“Sentia,
aku dan Shikin nak ke dewan makan. Kau berkemaslah dulu. Nanti kita sembang
lagi. Atau kau nak pergi makan sekali?”
Sentia
menolak sebab dia mahu mengemas barang-barangnya dahulu. Petang nanti,
pelajar-pelajar Matrikulasi perlu berkumpul semula di dewan. Irdina dan Ashikin
meminta diri seraya mengambil dulang makanan dan bergegas ke dewan makan.
Setengah jam lagi masa untuk makan tengahari akan berakhir.
Mungkin
akibat tergesa-gesa Irdina tidak sengaja terlanggar seorang pelajar lelaki yang
baru keluar dari dewan makan. Hampir-hampir dulangnya terlepas dari pegangan,
kalau tidak sudah tentu dia akan disorak.
Irdina
cepat-cepat meminta maaf namun pelajar itu seperti acuh tak acuh saja. Dia cuma
memandang sekilas, mengangkat keningnya dan berlalu.
“Sombongnya,
orang minta maaf pun dia buat dek saja,” Irdina merungut.
“Biarkan
saja. Mungkin pelajar baru tu. Aku tak pernah tengok pun dia sebelum ni.” komen
Ashikin sambil berjalan ke arah kaunter untuk mengambil makanan.
“Amboi
sejak bila pula Cik Ashikin ni menjadi pemerhati? Semua muka pelajar asrama dia
dah kenal. Jangan sampai lupa dengan abang burger tu sudahlah ya,” Irdina
mengusik.
Merah
padam muka Ashikin bila Irdina menyebut tentang burger. Dua hari lepas Abang Is
ada menitipkan surat buatnya melalui Iman. Isi suratnya ringkas tapi penuh
bermakna. Mungkin hujung minggu ini Abang Is akan melawat Ashikin dan akan
membawa burger kegemarannya.
Ashikin
belum pernah lagi balik bermalam di rumah semenjak menjadi penghuni asrama.
Irdina pun sama. Katanya alang-alang menunggu cuti pertengahan semester tak
lama lagi. Kebetulan pula Puan Khatijah sedang berkursus jadi Irdina merasa
malas untuk balik. Hari Ahad lepas, Encik Wahab ada melawatnya sambil
menghantar bekalan makanan kering dan barang keperluan yang dipesan oleh
Irdina.
Selesai
makan, Irdina dan Ashikin solat dan kemudian bersiap untuk ke kelas semula.
Petang ini ada perjumpaan untuk membuat tugasan Bahasa Melayu. Semasa dalam
perjalanan ke kelas, Irdina tertoleh-toleh ke dewan utama. Entah kenapa matanya
seperti tercari-cari wajah tadi. Pelik betul, buat apa aku nak cari dia? Budak
sombong tu, Irdina mengomel di dalam hati.
Sudah
hampir setengah jam mereka berdua di situ barulah dua orang rakan sekelas
mereka sampai. Aloysious dan Jerry meminta maaf sebab lambat. Kedua-duanya
tertidur selepas makan tengahari.
Dalam
kerancakan mereka berbincang tugasan, tumpuan Irdina terganggu oleh derap kaki
di tangga yang terletak bersebelahan dengan kelasnya. Tidak lama kemudian
sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan kelihatan berjalan melintasi kelas
Irdina. Pelajar-pelajar Matrikulasi sedang dibawa melawat kelas masing-masing
yang terletak di blok yang sama dengan kelas-kelas Tingkatan 6 Rendah.
Entah
kenapa Irdina merasakan jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Matanya tidak
beralih dari memerhatikan kumpulan pelajar-pelajar tersebut sehinggalah kepada
seorang pelajar lelaki yang berjalan di belakang sekali. Saat terpandang dia,
Irdina merasa gemuruh. Mata si dia itu juga seperti melekat pada wajah Irdina,
tidak berkelip-kelip menyebabkan Irdina menjadi gugup.
Si
dia tidak meneruskan perjalanan ke kelas seperti yang lain, sebaliknya berdiri
kaku dan memerhati Irdina. Ya Allah, kenapa dia renung aku begitu? Bisik hati
Irdina.
Ashikin
yang baru perasan hanya mampu melihat wajah kawannya itu dan jejaka di luar
kelas dengan silih berganti. Irdina seperti berada di dalam dunianya sendiri.
“Dina,
Dina...,” panggil Ashikin separuh berbisik.
Apabila
temannya itu tidak memberi respon, Ashikin berdehem kuat. Irdina memalingkan
muka ke arah buku di meja. Si jejaka itu pula berjalan dengan cepat untuk
menyertai kumpulannya semula.
Selepas
saling berpandangan dan bertentangan mata tadi, Irdina tidak dapat menumpukan
perhatian kepada perbincangan. Dia hanya mengangguk saja dan sekejap-sekejap
menyebut okey.
“Aku
rasakan ada orang telah dipanah cinta tadi. Lain macam saja orang tu sekarang.”
Ashikin menyindir apabila melihat keadaan Irdina yang gelisah tidak menentu.
“Ish,
kau ni. Jangan merepeklah.”
“Hai,
kau perasan kenapa? Aku ada sebut nama kau tadi ke? Jangan-jangan...,”
“Sudahlah
Ashikin. Jangan mengada-ngada,” sampuk Irdina.
Kumpulan
pelajar-pelajar Matrikulasi itu muncul kembali. Irdina cepat-cepat menutup
mukanya dengan buku Pengajian Am.
***********************************
Petang
itu mereka berdua agak awal ke dewan makan. Bilangan penghuni asrama masih
belum ramai di kaunter memudahkan Irdina dan Ashikin mengambil makanan dan
minuman masing-masing dengan cepat.
Berselera
pula Irdina makan petang ini walaupun hanya nasi putih berlauk ayam masak
merah, sayur kacang panjang tumis kering dan sedikit acar timun. Mungkin lauk
tu memang lauk kesukaan Irdina. Ashikin pun turut berselera makan.
Dewam
makan semakin bising. Selesai makan, Irdina dan Ashikin mencuci dulang sebelum
kembali ke asrama. Oleh kerana ramai pelajar yang mencuci dulang di singki, lantai
menjadi basah dan licin.
Akibat
leka berbual, Irdina terpijak lopak air di bahagian simen yang berlubang.
Badannya hilang imbangan. Tak semena-mena seseorang menahan lengannya dari
belakang. Kalau tidak sudah tentu dia akan terlentang atau tersungkur di kaki
lima jalan itu.
Seram
sejuk seluruh tubuh tatkala dia tersandar di badan si dia yang menyelamatkan
keadaan. Cepat-cepat Irdina meluruskan badan, bimbang pelajar-pelajar di situ
terlihat apa yang berlaku dan memikirkan yang bukan-bukan. Malunya Irdina
ketika itu hanya tuhan yang tahu.
Saat
mata mereka saling bertentang, hati Irdina seakan berhenti berdegup. Dialah
pelajar lelaki yang dilanggarnya tengahari tadi dan dia juga orang yang sama
yang asyik merenungnya semasa
dibawa melawat blok kelas petang tadi. Perlahan-lahan dia melepaskan pegangannya di lengan Irdina.
Kedua-duanya membisu seribu bahasa. Ashikin di sebelah menyaksikan apa yang berlaku dengan mata yang
tidak berkedip.
“Terima
kasih,” akhirnya Irdina bersuara. Hanya itu saja yang mampu diucapkan. Si dia
hanya mengukir senyum dan mengangguk.
Sebelum
berlalu, dia menoleh ke arah Irdina, “Next
time please be careful. I might not always be around to save you,” pesannya
separuh bergurau.
Irdina
membulatkan matanya mendengar komen sebegitu. Hasrat hati untuk membidas tetapi
si dia sudah pun meninggalkannya terkulat-kulat di situ. Seketika kemudian,
Irdina memeriksa kakinya yang tersandung di dalam lopak air.