Home Cerpen Umum Pak Jemat, lorong sempit dan Masjid India
Pak Jemat, lorong sempit dan Masjid India
Ainul Alli
31/8/2017 23:40:53
1,551
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

 

22 OGOS 2017

Perjalanan dari lapangan terbang Kuching ke hotel Riverside Majestic hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja. Jalan raya di sini tidak sesak, tidak jem dan berjalan lancar. Teringat dengan omongan kawan aku yang berasal dari Kuching semasa aku dalam pengajian ijazah sarjana aku dulu di University of Southampton United Kingdom, di sini tiada bunyi hon. Di sini bandarnya bersih. Aku hanya mengiyakan sahaja omongannya. Ya, biasalah masing-masing mahu menangkan negeri sendiri. Begitu juga kawanku Kelantan. Berpegang pada semangat Kelantannya - Budu, supek, tubik. Aku langsung tidak faham maksud perkataan yang dia sebut. Sebab itu aku jarang dengan mereka biarpun kami lahir di negara yang sama. Aku lebih selesa berkawan dengan mat saleh dan minah saleh. Nilai melayu semakin kurang dalam diri aku. Mungkin sejak di Malaysia lagi mama dan papa aku sudah terapkan aku dengan budaya barat. Wang aku hulurkan kepada pemandu uber. Setiba sahaja di bilik hotel, aku cuba merehatkan badan. Esok ada perkara perlu aku selesaikan. Aku perlukan banyak tenaga untuk itu. Gambar sebuah lorong aku amati lagi. Kata Tok Wan, aku perlu cari Pak Jemat di lorong ini. Lorong ini terletak di Kuching. Tapi tidakkah Tok Wan ini gila, Kuching kan besar.

                             

23 OGOS 2017

      Esoknya, pagi-pagi lagi aku sudah menempah uber. Mee kolok dan laksa Sarawak dalam fikiran aku sejak semalam lagi. Kali terakhir aku merasa makanan ini semasa mengikut kawan sekerja aku ke program “Lan Berambeh Sarawak” tahun lalu. Program yang mengumpulkan anak Sarawak yang belajar, kerja dan tinggal di Semenanjung. Aku apa lagi tak lepaskan peluang untuk turut serta. Makanan percuma untuk semua. Siapa yang tak suka kalau benda tu percuma kan. Tidak lama kemudian aku telah sampai ke sebuah kedai yang popular dengan laksa sarawaknya. Menurut sumber internet yang aku lihat semalam, kedai ini harus aku kunjungi. Aku duduk berhampiran dengan sebuah keluarga yang anaknya ada dua orang. Aku kira-kira anaknya berumur dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Aku mencuri dengar perbualan keluarga itu walaupun aku kurang faham bahasa yang digunakan

      “Kitak mok minum apa?” Tanya gadis muda yang bekerja di kedai ini.

Nasib baik ada perkataan minum. Jadi aku tahu dia bertanyakan tentang apa. Senyuman gadis muda itu tiba-tiba mengetarkan jantungku. Betul apa yang diperkatakan, gadis Sarawak cantik orangnya.

      “Oh ye. Saya nak air teh ais satu ye. Kurang manis. Lepastu saya nak mee kolok dan mee laksa Sarawak.” Mendengar sahaja itu, gadis muda itu tersenyum. Selesai sahaja makan, aku menunjukkan gambar sebuah lorong dengan gadis muda itu dan bertanyakan di mana boleh aku cari lorong ini. Gadis muda itu seperti kurang tahu lalu menyerahkan gambar itu kepada seorang wanita yang berumur dalam lingkungan 50an. Aku terdengar perbualan mereka.

      “Oh, sik salah kamek, tok lorong sempit. Nun dekat India Street.”

Aku menaikkan kening tanda kurang faham. Kemudian gadis muda tadi memberitahu kembali apa yang diperkatakan oleh wanita tadi.

      “Tempat ni di India Street. Dekat je dari sini. Tak jauh. Orang sini panggil tempat ni lorong sempit.” Terang gadis muda tadi.

      Aku selesaikan sahaja bayaran makanan dan terus menelefon uber untuk bawakkan aku ke lorong sempit itu. Pak Jemat harus aku jumpa.

 

Seharian aku berdiri di lorong sempit ini. Ramai betul orang lalu lalang di sini. Dari mula aku menjejak kaki ke India Street ini aku terpukau dengan bangunan yang terdapat di sini.  Binaan lama di India Street ini disegarkan dengan cat yang bewarna-warni. Masih mengekalkan unsur sejarah di tengah bandar yang membangun dan moden.

      Sememangnya lorong sempit tersebut amat popular dalam kalangan orang tua buta. Aku lihat lebih kurang dalam enam orang yang duduk di atas kerusi plastik tepi dinding lorong sempit sambil membawa bekas dan tisu. Semuanya melayu, seorang bertudung dan selebihnya berkopiah. Bagaimana aku mahu mencari Pak Jemat? Adakah Pak Jemat dalam kalangan mereka. Aku berhenti di tepi salah seorang lelaki tua peminta sedekah. Aku lihat mereka begitu gembira sesama sendiri. Gelak dan sakan betul bercerita walaupun hanya duduk di lorang sempit ini. Kadang-kadang terlihat juga orang ramai yang lalu lalang menggunakan lorong sempit ini memasukkan wang dan syiling di dalam bekas orang tua buta.

      “Orang bujang mok nunggu apa?” soal seorang lelaki tua buta yang duduk di sebelah tempat aku berdiri.

      “Maaf pak cik. Saya tak faham.”

      “Oh, orang KL duhal. pak cik tanya, kamu tunggu siapa? Dekat sejam pak cik rasa kamu berdiri di sini. Macam menunggu seseorang.”

      “Err..saya pun tak pasti pak cik kenapa saya berdiri lama di sini. Mungkin terpegun dengan suasana dan keadaan lorong sempit ni.”

      Pak cik buta itu hanya tersenyum.

      “Pak cik nama apa?” Soal aku. Sengaja aku tanya untuk mulakan misi pencarian aku.

      “Kamis”.Aku hampir tergelak mendengar jawapan Pak Cik buta ini.

      “Tok Wan cakap kalau sini sebut Jumaat dengan sebutan Jemat. Jadi nama pak cik, Kamis.Orang dulu-dulu suka betul bagi nama anak guna nama hari. Teringat pulak saya dengan Tok Wan yang pernah kata dengan saya dia ada kawan nama Jemat di Kuching ini.” Sengaja aku pancing untuk perbualan seterusnya.

      “Jemat.”Sebut Pak Kamis sambil tersenyum dan menggelengkan kepala.

      “Kenapa pak cik? Apa pak cik kenal orang yang bernama Jemat ini?”

      “Jemat dia akan datang pada hari jumaat nanti. Bukan hari ini.” Aku pelik dengan jawapan pak cik ini. Apa dia bergurau dengan aku. Jadi aku nak gelak ke tak ni atau aku nak layan lawak dia ke apa.

      “Maksud pak cik apa?”

      “Ada seorang lelaki bertongkat. Selalu solat Jumaat di Masjid India ni.”

      “Bagaimana pak cik boleh tahu dia bertongkat. Pak cik kan..emm maksud saya”

      “Buta?.Nak, buta pak cik pada zahirnya, kamu lihat pak cik buta. Tapi Allah dan bagi pakcik keupayaan yang lain. Pak cik boleh mendengar dan menghidu dengan baik. Lebih baik daripada kamu yang celik penglihatan. Macam kamu berdiri sebelah pak cik ni dari tadi pun pak cik tahu. Walaupun kamu senyap sahaja.”

      “Jadi saya datang salah hari ni ye pak cik. Lusa hari Jumaat. Jumaat nanti saya ke sini.”

Aku berlalu pergi meninggalkan pak cik buta tadi. Aku berjalan menuju ke waterfront. Kali ini aku berjalan kaki ke sana. Menurut Pak Cik Cina yang menjual longan yang aku tanya sebentar tadi, dia kata tidak jauh dari sini. Ya memang tidak jauh. Aku duduk di kerusi yang di seberang sungai hadapanku tersergam indah bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak. Teringat Tok Wan sebelum menghembuskan nafas terakhir. Dia hanya berikan aku gambar lorong ini dan nama Pak Jemat. Mujur dia sempat memberitahu lorong ini berada di Kuching. Kalau tidak jenuh pula aku mencari di merata negeri. Cumanya tok wan tidak sempat menceritakan yang selebihnya. Dia hanya minta aku mencari Pak Jemat. Sejak sebulan yang lalu nama Pak Jemat sentiasa dalam fikiran aku.


25 OGOS 2017

Hari yang aku tunggu telah tiba. Sebelum tengah hari, aku sempat berbual dengan Pak Kamis. Aku belikan dia laksa Sarawak yang aku beli di kedai makan itu. Sengaja aku pergi lagi ke kedai makan itu untuk melihat wajah manis gadis muda yang mengambil pesanan itu. Menurut Pak Kamis, masjid India ini telah di bina pada tahun 1837 oleh orang India muslim dari selatan India. Tapi yang aku hairan papan tanda di atas pintu masjid tertera masjid Bandar Kuching. Rupanya nama asal masjid ini ialah masjid India. Pada tahun 1960an barulah ditukar kepada masjid bandar Kuching. Namun orang tempatan sini mengelarkannya sebagai “masjid tambi”. Banyak betul sejarah tempat ini. Patutlah di sini masih mengekalkan seni bina sejarah. Sarawak memang banyak sejarah dan rahsia yang perlu aku rungkai. Selesai solat Jumaat, aku cuba mencari lelaki bertongkat yang berumur lebih kurang seperti Tok Wan. Akhirnya aku menjumpai seorang seperti fizikal Pak Jemat. Aku cepat-cepat pergi ke arah lelaki tua bertongkat itu. Aku sentuh bahu kirinya sambil menyebut nama Pak Jemat. Ternyata aku salah orang. Itu bukan Pak Jemat, tapi Pak Senin. Aku mengomel dalam hati. Selepas ini apa pula? Pak Rabu atau Pak Sabtu? Apa yang Tuhan cuba uji aku ini. Susah betul mencari Pak Jemat. Cari seorang jemat yang aku jumpa senin dan kamis. Permintaan terakhir Tok Wan seperti menyusahkan aku. Aku pergi ke arah Pak Kamis mengadu nasib aku. Aku tak jumpa Pak Jemat. Adakah Pak Kamis menipu aku.

      “Anak muda darahnya cepat betul panas. Kurang sabar.”

      “Pak cik, saya esok dah nak balik KL. Saya bercuti sekejap sahaja pak cik. Kerja saya makan gaji. Kerja dengan majikan cina susah betul dapat cuti. Cuti pula di ambil untuk benda yang sia-sia ini. Permintaan terakhir Tok Wan memang menyusahkan saya.”

      Pak Kamis hanya tersenyum. Sesekali terlihat orang ramai yang lalu lalang menghulurkan wang kertas seringit di dalam bekas yang dipegang Pak Kamis. Tisu sejak dari hari itu masih sama banyak.

      “Kau lagi buta dari Pak Cik.”

      “Buta? Saya tak faham”.

      “Boleh kau beritahu pak cik apa bayanganmu tentang Pak Jemat?”

      “Pak cik kata dia bertongkat, umur macam Pak Cik.”

      “Kulit dia?”

      “Apa maksud pak cik? Sudah tentu seperti saya. Sawo matang. Melayu kulitnya hampir sama.”

      “Ternyata kau masih belum mengerti.”

      “Semakin saya bercakap dengan pak cik semakin saya tidak faham. Apa yang pak cik cuba sampaikan.” Aku terasa hendak marahkan Pak Kamis. Tapi mengenangkan keadaan dia dan faktor umur, aku tahan kemarahanku.

      “Kau tahu di mana dana masjid ni diperoleh? Masjid ini mendapat dana untuk beroperasi dengan sewaan 23 unit deretan kedai yang kebanyakannya disewa oleh india muslim. Ada juga orang cina yang menyewa di sini. Masjid ini unik. Kau sendiri boleh lihat kan. Terletak di tengah-tengah deretan kedai yang menjual rempah ratus dan barangan muslim. Siapa menyangka masjid ini boleh memuatkan seribu orang untuk solat jumaat. Nampak kecil di pandangan luar, tapi bila masuk dalam rupanya besar.”

      Aku mendengus mendengar perjelasan Pak Kamis. Aku tidak mahu mendengar semua sejarah atau dana masjid ini. Aku hanya mahu mencari Pak Jemat.

      “Apa makna merdeka bagi kamu?”

      “Merdeka maksudnya bebas. Ya bebas. seperti Malaysia, bebas dari penjajahan.” Aku malas meneruskan penjelasan aku. Aku bukannya orang yang bersemangat patriotik. Subjek sejarah pun aku tak suka.

      “Jadi adakah pak cik ini merdeka bagi kamu apabila masih duduk di lorong sempit ini dan tidak hiraukan dunia luar? Biar pak cik beritahu kamu apa itu kemerdekaan. Kalau ikutkan kemerdekaan itu banyak maksudnya. Tapi kita berpegang pada sudut Islam. Betul kata kamu, merdeka ialah bebas. Kebebasan bagi seorang manusia untuk tunduk dan beribadah kepada TuhanNya tanpa halangan dan memenuhi keperluan fitrahnya serta membuat pilihan ke atas dirinya tanpa paksaan atau tekanan daripada sesiapa. Hakikatnya kemerdekaan sebenar di sisi islam ialah apabila kita berjaya menewaskan hawa nafsu dan menghalang perkara yang boleh menganggu ibadat kita kepada Allah. Sudah lama ya kamu meninggalkan solat Jumaat? Bagaimana dengan yang wajib? Apa kamu tunaikan?”

      Aku tersentak dengan soalan Pak Kamis. Bagaimana dia tahu betapa jahilnya aku. Pak Kamis memang buta. Tapi dia seperti dapat melihat apa yang sedang berlaku dalam kehidupan aku. Mungkin kerana aku terlalu mengagungkan hedonisme sehingga melupakan budaya timur dan nilai islam dalam diri.

      “Ramai yang seolah-olah mengerti merdeka itu maknanya apa. Tapi berapa ramai yang melaluinya. Kau sendiri masih belum merdeka. Masih belum bebas dari perkara yang menghalang kau untuk mentaati Allah. Tahun ini sangat istimewa. Apabila sambutan hari kemerdekaan dan hari raya aidiladha berlaku dalam minggu yang sama. Minggu depan kita akan mennyambut kemerdekaan. 1 September pula kita akan menyambut raya aidiladha. Ye betul. Pak cik buta. Tapi kamu lagi buta sebenarnya. Kau tahu nama penuh pak cik apa?”

      Pak Kamis berdiri dan mengambil tongkat di bawah kerusinya. Sebelum berlalu pergi dia sempat berkata,

      “Nama penuh pak cik ialah Kamisah Jemat bin Dollah dan pak cik keturunan India Muslim.”

Aku hanya berdiri kaku melihat Pak Kamis atau Pak Jemat pergi meninggalkan aku.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ainul Alli