah hutan itu?

Serta merta bunyi-bunyi hidupan liar yang tadi nyaring menyapa telinga hilang dibawa angin malam. Suasana pegun dan sunyi sepi. Hanya desah nafas dan degup jantung Balqis yang kedengaran.

Uhuk! Uhuk!

Bunyi itu masih kedengaran. Balqis meredah semak samun bagi mencari punca bunyi batuk yang berterusan itu. Tiba di satu kawasan, dia ternampak kelibat satu lembaga sedang mencangkung di atas tanah, membelakangi dirinya. Balqis menyuluh lembaga itu, namun lampunya tidak semena-mena padam.

“Luth, kau buat apa dekat situ? Jomlah kita ke persisir pantai. Kata nak hidupkan api?” tanya Balqis seraya mengetuk-ngetuk lampu suluh atas telapak tangannya.

Uhuk! Uhuk!

Lembaga itu semakin kuat batuk. Pokok-pokok yang tinggi mencanak langit, menyebabkan sinar rembulan gagal menerobos ke atas tanah. Justeru, pandangan Balqis agak kabur untuk melihat lembaga di hadapannya itu dengan jelas.

“Luth?”

Balqis pelik kerana abangnya langsung tidak memberikan respon. Teruk benar batuknya… Balqis fikir Luth terlalu banyak tertelan air masin ketika menyelamatkannya tadi. Dia sedikit lega apabila lampu suluhnya kembali berfungsi.

Pantas saja dia menalakan cahaya itu ke arah makhluk yang disangkanya adalah Luth…

Balqis pegun bak patung cendana apabila matanya dijamah dengan sesusuk tubuh lelaki yang tidak memakai baju dan sekadar berseluar pendek. Tubuhnya berwarna kelabu gelap dek kerana dibaluti lumpur yang masih cair. Kepala makhluk itu hampir botak dan sekadar memiliki beberapa helai rambut yang agak panjang. Bau busuk yang bercampur dengan bau selut mula menusuk rongga hidung Balqis. Dia mula berasa mual dan ingin termuntah.

Uhuk! Uhuk! Uhuk!

Semakin kuat bunyi yang dihasilkan makhluk itu. Balqis ingin lari namun kakinya seolah-olah dipaku atas tanah.

Perlahan… makhluk itu menolehkan wajahnya ke arah Balqis…

Balqis terhenti bernafas apabila melihat wajah maha dahsyat makhluk itu. Kedua-dua belah soket matanya kosong tanpa organ. Meninggalkan ruang hitam yang kelihatan seperti lohong tidak berdasar. Mulut makhluk itu rabik, hampir mencecah telinga. Seperti telah dikoyakkan oleh sesuatu. Lumpur cair berjejeran keluar dari mulut makhluk itu. Dia sentiasa ternganga seolah-olah mampu menelan apa saja yang berada di hadapannya…

Apabila makhluk itu berdiri, ia berketinggian seperti manusia. Walaupun tidak mempunyai bebola mata, pandangnnya masih menikam tepat ke wajah Balqis. Dan apabila ia menapak, Balqis tersedar yang dia perlu melarikan diri!

Dalam kepekatan malam, Balqis meredah hutan belantara dengan langkah sepantas kilat.

Dia merempuh apa saja yang berada di hadapannya. Ranting-ranting kayu dan duri-duri pepohon hutan langsung tidak berjaya menghalang langkahnya. Balqis tercungap-cungap berlari sambil memandang ke arah belakang. Dia tidak menyangka makhluk botak bermulut rabik lagi mengerikan itu sedang mengejarnya! Ya, makhluk itu sama berlari untuk menangkapnya!

Bedebuk!

Balqis jatuh menyungkur apabila tersadung akar kayu yang berselirat atas lantai hutan. Dia cuba bangun, namun kakinya terasa sakit yang tidak terhingga. Saat dia menoleh ke belakang, jantungnya hampir tercabut keluar.

Makhluk aneh yang tadi berlari kini merangkak perlahan atas tanah dengan kedua-dua belah kaki dan tangan. Gaya seperti seekor monyet berjalan! Makhluk itu menggerak-gerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan sambil memandang Balqis. Hanya beberapa kaki saja jarak memisahkan mereka.

Balqis tidak berdaya. Mungkin ajalnya sudah tiba…

“Allahuakhbar!” Balqis menjerit kuat saat merasakan tangan berselut itu menyentuh kakinya…

…………..

Sementara di persisiran pantai, Luth yang baru tersedar daripada pengsan berjalan ke hulu dan ke hilir untuk mencari Balqis. Puas dia berteriak memanggil nama gadis itu, namun hanya mergastua yang menjawab. Luth bingung buat seketika…

Masih jelas terimbau dalam fikirannya yang dia terjun dari bot untuk menyelamatkan Balqis. Sebaik saja terjun ke dalam air, kakinya di tarik oleh sesuatu yang tidak kelihatan dari arah bawah. Luth fikir dia telah lemas. Namun, apabila dia sedar, dia terdampar di sebuah pulau. Adakah itu Pulau Amon? Dimanakah adiknya?

“Balqis!”

Luth masih tidak berputus asa melaungkan nama adiknya. Senak rasa dada apabila memikirkan yang dia bakal kehilangan adik bongsunya itu. Sudahlah Najwa sedang bertarung dengan maut dan kini Luth mungkin kehilangan seorang lagi insan yang disayanginya. Bagaimana dengan amanah mama dan papa yang mengarahkan dia agar menjaga Najwa dan Balqis dengan baik hingga ke akhir hayat?

Sap!

Mata Luth mencerun ke satu arah apabila perasan ada satu kelibat berlari di pinggir hutan. Luth mengambil light stick yang tersimpan dalam sebuah beg. Beg yang sentiasa melilit pinggangnya. Seperti Balqis, dia juga membuat persediaan kecemasan sebelum menuju ke kawasan berbahaya. Dek kerana lampu suluh juga handphonenya rosak dimasuki air, Luth tidak mempunyai sumber cahaya lain. Terpaksalah dia menggunakan batang plastik bercahaya itu untuk meluaskan pandangan.

“Balqis?”

Samar-samar mata Luth melihat susuk tubuh Balqis memasuki hutan dalam keadaan tergopoh-gapah. Dia kenal akan t-shirt kuning dan tudung sarung hitam yang dipakai adiknya itu. Dia yakin itu Balqis! Luth segera mengikuti jejak adiknya itu, meskipun hatinya enggan.

Kegilaan apakah yang merasuk otak Balqis hingga dia berani masuk ke dalam belantara tanpa cahaya? Dia tidak ingatkah akan serangan harimau yang diceritakan Munah? Tambahan lagi dengan kewujudan makhluk bernama Amon yang diberitahu Pak Leman? Entah-entah hutan itu sememangnya dipenuhi binatang buas? Luth memarahi Balqis dalam hatinya.

Jam tangan kalis air milik Luth yang rosak tiba-tiba menyebabkan Luth tidak dapat mengagak pukul berapa ketika itu. Apa yang dia tahu, suasana masih gelap gelita. Luth fikir mungkin dalam pukul 2.00 atau 3.00 pagi.

“Qis?”

Selang beberapa minit mengikut jejak adiknya, Luth berhenti menapak. Tidak jauh di hadapan, Balqis kelihatan sedang berdiri menghadap sebatang pohon gergasi sambil membelakangkan Luth. Batang pohon itu bersaiz lebih kurang lima pemeluk manusia dan ketinggiannya mungkin mencecah 100 meter.

“Qis, bahaya kita duduk dalam hutan ni. Mari kita ke tepi pantai,” ujar Luth sambil mengangkat tinggi light stick berwarna merah yang dibawanya.

Lembaga yang berupa Balqis itu langsung tidak mengendahkan kata-kata Luth. Dia kelihatan sedang leka mengunyah sesuatu. Bunyi gigi yang berketak-ketak melatari hutan yang sunyi.

“Qis, kau makan apa tu?” tanya Luth tanpa sedikit pun perasaan curiga.

Dia mendekati Balqis dan menyentuh bahunya…

Dan apabila makhluk itu memalingkan wajah, mata Luth hampir tersembul keluar. Di hadapannya berdiri satu makhluk yang wajahnya persis Balqis. Bezanya sepasang mata makhluk itu merah menyala tanpa anak mata dan mulutnya dipenuhi darah yang membuak-buak keluar. Bau hanyir menusuk kuat.

Makhluk itu sedang asyik mengunyah lengannya sendiri! Tulang lengan makhluk itu jelas kelihatan setelah isi yang membalutnya dilahap rakus.

“Allahuakhbar!”

Luth tidak sanggup menunggu lagi, dia terus pecut melarikan diri walaupun tidak tahu arah yang patut dituju. Wajah mengerikan makhluk tadi menyebabkan dia berlari tidak cukup tanah! Luth yakin itu bukan adiknya! Pasti sang iblis yang berupa-rupa untuk mendatangkan kemudaratan buat dirinya!

Luth berhenti berlari saat dia tiba di sebuah bukit. Dia yang termengah-mengah segera meninjau keadaan belakang. Bimbang makhluk berpuaka itu mengejarnya. Mujurlah tiada!

Luth terbatuk-batuk kecil sebelum terduduk atas tanah kepenatan. Kakinya hampir kejang akibat larian mengejut tadi. Dia hendak berehat untuk seketika, namun matanya disapa sesuatu yang agak menghairankan.

Sekali lagi, Luth mengangkat light stick tinggi. Memastikan dia tidak salah pandang…

Tidak jauh di hadapannya kelihatan sebatang jalan lurus yang mencerus ke puncak bukit. Persekitaran agak bersih tanpa semak samun. Terdapat beberapa buah rumah kayu usang yang sama bentuk di kiri dan kanan jalan tanah merah itu.

Luth bangun dari duduk dan memberanikan diri untuk meninjau kawasan rumah terbabit.

Bukankah Pulau Amon tidak berpenghuni? Jadi rumah-rumah ini milik siapa? Pasti ada orang yang menjaganya. Jika tidak, masakan persekitarannya bersih sedemikian rupa? Bagus juga jika ada manusia di situ. Bolehlah dia meminta pertolongan mereka bagi mencari Balqis. Luth berkata-kata dalam hati.

Suasana di situ kurang menyeramkan berbanding dalam hutan. Luth cuba memfokuskan telinganya untuk menangkap sebarang bunyi yang dihasilkan manusia. Namun, Luth berasa hampa apabila menghampiri rumah-rumah berkenaan.

Semuanya tertutup rapi dan kelihatan sarang labah-labah menghiasi bahagian luar jendela. Luth yakin rumah-rumah itu sudah lama ditinggalkan. Cuma dia tidak dapat meneka siapa yang berbaik hati membersihkan kawasan bukit itu.

Mata Luth tertarik ke arah satu cahaya malap yang muncul dari sebuah rumah. Luth segera bergegas ke sana.

“Balqis?!”

Luth yang mengintai dari jendela berpalang dengan besi seperti penjara, terjerit besar apabila terlihat jasad adiknya terbujur kaku dalam rumah kayu itu. Lampu suluh yang masih menyala tergolek di sisi adiknya. Luth berlari ke pintu utama dan berniat untuk memasuki rumah itu. Malangnya, pintu tersebut berkunci dengan mangga sebesar penumbuk. Puas Luth merempuh pintu itu dengan tubuh dan juga kakinya, namun ia tetap gagal dibuka.

Luth berkeliaran di sekitar kawasan itu untuk mencari sebarang objek yang boleh digunakan untuk memecahkan pintu. Tiba di satu kawsan, mata Luth tertacap ke arah sebilah kapak yang molek tergeletak atas tanah. Dia tidak tunggu lama untuk mengambil objek itu dan kembali ke tempat adiknya dikurung.

Pak! Pak!

Luth mengapak mangga pintu itu sekuat hati untuk beberapa ketika. Namun, mangga itu begitu ampuh dan langsung tidak mahu terbuka . Seolah-olah ia diikat dengan satu kuasa ajaib.

“Allahuakhbar! Tolonglah buka. Tolonglah!”

Luth mendengus sendirian. Setelah beberapa ketika Luth kehabisan tenaga. Dia tidak berdaya lagi. Luth terduduk kepenatan dan bersandar di belakang pintu rumah itu. Dunianya tiba-tiba berubah gelap…

P/S: SEMUA KOMEN AMAT DIALU-ALUKAN. THANKS FOR READING

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Scarlet Silver