Home Fans Fiction Lucu Oh! My Lemang!
Oh! My Lemang!
Adra Halif
24/8/2013 12:59:15
2,277
Kategori: Fans Fiction
Genre: Lucu

1 Ogos 2013

“Hai... sekolah punya besar, meeting kita berempat saja ada?” soal Encik Mohamed Salleh. Mulutnya dicebik-cebikkan. “Amboi, amboi... makan gaji buta ke apa cikgu-cikgu lain ni.”

“Cukuplah kita empat orang, bukan hal besar pun yang nak kita bincangkan. Lagipun bersiaran satu episod je, so tak payah ramai sangat macam scene filem Hindustan,” balas Puan Hajar.

“Hal apa Puan Hajar?”

“Kita nak buat program.”

“Program apa Puan Hajar? Qiamullail, lepas tu sahur bersama ke? Atau buka puasa beramai-ramai?” tanya Cikgu Ayu pula.

Cikgu Malik menyampuk, “Cikgu Ayu ada masalah nak bangun pagi ke? Saya selalu bangun awal, exercise untuk kesihatan.” Tak semena-mena dia menayang bisepnya yang kental.

“Ehh, tak adalah. Boleh turunkan tangan sikit. Ada bau hangit,” kata Cikgu Ayu sambil menggosok-gosok hidung.

Cikgu Malik segera mengepit lengan. Selepas itu dia mendekatkan hidung ke ketiak kanan dan kiri secara sembunyi-sembunyi, cuba mengesan sebarang bau. Dia merenung Cikgu Ayu sambil mengerut dahi. “Mana ada bau,” katanya dengan perlahan.

Wait for Mr. Middleton,” jawab Puan Hajar selepas tergelak-gelak mendengar Cikgu Ayu mengenakan Cikgu Malik. “Dia yang minta saya kumpulkan tuan-tuan dan cikpuan semua.”

Tidak lama selepas namanya disebut, Mr. Middleton pun muncul. “Good afternoon everyone. Sorry I’m late.”

Puan Hajar, Cikgu Ayu, Encik Mohamed Salleh dan Cikgu Malik membalas, “Good afternoon.”

Encik Mohamed Salleh segera bertanya, “Ha, why do you calling-calling everyone to come here? Apa yang penting sangat ni?”

Mr. Middelton memandang Puan Hajar. Puan Hajar mengangguk, “Silakan Mr Middleton.”

Mr. Middleton turut mengangguk dan memandang sekelian yang ada. “Okay, saya sudah bincang dengan Puan Hajar. Saya cadangkan, after Eid raya, kita buka rumah.” Matanya yang bulat dialih-alihkan kepada wajah Puan Hajar, Cikgu Malik, Encik Mohamed Saleh dan Cikgu Ayu silih berganti. Tak semena-mena Cikgu Ayu tersengih-sengih apabila direnung. Mukanya merah. Dia tertunduk dan menggigit kuku.

“Buka rumah?” Cikgu Malik.

What are you talking about, Mr Middleton? Buka rumah siapa ni? Bulan puasa ni tak baik buat benda yang bukan-bukan. Not good, not good.” Encik Mohamed Saleh menggoyang ibu jarinya di depan Mr Middleton. Matanya terkelip-kelip laju. Serius benar lagaknya.

Puan Hajar ketawa. “Its not buka rumah. Rumah terbukalah Mr Middleton.”

“Oh yes.” Henry Middleton mengangguk sambil sengih sejurus menggaru-garu pipi. “Yes, kita buat rumah terbuka. We cook everything, totong-royong and kita makan together di rumah terbuka. Right, Puan Hajar?”

“Gotong-royong, Mr Middleton or rewang in Jawa,” Puan Hajar membetulkan Henry Middleton, kemudian memandang yang lain. “Jadi, apa pendapat semua?”

Cikgu Malik mengerut dahi. Dia bertanya, “Masak semua tu maksudnya masak apa?”

“Oh, semua makanan yang ada pada hari raya,” jawab Henry Middleton. Cikgu Ayu masih tidak melibatkan diri dalam perbincangan ini. Dia masih berangan, tersengih-sengih melayan perasaan sambil memandang Henry yang bermata bulat dan putih melepak itu tanpa berkelip. Okey, tipu kalau kata tak berkelip. Buaya saja yang tak mengelip mata. Cikgu Ayu bukan buaya. Dia seorang guru Bahasa Melayu yang comel dan nampak innocent. Di seberang meja, Cikgu Malik memandang Cikgu Ayu. Dia sengaja mengetuk-ngetuk meja konon-konon berlatih gendang dengan tujuan Cikgu Ayu mengalih pandangan daripada Henry Middleton. Usahanya gagal.

Encik Mohamed Saleh tergelak. “Mr Middleton, this is my perayaan, you know. Even, I dont cook everything. You think, easy to cook everything?”

You dont cook because your wife did everything. You only sit and wait the ketupat cooked while play Candy Crush.”

“Eh, Puan Hajar, dont talk silly lah.”

Puan Hajar menderam tawa. Hanya bunyi tawa kedengaran sedangkan mulutnya langsung tidak terbuka. Kemudian dia berkata, “Isteri Encik Mohamed Saleh komplen benda yang sama setiap tahun. Tak percaya, tunggu lepas raya tahun ni pulak.”

Encik Mohamed Saleh tersengih, cuba cover malu sambil berkata, “Adalah juga buat kerja. Lagi pun, siapa suruh dia nak buat semua benda. Semua benda nak baru – langsir, sofa, cat rumah, baju, seluar, besar, kecik... semua nak baru.”

Okay, okay enough about you. Kita bebalik kepada topik utama kita hari ni. Cikgu Ayu, are you okay?”

Cikgu Ayu memandang Puan Hajar, masih tersenyum tetapi tiada tanda-tanda dia berada dalam dunia nyata.

Are you?” Soal Henry Middleton pula.

Yes,” jawab Cikgu Ayu.

Really? You seem weird.” Henry Middleton mengerut dahi.

Yes,” balas Cikgu Ayu lagi. Pun dengan wajah yang sama.

Pak! Puan Hajar menepuk meja. Semua orang terperanjat dan tertoleh, termasuk Cikgu Ayu. Dia melatah, “Opocot mak kau, apa tu?”

Puan Hajar ketawa lagi, kali ini menampakkan gigi. “Amboi jauh menung, sampai England ya?”

“Ha?” Cikgu Ayu terpinga-pinga. “Kenapa?”

Cikgu Malik menyampuk, “Kita kan tengah berbincang pasal majlis rumah terbuka hari raya.” Dia mengasah kuku di lengan baju, pura-pura tidak nampak yang Cikgu Ayu asyik memberi perhatian kepada Henry Middleton. “Saya yang besar gabak kat sebelah pun Cikgu Ayu tak nampak.”

Cikgu Ayu memandang Cikgu Malik. “Rumah terbuka siapa? Cikgu Malik nak buat ya. Raya keberapa?”

“Bukan Cikgu Malik tapi kita semua. Untuk kita-kita aje,” jawab Puan Hajar.

Encik Momahed Saleh tergelak. “Macam iklan Astro Ceria pulak.”

“Jangan nak tukar topiklah Encik Mohamed Saleh. Cakap rewang aje, dia cerita benda lain,” kata Puan Hajar sambil menjeling.

“Yalah, yalah. Sampai mana kita tadi, bab masak kan. Ha, Mr Middleton, you want to cook everything, do you know how? Dont just say empty, you must know-lah,” kata Encik Mohamed Saleh.

You’re right. I dont know how, but I can learn. We can google the recipes. Saya mahu rasa suasana raya di sini.”

“Kalau nak rasa suasana raya, kena duduk kampung. Ingat senang ke nak sediakan semua, nak masak sendiri,” kata Cikgu Malik.

I dont have kampung.” Henry Middleton geleng.

“Tak apalah, Cikgu Malik. Semua benda boleh diusahakan. Kesian Henry... maksud saya, Mr Middleton. Apa salahnya kita kenalkan dia dengan budaya kita,” kata Cikgu Ayu.

Cikgu Malik lembut hati sedikit mendengar pujukan Cikgu Ayu. Tapi dia buat-buat sombong dan bertanya Henry Middleton, “Keluarga angkat tak ada?”

I really think that this is my family. Anda semua. Saya mahu sambut raya dengan anda semua dan pelajar-pelajar saya,” ujar Henry Middleton lagi.

“Ala, buat cerita sedih pulak. Yalah, yalah, kita buat buka rumah... eh rumah terbuka untuk Mr Middleton,” kata Encik Mohamed Saleh pula.

“Okey, kalau semua setuju seterusnya kita cari tarikh yang sesuai, menu yang akan kita sediakan bersama, serta pembahagian tugas,” cadang Puan Hajar. “Saya cadangkan Ahad, 18 Ogos 2013. Semua orang mesti dah bersedia nak bertugas, memandangkan Isnin esoknya sekolah bermula.”

“Aaa...” Encik Mohamed Saleh hendak bersuara.

Puan Hajar meneruskan percakapannya, “Semua aktiviti akan dibuat di kantin dan kawasan sekitarnya. Bab masak-masak, saya serahkan kepada Mr Middleton yang beria sangat nak buat. Cikgu Malik yang gagah, pastikan ada pada hari kejadian sebab tenaga anda diperlukan. Cikgu Ayu, uruskan hiasan dan juga bantu Mr Middleton bab masak-masak ni.”

“Puan Hajar buat apa?”

“Saya VIP, datang makan aje.”

“Amboi,” ucap Encik Mohamed Saleh sambil memandang Puan Hajar atas bawah.

“Tak puas hati nampak.”

“Tak adalah. Kata tadi nak bincang, tapi macam mengarah,” kata Encik Mohamed Saleh, semakin perlahan. Risau juga kalau Puan Hajar marah. Kalau kena pelangkung dengan Puan Hajar yang saiznya dua kali ganda Cikgu Malik, mahu pengsan.

“Tugas paling penting, Encik Mohamad Saleh, anda kena pantau semua tugas yang dilakukan oleh Mr. Middleton, Cikgu Ayu dan Cikgu Malik. Pastikan menjelang malam, waktu makan-makan semua dah sedia.”

“Oh, saya jadi bos?”

“Ya.”

“Oh.” Encik Mohamed Saleh tergelak-gelak sambil menggosok tapak tangan. “Kalau macam ini, saya suka.”

Cikgu Malik mencebik. Cikgu Ayu dan Mr Middleton tertawa serentak. Saat mata bertentang, keduanya tertunduk malu. Cebikan Cikgu Malik semakin lama. Bibir terjuih semakin panjang. “Meluatnya aku,” katanya perlahan.

8 MALAM, 18 OGOS 2013

“Suasana hari raya, walau di mana pun jua, memberikan ketenangan, lalalalalalaalaa.” Azlin menyanyi diiringi muzik sambil menari di atas susunan meja makan yang diubahsuai menjadi pentas. Ia terletak di hadapan kantin. Kerusi disusun rapat menghadap pentas tersebut, namun yang ada hanya dua tiga kerat umat. Yang lainnya ada di tepi kantin, mengipas lemang.

Bersama Azlin di atas pentas, Mazlee menyanyi dan menari sama. Mereka memakai baju warna sedondon, merah jambu. Bukan mereka sahaja, kesemua yang ada turut memakai baju raya. Serba cantik, serba baru, serba serbi.

“Bila Azlin ni nak berhenti menyanyi?” tanya Azlan. “Tolong-tolonglah sikit orang kat dapur ni.”

“Eh, biarlah dia nak menyanyi ke apa,” balas Shafiq sambil mengipas bara yang membahang dengan api terkawal. Shafiq kemudian tersengih, “Comel kan dia?”

Jibam dan Anusha berpandangan, kemudian sama-sama mencebik. Selepas itu Anusha berkata, “Ayo, ini lemang bila tahun nak masak? Saya sudah lapar. Baju cantik pun sudah bau asap.”

“Makanan lain punya banyak atas meja tu, makan ajelah dulu apa ada,” kata Azlan.

“Eh, mana boleh. Kena tunggu cikgu-cikgu kita sampai. Baru boleh makan,” kata Jibam seraya membetul-betulkan cermin mata.

“Skemalah kau ni,” balas Azlan. “Cikgu-cikgu kita ni bila pula nak sampai?”

“Sabarlah. Dia orang tengah bersiap. Kan dari pagi bersusah payah sediakan semua ni.”

“Tak ada susahnya. Dari ketupat ke rendang ke kuah kacang, semuanya tempah belaka dekat katering sedara Cikgu Ayu. Lemang ni je satu yang kita buat ramai-ramai dari pagi tadi. Itu pun tak masak lagi. Ni buluh ke besi ni,” bebel Azlan lagi.

“Ikut Cikgu Ayu cakap, setengah jam lagi dah masak,” kata Jibam.

“Kalau dikira dari tadi dah berapa kali setengah jam?” tanya Shafiq.

Mereka diam sekejap. “Macam dah banyak jam jugak. Tapi tak ada tanda-tanda masak pun,” kata Azlan pula.

“Kau tahu ke lemang dah masak macam mana?” tanya Jibam. Mereka diam lagi.

Akhirnya Shafiq membuat keputusan. “Kita tunggu jelah Cikgu Ayu datang kejap lagi.”

“Wah, kau orang cuba tengok sana.” Anusha sibuk menyuruh kawan-kawannya memandang ke satu arah. Rupa-rupany Henry Middleton kelihatan menghampiri mereka. Dia memakai baju melayu biru satin, lengkap dengan songkok dan samping songket yang senada warnanya. “So handsome.”

Azlan mencebik lagi. “Perempuan, perempuan. Eh, aku nak suruh Azlin berhenti menyanyi. Bingit telinga aku.”

“Okey, see you soon,” kata Anusha sambil melambai. Macamlah Azlan mahu pergi jauh.

“Panggil saya eh?” See Yew Soon tiba-tiba menjengul kepala. Dia mengenakan baju merah. “Mau beli apa?” soalnya.

“Amma!” Anusha melatah.

“Ini kau punya baju raya. Kenapa tak pakai baju melayu?” tanya Shafiq.

“Aiya, semua baju pun boleh raya. 1 Malaysia mah,” jawab See Yew Soon tersengih-sengih.

Hello everybody,” sapa Henry Middleton.

You look smart-lah sir wear baju melayu like this,” puji Shafiq.

Yes, very handome too,” celah Azlin yang sudah pun turun pentas dan meluru laju ke arah kumpulan tersebut. Pompom di tangan digoyang-goyangkan.

You mean I look good in baju melayu?”

Yes, sir. Thats what I meant,” kata Shafiq sambil tergelak-gelak.

Thank you. You guys look fantastic too. Where is Cikgu Ayu?”

Not here yet, sir. I think she is getting ready. But the foods is always ready sir. Can we eat now?” tanya Jibam.

After all we did today I am hungry too, but we still need to wait for others, especially Puan Hajar and Encik Mohamed Saleh. Oh, here they are.” Henry Middleton memandang ke belakang kantin. Puan Hajar jalan seiring dengan Mohamed Saleh. Cikgu Ayu juga muncul pada waktu yang sama. Dia berbaju kurung biru, sedondon dengan Henry Middleton.

“Wow, so sweet. You and Cikgu Ayu like couple-lah!” ujar Azlin teruja. Pompom digoyang lagi.

Henry Middleton ketawa.

“Oh, now we have a boria,” kata Shafiq apabila melihat Cikgu Malik pula datang ke arah mereka dengan baju yang juga berwarna biru. Mereka bertiga berpandangan.

Oh my Gucci! Kita akan saksikan drama menarik sekejap lagi you alls,” kata Mazlee lalu bertepuk tangan. Azlin menyiku Mazlee. Terkejut mak, katanya.

Mata Cikgu Ayu memandang ke satu arah, hanya kepada Henry Middleton seorang. Kata Mazlee, “Mr Middleton satu, Cikgu Malik kosong. Oh my God!”

Sebaik sahaja tiba di kelompok tersebut, Henry Middleton terus menyapa, “Hi Cikgu Ayu. Selamat hari raya.”

“Hi Mr Henry Middleton.”

“Hai jugak. Assalamualaikum,” sampuk Cikgu Malik.

“Waalaikumussalam Cikgu Malik. Kacak bergaya cikgu-cikgu lelaki sekolah ni sesekali nampak pakai macam ni,” puji Cikgu Ayu.

“Err saya tak ke? Amboi, cikgu-cikgu saja. Saya pun orang penting juga dalam cerita ni,” celah Encik Mohamed Saleh. Dia menggayakan baju melayu teluk belanga warna merah terang untuk tatapan semua.

“Ya, Encik Mohamed Saleh pun kacak juga. Okey, kalau semua dah ada, bolehlah kita mulakan sekarang. Jemput duduk Puan Hajar.” Cikgu Ayu menunjukkan kerusi di hadapan pentas, tempat Puan Hajar dan Encik Mohamed Saleh. Kemudian Cikgu Malik dan Cikgu Ayu duduk sebelah menyebelah.

Mr Henry Middleton sebagai juruacara ke pentas membuat ucapan alu-aluan. Dia juga berterima kasih kepada semua yang banyak membantu menjayakan majlis itu. Kemudian, dia menjemput Cikgu Malik untuk membaca doa, sebelum memulakan sesi makan-makan.

Cikgu Malik ke pentas dan mula membaca doa. Semua yang ada turut mengaminkan manakala yang bukan Islam tunduk tanda hormat. Cikgu Malik memohon Tuhan memberi kesejahteraan dan keselamatan bukan sahaja kepada mereka di majlis tersebut malah kepada umat Islam di seluruh dunia. Khusyuk sekali dia membaca doa. Suasana bertukar seketika. Pada akhir doa, mereka mengaminkan bersama.

Ketika Cikgu Malik kembali ke tempat duduknya, Cikgu Ayu memerhatikan tanpa berkelip. Hadir tarikan tanpa dipaksa. Ketika pandangan bertemu, Cikgu Ayu berkata, “Saya tak sangka, Cikgu Malik prihatin dan sensitif.”

“Err.. mmm.” Cikgu Malik segera menggosok mata.

“Saya tertarik,” komen Cikgu Ayu.

Cikgu Malik membalas pandangan Cikgu Ayu. “Cikgu Ayu tertarik? Jadi saya ada chance ke?”

Mazlee muncul. “Cikgu Malik ada chance? Oh MyEG! Satu sama!” pekiknya. Azlin bersorak pompom lagi. Cikgu Malik dan Cikgu Ayu tersipu-sipu.

Cikgu Ayu berkata, “Dah, dah pergi duduk sana. Encik Mohamed Saleh tengah berucap tu.”

Mazlee berlari-lari ke tempat duduk tetapi terkedek-kedek datang semula dan menyorok di belakang Cikgu Ayu apabila Henry Middleton menghampiri mereka. Pasti dia tidak mahu ketinggalan dalam sesi gosip-menggosip.

Do you smell something?” tanya Henry Middleton sebaik sahaja duduk di kerusinya.

Smell what? Nothing... nothing.” Cikgu Malik tergeleng.

“Okey, then.” Henry Middleton mengangkat bahu. Mereka sama-sama mendengar ucapan Encik Mohamed Saleh.

Di belakang, budak-budak 3 Merah sudah menguap.

“Bila kita boleh makan ni.” Jibam menongkat dagu. “Ini ucapan ke syarahan.”

“Yalah, lapar maa,” kata See Yew Soon pula.

“Eh, ada bau asaplah,” kata Shafiq.

“Tu ha, api barbekue dah naik.” Azlan muncung mulut ke arah api di sebelah kantin.

“Kita ada menu barbekue ke?” Cikgu Malik menoleh dan menyampuk sama.

“Ayo! Itu lemang sudah terbakarlah!” Anusha bangun dan menuding jari pada api yang sudah marak membakar.

What?” Henry Middleton segera menoleh. Mereka semua turut bangun memandang ke sana.

“Eh, minta perhatian tuan-tuan puan-puan, saya belum selesai berucap ya.” Encik Mohamed Saleh berusaha menarik semula perhatian mereka tetapi operasi menyelamatkan lemang adalah lebih penting sekarang.

“Apa kita nak buat ni? Api! Api!” Cikgu Ayu menggigit jari.

“Saya ada jual pemadam api. Mau belikah?” tanya See Yew Soon.

“Mana sempat nak pergi beli,” balas Azlan.

Cikgu Malik yang gagah cuba menarik kayu api dengan kayu yang lain dalam usahanya menyelamatkan lemang. Waktu itulah Puan Hajar datang membawa sebaldi air dan menyimbah api yang marak itu. Bush! Api pun padam. Asap berkepul-kepul dan hilang sedikit demi sedikit di sekeliling Puan Hajar memberi kesan superhero.

“Waa dramatiknya.” Azlin menganga. “Eh lemang tu apa cerita?”

“Hmm, nampaknya lemang tu tak dapat diselamatkan lagi,” beritahu Cikgu Malik selepas menguis kesan-kesan bakaran dengan kaki.

“Habis tu macam mana?” tanya Azlan. Mereka berpandangan.

Henry Middleton menggaru kepala. “Oh my lemang!!!"

Bersambung..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adra Halif