Home Cerpen Umum Dia... Insan Luar Biasa
Dia... Insan Luar Biasa
Nazsuha Faizila
7/9/2016 14:19:57
1,657
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

“SAUDARA Aiman?” Aku mula bertanya kepada jejaka yang sedang duduk di atas kerusi itu. Dahi kukerutkan sedikit sebagai tanda aku tidak pasti dengan pertanyaanku tadi.

Aiman kulihat mula mengangkat wajahnya. Serentak itu dia memandang wajahku. Pantas sahaja anggukan menjadi jawapan buat soalanku sebentar tadi sambil bibirnya yang masih basah dengan air kopi yang diminumnya terbentuk segaris senyuman.

Aku pantas sahaja tersenyum. “Alhamdulillah.” Terlebih dahulu aku mengucap syukur ke Hadrat Illahi kerana telah mempermudahkan urusanku hari ini. Tangan kanan kuhulur terlebih dahulu sebagai tanda perkenalan dengan jejaka muda di hadapanku ini.

“Saya, Ghaz. Ghazali Abu Bakar. Wartawan dari Majalah Al-Islam.” Aku terlebih dahulu memperkenalkan diriku kepada jejaka yang berbaju kemeja biru muda ini.

Aiman menyambut huluran tanganku dengan senang sekali. Sambil membetulkan kaca matanya dia berkata, “Aiman Fikri.” Bibirnya memang tidak lekang daripada senyuman.

Aku pantas mengambil tempat duduk di hadapan jejaka muda ini setelah dipersilakannya. “Jadi, inilah rakan karib Saudara Ummar Tariq?” Aku bertanya sambil tanganku ligat mengeluarkan segala peralatanku daripada beg galasku ini.

Aiman hanya mengangguk kecil. Kemudian dia diam seketika.

Aku hairan melihat jejaka ini. Dia lebih banyak mendiamkan diri. Aku pula yang terlebih peramah. “Saudara tak suka ke saya temuramah saudara?” Aku sengaja meneka isi hati jejaka yang berkulit sawo matang ini.

Aiman pantas menggeleng. “Tak. Saya suka encik nak temuramah saya.” Badannya didekatkan dengan meja. “Lagipun… encik nak temuramah saya tentang insan yang luar biasa dan istimewa.” Ada nada gembira sedikit di hujung katanya.

‘Istimewa sangat ke Ummar Tariq ni?’ Hatiku mula berdetik. Pelbagai persoalan mula bersarang dalam benakku. Enggan melayani persoalan yang tiada jawapannya, aku teruskan dengan tujuan utama kedatanganku.

“Jadi, bolehlah kita mula sekarang?” Seperti biasa aku mengeluarkan sebatang pen dan sebuah buku nota kecil untuk menulis input-input penting semasa sesi temuramah ini.

Aiman kulihat hanya menganggukkan kepalanya sahaja.


“UMMAR Tariq, dia macam pelajar lelaki biasa di universiti. Pergi ke kelas, balik ke kelas, makan, tidur, belajar, solat.” Aiman memulakan bicara. “Tapi ada satu perkara yang membuatkan dia insan yang luar biasa dan istimewa.” Kulihat ada sedikit senyuman di hujung bibirnya.

“Keberanian.” Satu perkataan tepacul keluar daripada mulutnya. Kemudian, dia terdiam seketika.

Pen yang aku pegang terhenti seketika. Aku menelan liur sambil dahiku berkerut tatkala Aiman yang sedang rancak berbicara tiba-tiba sahaja berhenti. Suasana menghening seketika.

“Keberanian?” Aku mula bertanya untuk mengelakkan suasana terus-terusan menghening. “Keberanian yang bagaimana?” Sebelah keningku sudah kuangkat.

Perlahan-lahan Aiman menghirup kopi yang masih panas itu. Enak terasa dalam tekakku. Aku pula yang kecur air liur apabila melihat kopi panas tersebut perlahan-lahan masuk ke dalam kerongkongnya. Namun, kutahankan sahaja.

Cawan tersebut diletakkan semula. Kemudian, jejaka tersebut memandangku. “Dia…” Biacaranya terhenti seketika di situ. Dia menundukkan sedikit pandangannya.

AKU membuka komputer riba milikku sambil sebelah lagi tanganku erat memegang secawan kopi yang kubancuh sebentar tadi. Artikel tentang Insan Luar Biasa itu harus kusiapkan dengan segera. Cawan kopi tadi kuletak elok di sebelah komputer ribaku. Sebagai peneman di kala dingin malam mula mencengkam tulang.

Jari-jemariku laju menari di atas papan kekunci. Satu per satu cerita tentang anak muda bernama Ummar Tariq itu aku taip. “Menarik.” Aku mula tersenyum herot sambil kopi yang masih berasap itu perlahan-lahan aku hirup.

“Bagi Ummar keberanian adalah salah satu tanggungjawab.” Tiba-tiba sahaja kata-kata Aiman siang tadi menyusup masuk ke gegendang telingaku. Pantas sahaja aku berhentikan jari-jemariku daripada terus menari di atas papan kekunci.

Aku terdiam seketika. Mengunci mulut untuk berfikir sejenak. Dahi kukerut manakala jari-jemariku mengusap daguku yang mula ditumbuhi janggut itu.

“MULA-mula Ummar minta duit daripada pihak universiti tapi mereka hanya beri sedikit. Mereka kata mereka perlukan duit untuk hal lain.” Aiman mula bercerita. “Ummar tak mengalah. Dia cuba minta pihak lain macam badan bukan kerajaan, NGO. Dia dapat tapi masih belum mencukupi.”

Aku nampaknya semakin berminat untuk mendengar cerita Ummar ini. Telinga kupasangkan dengan lebih besar lagi sementara tanganku ligat menulis isi-isi penting.

“Mereka kata Ummar gila sebab apa yang Ummar buat mustahil. Kami pun tak percayakan Ummar. Saya sendiri pun masih ragu-ragu.” Tawa kecilnya kedengaran. “Tapi perkara tersebut tak mematahkan semangat Ummar malah menjadikan Ummar kuat.”

Aku kembali menyambung taipanku. Semakin menarik nampaknya artikel yang aku tulis ini. Aku tersenyum sendiri.

“Dengan berbekalkan duit yang tak seberapa Ummar pergi ke Palestin dengan beberapa orang pelajar yang lain.” Aiman menghembuskan nafasnya seketika.

Aku terkesima seketika. Pandangan tepat kulontarkan ke arah Aiman.

Aiman menyambung kembali bicaranya. “Waktu itu Palestin sedang bergolak. Sangat-sangat teruk keadaan di Palestin tapi dengan semangat yang ada, Ummar berjaya jejak di bumi bergolak tu.”

Aku hampir ternganga namun, pantas dapat kukawal. Pen yang aku pegang juga hampir terjatuh.

“Ummar bantu umat-umat Islam di sana. Ummar tolong apa yang termampu. Ummar beri semangat pada mereka semua. Ummar tolong padamkan segala kesedihan mereka. Ummar tolong tanamkan keberanian dan sifat tidak mudah mengalah pada mereka.” Bicara Aiman terhenti seketika. Dia menundukkan sedikit wajahnya. Aku dengar ada nada sendu di hujung bicaranya tadi namun, kudiamkan sahaja.

PANDANGANKU mula berkaca-kaca. Tubuhku mula menggeletar. Terasa semangat Ummar masuk ke dalam tubuhku sewaktu aku menaip artikel tentang dirinya. Nafas kutarik dalam-dalam sebelum aku menyambung taipanku semula.

“Selama hampir sebulan di Palestin, Ummar tak pernah menitiskan air mata di hadapan mereka semua. Ummar tidak pernah tunjukkan riak wajah sedihnya pada mereka. Ummar sentiasa tersenyum walaupun susah. Ummar tak mahu mereka lemah. Ummar mahu mereka tahu yang kita semua ada untuk mereka.”

Jantungku terus sahaja berdegup kencang. Bagai ada petir menyambar diriku.

Aiman menyeka air matanya. “Kami semua tidak menyangka Ummar mempunyai keberanian yang luar biasa.”

“Ya, memang. Ummar memang insan luar biasa.” Aku bermonolog sendirian sambil artikel yang kutulis itu hampir ke perenggan yang akhir.

“Doa sahaja tidak cukup. Buktikan dengan keberanian. Umat-umat Islam di sana perlukan kita. Mereka tanggungjawab kita bersama. Bantu seadanya. Bantu mereka untuk kuat dan tak mudah mengalah.”

AKU menghela nafas seketika. Artikel yang kutulis hampir menemui penghujungnya. Sambil jari-jemariku leka menaip aku mula berfikir tentang diri Ummar Tariq ini. Dia memang seorang insan yang istimewa seperti yang diperkatakan oleh Aiman.

Menulis artikel tentangnya membuatkan aku banyak tersentak. Selama ini aku leka dengan kesenangan hidup di dunia. Dia telah banyak menyedarkanku. Ummar Tariq semoga rohmu dicucuri rahmat-Nya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.